5 Mei 2011

Eskay Cuba Tepis Laknat Allah Kepada Wartawan

Mahu dedah lagi salah laku Anwar

SHAZRYL Eskay menjawab soalan sekumpulan media mengenai rakaman video seks membabitkan Anwar selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong, semalam. Shazryl Eskay sahkan lokasi rakaman video seks bukan di Thailand

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah akan mendedahkan beberapa lagi salah laku lebih besar membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik polis mendedahkan pelaku sebenar dalam video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Malah, Shazryl Eskay turut mengesahkan rakaman video berkenaan yang diterimanya sebelum dipertontonkan kepada media dirakam di Malaysia, bukannya di Thailand seperti digembar-gemburkan berikutan tersebar beberapa bahagian di laman YouTube menggunakan tulisan Thai.

“Saya hanya akan dedahkan beberapa konspirasi membabitkan Anwar sebaik polis mengesahkan kepada masyarakat siapa pelaku sebenarnya dalam video berkenaan. Bagaimanapun, ia tiada kaitan dengan video seks itu.

“Kita tunggu dan lihat.. saya percaya kebenaran akan muncul selepas ini. Siapa dalam video terbabit juga akan terungkai,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong, di sini, semalam.

Trio Datuk T iaitu Shazryl Eskay, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Shuib Lazim dipanggil memberi keterangan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As di Bandar Baru Sentul, Jumaat lalu ketika sumpah laknat dilakukan.

Shazryl Eskay yang tiba kira-kira jam 11 sebelum meninggalkan pekarangan itu tiga jam kemudian. Bagaimanapun, dua lagi Datuk T turut memberi keterangan di balai polis berlainan.

Jumaat lalu, Shazryl Eskay ditemani Rahim dan Shuib membuat sumpah laknat di masjid Amru Al-As bagi membuktikan kebenaran berhubung isu video seks yang didedahkan mereka.

Ketika ditanya sekiranya polis tidak mendedahkan pelaku dalam video terbabit, adakah pendedahan konspirasi itu akan dilakukan, Shazryl menjawab, segala-galanya bergantung kepada keadaan.

“Saya tahu semua orang marah selepas kami mendedahkan video seks berkenaan sehingga ramai pihak menyuruh saya membuat sumpah laknat bagi membuktikan kebenaran terhadap apa yang saya buat.

“Saya sudah buktikan... perlu faham, saya tidak tuduh Anwar berzina, sebaliknya hanya menunjukkan video berkenaan kepada kumpulan media supaya menyaksikan sendiri siapa pelaku dalam video berkenaan,” katanya.

Turut ditanya sama ada beliau adalah pembekal wanita kepada Anwar Ibrahim berikutan dirinya turut berada dalam video berkenaan, Shazryl Eskay enggan mengulas lanjut berikutan siasatan polis sedang berjalan.

Sementara itu, Rahim ketika dihubungi mengesahkan turut memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di masjid Jumaat lalu, namun enggan mendedahkan lokasi balai polis yang dibuat.

“Cukuplah hanya memaklumkan saya turut membuat laporan polis pada hari ini,” katanya. -BH

Ulasan GB

Semasa menyiarkan berita dari tvsnews semalam mengenai penafian Eskay mengkaitkan Anwar dengan zina, ramai persoalkan apakah benar Eskay berkata demikian. Ini kerana tvsnews adalah portal berita milik kerajaan Pakatan rakyat Selangor, justeru kemungkinan berita itu adalah rekaan wartawan untuk membersihkan Anwar.

Namun, GB bawa tulisan dari Berita Harian di atas untuk buktikan memang benar Eskay menafikan pernah mengkaitkan Anwar dengan perlakuan zina seperti yang terkandung di dalam video seks berkenaan.

Baca ayat ini:

“Saya sudah buktikan... perlu faham, saya tidak tuduh Anwar berzina, sebaliknya hanya menunjukkan video berkenaan kepada kumpulan media supaya menyaksikan sendiri siapa pelaku dalam video berkenaan,” katanya.

Sedangkan sebelum ini Eskay melakukan sumpah laknat yang berbunyi:

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku bersumpah aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video itu. Sekiranya aku memfitnah, Allah akan melaknat akan ku."


Sekarang Eskay sudah tidak mengaku mengkaitkan Anwar sebagai pelaku di dalam video yang melakukan perzinaan dengan perempuan tersebut. Dan enggan mengulas samada beliau pembekal wanita berkenaan:

Turut ditanya sama ada beliau adalah pembekal wanita kepada Anwar Ibrahim berikutan dirinya turut berada dalam video berkenaan, Shazryl Eskay enggan mengulas lanjut berikutan siasatan polis sedang berjalan.


Di dalam tvsnews semalam dilaporkan

“Saya bukannya menuduh Anwar tetapi wartawan yang telah menonton video yang membuat penilaian,” kata Eskay selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong..

Eskay kini cuba menunjukkan bahawa wartawanlah sebagai pihak yang menilai bahawa pelaku di dalam video yang melakukan perzinaan itu adalah Anwar.

Jika demikian, wartawan yang bakal menerima laknatullah itu kerana memfitnah. Habislah sang wartawan berkenaan...


3 ulasan:

  1. Semoga laknat menimpa Eskay hasil daripada sumpah. Nampaknya semua sudah tertipu lebih-lebih lagi pihak PDRM yang sedang menjalankan siasatan.
    Jelas perbuatan Eskay separuh masak.

    BalasPadam
  2. Cait... ini dah tiru skrip Seniman Bujang Lapok... beta ketik terkena muka tuan direktor Ahmad Nispu... muahahahahahaa... hoi agak-agak la nak ambik skrip orang

    BalasPadam
  3. mungkinkah laknat Allah kepadanya berupa penyakit lupa dan nyanyuk?

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.