27 Nov 2010

Kerana Kepincangan Pemilihan, Mood Untuk Tawan Putrajaya Semakin Lesu

Mood Untuk Ke Putrajaya Semakin Lesu, Kata Perwakilan PKR

PETALING JAYA, 27 Nov -- Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berkata mood di kalangan sesetengah anggota PKR untuk berjuang menawan Putrajaya sudah semakin lesu.

"Rakyat yang masih memasang angan-angan untuk melihat dan yakin kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sekarang ni mereka semua sudah menolak politik harapan," kata perwakilan Perak, Zulkifli Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Kongres Nasional Ketujuh parti itu di sini.

Zulkifli berkata kini sudah ada di kalangan anggota parti yang mempertikaikan apa bezanya kerajaan pakatan pembangkang yang memerintah sesebuah negeri dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

"Ketua Umum (Anwar Ibrahim) dan kerajaan negeri kita bercakap pasal reform... nak reform itu dan ini, tapi pada hakikatnya parti sendiri gagal untuk direformasikan," katanya.

Zulkifli juga menuntut supaya para pemimpin parti memberi jawapan terhadap persoalan anggota parti mengenai perjalanan pilihan raya parti yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Beliau ingin para pemimpin menjawab sama ada JPP diberi kuasa penuh untuk melaksanakan pemilihan dan sama ada ia bersih, adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kita mengkritik kelemahan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang tidak adil dan tidak telus dan sepatutnya kita menjadi contoh menjalankan pilihan raya dengan adil," katanya.


Zulkifli berkata untuk kelangsungan hidup parti, Ketua Umum dan Presiden perlu menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh beliau yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

Masalah-masalah ini perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin baru dan mereka juga diingatkan supaya jangan melupakan peringkat akar umbi yang menyokong mereka kerana tempoh tiga tahun perkhidmatan itu bukannya lama.

Beliau berkata sejak 12 tahun PKR ditubuhkan, para pemimpin khususnya wakil-wakil rakyat parti itu, jarang melawat anggota yang di bawah, kecuali jika dijemput dan kadang-kadang panggilan telefon pun tidak berjawab.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail ketika membahaskan usul yang sama, menggesa agar anggota parti agar tidak menggunakan media massa sebagai medium untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin parti.


Perwakilan PKR sangsi JPP ada kuasa bebas siasat aduan

PETALING JAYA, 27 Nov – Perwakilan PKR Perak Zulkifli Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) meneruskan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan parti itu walaupun selepas berakhirnya kongres nasional esok.

Beliau juga mempersoalkan sama ada JPP mempunyai kuasa penuh tanpa “diganggu” sepanjang menjalankan pemilihan dan aduan yang dikemukakan.

“Saya nak jawapan daripada JPP, adakah JPP mempunyai kuasa penuh tanpa diganggu dalam menjalankan pemilihan?

“Betulkah setiap aduan yang dikemukakan itu disiasat oleh JPP? Sudahkan JPP menyiasat semua aduan yang dikemukakan? Adakah keputusan yang dibuat dimaklumkan kepada pengadu?” soal Zulkifli ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di sini.

Justeru beliau meminta supaya setiap aduan yang dikemukakan terus disiasat.

“Adakah siasatan aduan yang dikemukakan itu akan terhenti selepas kongres atau akan diteruskan? Saya minta supaya ia diteruskan.

“Kita nak bagi contoh kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), jadi kita perlu menunjukkan keadilan dalam pemilihan parti kita.

“Saya tiada kepentingan tapi tolong selesaikan segala masalah yang berbangkit ini,” katanya.

Sepanjang pilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

Setiausaha Agung PKR Saifuffin Nasution Ismail sebelum ini berkata 90 peratus aduan peringkat cabang telah diselesaikan.

Beliau berkata kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan.

Zulkifli juga meminta supaya kepimpinan baru yang dipilih ketika pemilihan dapat menjalankan tanggungjawab dan menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

Beliau juga mahu supaya pemimpin sentiasa turun padang untuk menemui rakyat.

“Pemimpin perlu turun padang jumpa rakyat, ini nak hubungi pun susah,” katanya.

Dalam ucapan dasar pagi tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menafikan cubaan pertama parti itu mengadakan pemilihan bagi kepimpinannya mempunyai kelemahan.

Namun begitu, beliau turut mendakwa pemilihan itu telah mencapai matlamatnya dengan lebih 70,000 anggota parti keluar mengundi pada pemilihan peringkat cabang dan pusat.

Beliau mengakui dalam proses pemilihan ini, kepimpinan parti itu banyak menerima aduan dan rungutan.

“Kita juga tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya. Kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakan-rakan kita sendiri,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditemui pada sidang media, Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin bahawa anggota parti itu akan mampu bersatu selepas pemilihan parti yang bermasalah dan menerima publisiti yang buruk.

