29 Jan 2011

5 Nelayan Bertarung Nyawa Dalam Insiden Bot Terbalik Di Tok Bali

Insiden Bot Terbalik Di Muara Tok Bali: Lima Nelayan Selamat

PASIR PUTEH: Berpantang maut sebelum ajal, lima nelayan terpaksa berhempas pulas untuk menyelamatkan diri apabila bot laut dalam mereka terbalik dipukul ombak besar ketika cuba memasuki muka muara Kuala Tok Bali di sini, pagi kelmarin.

Kelima-lima mereka terpaksa berpaut pada perut bot yang beberapa kali terbalik dipukul ombak setinggi lima meter ketika botnya cuba memasuki kuala muara terusan Semerak itu pukul 8.30 pagi.

"Ketika bot hanyut dibawa ombak menghampiri pantai saya memberanikan diri terjun berenang ke pantai," kata salah seorang nelayan So Hon Yu, 51, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, kelmarin.

Kesemua mereka yang terdiri daripada warga Thailand yang bekerja dengan pengusaha bot laut dalam tempatan terselamat dan dikejar ke hospital berkenaan untuk mendapat rawatan luar dan dibenar keluar pagi ini.

Empat lagi rakan mereka yang berasal dari wilayah Songkla, Selatan Thailand itu ialah Wee Chiau Co Eyat, 53, Pee Chai Yau Hong, 32, Man Chai, 33, dan Naita Kou Ching Thang, 17.

Seorang lagi rakannya Man Chai pula berkata bot mereka tidak dapat dikawal sebaik sahaja dipukul ombak besar beberapa kali sebelum terbalik dan ini merupakan kali pertama kejadian itu berlaku sepanjang lima tahun beliau bekerja sebagai nelayan asing di Tok Bali.

Sementara itu, Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia D10 Tok Bali, Left. Komander Romli Mustafa berkata kejadian itu disedari pihaknya yang secara kebetulan berada kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Katanya sebaik sahaja melihat bot berkenaan terumbang ambing dan terus terbalik pihaknya pantas mengarahkan anggotanya melancarkan gerakan menyelamat beserta dengan sebuah kapal dan dua buah bot kilat.

Bagaimanapun pihaknya tidak dapat menghampiri bot berkenaan kerana keadaan laut bergelora selain ombak besar dan keadaan angin yang bertiup kencang sehingga melebihi kelajuan 30 knot sejam iaitu merbahaya kepada semua kapal dan bot.

Beliau berkata pihaknya hanya dapat memantau berpuluh-puluh meter dari tempat kejadian sehingga pukul 9 pagi apabila mereka berjaya menyelamatkan diri selepas bot itu menghampiri pantai.

Romli menasihatkan nelayan tidak turun ke laut pada masa ini kerana keadaannya amat merbahaya kepada kesemua aktiviti perkapalan kerana beliau mendapati masih ada nelayan yang tidak menghiraukan ancaman itu.

Katanya di samping itu masih terdapat nelayan yang tidak memakai pakaian jaket keselamatan seperti nelayan terbabit. - BERNAMA


Setengah jam bertarung nyawa


PASIR PUTEH - Lima nelayan terpaksa berhempas pulas selama setengah jam bagi menyelamatkan diri selepas bot laut dalam yang mereka naiki terbalik dipukul ombak besar ketika cuba memasuki muka muara Kuala Tok Bali di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 pagi, kelima-lima mangsa terpaksa berpaut pada perut bot yang beberapa kali terbalik dipukul ombak setinggi lima meter ketika bot itu cuba memasuki kuala muara terusan Semerak.

"Ketika bot hanyut dibawa ombak menghampiri pantai, saya memberanikan diri terjun berenang ke pantai," kata salah seorang nelayan So Hon Yu, 51, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis (HTA) di sini semalam.- kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.