23 Mei 2011

Bersedia, Kerajaan Akan Umumkan Kenaikan Harga Minyak Minggu Ini

Langkah Rasionalisasi Subsidi Dijangka Diumum Minggu Ini - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi termasuk penyelarasan harga petroleum minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

"Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini...kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai spekulasi kerajaan akan mengkaji semula harga produk petroleum termasuk petrol RON95.

Ismail Sabri berkata kerajaan berpandangan wang yang diguna untuk menanggung subsidi sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan rakyat.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2011 yang berlangsung selama tiga hari di Medan Tunku, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, Isnin.

Harga petrol RON95 kini RM1.90 seliter berbanding harga petrol RON97 yang meningkat kepada RM2.90 seliter selepas diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa.

Pada 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia. - BERNAMA

3 ulasan:

  1. Mari Belajar Bahasa - Sama Erti : Penyelarasan sama erti dengan NAIK. Contoh ayat: Kerajaan dijangka mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi termasuk penyelarasan harga petroleum minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    BalasPadam
  2. Ron 95 bakal dimansuhkan sekiranya Bee End menang pru 13 nanti bagi menghapuskan ketagih subsidi.

    BalasPadam
  3. Kalau dalam bab naik harga barangan dirujuk kepada negara lain/harga pasaran. Tetapi kenapa tak rujuk mereka juga untuk naikkan gaji/upah rakyat pula?

    Inilah politik kelentong.

    Negaranegara pengeluar minyak yang lain menjual minyak kepada rakyat mereka dengan harga murah demi kesenangan rakyat. Tetapi untuk ekspot baru dijual dengan harga pasaran (mahal) bukan macam Malaysia. Dah nampak sangat kerajaan sudah tak pandai memerintah, perlu ditukar beri peluang kepada orang lain memerintah pula.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.