15 Dis 2010

MB Kedah Sampaikan Anugerah Gelaran Penaung LIFE Dan First Insaniah-IRTI 2010 Kepada Mahathir

Kewangan Islam peluang bagi negara Islam untuk berkembang, kata Mahathir

Gambar: Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dianugerahkan gelaran Permanent LIFE Patron dan First Insaniah-IRTI 2010, yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak di Langkawi hari ini. – Bernama

LANGKAWI, (Bernama) - Pelaksanaan kewangan dan perbankan Islam perlu dilihat oleh negara-negara Islam sebagai peluang bagi mereka untuk membangunkan negara mereka masing-masing, kata mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata negara-negara Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berkembang kerana mereka boleh meminjam daripada bank Islam untuk membangunkan negara mereka dan menjadi makmur.

"Kita sekarang mempunyai produk yang dihasilkan oleh sistem perbankan Islam. Sebelum ini mereka tidak mahu meminjam daripada bank konvensional. Ini adalah produk yang berlandaskan Syariah," kata beliau dalam ucap tamanya di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi Kedua (2LIFE) yang berakhir di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata dana-dana ada tersedia dan dengan akses, perniagaan di negara-negara Islam dan di kalangan orang Islam sepatutnya berterusan.

"Kita boleh mempunyai syarikat-syarikat konglomerat yang hebat."

Lebih besar syarikat, lebih banyak cukai boleh dibayar kepada kerajaan dan kerajaan akan menghulur balik kepada rakyat, kata beliau.

"Apabila kerajaan membangunkan negara seperti menerusi prasarana, wang sebahagian besarnya balik semula kepada kerajaan. Menerusi prasarana, kita boleh mendapat lebih banyak aktiviti pembangunan dan rakyat akan mempunyai pendapatan lebih baik dan syarikat akan bertambah baik. Langkah kerajaan membelanjakan wang akan memberi faedah kepada kerajaan juga," kata beliau.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata orang Islam perlu juga memahami perbankan Islam dan mengetahui bagaimana untuk menguruskan dana, agar mereka boleh mendapat keuntungan dan dana-dana ini sentiasa ada bagi pinjaman.

Mantan perdana menteri itu juga menasihatkan agar tidak cenderung kepada pelaburan dalam dana lindung nilai.

"Jangan berurusan dalam kekayaan khayalan," kata beliau. Beliau berkata sekiranya perbankan dan kewangan Islam digunakan sepenuhnya, negara-negara Islam juga boleh satu hari nanti menjadi sebuah negara maju.

Dr Mahathir berkata negara-negara Eropah menjadi maju apabila mereka beralih daripada menjadi pemberi pinjaman wang kepada membangunkan sistem perbankan sebagai cara untuk mencipta kekayaan.

"Sekarang anda ada bank-bank (Islam) yang boleh digunakan sebagai sumber dana. Kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakan dana untuk memberi faedah kepada orang Islam," Beliau berkata pakar-pakar dalam sistem perbankan Islam telah menghasilkan banyak produk untuk bersaing dengan produk konvensional dan ia juga menjadi popular di kalangan bukan Islam.

Dr Mahathir juga hari ini dianugerahkan Penaung Tetap LIFE dan menerima Anugerah Insaniah-IRTI (Institut Latihan dan Penyelidikan Islam) LIFE 2010 pertama.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Persidangan tiga hari itu dihadiri lebih 200 ilmuan dan profesional Islam dalam kewangan dan ekonomi.

Ia dianjurkan oleh Insaniah University College, Kerajaan Negeri Kedah dan IRTI, yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Ulasan GB

Fatonah (bijaksana) - salah satu dari empat sifat Rasul yang terjelma dari diri MB Kedah.

Speaker Senget, Ahli Parlimen PR Pula Fokus Hal Wikileaks

Speaker gagal kawal perjalanan sidang Dewan Rakyat

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Para pemimpin utama Pakatan Rakyat kesal dan kecewa dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang didakwa gagal mengawal perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mereka juga mendakwa Pandikar kerap membuat keputusan yang tidak konsisten termasuk menerima usul yang dibuat menteri sesuka hati atas alasan menggunakan kuasa Speaker.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.

"Prosedur parlimen dipermainkan oleh kuasa majoriti," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Ketua Umum PKR itu berkata, beliau tidak diberi peluang menjawab terhadap usul menggantung beliau selama enam bulan kerana membangkitkan isu Apco dan Umno.

Dinafi hak pertahan diri

"Saya tidak diberi hak untuk mempertahankan diri sedangkan saya telah siap dengan hujah-hujah," katanya.

Ketua Pembangkang parlimen juga mendakwa keputusan yang dibuat oleh Speaker sentiasa berubah.

"Hari ini beliau menerima usul untuk mengantung tiga ahli Parlimen iaitu R Sivarasa (PKR – Subang); Karpal Singh (DAP – Bukit Gelugor) dan Azmin Ali (PKR – Gombak) dengan hujah-hujah yang tidak munasabah.

"Kalau tindakan di ambil ke atas mereka kerana bercakap dengan blogger dan media, apa salahnya panggil mereka untuk memberi keterangan. Panggil mereka, ambil keterangan dua jam," katanya.

Kuasa majoriti

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, jika Speaker menggantung empat ahli Parlimen selama enam bulan bermakna Barisan Nasional (BN) seolah-olah mendapat semula kuasa majoriti dalam dewan. Katanya, secara otomatik empat ahli parlimen berkenaan terlepas peluang untuk menghadiri sidang parlimen selama dua penggal.

