12 Feb 2011

Buang Bayi: Pasangan Ditahan

Manjung: Seorang wanita dan pasangannya yang bersekedudukan hingga melahirkan bayi tanpa pengetahuan keluarga mereka di sebuah hotel kira-kira 18 hari lalu, ditahan selepas wanita itu meninggalkan bayi itu di belakang rumah keluarga kekasihnya di Taman Fasa Dua, Seri Manjung, dekat sini, semalam. Gambar fail.

Bayi perempuan itu ditemui keluarga berkenaan selepas terdengar tangisannya di luar rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis pada kira-kira jam 5.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata bayi itu ditinggalkan bersama sebuah beg kecil di luar rumah berkenaan dan siasatan menemui satu resit penginapan hotel yang menjadi petunjuk sehingga polis berjaya menahan ibu bayi itu yang berusia 29 tahun.

“Wanita yang berasal dari sebuah negeri di utara Semenanjung itu mengaku bayi berkenaan adalah anak luar nikah hasil hubungan dengan kekasihnya yang berusia 24 tahun.

“Suspek juga mengaku dia meletakkan bayi di belakang rumah terbabit kerana pasangannya enggan bertanggungjawab menyebabkan dirinya hilang punca kerana tidak mampu untuk menjaga bayi itu bersendirian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Shaharudin berkata, hasil maklumat itu, polis menahan kekasih wanita terbabit yang juga pekerja sebuah restoran makanan segera di sini.

Katanya, siasatan mendapati bayi mereka dilahirkan pada 25 Januari lalu dan dilahirkan sendiri suspek wanita di sebuah bilik hotel berkenaan.

“Kita percaya tindakan ini untuk mengelak kelahiran bayi mereka diketahui keluarga mereka dan tidak mahu menanggung malu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.-BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.