“Kita yakin kita akan bersatu hari ini. Kita teruskan dengan pemilihan kerana kita tahu bahawa dalam mana-mana pertandingan, ada yang menang dan kalah.

“Jadi apapun keputusannya, kita mampu bersatu,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau menjawab soalan sama ada anggota parti akan merapatkan barisan berikutan pemilihan parti yang berakhir baru-baru ini yang dicemarkan dengan dakwaan mengenai manipulasi dan penyelewengan yang menyaksikan Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden berhubung penyelewengan dalam pencalonan.

Sejak itu Zaid mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan satu parti baru pada Januari tahun depan.

Wan Azizah berkata usaha sedang dilakukan bagi membetulkan keadaan itu.

Mengenai demonstrasi oleh beberapa anggota parti sebelum kongres itu bermula hari ini, Wan Azizah berkata sebelum ini rungutan kumpulan itu telahpun dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

“Ia mengambil sedikit masa. Saksi perlu dipanggil untuk memberi kenyataan dan proses itu mengambil masa,” katanya.

Kira-kira 100 orang yang mendakwa anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di depan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini di mana berlangsungnya Kongres Nasional Tahunan PKR hari ini.

Ia diketuai bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pemilihan PKR dari peringkat cabang hingga peringkat pimpinan pusat.

Kottapan, yang sebelum ini adalah calon Ketua Cabang PKR Kota Raja, mendakwa bahawa walaupun beberapa surat bantahan telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) namun tiada tindakan diambil.-TMI

Surat Terbuka Untuk YB Saifuddin & Teman Reformis

Surat Terbuka Kepada YB Saifuddin dan Teman Reformis

Hakikat tidak boleh diselindung lagi. Nampaknya memang ada pertembungan serius para bangsawan PKR dengan ahli-ahli akar umbi. Ahli mendesak, pemimpin bertahan dengan penafian. Ahli dakwa pemilihan PKR tipu, Pemimpin kata tidak, semuanya sempurna, hebat, adil lagi bersih; kita menempa sejarah, semua parti di Malaysia ini tidak segagah kita.

Saya mengutuk sikap dan mempersoalkan kewibawaan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution. Saya berpendirian YB Saifuddin adalah ‘mangsa’, daripada seorang pemimpin yang disegani kini menjadi pemimpin paling dibenci gara-gara pemilihan PKR. YB Saifuddin adalah mangsa kepada ketamakan aliran politik merajakan Azmin Ali dan mendewakan Anwar Ibrahim.


YB Saifuddin,

Ingin saya beritahu YB dan sahabat-sahabat perjuangan sekalian, huru-hara PKR ini adalah ciptaan pimpinan parti. Tidak ada penyakit tetapi cari penyakit. Dulu orang tidak tahu kita ada pekong, kurap dan kusta. Sekarang semua orang dah tahu. Ini kerana pemimpin tidak sedar diri – nak petik bintang tapi kail panjang sejengkal.

YB Saifuddin dan teman-teman reformasi sekalian.

Keadilan tidak ada pada Parti Keadilan.

Asas kepada undang-undang adalah keadilan dan keadilan mesti dilihat pelaksanaannya – Justice must be seen to have been done.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak wajar menjadi badan penyiasat bagi segala aduan yang diterima kerana timbul percanggahan kepentingan (conflict of interest) memandangkan ada aduan yang mempersoalkan tata kerja JPP sendiri. Kita minta JPP menyiasat kesalahan yang JPP sendiri buat, mana mungkin JPP akan mengeluarkan kenyataan mengatakan “Selepas kami menyiasat diri kami sendiri, kami mendapati kami telah melakukan kesalahan”.

JPP dan juga Biro Politik dianggotai oleh calon-calon yang sedang bertanding dalam pemilihan, seperti Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Manikavasagam, Johari Abdul dan lain-lain. Mereka adalah orang yang sama yang dikaitkan dalam aduan dan mesti dikecualikan, akan tetapi Biro Politik berperanan sebagai penyiasat dan kadang-kadang hakim. Mana mungkin pimpinan Biro Politik Parti akan menyatakan “selepas kami menyiasat aduan terhadap salah laku kami, kami dapati kami memang salah dan patut dihukum”.

YB Saifuddin,

Saya tidak jelas apakah definisi ‘bukti kukuh’ bagi JPP dan Biro Politik? Laman web FreeMalaysiaToday memaparkan gambar yang jelas menunjukkan daftar pengundi tidak bersih dan banyak duplikasi. Laman yang sama memaparkan jelas gambar pengawas pemilihan sedang manipulasi undi. Gambar tersebut pula baru didedahkan semalam. Tidak sampai 24 jam selepas gambar tersebut disiarkan, YB Saifuddin dalam sidang media menafikan bahawa pengawas itu tidak mungkin buat salah. Mana YB Saifuddin tahu? Apa piawai prosedur penyiasatan? Apa mekanisma penyiasatan yang dibuat? Semuanya tidak jelas dan tidak dijelaskan. Tiba-tiba muncul Setiausaha Agung dengan keputusan yang sangat meragukan.

