29 Mei 2011

Mayat Rentung Dalam Kereta

Kuala Lumpur: Mayat ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di susur masuk ke sebuah kilang di KM 20 Jalan Kuala Lumpur-Rawang di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mayat itu ditemui oleh seorang pemandu lori, Sivaraman T. Ramasamy kira-kira pukul 5.45 petang yang pada masa itu melalui kawasan terbabit sejauh 500 meter dari jalan besar.

"Lelaki itu melihat sebuah kereta berasap di kawasan tersebut dan menjumpai mayat rentung di bahagian bawah tempat duduk belakang kereta sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di kawasan lain sebelum mayat dan keretanya dibakar di kawasan sunyi itu.

"Kita tidak dapat kenal pasti identitinya kerana kita tidak temui sebarang dokumen pengenalan diri di tempat kejadian dan kita percaya kejadian ini berlaku awal pagi tadi," katanya.

Sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Sivaraman berkata beliau yang dalam perjalanan ke sebuah kilang ternampak sebuah kereta berasap sebelum terhidu bau daging bakar berhampiran kereta itu.

"Masa saya lalu di situ api sudah tidak ada, hanya tinggal asap saja. Saya tengok bahagian belakang kereta ada satu mayat sudah rentung dan ada bau daging bakar. Saya terus bertindak untuk hubungi polis," katanya. BERNAMA

2 ulasan:

  1. BN perintah malaysia jenayah meningkat

    BalasPadam
  2. Polis dok asyek kawal ceramah Pakatan Rakyat sebab itu mereka tak cukup masa nak jaga keselamatan orang awam.Tu la... dok jaga kepentingan UMNO-APCO sampai orang awam terabai.Aku taklah salahkan sangat POLIS ni...kerana mereka membuat kerja-kerja yang terpaksa dan dipaksa oleh puak-puak UMNO-APCO nih.Kesian kat polis-polis ni....Apa nak buat sudah nasib mereka.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.