23 Jan 2011

Ibu Mahu Pembunuh Nor Dania Qistina Dikenakan Hukuman Setimpal

Johor Bahru - "Selagi tidak dijatuhkan hukuman setimpal selagi itu saya tidak puas hati."

Demikian luahan Nur Aquilla Razali, 27, ibu kepada kanak-kanak, Nor Dania Qistina Norafizan, 3, yang maut akibat didera pada 9 Januari lalu.

Katanya, dia percaya pihak berkuasa dapat melaksanakan hukuman yang sewajarnya terhadap mereka yang menyebabkan kematian anak perempuannya itu.

"Saya yakin undang-undang akan menghukum mereka yang bersalah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan suami wanita itu, Norafizan Ludin, 30, dan isteri mudanya, Dewi Nadia Alias, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan membunuh dan mendera Nor Dania Qistina.

Kedua-duanya turut dituduh mendera kakak dan adik mangsa, iaitu Nor Dania Batrisha, 5, dan Danish Irsyad, 1.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Nur Dania Qistina disahkan mati akibat didera pada 9 Januari lalu dengan 73 kesan lebam di tubuhnya serta berapa organ dalaman rosak teruk dipercayai dipukul dengan objek keras. -kosmo

Berita sebelum ini


Ibu tiri dusta

JOHOR BAHRU: Tujuh puluh tiga kesan cedera pada seluruh tubuh menjadi petunjuk punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun akibat didera dan bukan disebabkan lemas seperti didakwa ibu tirinya.

Nur Dania Qistina Nurafizan yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya yang berusia 25 tahun di Kampung Sungai Tiram di sini, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pagi kelmarin, selepas dibawa ke hospital oleh bapanya yang memberitahu dia lemas dalam baldi.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat dilakukan, pihak hospital mengesyaki punca kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan kejam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima polis, tengah hari semalam.

Menurutnya, laporan menunjukkan mangsa mempunyai 73 kesan penderaan fizikal selain lebam di dada.

“Doktor juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan menolak dakwaan ibu tiri mangsa yang menyatakan kanak-kanak itu lemas.

“Dalam laporan, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan daripada isterinya pada jam 8.30 pagi ketika berada di tempat kerja dan wanita itu menyatakan anak kedua suaminya hasil perkahwinan pertama lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dan lemas di dalam baldi.

“Lelaki terbabit membawa mangsa dari rumah mereka di Kampung Sungai Tiram di sini ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, lelaki itu menyatakan anaknya tidak dapat diselamatkan dan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Roslan berkata, mengikut laporan bedah siasat, dakwaan ibu tiri mangsa bahawa mangsa lemas tidak benar kerana tiada tanda lemas dikenal pasti sebaliknya ada 73 kesan penderaan dan pendarahan dalaman di paru-paru.

Menurutnya, polis sudah menahan ibu tiri terbabit bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.