19 Mac 2011

Radioaktif Akan Tersebar Ke Britain Dalam Masa 2 Minggu

Stockholm - Seorang pakar nuklear Sweden memberi amaran debu radioaktif dari loji nuklear Fukushima-Daiichi di Jepun yang bocor akan sampai ke Britain dalam masa dua minggu lagi, lapor sebuah akhbar semalam.

Pakar Institut Kajian Pertahanan Sweden, Lars-Erik De Geer berkata, ramalan debu radioaktif akan tersebar ke Britain dibuat berdasarkan data yang dikumpulkan oleh sekumpulan saintis yang memantau ujian nuklear di China.

Seterusnya, kata De Geer, debu radioaktif itu akan tersebar ke serata Eropah yang jaraknya lebih 14,000 kilometer dari Fukushima, Jepun.

"Namun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana debu itu tidak berbahaya kepada manusia," katanya.

Menurut pakar berkenaan, debu radioaktif dari loji nuklear Fukushima Daiichi telah mencemari Amerika Syarikat (AS) selepas ia dikesan melekat pada pesawat-pesawat komersial yang tiba di negara kuasa besar itu.

Menurutnya, asap radiasi pula diramal melanda bahagian perairan barat AS yang terletak lebih 10,000 kilometer dari Jepun, lewat semalam.

Buat masa ini usaha sedang dilakukan bagi menyejukkan nuklear tersebut selepas ia rosak akibat gegaran kuat gempa bumi.

Beberapa pegawai menyatakan, mereka mungkin meletakkan beberapa reaktor nuklear di bawah struktur konkrit bagi mengelak penyebaran debu radioaktif.

Sementara itu, jumlah mangsa korban rasmi dalam gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu meningkat kepada 6,539 orang sekali gus melebihi angka korban akibat gempa bumi di Kobe pada 1995.

Agensi Polis Kebangsaan Jepun menyatakan, jumlah mangsa yang hilang pula meningkat sedikit kepada 10,254 orang dengan angka keseluruhan mereka yang mati dan hilang setakat ini adalah 16,893 orang.

Sejumlah 2,513 yang lain cedera dalam bencana itu.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam menyatakan bahawa pihaknya akan mengatasi tragedi yang berlaku di negaranya.

"Kami akan sekali lagi membina semula Jepun," katanya.

Menurut Kan, kerajaan negaranya akan melaksanakan kawalan tegas di loji nuklear Fukushima Daiichi yang kini mengalami masalah selepas ia meletup sebanyak empat kali.

Dalam gempa bumi itu, hampir 400,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi

Ulasan GB

2 minggu untuk radioaktif sampai ke Britain.

Bagaimana dengan Malaysia? Ramai juga golongan pro-nuklear yang cuba membela langkah kerajaan membina loji nuklear di Malaysia.

Jepun yang mempunyai kepakaran dan teknologi pun tak dapat nak atasi masalah radioaktif yang menular ini inikan Malaysia terhegeh-hegeh nak bina logi nuklear.

Masalah besar kini ialah bila negara penuh sarat dengan politikus bebal dan rasuah dengan mengutamakan projek mega untuk pungut habuan sendiri dengan menggadaikan nyawa rakyatnya sendiri.

1 ulasan:

  1. Elok Najib bertolak sekarang ke Jepun meninjau loji nuklear tu, mungkin boleh belajar sesuatu. Jika yakin reaktor nuklear boleh dibina di Malaysia, bina saja di belakang rumah dia.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.