20 Mac 2011

Libya Diserang - Rakyat Amerika Kutuk Campurtangan Amerika Ke Atas Libya

Setelah 8 tahun berlalunya peristiwa serangan ke atas Iraq, beratus-ratus rakyat Amerika, yang kebanyakannya adalah terdiri dari veteran perang Amerika dahulu dan sekarang, berkumpul di depan Rumah Putih melahirkan rasa tidak puashati mereka dengan tindakan campurtangan Amerika di dalam urusan negara-negara luar seperti Afghanistan, Pakistan dan juga Libya.

Semalam, tentera Amerika Syarikat dan Britain telah menembak sekurang-kurangnya 110 roket jenis Tomahawk ke arah Libya bagi melumpuhkan pertahanan udara rejim Presiden Muammar Gaddafi.

Naib Panglima Angkatan Tentera Amerika, William Gortney memberitahu pemberita roket Tomahawk itu dilancarkan oleh kedua-dua kapal perang dan kapal selam milik Amerika dan Britain ke arah 20 sistem penyelarasan pertahanan udara bersama dan kemudahan pertahanan pesisir Libya.

"Roket pertama ditembak jam 1900 GMT diikuti serangan udara yang dilancarkan pesawat pejuang tentera Peranchis," kata Gortney, yang juga pengarah staf bersama tentera Amerika Syarikat.

"Ia adalah fasa pertama daripada pelbagai peringkat operasi serangan," katanya.

"Oleh kerana ketika itu waktu malam di sana (Libya), ia mengambil masa untuk kita mengetahui lebih lengkap kejayaan serangan ini," katanya.

Di Chicago ribuan rakyat keluar berdemonstrasi mengutuk campurtangan Amerika di dalam perang di Libya.

"Kita sepatunya hentikan peperangan bersenjata ini, kami di jalanraya untuk memberitahu kepada semua, sepatutnya tiada lagi peperangan," jerit seorang pemprotes dengan sepanduk "No War" di tangannya.

"Selamatkan wang untuk kesihatan, pekerjaan, sekolah dan bukan untuk peperangan," kata para penunjuk perasaan yang membahagikan risalah di jalan-jalanraya.


Kesatuan Afrika tuntut serangan ke atas Libya dihentikan segera

NOUAKCHOTT: Kesatuan Negara-Negara Afrika hari ini menuntut agar serangan yang dilakukan tentera bersekutu membabitkan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Peranchis ke atas Libya, awal pagi ini dihentikan serta merta.

Selepas lebih empat jam mesyuarat diadakan kesatuan itu di ibu negara Mauritania, di sini, mereka juga menuntut agar pihak berkuasa Libya memastikan orang awam diberi perlindungan dan bantuan.

Kesatuan itu juga mahu agar rakyat asing dilindungi dan usaha mengeluarkan mereka dari Libya juga perlu dilakukan segera. - AFP






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.