2 Mac 2011

Bersih 2 Jika Pilihanraya Terus Senget

Pemuda PAS gesa Bersih II jika BN gagal jamin pilihan raya adil

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Dewan Pemuda PAS memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan pusat agar melakukan transformasi sistem pilihan raya adil dan telus, yang boleh meyakinkan rakyat, dan jika tidak akan mengadakan Himpunan Bersih kali kedua dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

Parti-parti politik yang membentuk Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan mengadakan himpunan seumpama itu pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

“Kita telah memberikan tempoh sehingga 1 Mei 2011 untuk kerajaan Umno dan BN segera melakukan satu transformasi yang meyakinkan rakyat dalam pengurusan dan pengendalian sistem demokrasi negara agar adil, telus dan baik.

“Rakyat telah menanti dalam satu tempoh yang terlalu lama untuk kerajaan melakukan perubahan yang dimaksudkan sejak tuntutan mereka melalui perarakan Bersih 1 (pada 2007),” kata Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan dalam ruangannya di Harakahdaily hari ini.

Kata Nasrudin, “Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan” selayaknya menjadi slogan yang baik untuk kerajaan bertindak drastik untuk memulihkan persekitaran dan meratakan padang demokrasi negara agar semua parti yang menyertai pilihan raya dapat bertanding dan bersaing di atas padang yang sama rata.

“Sebagaimana tindakan drastik yang diambil oleh Pengerusi PTPTN yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau melanjutkan tempoh bayar peminjam PTPTN dari enam bulan kepada 30 bulan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan Perhimpunan Peminjam PTPTN dan Mara akan diadakan di Hotel Sri Malaysia Temerloh pada 26 Feb 2011 baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata Nasrudin, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain akur terhadap tuntutan rakyat dengan segera melakukan transformasi yang dimaksudkan.

Nasrudin menambah tanpa tindakan bijak dan hikmah di pihak kerajaan, beliau yakin kebangkitan semula rakyat menuntut keadilan proses demokrasi negara akan kembali meletus.

“Sehingga hari ini, bukan sahaja undi pos yang masih belum dimansuhkan dan kebebasan media juga masih parah, terlalu banyak pencabulan demokrasi terus berlaku dalam negara kita dan ia meresahkan rakyatm” katanya.

Menurutnya ia termasuklah amalan pencabulan demokrasi di Malaysia di mana Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin telah menafikan hak Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti serta berhujah dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai isu 1Malaysia dan APCO Worldwide.

Selain itu katanya, Akta Keselamatan Dalam Negeri masih dikekalkan meskipun pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia mendesak supaya kerajaan memansuhkan akta zalim tersebut manakala polis menggunakan kuasa dan kekerasan menangkap para peserta perhimpunan aman yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan, mengganggu program-program yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat meskipun diadakan dalam premis persendirian dan permohonan permit telah dilakukan.

Malah menurut Nasrudin, sistem dan amalan demokrasi pilihan raya kampus telah dicabul apabila pihak pentadbiran universiti memperkenalkan beberapa perkara baru yang tidak menjamin keadilan, ketelusan dan bersikap berat sebelah.

Nasrudin juga berkata, Pendaftar Pertubuhan bercadang untuk mengehadkan dan mengetatkan proses penubuhan parti politik, yang diumumkan bulan lalu, bercanggah dengan semangat demokrasi dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

“Umno dan BN telah menggunakan pelbagai jentera kerajaan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. Antaranya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, kerajaan persekutuan telah berkampung di Kampung Ladui dan Pos Hau ketika pilihan raya kecil DUN Galas.

“Perkara yang sama turut dilakukan oleh Felda apabila badan berkanun tersebut menggunakan bajet sokongan serta jentera pentadbirannya untuk membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Demikian dari sebahagian pencabulan demokrasi dalam negara kita yang mewajarkan rakyat bangkit mendasak agar Kerajaan memulih dan meratakan padang demokrasi negara agar persaingan berlangsung secara adil, telus dan saksama,” katanya lagi. -TMI



Pas buat laporan terhadap kerajaan BN

TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas negeri akan membuat laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) atas pelanggaran Akta Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai janji dan peruntukkan diberi oleh pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Najib pernah menyatakan "Saya bukan hendak beli undi, tetapi kalau kamu sokong kami, saya akan tambah lagi peruntukkan esok atau lusa".

"Ini menunjukkan beliau (Najib) cuba membeli rakyat dengan pelbagai imbuhan dan projek segera yang ditawarkan kepada rakyat.

"Perdana Menteri juga secara terbuka meluluskan peruntukkan untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, Balai Bomba Sukarela dan Kuli Hindu bernilai hampir RM650,000.

"Ini tidak termasuk hamper serta makanan yang diedarkan di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan," katanya yang juga Naib Presiden Pas.

Tuan Ibrahim berkata, Pas mengharapkan satu tindakan akan diambil oleh SPRM dan SPR kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan (Perjalanan) Pilihan Raya 1960. -Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.