4 Jan 2011

[Bergambar] Pemuda PR S'ngor Serah Memo Bantahan Lantik Khusrin - updated

Pemuda Pakatan Selangor serah KSN memo bantah lantik Khusrin

Gambar: PEMUDA Pakatan Rakyat Selangor menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi membantah pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru di Putrajaya, hari ini. -BH

PUTRAJAYA, 4 Jan — Pemuda Pakatan Rakyat Selangor hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri — didakwa membelakangi peranan Menteri Besar.

Kira-kira 60 orang terdiri daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda DAP (DAPSY) dan Pemuda PAS hadir menyerahkan memorandum kepada KSN.

Mereka terlebih dahulu berkumpul di hadapan Masjid Putra sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri sambil melaungkan “Tolak-tolak, tolak Khusrin”, “Hormat-hormat, hormat rakyat” dan “Hormat-hormat, hormat di negeri”.

Kumpulan itu diketua tiga ketua sayap pemuda iaitu Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, Ketua DAPSY Selangor Janice Lee dan Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridwan.

Hanya ketua sayap Pemuda dibenarkan masuk ke pejabat KSN untuk menyerahkan memorandum tersebut, yang diterima wakil kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN, Rosli Laji.

Selain menyerahkan memorandum kepada KSN, sayap Pemuda Pakatan Rakyat itu turut menyerahkan “hadiah” berupa senaskhah buku Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

“Kami Pemuda Pakatan Rakyat Selangor dengan ini membantah sekeras-kerasnya pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru seperti yang diumumkan KSN minggu lalu.

“Bantahan ini bukan sahaja merujuk kepada proses pelantikan yang telah dijalankan malahan juga kelayakan calon yang telah dipilih.

“Kami ingin tegaskan bahawa tindakan KSN yang membelakangi kerajaan negeri dalam proses pelantikan SUK ini jelas mencabuli semangat federalisme yang merupakan teras pembentukan negara kita,” kata Khairul Anuar pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada KSN.

Beliau berkata tindakan KSN membelakangkan kerajaan negeri seolah-olah menafikan hak rakyat dan bertentangan dengan amalan demokrasi.

“Kami ingin tegaskan bahawa proses pelantikan yang dijalankan KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam seperti yang dijelaskan Menteri Besar.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa pemilihan calon SUK berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman adalah sangat penting bagi mempertingkatkan pentadbiran kerajaan,” kata Khairul Anuar sambil berkata ada ramai calon lain yang berkelayakan untuk memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Justeru, Khairul Anuar berharap supaya KSN akan mengambil kira pandangan pemuda Pakatan Rakyat berhubung pelantikan Khusrin dan meminta supaya KSN mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita sudah serahkan memorandum dan kita harap pihak KSN segera menyelesaikan isu pelantikan ini dengan tidak menggadaikan prinsip-prinsip profesionalisma sebagai ketua penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai berkata tindakan KSN melantik Khusrin adalah satu usaha Barisan Nasional (BN) untuk mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Ini satu lagi projek sabotaj BN terhadap kerajaan negeri (Selangor), niat untuk sabotaj sistem pentadbiran kerajaan negeri.

“Kalau nak lawan, lawanlah dalam pilihan raya bukan dengan sabotaj pentadbiran kita. Apa-apa pun kita akan tetap mempertahankan usaha yang kita lakukan selama ini,” katanya. -TMI


Pemuda Pakatan Rakyat Selangor serah memorandum bantahan kepada KSN

PUTRAJAYA: Pemuda Pakatan Rakyat Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi membantah pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi, sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Khairul Anuar Ahmad Zainudin, berkata, Pemuda pakatan membantah keras tindakan KSN melantik Mohd Khusrin yang didakwa bukan saja membelakangi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

Beliau berkata, pelantikan Mohd Khusrin juga melanggar prinsip demokrasi kerana kerajaan negeri sekarang adalah kerajaan bermandat yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya.

"Kita kecewa dengan KSN yang mendakwa kerajaan negeri tidak mempunyai hak dalam isu perlantikan ini. Membelakangi hak kerajaan negeri samalah dengan mengabaikan hak rakyat Selangor.

"Proses pelantikan SUK Selangor oleh KSN mengabaikan dan bercanggah dengan prinsip amalah pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhirmatan Awam seperti dijelaskan oleh Menteri Besar Selangor, beberapa hari lalu," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada pejabat KSN bersama kira-kira 60 wakil parti pembangkang di sini. -BH







Gambar ehsan malaysiakini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.