4 Mei 2011

Tiga Beradik Perempuan Lemas Di Hutan Lipur Ulu Bendol

Kuala Pilah: "Saya tersentak apabila melihat "kepala air" mengalir deras bersama sesuatu objek yang kelihatan seperti manusia. Apabila diamati saya dapati ia seorang lelaki dan seorang perempuan dewasa bersama dua kanak-kanak terkapai-kapai meminta pertolongan" kata Turiman Bostam, 40, saksi kejadian lemas mengorbankan tiga beradik perempuan di Hutan Lipur Ulu Bendol di sini, semalam.

Perkelahan empat sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak perempuan berusia dua hingga lima tahun bersama kenalan wanita bapa mereka, berakhir tragedi apabila tiga kanak-kanak itu dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras di hutan lipur berkenaan.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Nursyaza Alisa, 5, Nursyaza Azera, 4, Nursyaza Sakinah, 2, mandi bersama bapa mereka, Syed Ahmad Ibrahim, 28, serta seorang wanita dikenali Alwani Abu Hassan, 20-an.

Menurut Turiman, ketika kejadian itu dia dalam perjalanan ke tapak perkhemahan di kawasan itu.

"Ketika berjalan, saya terkejut melihat air tiba-tiba mengalir deras dan agak luar biasa sebelum ternampak empat orang terkapai-kapai meminta pertolongan.

"Saya cuba menarik wanita dewasa yang berada hampir dengan tepi tebing namun gagal mencapainya. Saya mencuba sekali lagi menarik tangan serta rambutnya dan berjaya menariknya ke tebing" katanya.


Menurutnya, sejurus berjaya menyelamatkan wanita itu, dia hanya mampu melihat seorang lagi lelaki dewasa dan dua kanak-kanak dihanyutkan arus deras kerana jarak yang jauh.

Namun tidak lama kemudian saya melihat lelaki dewasa berkenaan ditarik orang ramai yang berada di situ, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, ketika kejadian, hujan tidak lebat dan kelima-lima mereka mandi di sekitar kawasan itu.

"Bagaimanapun, air dari Gunung Angsi dipercayai tiba-tiba mengalir deras menyebabkan dua daripada kanak-kanak itu terapung dan tenggelam timbul di dalam air. Pada waktu itu seorang perempuan dewasa turut dihanyutkan arus.

Bapa kanak-kanak itu cuba menyelamatkan anak-anaknya namun gagal sebelum dia diselamatkan orang ramai. Bagaimanapun, ketiga-tiga kanak-kanak itu dihanyutkan arus deras," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat disertai kira-kira 40 anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela dan Jabatan Hutan.

"Operasi khas itu memfokuskan usaha mencari di sekitar Hutan Lipur Ulu Bendol dan kawasan sekitar. Kita akan memutuskan sama ada operasi itu dihentikan atau disambung semula melalui sesi maklumat dan perbincangan kira-kira jam 10 malam nanti (semalam)," katanya.

Bapa saudara kanak-kanak itu, Wan Adnan Wan Abdullah, 37, berkata, tiga beradik itu dijaga ibu kandung mereka yang menetap di Taman Jasmin, Senawang.

"Ibu mereka yang juga adik saya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Senawang dan sering menghantar mereka ke rumah ibu mentuanya (ibu lelaki yang lemas itu) di Taman Marida.

"Bagaimanapun, saya difahamkan bapa kanak-kanak berkenaan datang mengambil mereka hari ini (semalam) dan dipercayai tidak diketahui ibu mereka," katanya.

Difahamkan, ibu kanak-kanak terbabit, Wan Azleela Wan Abdullah, 32, sudah berpisah dengan bapa anak-anaknya itu.

Kejadian arus deras itu paling buruk pernah berlaku di taman rekreasi itu berikutan keadaan arus yang empat kali ganda lebih deras berbanding biasa ketika hujan.

Tinjauan mendapati, Wan Azleela turut berada di lokasi kejadian dan kelihatan sebak. -hm


Tiga Beradik Hilang Dihanyut Arus Deras Di Ulu Bendul

KUALA PILAH: Kegembiraan seorang bapa berkelah bersama tiga anak perempuannya di Hutan Rekreasi Ulu Bendul di sini, Selasa berakhir dengan tragedi apabila semua anaknya hilang dihanyut arus deras.

Nur Syaza Alisa Syed Ahmad Ibrahim, 5 serta dua adiknya Nur Syaza Azira, 4, dan Nur Syaza Sakirah, 2 tahun dibawa arus deras ketika sedang mandi dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata bapa mereka dan kenalan wanitanya terselamat namun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Pilah.

"Kejadian itu berlaku semasa hujan yang turun sejak pukul 4 petang tadi. Ketika sedang mandi, tiba-tiba mereka dirempuh oleh arus deras, bapa mereka yang dikenali sebagai Syed Ahmad Ibrahim, 28 tahun dan kenalan wanitanya yang dikenali sebagai Alwani Abu Hasan, 20-an berjaya diselamatkan orang ramai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat tiga kanak-kanak itu dilakukan 40 anggota dan pegawai dari pasukan polis, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Jabatan Pertahanan Awam dan juga bomba.

