1 Apr 2011

Isu Poco-poco: Tahniah Kepada Mufti, Tapi Ada Juga Yang Menghalalkannya

Poco-poco: Pemuda Perak puji Harussani, kata MB berani

Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya “mengucapkan tahniah” dengan langkah kerajaan negeri itu seperti yang ditegaskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa akan menghormati ketetapan tarian poco-poco diharamkan.

Poco-poco diwartakan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Januari lalu.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss mendakwa walaupun sedar tarian poco-poco ini telah “diperkenalkan” oleh Datin Seri Rosmah Mansor, tetapi ketegasan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria amat dipuji.

“Dan tindakan Datuk Seri Zambry juga dilihat bersifat berani dalam memastikan fatwa haram tarian poco-poco ini dikuatkuasakan di Perak,” katanya.

Raja Ahmad yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS pusat berkata, ini ditambah rumit apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim secara terbuka menegaskan dan membolehkan agar tarian poco-poco dibenarkan.

Kata beliau, Dewan Pemuda PAS melihat isu ini sepatutnya dibincangkan secara ilmiah dan perkara pokok agar tidak menjadi kekeliruan umat Islam.

“Keduanya, Pemuda PAS Perak akan mengambil sikap untuk bertemu sendiri dengan Tan Sri Harussani agar mendapatkan penjelasan sebenar akan perkara ini,” katanya lagi.

Kelmarin, Zambry berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, yang telah diputuskan Januari lalu.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan menghormati keputusan itu memandangkan satu fatwa berkaitan dengannya telah dikeluarkan.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Harussani berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian. -TMI

Ulasan GB

GB telah ulas poco-poco itu di bawah entri Ada Apa Pada Poco-poco?

Petikan:

GB tak pasti samada ia ada unsur keagamaan atau tidak, tapi apabila membuat carian di youtube, maka dapat dilihat tarian poco-poco ini. Rupanya sudah lama ada di negara kita, tak tau pun, dan GB akui memang GB ketinggalan bas dalam bab-bab sebegini.

Melihat tarian ini di youtube, ia lebih teruk rupanya daripada tarian-tarian Melayu asli. Ia lebih bertujuan berseronokan daripada senaman. Tang gedik jer mereka yang melakukan tarian tersebut. Tak percaya tengok sendiri kat bawah. Adakah anda akan benarkan isteri dan anak anda menari sedemikian dengan mempamerkan tubuh badan dengan budah dada dan pinggul bergoyang di khalayak ramai? Entahlah, mungkin GB boleh terima jika menari suami isteri di rumah untuk mengeratkan kasih sayang diantara mereka. Tetapi apabila ia dilakukan di khalayak ramai, rendahlah martabat ilmu dan akal.

Meskipun ada hadith yang mengizinkan "hiburan" namun yang pasti ia tidak boleh melanggar pagar-pagar syariat.

Ia mengingatkan GB mengenai masyarakat zaman jahiliah. Dan adat budaya Melayu yang banyak bertentangan akidah masih banyak diamalkan. Mencium keris, membuang ancak, lancang kuning, menepung tawar dan sebagainya.

Sampai bilakah umat Islam ini akan bebas dari penjajahan kejahilan dan kebebalan?


Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri pula menyatakan bahawa poco-poco adalah harus. Ia disambut pula oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berpendapat tarian poco-poco hanyalah sejenis tarian berbentuk senaman serta tidak perlu diharamkan di seluruh negara.

Terlepas daripada mempersoalkan pendapat Dr. Asri & Timbalan Menteri tersebut, GB yakin mereka belum lagi meneliti dan melihat persembahan tarian poco-poco berkenaan. GB sudah menyiarkan videonya, dan kini GB siarkan lagi supaya masing-masing dapat membuat penilaiannya.








1 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.