16 Jan 2011

Wartawan Buat Liputan Lawatan Najib Ditimpa Kemalangan

Bintulu -- Tiga wartawan akhbar tempatan cedera setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan untuk membuat liputan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke projek hidroelektrik Bakun, kira-kira 233 kilometer dari sini Sabtu.

Gambar: Sebuah helikopter yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dapat membuat pendaratan kerana kabus tebal akibat cuaca buruk di ruang udara sekitar Empangan Hidro ElektriK Bakun di sini, hari ini. Rombongan beliau terpaksa membatalkan pogram lawatan ke empangan tersebut. - Foto BERNAMA

Wartawan Patrick Joseph dan jurufoto Ramidi Subari, kedua-duanya dari akhbar New Sarawak Tribune dan Ambrose Rirang dari Utusan Sarawak masih dirawat di Hospital Bintulu selepas kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi di Jalan Bintulu-Bakun.

Ketua Editor Kumpulan New Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak, William Chan semasa dihubungi Bernama berkata keadaan ketiga-tiga petugas akhbar itu stabil dan kecederaan mereka tidak serius.

Patrick memberitahu Bernama ketiga-tiga mereka menggunakan sebuah kereta pelbagai guna untuk memulakan perjalanan dari sini ke Bakun kira-kira pukul 6 pagi.

Ketika mendekati persimpangan ke Skim Penempatan Semula Sungai Asap, kira-kira 50 kilometer dari tapak projek empangan Bakun, sebuah kenderaan pacuan empat roda dikatakan tiba-tiba muncul dari arah yang berlawanan dan bertembung dengan kenderaan mereka, katanya.

Sehingga kini, belum ada maklumat lanjut mengenai keadaan pemandu dan jumlah penumpang dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

Sementara itu, Najib yang dijadualkan tiba ke tapak projek hidroelektrik Bakun menggunakan helikopter terpaksa membatalkan hasrat beliau berikutan keadaan cuaca buruk.

Bagaimanapun, beliau meneruskan program lawatan ke Pekan Belaga untuk meninjau projek Klinik 1Malaysia dan menghadiri taklimat pembangunan infrastruktur di bawah program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan di sana.

Pada sebelah petang, Najib yang diiringi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan beberapa anggota kabinet Persekutuan dan negeri menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang Uma Belor di Sungai Asap. -- BERNAMA

1 ulasan:

  1. tau lah pulak naik helikopter yg elok sikit... pasal tak naik NURI....wakkakaka...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.