21 Jan 2011

Guru Yoga Didakwa Rogol Pelajar 15 tahun

Shah Alam, 21 Jan – Seorang guru yoga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun pada Februari dan November tahun lepas.

Gambar: GURU Yoga, Abdul Malik Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 5 Shah Alam atas dua tuduhan merogol pelajarnya berusia 15 tahun, di lokasi berasingan di Hulu Selangor tahun lalu. - Foto Roslin Mat Tahir

Abdul Malik Abdullah, 55, dari Batu Caves dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira 8 malam pada Februari tahun lepas.

Abdul Malik yang ditahan pada 2 Jan lepas, juga didakwa merogol mangsa yang sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara 5 petang dan 6 petang pada November tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukannya serius kerana membabitkan mangsa di bawah umur.

Beliau berkata hubungan antara tertuduh yang merupakan guru yoga kepada mangsa juga memungkinkan tertuduh menganggu mangsa, lebih-lebih lagi mereka tinggal berdekatan.

Abdul Malik yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan kesihatannya tidak berapa baik dan perlu menanggung enam anak angkat.

Latifah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Feb depan untuk sebutan melantik peguam.

Terdahulu, Abdul Malik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 2.70 gram.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Berita berkaitan


Sebulan jadi hamba seks

HULU SELANGOR: Tiga remaja perempuan dikurung dan dijadikan hamba seks selama sebulan oleh seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru, di sini, sebelum diselamatkan polis, Rabu lalu.

Ketika serbuan di rumah guru yoga berusia 54 tahun terbabit, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan oleh keluarga mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru terbabit pada hujung November lalu. “Seorang daripada ibu mangsa membuat laporan anaknya yang berusia 16 tahun keluar bersama suspek dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Ibu mangsa memberitahu dia menghubungi suspek, tetapi suspek enggan memberitahu di mana anaknya berada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Norel Azmi berkata, selepas menerima laporan ibu mangsa yang juga seorang penoreh getah berusia 38 tahun pada 30 November lalu, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dia kini direman empat hari sehingga 3 Januari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan mendakwa dirogol rakan teman lelakinya di Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, di sini, pada 22 hingga 27 Disember lalu.

Sumber polis berkata, sepasukan anggota forensik pergi ke lokasi kejadian semalam bagi mencari bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol. “Namun, polis menyiasat kemungkinan kejadian berlaku kerelaan wanita itu,” katanya. -hm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.