"Peluang ini boleh digunakan oleh BN untuk membuat apa-apa pindaan termasuk persempadanan semula kawasan pilihanraya," katanya.

Isu yang serius

Sementara itu Naib Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, isu menggantung ahli Parlimen selama enam bulan merupakan satu isu yang serius.

Katanya, semasa beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 1990, apabila keadaan menjadi tegang Speaker akan menghentikan sidang sementara. Tetapi hari ini Speaker meneruskannya walaupun keadaan menjadi tidak terkawal," katanya.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, wakil rakyat pembangkang dalam perbahasan tidak menyentuh isu mengenai Raja-raja Melayu, rahsia dan kes mahkamah.

"Pakatan Rakyat berjanji jika kita berkuasa, kita akan membuat perubahan terhadap sistem parlimen negara," katanya.

Dalam perbahasan sebelah pagi, Speaker mengarahkan Sivarasa dan Azmin keluar Dewan Rakyat sehingga jam 2.30 petang kerana didakwa enggan mematuhi arahannya.

Usul gantung 3 MP PR

Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membawa usul menggantung ketiga-tiga ahli parlimen terbabit kerana beberapa kesalahan.

Karpal Singh dan Sivarasa, merupakan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, didakwa menghina dewan selepas membuat kenyataan di luar Parlimen berhubung prosiding Jawatankuasa itu pada 3 Disember lepas.

Mereka dikatakan telah mendedahkan keterangan dan surat Apco semasa berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa.

Tindakan itu dikatakan menyalahi Peraturan Mesyuarat 85, apabila menyatakan bahawa kenyataan dan surat yang diberikan kepada ahli jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sehingga notis itu dibentangkan di Dewan Rakyat. -FMT

Ulasan GB

GB telah berkali-kali menggesa agar ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat supaya bersatu untuk mengusul undi tidak percaya kepada speaker.

Tetapi sehingga kini ia tidak dilakukan.

Sekarang rasakanlah sendiri dipermain-mainkan oleh Speaker yang senget itu. Bila dah nak kena gantung, baru masing-masing terhegeh-hegeh keluarkan kenyataan begitu begini. Sebelum ini, ahli-ahli parlimen PR tidur, ada yang tidak hadir semasa undi belah bahagi, melancong ke Indonesia tatkala Parlimen sedang bersidang. Lansung tidak ada disiplin dan tanggungjawab serta tidak menghormati amanah rakyat. Serupa sahaja perangainya dengan UMNO BN, walaupun lebih baik sedikit daripada mereka.

Semua YB-YB kita sudah berlagak bijak dan berlagak pandai sehingga tidak mahu menerima pandangan rakyat. Wikileaks yang diperdebatkan, isu yang rendah revelansinya kepada rakyat. Hal-hal seperti kenaikan harga barang dan seumpamanya yang penting kepada rakyat tidak diberikan keutamaan.

Sekarang UMNO BN sudah boleh mendapat majoriti dua pertiganya semula apabila nanti ahli-ahli parlimen PR digantung. UMNO BN telah bertindak lebih cepat dari wakil-wakil rakyat PR apabila mereka berjaya menggunakan senjata "kuasa speaker".

Jika peranan sebagai pembangkang pun sudah gagal di tangan BN, bagaimana PR mahu memerintah?

Berita berkait

Dewan Rakyat Bakal Tumbang Apabila Speaker Semakin Senget.


Tiada Kes Untuk Babitkan TGNA & Ariffahmi - SPRM

SPRM tutup kes terhadap Nik Aziz, menantu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail tiga kes membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman serta seorang timbalan menteri.

Timbalan Menteri terbabit ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong berhubung kedudukannya dalam sebuah syarikat.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata, Pejabat Peguam Negara mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Aziz dan menantunya itu.

Nik Aziz sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu, manakala Abdul Ariffahmi pula berhubung pelantikannya sebagai CEO PMBK.

“Peguam Negara mendapati tiada kes untuk disabitkan tuduhan terhadap Nik Aziz kerana beliau tidak pernah meminta untuk ditaja menunakan haji dan perjalanan menunaikan haji ke Makkah juga tidak dibuat.

“Peguam Negara juga mendapati pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO lebih bersifat penukaran nama jawatan dan Menteri Besar mempunyai kuasa penuh untuk melantik mana-mana pegawai," katanya.

Beliau juga berkata, SPRM juga mendapati tiada kes membabitkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong daripada tuduhan berlaku percanggahan kepentingan dengan memegang jawatan dalam sebuah firma arkitek berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Selepas Anwar, Karpal, Sivarasa & Azmin Turut Bakal Digantung

Parlimen: Usul Gantung Tiga Wakil Rakyat Pembangkang Kerana Hina Dewan

KUALA LUMPUR: Satu usul untuk menggantung tiga wakil rakyat pembangkang atas dakwaan menghina dewan tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Rabu.

Usul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri AbdulAziz itu mencadangkan supaya tiga anggota Parlimen itu iaitu Karpal Singh(DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak)digantung enam bulan daripada tugas atas beberapa kesalahan.

Menurut usul itu, Karpal dan Sivarasa yang merupakan anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen didapati menghina dewan kerana telah membuat kenyataan di luar Dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa mesyuarat pada 3 Disember 2010.

Karpal dan Sivarasa dikatakan telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).

Berdasarkan usul itu juga Azmin, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010.

