23 Feb 2011

[Bergambar] Lebih 60 Terbunuh Akibat Gempa Di NZ

Christchurch (New Zealand): Satu gempa bumi yang kuat telah melanda salah sebuah bandar terbesar New Zealand di tengah-tengah kesibukan waktu bekerja, meranapkan bangunan-bangunan tinggi dan gereja, memusnahkan beberapa bas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang.

Ia merupakan kali kedua bandar dengan 350,000 penduduk itu dilanda gempa, namun kejadian terbaru itu yang berukuran 6.3 di skala Richter mengakibatkan lebih banyak kerosakan berbanding gempa berukuran 7.0 September tahun lalu.

Lebih daripada 100 orang, termasuk lebih 10 pelajar Jepun yang melawat negara itu, mungkin masih terperangkap dalam runtuhan batu sedang malam menjelang dan hujan renyai-renyai mula turun.

'Ia betul-betul satu kemusnahan,' kata Perdana Menteri, Encik John Key, yang berkejar ke bandar itu beberapa jam selepas berlaku gempa.

Menurut beliau, sejauh ini 65 orang maut dan angka ini mungkin meningkat.

'Kita mungkin menyaksikan hari paling gelap New Zealand,' tambahnya.

Puncak menara sebuah gereja besar jatuh di dataran utama bandar itu, sedang bangunan-bangunan tinggi turut menyembah bumi dan jalan-jalan raya bersepah dengan batu-bata dan serpihan konkrit.

Kaki-kaki lima dan jalan-jalan raya retak atau terbelah.

Ribuan orang yang kebingungan pula terjerit-jerit ketakutan di tengah-tengah bunyi semboyan kenderaan penyelamat dan hon kereta.

Bandar itu kehabisan ambulans hinggakan ada orang yang menggunakan kereta mereka membawa mereka yang cedera ke hospital.

Datuk Bandar Christchurch, Encik Bob Parker, mengisytiharkan keadaan darurat dan memerintahkan orang ramai supaya meninggalkan kawasan tengah bandar.

Beliau berkata angka mangsa yang terperangkap sukar diberikan tetapi dianggarkan melebihi 100 orang.

Tentera dikerah membantu orang ramai keluar daripada kawasan itu dan mengepungnya. Penduduk di bandar itu diseru supaya duduk di rumah sendiri atau di rumah jiran dan mereka diminta berjimat air dan makanan.

Lapangan terbang turut ditutup dan Hospital Christchurch dikosongkan sementara sebelum dibuka semula.

Bekalan elektrik dan talian telefon turut terjejas. Paip-paip air pula pecah hingga jalan-jalan dibanjiri air.

Menurut polis, mereka yang terbunuh termasuk penumpang dua bas yang musnah kerana ditimpa bangunan runtuh.

Orang ramai bertungkus lumus menggali serpihan-serpihan batu dengan tangan mereka bagi membantu orang yang terperangkap.

Sebuah kren mengangkat sekumpulan penyelamat di atas sebuah platform untuk membantu beberapa orang yang tersadai dalam sebuah bangunan tinggi.

Kepulan-kepulan asap kelihatan di beberapa bahagian bandar itu.

Encik Parker berkata pasukan penyelamat itu termasuk beberapa anjing penghidu.

Beberapa sekolah dan dewan masyarakat telah dijadikan tempat perlindungan, yang turut menyediakan makanan dan selimut yang didermakan kepada ribuan orang.

Di sekurang-kurangnya satu taman di bandar itu, orang ramai, kebanyakan pelancong yang terpaksa meninggalkan hotel mereka, telah mendirikan khemah-khemah sementara. Pasukan Palang Merah juga bekerja keras menyediakan tempat tinggal bagi mereka.

Antara mangsa gempa itu ialah beberapa pelajar pelawat dari Jepun yang dapat menelefon ibu bapa mereka di tanah air dan mengatakan mereka sedang terperangkap di dalam sebuah bangunan yang runtuh, kata seorang pegawai Jepun.

Dua pelajar dari Maktab Bahasa Asing Toyama masih terperangkap, dan 11 lagi pelajar belum diketahui nasib mereka dan mungkin msih berada di dalam bangunan itu, kata pegawai itu yang enggan dinamakan.

Sebelum itu, katanya, lapan pelajar dan dua guru telah dapat diselamatkan.

Ada mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan menggunakan telefon bimbit bagi menghubungi keluarga, pegawai dan media.

Sebuah Bangunan Pyne Gould Guinness Building, yang menempatkan lebih 200 pekerja, runtuh dan sejumlah orang yang tidak diketahui bilangannya masih terperangkap.

Satu badan kaji bumi, The U.S. Geological Survey (USGS), berkata bahawa gempa bumi itu berpusat lima kilometer dari tengah bandar dan terjadi hanya empat kilometer di bawah paras bumi.

USGS berkata gempa terbaru ini melanda di kawasan yang 'lebih dekat dengan pusat penduduk utama di Christchurch' berbanding dengan gempa pada September lalu, yang terjadi 40 kilometer ke barat bandar itu. -- AP.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.