17 Mac 2011

[Bergambar] Ribut Landa Ibukota, Lebih 20 Kenderaan Dihempap Pokok

SShah Alam: Lebih 20 kenderaan rosak, enam daripadanya rosak teruk apabila dihempap pokok dalam kejadian ribut lebih sejam di Seksyen 31, Kota Kemuning, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

ANTARA kenderaan dihempap pokok dalam kejadian ribut di Seksyen 13, Shah Alam petang semalam.

Kejadian itu juga mengakibatkan lebih 100 pokok yang ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bahu jalan beberapa kawasan taman perumahan dan zon industri, turut tumbang.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, bergegas ke tempat kejadian bagi membantu memotong dan membersihkan beberapa batang pokok yang tumbang di beberapa jalan yang turut mengakibatkan kesesakan.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata petugas Bilik Gerakan Bencana MBSA turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu penduduk yang terbabit sebaik menerima maklumat.

Seorang pemilik kereta yang rosak dihempap pokok, Farish Effendy, berkata sebelum kejadian, beliau meletakkan kenderaannya di depan sebuah restoran di Jalan Anggerik Mokara di sini, untuk bertemu seorang rakannya.

Katanya, kejadian itu berlaku sekelip mata dan beliau terkejut apabila sebatang pokok di depan restoran berkenaan tumbang dan menghempap kenderaannya.

Penduduk, Mohd Salleh Rosman, pula berkata kejadian bermula dengan hujan air batu kira-kira jam 5.30 petang, selama kira-kira 10 minit, diikuti hujan lebat dan angin kencang.

"Selain kenderaan, khemah surau dan pasar malam turut diterbangkan angin kencang," katanya.

Seorang lagi mangsa, Manaf Ismail, 47, pula kerugian apabila van yang diletakkan bersebelahan kenderaan Farish turut dihempap pokok berkenaan.

Beberapa kenderaan turut menjadi mangsa ribut tidak jauh dari Pondok Polis Kota Kemuning dan di depan pangsapuri berdekatan.

Pemilik restoran, Zaidi Abas, 48, berkata beberapa pelanggannya kelam-kabut menyelamatkan kenderaan sebaik ribut berlaku.

"Syukur semua pelanggan saya berjaya menyelamatkan kenderaan mereka walaupun beberapa kenderaan lain yang ditinggalkan pemilik berdekatan restoran menjadi mangsa pokok tumbang," katanya. -BH










1 ulasan:

  1. Salam semua,

    Kalau parkir kat kotak parkir yang digezedkan majlis, rasanya boleh tuntut ganti rugi pada pihak Majlis Perbandaran. Cuba la...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.