Tindakan ketiga-tiga anggota Parlimen itu adalah satu perbuatan menghina dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai anggota Parlimen serta merupakan satupenghinaan kepada Dewan, demikian menurut usul berkenaan.

Usul yang dikemukakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan untuk merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kenyataannya untuk mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Jawatankuasa berkenaan semalam telah mengemukakan syor supaya Anwar digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana didapati membuat kenyataan tidak benar. - BERNAMA

PKR Perak Tetap Sokong Penuh Mustafa Kamil

Kami sokong Mustafa Kamil

IPOH – Sebanyak 17 Cabang PKR Perak menyokong penuh Mustafa Kamil Ayub kekal sebagai Pengerusi PKR di negeri ini.

Setiausaha PKR Perak, Anuar Zakaria berkata, satu memorandum sudah disampaikan supaya Mustafa menyambung jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Menurutnya, mereka menyokong Mustafa kerana rekod pencapaian yang ditunjukkan sepanjang menerajui Perak amat baik.

“Beliau (Mustafa) banyak membina keyakinan dan pemulihan imej dalam kalangan ahli sewaktu kejatuhan Pakatan Rakyat pada Februari tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Berhubung isu ketuanan Melayu, Anuar menegaskan hak keistimewaan Raja-Raja Melayu dan kepentingan orang-orang Melayu tetap terbela sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada hari ini, ketuanan Melayu itu hanya hidup sebagai satu slogan dan terbukti selepas 50 tahun UMNO sebagai sebuah parti asas pemerintah gagal untuk merealisasikan atau mengangkat martabat ketuanan Melayu itu sendiri.

“Malangnya, yang banyak dilahirkan adalah tuan-tuan Melayu yang hanya mewakili segelintir masyarakat, sedangkan masyarakat majoriti masih mengalami kesempitan hidup,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata PKR masih kuat dan bersatu meneruskan agenda perjuangan rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan seorang individu yang menyamar sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di salah sebuah daerah di negeri ini adalah tidak berasas.

“Sebagai Setiausaha, saya menekankan pihak PKR Pusat masih belum memutuskan sebarang keputusan untuk jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, apa yang dinyatakan individu terbabit hanya bertujuan untuk mencetuskan prasangka buruk terhadap parti ini, serta memecahbelahkan perhubungan baik antara kami,” katanya.:

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua AMK Kuala Kangsar, Adam Haris pada 5 Disember lalu yang mendedahkan bahawa ada orang kanan PKR akan meninggalkan parti itu. -SH

Remaja Lelaki Ajak Sepupu Bermain "Kahwin-kahwin" Sebelum Merogolnya

Taktik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Kampung Felda Mata Ayer, dekat sini, mengajak sepupu perempuannya yang berusia 11 tahun bermain 'kahwin-kahwin' terbongkar apabila dia didakwa atas kesalahan merogol kanak-kanak itu bulan lalu.

Remaja terbabit yang tidak bersekolah sejak dua tahun lalu mengaku bersalah setelah dihadapkan ke Mahkamah Juvana, semalam.

Berdasarkan keterangan kes, remaja terbabit didakwa merogol mangsa pada hari kejadian di rumah datuk kanak-kanak perempuan itu di Felda Mata Ayer kira-kira jam 4 petang pada 1 November lalu ketika mengajaknya bermain kahwin-kahwin.

Selepas selesai bermain masak-masak dengan rakannya, mangsa yang ketika itu sedang mengemas bilik di bahagian atas rumah diajak remaja terbabit bermain kahwin-kahwin ketika memasuki bilik berkenaan.

Remaja itu kemudian menyuruh mangsa membuka seluar dan berbaring di atas katil sebelum dia memasukkan kemaluannya ke dalam alat sulit mangsa.

Ketika kejadian, datuk mangsa yang turut tinggal bersamanya dikatakan sedang tidur diruang tamu rumah.

Menurut keterangan mangsa, selepas kejadian terbabit, remaja itu beberapa kali cuba mengajaknya bermain kahwin-kahwin seperti sebelum ini, namun ditolak mangsa.

Perbuatan terkutuk remaja itu terbongkar selepas ibu kanak-kanak perempuan itu mengesan seluar dalam anaknya mempunyai warna keputihan dipercayai air mani.

Dia kemudian membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan Klinik Kesihatan Kangar dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan sesuatu di dalam kemaluan anak perempuan itu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai di hadapan Hakim Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Kangar.

Tertuduh yang hadir bersama ahli keluarganya tidak diwakili peguam dan pihak pendakwa memohon remaja itu dikenakan wang jaminan RM5,000.

Bagaimanapun, Nik Mohd Fadli mengurangkan wang jaminan kepada RM3,000 dan menetapkan 2 Februari tahun depan bagi keputusan hukuman yang akan dibuat di Mahkamah Juvana. -SH

Penangan Wikileaks: Sivarasa & Azmin Diarah Keluar Dewan

Ahli parlimen Pakatan Rakyat R Sivarasa (PKR-Subang) diarahkan keluar Dewan Rakyat sehingga esok kerana didakwa mengengkari arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sivarasa, yang bangkit pada akhir sesi soalan mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul yang dikemukakannya semalam meminta perbahasan diadakan bagi membincangkan pendedahan oleh WikiLeaks berhubung dakwaan diplomat Singapura yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razah dengan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan juga memalit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 'perangkap seks'.

Menurut Pandikar, kebimbangan yang ditimbulkan oleh Sivarasa adalah tidak berasas dan mengarahkannya untuk duduk. Namun apabila ahli parlimen itu terus berhujah dan enggan duduk, Pandikar mengarahkan beliau digantung sehingga esok.