Jangan berpura-pura dengan kebenaran demi merajakan Azmin dan mendewakan Anwar.

Hari ini, sempena Kongres Keadilan yang ke-7, saya juga mempersoalkan kewibawaan YB Saifuddin sebagai Setiausaha Agung dalam menangani isu dakwaan bekas Setiausaha Agung sebelumnya, bahawa Sekretariat Ibu Pejabat mengeluarkan satu surat palsu dengan memalsukan tandatangan bekas Setiausaha Agung itu bagi tujuan mencipta bukti bagi menghalang S. Jenapala dari bertanding.

YB Saifuddin,

Sebagai Setiausaha Agung, kenyataan “saya tidak tahu, buka fail ada surat, jadi kira jalanlah…” yang diucapkan dalam sidang media semalam adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh saudara.

YB Saifuddin,

Dakwaan bekas Setiausaha Agung itu mengikut pendedahan MalaysiaToday sangat panjang lebar beserta fakta, affidavit dan bukti. Isu ini menggusarkan anggota dan jika benar dakwaan tersebut, pihak ibu pejabat memang sekali mengecewakan anggota dan tentu sekali mengaibkan parti.

Teman-teman Reformis yang dihormati,

Keadilan semacam hanya pada nama sahaja.

Abdul Aziz Anon -ureka.asia

Mampukah PKR Menyapu Semua Sampah Ke Bawah Karpet?


Risalah hentam pemilihan muncul di kongres PKR

Di sebalik kegagalan protes kumpulan "baju hitam" di Kongres Pemuda dan Wanita PKR semalam, asakan terhadap jawatankuasa pemilihannya berterusan apabila muncul banyak risalah dan kain rentang mempersoalkan perjalanannya.

Risalah tersebut dikesan ditabur di sekitar Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) - tempat kongres nasional PKR berlangsung - sehingga ke kompleks membeli-belah Amcorp, berdekatan Jalan Sultan dan Jalan Barat.


Kelihatan beberapa kain rentang digantung, antaranya bertulis "We demand reform" (kami tuntut reformasi) dan "Reformasi dan keadilan 'tersangkut' akibat kronisme".

Turut dikesan risalah yang menggunakan susun letak hampir sama dengan akhbar organ parti Suara Keadilan dengan paparan muka depan berjudul "Kotor, tidak adil dan salah guna kuasa'.

Memuatkan gambar perhimpunan bantahan bekas setiausaha PKR P Jenapala di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum ini, risalah bersaiz tabloid itu mendakwa "aktivis reformasi" kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang dikatakan mementingkan pangkat dan kedudukan selesa di sisi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Risalah empat muka surat itu mendakwa, pemimpin PKR tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan yang dibangkitkan dan hanya melepaskan batuk di tangga dan sekadar menyapunya di bawah karpet.

"Gesaan agar JPP diperkemas tidak dipedulikan. Desakan supaya pemilihan ditangguhkan juga dibakulsampahkan," laporan itu dipetik.

Bagaimanapun, tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab mengedarkannya.

Menyenaraikan 10 dakwaan penyelewengan, risalah itu - Suara Reformasi - turut memuatkan gesaan calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim supaya Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali berundur daripada parti.

Dimuatkan juga dakwaan kritikan Jenapala dan calon Ketua Pemuda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin berhubung perjalanan pemilihan langsung kali pertamanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, demonstrasi yang bermula pada pukul 9.15 pagi itu diketuai bekas bendahari PKR Selangor KS Kottapan.

Menurut Kottapan demonstrasi itu diadakan kerana mereka tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan PKR dari peringkat cabang hingga peringkat pimpinan pusat.

Kottapan, yang sebelum ini adalah calon ketua cabang PKR Kota Raja, mendakwa bahawa walaupun beberapa surat bantahan telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) namun tiada tindakan diambil.

"Kami tidak bermaksud buat kacau, cuma ingin menyuarakan rasa hati kerana seluruh ahli parti tahu pemilihan parti itu tipu, tidak betul.

"Demonstrasi ini bukan untuk saya tetapi mewakili seluruh ahli parti yang tidak berpuas hati perjalanan pemilihan PKR... dan JPP tak siasat pun dan JPP adalah berat sebelah," katanya kepada pemberita.

Kumpulan yang berdemonstrasi itu turut mengibarkan beberapa kain rentang yang bertulis "Kami tuntut pemilihan PKR dibuat semula, hentikan korupsi", "No Hindraf No Tsunami", dan "anak India anak tiri Anwar, Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Iban anak saya".