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai, sekarang musim hujan. Kalau masuk ke kawasan hutan macam ini berjumpalah pegawai perhutanan yang bertugas untuk meminta nasihat. Nasihat ini bukan sahaja saya tujukan kepada mereka yang mahu mandi manda tetapi kepada pendaki Gunung Angsi yang sering tersesat di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, ibu tiga beradik malang itu yang dikenali Wan Azlela Wan Ibrahim, 27, kelihatan menunggu di kawasan berhampiran.Dalam pada itu, seorang pengunjung Turiman Bostam, 42, yang juga saksi memberitahu Bernama kejadian berlaku dengan pantas.

"Semasa itu hujan sudah turun dalam keadaan renyai-renyai, biasa kalau hujan renyai di kawasan ini maknanya hujan telah lebat di kawasan bukit dan air akan melimpah dengan tiba-tiba. Saya dalam perjalanan dari tapak perkhemahan menuju ke atas hutan rekreasi," katanya.

Namun kata beliau, secara tiba-tiba beliau melihat susuk tubuh tiga kanak-kanak itu dilambung air deras dan cuba menyelamatkan mereka.

"Saya tidak dapat menyelamatkan mereka. Sebaik selepas itu, saya melihat seorang wanita dewasa sedang hanyut. Saya capai tangannya tetapi terlepas menyebabkan saya terpaksa menarik rambut wanita itu," katanya.

Ketika itu juga Turiman berkata beliau terdengar jeritan meminta tolong seorang lelaki yang kemudian dikenal pasti sebagai bapa tiga beradik tersebut.

Lelaki itu kemudian diselamatkan orang ramai yang ada di kawasan berhampiran, katanya yang mengakui ini adalah kali kedua beliau menyelamatkan mangsa lemas.-BERNAMA



8 ulasan:

  1. Kalau bersandarkan gambar itu bahagian depan Ulu Bendul . Asal sebenarnya xdalam airnya tapi mungkin jadi dalam dan deras sebab musim hujan.

    FARISZ@AZ.Com

    .

    BalasPadam
  2. disebabkan kebodohan bapa membawa anak berkelah dimusim hujan menyebabkan kematian anak-anak. tragedi begini sering berlaku tapi melayu jarang mengambil iktibar, bagi mereka tragedi hanya berlaku pada org lain bukan mereka.

    BalasPadam
  3. ade hikmah disebalik kejadian..mungkin ank2 kecil ni tak mampu untuk teruskan kehidupan disebabkan penceraian ibu bapa mereka...dah janji mereka dgn allah...

    BalasPadam
  4. Dari Anas r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda "seseorang muslim yang kematian tiga orang anak yang belum baligh, dimasukkan Allah ke dalam syurga, kerana limpahan rahmat dari Allah terhadap mereka". 2;655 hadis sahih bukhari.

    Semoga ibu dan bapa kanak-kanak ini tabah dan sabar menerima dugaan ini. Ingatlah hadis nabi 2;655 semoga ia menjadi pengubat kedukaan ini.

    BalasPadam
  5. tak ponah dlm sejarah ulu bondul jadi camni. air kek sini paling tinggi pun pareh pinggang jo.laju eh pun kambing bejalan lagi laju. slalu eh kalo ado kopalo air nih mosti ado tompek takung bosar kek ulu nun. ghaso eh dulu2 tompek takung takdo bosa amek.

    BalasPadam
  6. Kesedihan ibu bapa di dunia + redha, sabar & lebih dekatkan diri pada Allah ---> kegembiran mereka di Sana insyaAllah ..dgn disambut oleh anak2 tsb ahli2 syurga.

    Sebaliknya kegembiraan ibu bapa membela, menatang anak2, bila besar menyakitkan hati, melanggar perintah Allah ---> lebih menyedihkan hati ibu bapa di dunia. Wzubilillah.

    Allahlah lah yg Maha Mengetahui. Semuga apa2 kejadian yg menimpa diri & org lain dapat mendekatkan diri kita lebih lagi pada Allah.

    BalasPadam
  7. saya bersimpati dgn ibu tersebut, perceraian berlaku, anak2 ajelah pengubat duka lara, tiba2 tragedi begini terjadi. Harap dia tabah.....Insya'allah.....anak2 menunggu di pintu syurga.....

    BalasPadam
  8. saya sangat sedih bila mendengar berita ni.. sebagai seorang ibu saya memahami kesedihan yg ditanggung ibu kanak2 tersebut. pergi ketiga2 mereka dgn sekelip mata... ya Allah kau tabahkanlah hati si ibu... anak2 ini Allah janjikan syurga tempatnya. Dekatkan diri pada Allah.. insyaallah hatimua akan lebih tenang. Tetapi sy sgt kesal kenapa si bapa membawa anaknya berkelah pada musim hujan ni.. moga ini jadi iktibar buat kita semua..

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.