Anwar (PKR-Permatang Pauh), kemudian bangkit dan mempertahankan Sivarasa bersama Azmin Ali (PKR-Gombak). Ini menimbulkan pertikaman lidah yang hangat antara speaker dan juga ahli parlimen Pakatan Rakyat yang juga mula campur tangan.

Pandikar kemudian mengarahkan Azmin pula supaya keluar dewan sehingga jam 2.30 petang ini.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, kemudiannya, Anwar berkata keputusan menggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat tanpa notis melambangkan parlimen tidak menuruti sebarang peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat.

Justeru beliau menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.

"Saya lihat prosedur parlimen dipermainkan hanya semata-mata kerana kuasa majoriti. Kita berhujah panjang bagaimanpun, diketepikan begitu.

Keangkuhan Barisan Nasional

"Jadi sebab itu kita menyatakan kekesalan dan membantah keras persetujuan Speaker membenarkan hujah. Memang kita tahu keangkuhan Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka tetapi menggunakan saluran Speaker yang mempertahankan dengan peraturan padahal prinsip membela diri tidak berlaku," katanya.

Menurut Anwar, Pandikar tidak mampu mengawal dewan di kala berlakunya pertikaman lidah antara beliau dan pemimpin BN.

"Kalau Speaker tidak dapat mengawal, sepatutnya beliau berundur dan beri laluan kepada timbalan beliau," katanya.

Pada sidang media yang sama, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke mendakwa wujudnya pakatan di antara Speaker Dewan Rakyat dan pemimpin BN untuk mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat bagi memberi laluan mudah kerajaan untuk mengubal sebarang usul yang diperuntukkan dalam parlimen.

Loke berkata sekiranya parlimen meneruskan usaha menggantung lebih ramai ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat, maka persidangan parlimen akan datang akan memberi kuasa mutlak kepada mereka melakukan sebarang usul tanpa mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

"Seolah-olah ada agenda tersendiri kerana speaker membiarkan Barisan Nasional membuat keputusan ke atas ahli parlimen Pakatan Rakyat. Kedudukan Pakatan Rakyat akan kurang daripada dua pertiga kerana ramai ahli parlimen digantung. Peluang ini akan digunakan sepenuhnya oleh Umno-BN," kata Loke.

Taktik dapatkan majoriti 2/3

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga berkata kerajaan cuba mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen dengan menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Dengan menggantung empat MP Pakatan, BN akan mendapat sokongan daripada lima MP Bebas bagi mendapat majoriti dua pertiga, katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang.

Menurut Nizar, BN dijangka menggunakan jalan pintu belakang itu bagi meluluskan persempadan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan ia memihak kepada mereka.

"Mereka boleh buat persempadanan semula, (dan) tambah beberapa kerusi baru untuk Sabah dan Sarawak.” -mk

Tragedi Petronas Meletup: 6 Cedera Dibaham Bebola Api


MANGSA LETUPAN...(atas dari kiri) Mohd Hamzah, Alias, Mohd Fauzi dan Zamri manakala (bawah) Mohd Rishauddin dan Mohd Arif dirawat di HSNZ.


KUALA TERENGGANU: “Saya nampak satu bebola api menuju ke arah kami ketika saya dan rakan dalam proses menamatkan syif di pelantar minyak Bekok C.

“Saya dan lima rakan lain terkena bebola itu menyebabkan kami mengalami lecur di beberapa anggota badan termasuk di muka,” kata Alias Abdullah, 52, seorang daripada enam pekerja yang terbabit dalam kebakaran pelantar minyak milik Petronas, kira-kira 200 kilometer dari perairan Terengganu.

Dia yang mengalami lecur kecil di muka menceritakan kejadian itu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam kelmarin, seramai 108 pekerja berada di pelantar itu, tetapi hanya enam pekerja mengalami kecederaan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada paip gas yang bocor.

Menurut Alias, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia bersama rakan tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat bebola itu meluru laju ke arah mereka.

“Kami diberikan rawatan awal di pelantar minyak sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke hospital ini untuk rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami tidak begitu parah dan hanya mengalami lecur akibat disambar api pada muka,” katanya.

Selain Alias, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Rishauddin Ismail, 37, Mohd Hamzah Abdullah, 32, Mohd Fauzi Ibrahim, 37, Mohd Arif Farimi, 28, dan Zamri Wagiman, 32.

Mohd Hamzah ketika menceritakan kejadian itu kepada Ahmad Said pula berkata, api menyambar mereka pada hujung waktu bertugas di pelantar itu.

“Ketika itu kami sibuk menyiapkan tugasan dan saya tidak tahu bagaimana kebakaran itu boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Petronas Carigali Sdn Bhd dalam kenyataan akhbar berkata, kejadian berlaku di pelantar Bekok C yang berkedudukan 200 kilometer dari pantai Semenanjung Malaysia sejurus selepas tengah malam dan api berjaya dikawal pasukan tindakan kecemasan pelantar terbabit.

“Terdapat 108 pekerja di pelantar itu ketika kejadian dan enam daripadanya mengalami kecederaan dan dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan. Baki 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran,” katanya.

Menurut kenyataan itu, aktiviti di Bekok C dihentikan sementara dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ahmad Said yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau bersyukur kerana kemalangan itu tidak mengorbankan nyawa.

