21 Mei 2011

Misi Penyelamat Malaysia Ke Gaza Lancar Mogok Lapar

El-Arish (Mesir), 20 Mei — Matthias Chang, 61, ketua misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melancarkan mogok lapar sejak petang semalam di atas kapal kargo MV Finch bagi membantah tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan kapal berkenaan ke Pelabuhan El-Arish.

Tindakan itu dilakukannya sebaik sahaja tentera Mesir menghalau keluar kapal kargo itu dari kawasan pelabuhan, menurut wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan, seorang daripada 12 penumpang dan anak kapal MV Finch (gambar), kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Laporan Bernama Online menyebut pihak berkuasa pelabuhan itu sebelum ini telah memberi kebenaran kepada kapal MV Finch untuk berlabuh dan memberikan bekalan makanan.

Bagaimanapun menukar fikiran di saat akhir tanpa sebarang alasan kukuh.

Bagaimanapun katanya, mereka mendapat bekalan makanan daripada ejen yang dilantik oleh Yayasan Keamanan Global Perdana lewat tengah malam semalam waktu tempatan.

Sehingga pagi waktu tempatan, Matthias masih lagi enggan makan walaupun dipujuk dan keadaan dijangka berlarutan sehingga permintaan untuk berlabuh ditunaikan.

Pihak berkuasa pelabuhan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan diminta menyediakan bantuan perubatan untuk sebarang kemungkinan, katanya.

Mohd Faizal berkata beliau difahamkan kebenaran akan diberikan esok namun tiada sebarang pengesahan diperoleh daripada mana-mana pihak berwajib.

Kapal MV Finch itu dikemudi rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor yang dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd Jaffery Ariffin masing-masing warga Malaysia, serta dua warga India Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.

Selain wartawan Bernama, turut berada atas kapal itu ialah wartawan akhbar New Straits Times Iskandar Alang Bendahara, petugas sukarela Felda Mohd Radzillah Abdullah dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland serta Julie Levesque dari Kanada.

Terkini


Makanan dihantar ke kargo

Mesir dijangka beri kelulusan untuk Rachel Corrie berlabuh hari ini

KURANG enam jam selepas penumpang kapal misi kemanusiaan The Spirit of Rachel Corrie melancarkan mogok lapar dan cuba berlabuh tanpa kebenaran, pihak berkuasa pelabuhan Al Arish akhirnya membenarkan bekalan makanan dihantar ke kapal kargo itu, kira-kira jam 3.30 pagi waktu Malaysia, semalam.

Bekalan makanan itu antara lain mengandungi empat kotak air mineral, 180 biji telur, ayam, daging, makaroni, spageti, roti, minyak masak, jus buah-buahan, kentang, buah-buahan seperti pisang dan oren serta sayur-sayuran yang mampu bertahan selama 10 hari pelayaran.

Bekalan makanan ke kapal kargo dinaiki 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di sini sejak lima hari lalu, dihantar menggunakan sebuah ‘pilot ship’ iaitu bot kecil yang digunakan bagi menghantar barang ke kapal.

Ketika berita ini ditulis, pasukan evakuasi diketuai Pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir, Saharuddin Hassan, turut dimaklumkan pihak berkuasa Mesir dijangka mengeluarkan kelulusan untuk kapal itu berlabuh hari ini.

Sebelum ini, pihak berkuasa pelabuhan bertegas kapal kargo itu memerlukan kelulusan Kementerian Luar Mesir, Tentera dan Perisikan memandangkan ia dikategorikan sebagai bukan kapal kargo komersial biasa tetapi kapal misi kemanusiaan yang membabitkan isu Palestin yang sensitif bagi Mesir selain proses penghantaran bekalan makanan perlu melalui prosedur ditetapkan.

Pengurus Besar El Reedy Shipping Agency di Al Arish, Mohamed Ayob ketika ditemui selepas penghantaran bekalan makanan itu berkata pihaknya segera ke pelabuhan untuk menghantar bekalan makanan selepas agensi tempatan yang menguruskan kapal itu di Alexandariah, bersetuju dengan sebut harga dan proses itu memakan masa.

"Ia memakan masa kerana melalui prosedur ditetapkan. Kami juga dihubungi wakil Kedutaan Malaysia yang berada di Al Arish supaya mempercepatkan proses itu kerana kapal kekurangan bekalan makanan dan air bersih.
"Kami juga mendapat tahu kapal kargo yang membawa rakyat Malaysia ini menuju ke arah Gaza untuk membantu rakyat Palestin," katanya kelihatan bersemangat ketika ditemubual kumpulan petugas Media Prima yang berada di Al Arish sejak Isnin lalu bagi membuat liputan terkini mengenai keadaan kapal kargo dengan nama asalnya MV Finch.

Namun ketua misi kemanusiaan itu, Matthias Chang tetap meneruskan mogok lapar kerana beliau tidak yakin pihak berkuasa Mesir akan memberikan kebenaran kepada kapal kargo itu berlabuh untuk menurunkan penumpang dan memunggah barang keluar, walaupun kelulusan dijangka diterima hari ini.

Sebelum itu, Kapten Abdul Jalil Mansor berkata berdasarkan konsensus kesemua krew dan penumpang termasuk dua warga Ireland, dua warga India dan seorang rakyat Kanada, bertindak nekad cuba berlabuh di pelabuhan itu jam 10 malam waktu Malaysia kelmarin sebelum dihalang bot peronda Mesir dan dipaksa kembali ke kawasan menunggu, kira-kira tiga batu nautika dari pelabuhan.

Kapal kargo yang berlepas dari Piraeus, Greek, pada 11 Mei lalu, terpaksa bertindak demikian selepas terkandas lebih empat hari di pelabuhan itu selepas dipintas dan ditembak dua bot peronda Israel ketika memasuki perairan Gaza sebelum diarahkan berundur ke perairan Mesir. -BH


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.