13 Mac 2011

Jodoh Tetap Ada Sekalipun Cacat Penglihatan

Kuala Lumpur - Biarpun tidak dapat melihat, ia tidak menghalang bagi pasangan mualaf untuk mendirikan rumah tangga seperti insan normal lain.

Muhammad Adam Lee Abdullah, 39, selamat diijab kabul bersama Nurul Khairani Choi Abdullah, 37, dengan mas kahwin RM80 di surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.

Adam yang telah memeluk agama Islam 17 tahun lalu menceritakan detik pertama perkenalannya bersama Nurul.

"Saya mula mengenali Nurul selepas salah seorang rakan saya memberikan nombor telefon Nurul kepada saya. Pada mulanya kami hanya berkenalan atas dasar saudara sesama Islam.

"Hari ini (semalam) genap dua tahun tempoh perkenalan kami serta Nurul memeluk agama Islam," katanya selepas majlis akad nikah semalam.

Ceritanya lagi, sepanjang perkenalannya, mereka selalu bertukar-tukar pendapat serta bercerita mengenai agama Islam.

Adam juga mempunyai kelebihan dalam menterjemah buku atau apa-apa penulisan ke dalam bentuk braille dengan menggunakan komputer.

Nurul yang berwalikan hakim semalam memberitahu, keluarga tidak pernah menghalang dirinya untuk memeluk agama Islam dan berkahwin sekali lagi.

"Saya pernah berkahwin lapan tahun lalu tetapi sudah bercerai. Adam sanggup menerima diri saya seadanya dan juga anak-anak saya yang berumur 10 dan 12 tahun.

"Adam telah menganggap anak-anak saya seperti anak kandungnya sendiri. Dia banyak mengajar saya dalam mendalami agama Islam," jelasnya.

Mereka yang baru membina tiang masjid itu mempunyai perancangan tersendiri dalam merangka perjalanan hidup selepas bergelar suami isteri.

Tambahnya, ramai pihak yang telah terlibat dalam membantu perkahwinan mereka dengan menaja pakaian pengantin, alat solek serta hiasan. -kosmo

2 ulasan:

  1. Alhamdulillah, moga jodoh anda kekal selamanya.... amin.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.