“Mujur pelantar tidak meletup akibat kejadian itu kerana bilangan pekerja ketika kejadian ramai,” katanya. -hm

Ulasan GB

GB sudah mengulas tragedi berkenaan di Tak Bayar Royalti: Pelantar Petronas Carigali Terengganu Terbakar, 6 Cedera

Pembebasan Pengasas Wikileaks Tertunda, Kini Kekal Di Penjara London

Pengasas WikiLeaks kekal di penjara London

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange terpaksa bermalam sehari lagi di penjara Britain meskipun memperoleh ikat jamin selepas pihak pendakwaan kes jenayah seksual terhadapnya memfailkan rayuan keputusan pembebasannya itu.

Assange, yang menafikan dakwaan terhadapnya di Sweden itu awalnya dibebaskan dengan ikat jamin selepas seminggu ditahan di London berikutan permohonan pihak berkuasa Sweden.

Namun beberapa jam kemudian, peguam dipanggil semula memasuki mahkamah untuk mendengar permohonan Gemma Lindfield, wakil pendakwa raya Sweden yang mahu merayu keputusan awal hakim itu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh baru pendengaran kes dalam tempoh 48 jam lagi dan ini bermakna warga Australia berusia 39 tahun itu terpaksa bermalam sehari lagi di Penjara Wandsworth di London.

“Kes ini sudah menjadi satu perbicaraan 'tayangan'," kata peguam Assange, Mark Stephens memberitahu pemberita selepas keputusan mahkamah berkenaan.

Hakim Daerah, Howard Riddle pada awalnya mengenakan ikat jamin 240,000 pound (AS$378,000) kepada Assange. - AFP


Banglo Seorang Datuk jadi Pusat Pengedaran Dadah

Banglo datuk pusat dadah

ROSLAN menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah mempunyai perniagaan chalet di Cherating, Pahang, ia tidak dapat menampung gaya hidup mewah seorang lelaki bergelar datuk dari Pahang berusia 46 tahun dan isterinya warga Britain di Taman Muhibah, Chukai, hingga menjadikan banglo mereka sebagai pusat pengedaran dadah di daerah Kemaman dan Cherating.

Bagaimanapun, kemewahan mereka tidak kekal lama apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 dan menyita harta bernilai RM246,000 merangkumi wang tunai, kereta Mercedes-Benz, Proton Gen2 dan Honda Civic serta barang kemas.

Dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, polis turut menahan wanita berusia 18 tahun yang juga anak angkat pasangan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan itu membolehkan polis merekodkan rampasan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun di kawasan Terengganu Selatan.

Katanya, ketika diserbu hanya isteri suspek berada di rumah bersama anak angkat mereka dan pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik, manakala lima batang pokok ganja ditanam dalam beg plastik hitam dan diletakkan di balkoni rumah itu.

Roslan berkata, tidak lama kemudian, lelaki itu pulang ke rumah dan pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah lagi dadah yang disimpan di dalam biliknya.
“Siasatan awal mendapati pasangan ini penagih tegar sejak 15 tahun lalu dan membelanjakan RM10,000 sebulan untuk membeli dadah.

“Polis percaya kos menagih mereka tidak dapat dipenuhi daripada hasil perniagaan chalet itu. Mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu di kawasan Kemaman dan Cherating, Pahang.

“Tiga suspek itu direman sehingga 19 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; 39 A(2) 12(2); 6, 6(b), 15(1)(a),” katanya.

Apabila RPK Dicaci-maki Oleh Pendewa Anwar

Raja Petra Serang PKR: Pembangkang Tak Layak Perintah Negara

PETALING JAYA: Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang tidak sebulu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus `menyerang' parti pembangkang itu dengan menyatakannya tidak layak memerintah negara ini.

Raja Petra berkata, ketika dia menegur parti itu mereka amat kecoh mendakwanya disogok oleh Umno atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sheesh, macam ini nak memerintah negarakah?," tulis Raja Petra dalam ruangannya, No Holds Barred, Isnin.

Para pemimpin PKR mengecam Raja Petra dengan hebat malah melabelkannya sebagai 'kuda Trojan' serta mendakwanya telah dibeli oleh sesetengah pihak.

Raja Petra menulis, dia dianggap sebagai musuh Pakatan Rakyat.

"Bagaimanapun, sekiranya saya bodek Pakatan Rakyat dan menghentam Barisan Nasional, saya akan menjadi anak sejati Malaysia, seorang patriot.

"Inilah cara minda pembangkang berfungsi dan kita ingin mereka memerintah negara ini,"
soalnya.

Dia menambah, apabila Malaysia Today membocorkan rahsia dan kertas-kertas sulit yang memudaratkan kerajaan, mereka tidak melatah.

"Apabila WikiLeaks membocorkan rahsia-rahsia negatif kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya, PKR bertepuk tangan, bersorak serta berkata, WikiLeaks ialah satu anugerah Tuhan.

"Sekarang bila keadaan sebaliknya berlaku, anda melatah dan mendakwa berlaku konspirasi dan sub judice. Berhenti menangis seperti bayi,"
ujar Raja Petra.

Katanya, ramai kecewa dengan laporan WikiLeaks mengenai pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka berasa ia adalah tidak adil dan beretika bagi WikiLeaks untuk menerbitkan satu laporan berhubung dengan isu tersebut ketika prosiding mahkamah masih berlangsung.

"Sudah pasti, saya bersetuju, perbicaraan itu sedang berlangsung. Jadi kita tidak sepatutnya memberikan komen tentang sesuatu perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Namun, sejak bila parti pembangkang menghormati peraturan ini?

