27 Mei 2011

Runtuhan Makin Besar Di Gombak

Lebih 200 penduduk kawasan perumahan Town Villa, Jalan 8/11, Taman Seri Gombak, dekat sini, bimbang keselamatan mereka terancam selepas tebing bukit berhampiran kediaman mereka runtuh dan pada masa sama hakisan tanah masih berlaku disebabkan hujan lebat beberapa hari lalu.

Runtuhan setinggi kira-kira 30 meter itu bermula sejak dua minggu lalu dan menjadi semakin serius apabila hakisan tanah melebar sehingga kurang 10 meter dari rumah mereka serta sebuah sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membekalkan tenaga elektrik di perumahan itu.

Lebih membahayakan, runtuhan juga dikhuatiri mengancam nyawa penduduk Kampung Sungai Cincin di kaki bukit berkenaan.

Wakil penduduk, Yusri Kamarudin, 40, berkata, runtuhan terbaru berlaku kira-kira jam 7 malam kelmarin dan beberapa runtuhan susulan turut berlaku hingga jam 9.30 malam.

Menurutnya, taman perumahan itu mempunyai 52 unit rumah bandar, dua banglo dan 20 rumah di perkampungan berhampiran di kaki bukit berkenaan. Penduduk juga mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

"Sejak empat hari lalu, baru ada kerja penambakan dibuat namun hujan lebat semalam dan kelmarin menyebabkan hakisan tanah semakin serius hingga mungkin menyebabkan stesen TNB itu runtuh.

"Hakisan tanah berlaku mungkin juga disebabkan saluran longkang untuk menyalurkan limpahan air hujan ditutup pemaju sebuah projek pembinaan kira-kira 150 meter dari taman perumahan itu,” katanya.

Katanya, penduduk berharap siasatan dan pemantauan menyeluruh pihak yang berkenaan perlu dilakukan segera kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk mungkin terjadi.

“Buat masa ini, kami tiada pilihan lain selain dari terus menetap di rumah masing-masing. Sehingga kini belum ada arahan dari pihak berkuasa untuk kami semua berpindah dan kami akan akur sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian malam kejadian mendapati polis dan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kerja Raya (JKR), TNB dan wakil pemaju turut berada di lokasi berkenaan bagi memantau keadaan. -hm

1 ulasan:

  1. malaysia dan dunia dah tak selamat? Dunia dah tua usia. Jangan dok bangga malaysia dok atas pentas sunda. BANYAK ISTIQFAR DAN KEMBALI KEPADA ALLAH DALAM SEMUA URUSAN.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.