27 Mac 2011

Radiasi Naik 10 Kali Ganda, Air Tercemar Berrisiko Sebabkan Barah

Sendai: Paras radiasi di perairan berhampiran loji nuklear Fukushima yang dilanda tsunami melonjak 10 kali ganda dalam tempoh beberapa hari.

Ketika petugas loji itu bergelut untuk menstabilkan stesen jana kuasa itu, tahap radiasi kini menjadi ancaman kepada orang awam.

Pegawai agensi keselamatan nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata seseorang yang meminum 500 mililiter air tercemar berdepan risiko barah.

Katanya, pengambilan air dalam jumlah itu menyamai kadar pendedahan dibenarkan untuk tempoh setahun.

Bagaimanapun, Nishiyama menolak kemungkinan kesan terhadap hidupan air dapat dilihat dalam tempoh segera.

Ketika ini, paras iodin 131 di Lautan Pasifik berhampiran Fukushima adalah 1,250 kali ganda daripada tahap dibenarkan.

“Secara umumnya, bahan radioaktif yang dibebaskan ke laut akan merebak mengikut arus dan perlukan lebih banyak rumpai laut dan hidupan lain untuk menyerapnya,” katanya mengulas hasil ujian dikeluarkan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco), semalam.

Selain iodin, bahan cemar lain yang dikesan Tepco adalah caesium yang mampu bertahan selama 30 tahun.

Bahan itu didapati 79.6 kali ganda lebih tinggi daripada tahap dibenarkan.


Jepun mengalami gempa bumi sekuat 9 magnitud pada 11 Mac lalu, sebelum diikuti tsunami yang melanda pantai timur laut negara itu.

Setakat ini, jumlah korban rasmi dikeluarkan kerajaan meningkat kepada 10,151 dan tidak banyak harapan dapat dipertaruhkan bagi mengesan 17,053 mangsa lain yang masih hilang.

Paras radioaktif iodin, caesium and kobalt di perairan berhampiran reaktor satu dan tiga loji berkenaan terus membimbangkan apabila didapati 10,000 kali ganda lebih tinggi berbanding situasi biasa. - AFP


Radiasi semakin banyak dilepaskan

Lebih ramai penduduk Fukushima pindah

TOKYO: Paras radioaktif di perairan berhampiran loji nuklear Daiichi, Fukushima semakin meningkat semalam, dua minggu selepas ia mengalami kebocoran akibat gempa bumi 9 skala Richter disusuli ombak tsunami.

Seramai 700 jurutera bertungkus-lumus mengepam air radioaktif dari loji yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo, bagi menstabilkannya selain menggerakkan semula pam air bagi menyejukkannya.

Ada pihak mengesyaki reaktor itu bocor selepas tentera Amerika Syarikat turut membantu usaha menyejukkannya.

Agensi keselamatan nuklear berkata, ujian menunjukkan tahap iodin radioaktif melonjak ke paras 1,250 kali lebih tinggi berbanding kadar normal di sekitar kawasan perairan di loji berkenaan.

Perkembangan terbaru di loji dan radiasi itu menyebabkan pihak berkuasa kini menggerakkan operasi memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear berkenaan.

Selain itu, di Tokyo, bandar 13 juta penduduk, mencatat tahap radiasi 0.22 mikrosievert sejam, enam kali ganda paras normal.

Ia masih dalam kategori normal Persatuan Nuklear Dunia iaitu 0.17 hingga 0.39 mikrosievert sejam.

Tetapi, seorang pegawai di Kementerian Sains mengesahkan bahawa tahap radiasi harian di kawasan 30 kilometer ke barat laut loji berkenaan, paras melebihi had setahun.

Begitupun, pegawai kanan dari Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hideko Nishiyama berkata, pencemaran yang berlaku memberi risiko kecil kepada kehidupan laut.

“Arus lautan akan memecahkan zarah radioaktif dan menjadi sangat cair ketika dimakan oleh ikan atau hidupan laut lain,” katanya.

Nishiyama berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk menulenkan air di kawasan laut di situ agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Air mengandungi sisa radioaktif ditemui di dalam bangunan yang menempatkan tiga daripada enam reaktor yang terjejas di loji berkenaan.

Khamis lalu, tiga pekerja melecur di reaktor nombor 3 selepas terdedah kepada paras radiasi 10,000 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal di loji terbabit.

Reaktor ini adalah satu-satunya menggunakan campuran plutonium dan uranium. Plutonium adalah isotop radioaktif paling bahaya.

Tidak hairanlah, di sebalik jaminan pihak berkuasa, perkembangan terbaru meningkatkan kebimbangan ke atas eksport makanan laut Jepun.


Krisis nuklear di loji Daiichi Fukushima, kini membayangi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu dan menyebabkan lebih 27,500 orang terbunuh atau hilang.

Ada negara sudah mengeluarkan larangan ke atas susu dan keluaran hasil pertanian dari wilayah di sekitar loji itu. – Reuters/Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.