"Semasa perbicaraan Liwat 1, kita mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) kaw kaw (secara hebat) dan berkata apa-apa sahaja mengenai isu tersebut bagaimana beliau mengenakan Anwar.

"Sekarang di perbicaraan Liwat 2, kita menghentam Najib dan mendakwa beliau turut mengenakan Anwar,"
tulisnya.

Raja Petra menambah, Malaysia Today bukan sahaja lantang bersuara dalam kes perbicaraan Anwar bahkan beberapa kes besar termasuk kepincangan kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semasa ia masih dibicarakan di mahkamah.

Dia memberitahu, mereka yang suka mencari pasal perlu bersedia untuk menerima kritikan. -mstar




Sekatan polis, namun ribuan dengar Anwar
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.

Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”

“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.

Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.

Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.

Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.

Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.

“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.

Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.

Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang. -harakahdaily


Ulasan GB

Begitulah keadaannya. GB juga dihentam habis-habisan oleh golongan pendewa-pendewa Anwar apabila GB mengkritik Anwar malah ada yang sampai ke tahap memaki hamun GB kononnya GB sudah mendapat upah dan bayaran dari UMNO. Dahulu semasa waktu pemilihan golongan yang menuduh GB mendapat bayaran dari Datuk Zaid Ibrahim.



Golongan inilah sebenarnya perosak kepada Pakatan Rakyat. Mereka suka menghentam orang lain tetapi mereka sendiri tidak boleh menerima kritikan.

Jika demikian keadaannya, memang Pakatan Rakyat akan musnah, bukan disebabkan RPK atau GB yang sering menyatakan kebenaran dan keadilan, tetapi oleh para pendokong dan penyokong totok yang berjuang dengan nafsu tetapi bukan dengan ilmu.

Malah ada yang ahli PAS juga yang entah dari mana tarbiah yang diperolehi siap menuliskan ayat Al-Quran untuk menguatkan hujjah

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]

Bukankah ayat di atas terang-terang menyatakan suruh periksa dengan teliti terhadap sesuatu berita yang datang dari orang fasik? Ayat itu tidak suruh menerima dan tidak suruh menafikan.

GB pun di dalam tulisan GB mengenai Wikileaks tidak menerima dan tidak menafikan, sekadar memaparkan berita berkenaan supaya kita sama-sama memeriksanya samada benar atau pun tidak.

Malah Anwar sendiri di dalam ceramahnya malam tadi tatkala mengulas isu Wikileaks itu tidak secara khusus dan tegas menafikan samada beliau meliwat atau pun tidak, tetapi sebaliknya menumpukan serangannya untuk mengaitkan Najib dengan Altantuya.

“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,”


Kan boleh diketawakan orang satu dunia... Wikileaks yang disuruhnya datang ke mahkamah bawa Lee Kuan Yew. Wikileaks bukan bernyawa macam manusia, ia hanya sebuah portal. Pengasasnya pula memang pun kini sudah tahan oleh Amerika dan konco-konconya.

Nampaknya fenomena Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi akan berulang di dalam pilihanraya akan datang. Bersorak-sorai semasa berceramah dan berkempen tetapi PR kecundang juga. Pun tak mahu ambil iktibar darinya.

GB setakat ini hanya mampu berkata: hasbiyallah
kerana GB yakin dan pasti, GB mendapat pahala percuma apabila orang mencaci-maki kita dan orang yang mencaci maki itu pula akan mendapat balasan yang sekeras-kerasnya dari Dia.

GB teramat ingin PR menang tetapi memerhatikan sikap pemimpinnya dan para penyokongnya, GB berkata, PR akan kalah di dalam PRU akan datang.

Juruterbang Maut Helikopter Terhempas Di Malim Nawar

Pegawai Polis Terbunuh Dalam Nahas Helikopter Di Malim Nawar

Gambar: Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof meninjau keadaan bangkai pesawat helikopter Robinson 44 empat tempat duduk yang terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di Kampar, Selasa. Juruterbang, Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, yang bertugas di bahagian latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang sedang menjalani latihan memandu solo terbunuh

KAMPAR: Seorang pegawai polis terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini, Selasa.

Kejadian berlaku pada pukul 3 petang tadi ketika mangsa Inspektor Mohd Shukri Othman, 31 yang bertugas di Bahagian Latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata Insp Mohd Shukri yang mengendalikan helikopter R-44, dengan empat tempat duduk itu, dipercayai hilang kawalan ketika berada di ruang udara lalu terhempas dan terbakar.

Mangsa yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mengalami kecederaan dengan kesan kebakaran di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aziz berkata mayat mangsa di hantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Shukri yang telah beristeri dan mempunyai seorang anak dikatakan menjalani latihan memandu helikopter sejak pertengahan tahun ini.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untukmembantu memadamkan kebakaran. - BERNAMA

Isu Hangat: Kerajaan Nafi Dakwaan Kiamat 2012 Akibat Perlanggaran Planet Nibiru Dengan Bumi

Kerajaan nafi dakwaan Planet Nibiru akan langgar Bumi pada 2012

KUALA LUMPUR -- Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Planet X atau Planet Nibiru akan melanggar Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi menjalankan pemantauan berhubung dakwaan tersebut.

"Pihak NASA telah mengatakan bahawa tiada bukti sahih tentang kewujudan Planet Nibiru dalam pencerapannya. Setakat ini tiada satu pun objek dalam angkasa lepas yang dikenal pasti memberi ancaman kepada Bumi secara langsung.

"Sekiranya kewujudan planet itu sahih, ia akan dapat dilihat dengan mata kasar dan pastinya ahli astronomi akan buat pemantauan objek tersebut kerana semakin menghampiri bumi seperti yang dikatakan," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara di Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsudin Mehat tentang pendirian kerajaan berhubung dakwaan tersebut.

Dakwaan berhubung Planet Nibiru akan melanggar Bumi mula dibangkitkan pada tahun 1995 namun semakin hangat dibincangkan oleh orang ramai terutamanya di internet sejak tahun lepas. -- BERNAMA


Planet X, Nibiru dan hubungannya dengan kiamat 2012

Baru-baru ini saya mendapat pertanyaan mengenai ramalan suku maya dan tahun 2012. Di kesempatan lain, saya ditanya soal Nibiru dan hubungannya dengan tahun 2012. Jadi saya memutuskan untuk memposting tulisan mengenai topik ini. Dalam 3 tahun ini, saya yakin kita akan sering mendengar soal topik ini disentuh.

Pada tulisan kali ini, saya tidak akan langsung bercerita soal kalendar suku Maya. Saya hanya akan membahas soal Planet X, Nibiru dan hubungannya dengan tahun 2012. Menurut saya untuk memahami hubungan kalendar suku Maya dengan tahun 2012, kita harus memahami konsep Planet X dan Nibiru terlebih dahulu. Soal kalendar Maya akan ditulis di post yang lain.

Untuk mempermudah penjelasan, saya akan menulisnya dalam urutan kronologi waktu. Mungkin tulisan ini tidak ada unsur misterinya kerana memang cuma untuk menambah pengetahuan. Walaupun saya ingin membahasnya dengan singkat, namun kelihatannya tulisan ini cukup panjang juga (maaf).

Periode Pembentukan Konsep Planet X, Nibiru dan Kiamat 2012

Kita mulai dari tahun 1846
Pada tanggal 30 September 1846, satu minggu setelah planet Neptune ditemukan, seorang ahli matematika Perancis bernama Le Verrie mengumumkan kemungkinan masih adanya planet lain di cakerawala kita yang belum ditemui. Ia menggunakan teori mekanika Newton untuk mengukur gangguan orbital Neptune dan menyimpulkan bahawa gangguan ini pastilah disebabkan oleh gaya gravitasi planet lain.

Pada 10 Oktober tahun yang sama, Triton, bulannya Neptune ditemukan. Dengan penemuan Triton, maka para astronomi dapat menghitung kembali massa planet Neptune. Namun diluar perkiraan mereka, mereka menemukan massa Neptune lebih besar 2% dari yang diperkirakan. Perhitungan ini sudah memasukkan pengaruh gravitasi Uranus. Bahkan ketika pluto ditemukan pada tahun 1930, para ilmuwan menyimpulkan bahwa pluto tidak cukup besar untuk mempengaruhi massa Neptunus.

Jadi astronom ikembali berusaha mencari planet lain yang dianggap bertanggung jawab atas gangguan massa Neptunus.

Planet lain yang belum ditemukan itulah yang disebut planet X. Jadi planet X sesungguhnya adalah sebuah penyebutan planet yang dipercaya ada, namun belum ditemukan. Konsep ini sesungguhnya telah ada sejak tahun 1840an. Bukan sesuatu yang baru.

Misteri anomali massa Neptune terus bertahan hingga tahun 1980.

Tahun 1966
Michael D. Coe, seorang peneliti dan penulis mulai mempopulerkan konsep kiamat 21 Desember 2012 yang didasarkan pada perhitungan kalendar suku Maya. Konsep Michael D Coe terus dikutip oleh banyak penulis hingga tahun 1990an.

Tahun 1976
Sebuah buku kontroversi berjudul "The twelfth Planet" diluncurkan oleh Zecharia Sitchin. Dalam bukunya, Sitchin menginterpretasikan kembali tulisan Sumeria kuno yang telah berumur 6.000 tahun dengan mengganti nama dewa-dewa Sumeria dengan nama-nama planet hipotetis.

Menurut Sitchin, pada masa sebelum ada planet bumi, ada sebuah planet yang bernama Tiamat yang terletak di antara Mars dan Jupiter. Suatu hari orbit Tiamat dimasuki planet raksasa lainnya yang besarnya sekitar 20 kali Jupiter. Planet ini bernama Nibiru. Nibiru sendiri berarti "tempat persimpangan" atau "tempat terjadinya transisi".

Perjumpaan ini menyebabkan Tiamat bertabrakan dengan salah satu bulan Nibiru. Pecahan dari tabrakan ini menyebabkan terbentuknya planet Bumi.

Menurut Sitchin, Nibiru adalah tempat berdiamnya satu bangsa alien yang bernama Annunaki yang memiliki period orbit 3.630 tahun mengelilingi matahari. Annunaki yang selamat dari tabrakan itu kemudian datang ke bumi. Lalu ceritanya berkembang. Annunaki konon katanya memodifikasi genetik primata di bumi dengan cara mencampurnya dengan gen mereka sendiri untuk menciptakan homo sapiens (manusia) sebagai budak mereka.

Ketika Annunaki meninggalkan bumi, mereka membiarkan manusia (yang merupakan primata hasil modifikasi genetik) memerintah bumi hingga mereka datang kembali ke bumi.



Para pengikut Sitchin kemudian mengambil konsep dan istilah planet X untuk menggambarkan planet Nibiru. Bagi mereka Planet X yang sedang dicari-cari sesungguhnya adalah Nibiru.

Inilah pertemuan pertama antara konsep Planet X dan Nibiru.

Para pengikut Sitchin kemudian juga menghubungkan kedatangan kembali Nibiru dengan perhitungan kiamat kalendar suku Maya. Mereka kemudian menyimpulkan bahwa Planet Nibiru akan masuk ke orbit bumi pada tanggal 21 Desember 2012.

Ingat bahwa gravitasi planet akan mempengaruhi planet lain yang didekatnya. Nibiru yang disebut memiliki besar 20 kali Jupiter dipastikan akan membawa kehancuran bagi planet bumi.

Sekarang Planet X, Nibiru dan kiamat 2012 sudah terhubung.

Timbul tenggelamnya konsep Nibiru dan kiamat 2012

Tahun 1980an
NASA mengumumkan bahwa anomali massa Neptune ternyata adalah sebuah kesalahan pada data pemerhatian. Setelah data tersebut diperbaiki, maka tidak lagi ditemukan kesalahan orbital. Misteri yang bertahan sejak 1840an terpecahkan.

Wacana Nibiru dan kiamat 2012 mulai tenggelam perlahan-lahan.

Tahun 1983
Headline media-media menulis bahwa dua astonomi bernama Neugebauer dan Houck menemukan sebuah planet yang seukuran Jupiter melanglang buana di antariksa sekitar 2 miliar kilometer dari matahari.

Orang-orang mulai bertanya-tanya, apakah ini mungkin tanda keberadaan Nibiru.

Namun ternyata media salah! Neugebauer dan Houck hanya mengatakan bahwa mereka menemukan ketidakberaturan dalam spektrum infrared. Ini bisa berarti apa saja, mulai dari sebuah planet hingga sebuah galaksi.

Tidak berapa lama, kedua astronomi tersebut mengesahkan bahawa temuan mereka menunjukkan adanya sebuah galaksi (Ultra luminous infrared galaxies - ULIRGs), bukan planet. ULIRGs adalah tempat dimana bintang-bintang lahir.

Tahun 1994.
Seorang peneliti dan astrolog bernama John Major Jenkins menerbitkan sebuah buku yang berjudul "Tzolkin : Visionary Perspectives and Calender Studies"

Dalam bukunya ia menafsirkan arti period-period kalendar Maya. Bukan sesuatu yang baru, namun Jenkins kembali mempopularkan konsep kalendar maya yang telah dipopularkan sebelumnya oleh Michael D Coe. Jenkins dianggap sebagai orang yang paling bertanggung jawab dalam penyebaran kembali konsep kiamat 2012.

Kiamat 2012 kembali mendapat perhatian dunia, didorong oleh penerbitan buku Jenkins.

Tahun 1995
Seorang paranormal bernama Nancy Lieder mengdakwa bahawa ia diperingatkan oleh suatu bangs alien yang tinggal di sebuah planet yang terletak di sistem planet Zeta Reticuli bahwa Nibiru akan menghancurkan bumi pada Mei 2003.

Tahun 2003
Ramalan Nancy Lieder meleset. Mei 2003, dunia tidak kiamat. Nancy Lieder membetulkan ramalannya menjadi tahun 2012.

Tahun 2005
NASA mengumumkan bahwa pada tanggal 21 Oktober 2003 sebelumnya telah ditemukan sebuah planet baru kesepuluh yang diberi nama Eris. Orang-orang segera mengkaitkannya dengan Nibiru.

April 2006
Arti kata Planet didefinisikan ulang. Berdasar pada definisi baru ini, Eris masuk kedalam kategori planet mini bersama Pluto. Lagi pula karakter Eris sangat jauh dari Nibiru. Period orbit Eris hanya 556.7 tahun.

Tahun 2007 - sekarang
Konsep kiamat 2012 kembali dihidupkan oleh beberapa buku popular. Namun kali ini, Nibiru bukan dianggap sebagai penyebab kiamat, melainkan badai matahari (solar maximum). Nibiru hanya menjadi wacana sampingan, tertutup oleh populariti badai matahari.

Kesimpulan

Sekarang pertanyaannya, bisakah kita mengatakan konsep Nibiru dan kiamat 2012 sebagai hoax (rekaan) ?

Jawabannya tidak !

Konsep nibiru dan kiamat 2012 adalah sebuah penafsiran atas catatan-catatan kuno oleh seorang peneliti. Kita tidak pernah boleh menyebut penafsiran sebagai hoax. Hoax adalah sebuah kebohongan yang disengaja dan ditujukan untuk olok-olok atau untuk keuntungan tertentu. Sitchin tidak pernah bermaksud untuk membuat olok-olok. Ia sangat meyakini apa yang dikatakannya.

Yang boleh kita sebut hoax adalah dakwaan bahawa Planet Nibiru telah ditemukan oleh NASA. NASA telah menyangkalnya. Namun entah kenapa para pengikut Sitchin tidak pernah mau menerima penyangkalan NASA.

Jika anda bertanya kepada saya, apakah saya mempercayai bahwa planet Nibiru akan menghampiri bumi pada tanggal 21 Desember 2012.

Jawabannya adalah : saya tidak percaya! bahkan saya tidak percaya satupun konsep dan teori yang ditulis di buku Sitchin.

Tapi apa yang saya percayai tidak harus anda percayai juga. Peganglah apa yang anda percayai. Saya tidak akan mendebatnya. -xfile-enigma