Pada satu peringkat, beberapa pemuda memakai baju T berlambangkan "SKUAD" PKR dilihat cuba menghalang kumpulan itu daripada mengadakan demonstrasi dan menyuraikan mereka.

Dalam kekecohan itu, beberapa wartawan dan jurugambar turut ditolak
petugas parti yang cuba menghalang mereka daripada membuat liputan.

Demonstrasi itu berakhir pada kira-kira pukul 10 pagi.

Kumpulan itu beredar dengan mengatakan bahawa mereka akan mengadakan satu
lagi demonstrasi pada pukul 11 pagi tetapi sehingga pukul 11.30 pagi, tidak kelihatan mana-mana kumpulan mengadakan demonstrasi. -mk

Ulasan GB

Apa yang dapat diperhatikan daripada Kongres PKR hari ini ialah begitu giatnya pimpinan kanan parti cuba untuk mengalihkan pandangan perwakilan kepada isu lain daripada berdepan dan menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan selaku anak jantan.

Sekali imbas kita lihat tindakan kumpulan Hindraf seperti keterlaluan, TETAPI harus diingat kumpulan inilah yang sebenarnya membentuk Tsunami politik di dalam PRU 2008 yang lalu. Kumpulan tersebsarnya ialah di Selangor dan Kedah sehingga kedua-dua negeri tersebut berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Dua pemimpin tertinggi parti kaum India yang datangnya dari negeri Perak tertonggeng dikerjakan Hindraf, Samy Vellu dan M.Kayveas.

Justeru itu ada benarnya tulisan di banner itu: Tiada Hindraf Tiada Tsunami.

Menyapu sampah ke bawah karpet dengan mengalih pandangan ahli kepada hal lain seperti seruan Presidennya, "Kesemua kita menang, yang kalah musuh", "PKR perlu sedia hadapi PRU mulai sekarang", dakwaan Ketua Umumnya "PKR perlu sedia hadapi PRU mulai sekarang", "Menjunjung Reformasi Membela Rakyat", perulangan Setiausaha Agongnya kononnya "PKR ada 400,000 anggota" adalah panadol sementara untuk melegakan sedikit sakit kepala. Tetapi bau bangkai yang maung melantong di bawah karpet akan tetap terhidu jua bila-bila masa dan ia memerlukan pembersihan yang benar-benar komprehensif demi meletakkan semua PKR ke identitinya yang lebih murni dan wangi, supaya dapat beriringan dengan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Jika masih nak teruskan dengan sindrom penafian, teruskanlah, jangan nanti terkangkang di dalam PRU 13 sudah. GB dah berikan peringatan banyak kali, tetapi tak diendahkan. Bagus.

Yang tukang tepuk, tukang jilat dan tukang bodek akan hanya mempercepatkan proses keruntuhan bukan pengukohan.

Dan GB ingin berpesan dua pemerhatian terakhir GB yang diambil dari petunjuk Allah mengenai pilihanraya kecil baru-baru ini menjadi kenyataan.

Baca Ulasan GB di SINI


Proses Pemilihan Dibantah, Kotapan Mungkin Dipecat

Bekas pemimpin PKR S'gor ketuai protes antipemilihan

Gambar: Bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, K.S Kotapan (tengah) menjawab soalan media selepas berlaku demostrasi di depan dewan sebelum bermulanya Kongres Nasional Tahunan Ke-7 Parti Keadilan Rakyat 2010 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Kira 50 orang yang mengaku ahli PKR membuat 'protes senyap' di luar Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya pagi ini kerana membantah proses pemilihan PKR yang didakwa tidak telus.

Protes tersebut diketuai oleh bekas bendahari PKR Selangor KS Kottapan sejurus sebelum Kongres PKR kira-kira jam 9.10 pagi di luar pintu pagar masuk ke dewan persidangan.

Mereka berhimpun selama kira-kira 15 minit sebelum diarahkan bersurai oleh pengawal keselamatan PKR yang ditugas mengawal keselamatan penjalanan kongres.

Mereka memegang beberapa kain rentang. Paling menonjol yang bertulis "General Anwar please resign, we don't need A dictator in our party" (Jeneral Anwar sila berundur, kami tidak perlu diktator dalam parti).

Selepas itu, beberapa pengawal keselamatan hadir memujuk dan mengarahkan mereka bersurai, menyebabkan berlakunya pertengkaran kecil di antara beberapa individu yang hadir.

Ini disebabkan, kumpulan itu berkeras mahu meneruskan bantahan mereka kerana "mempunyai hak untuk berhimpun di situ".

Pengawal keselamatan PKR turut meminta petugas media masuk ke dalam kerana menganggap perkara tersebut sudah selesai.

Bercakap kepada pemberita, KS Kottapan menyuarakan perasaan tidak berpuas hati dengan pemilihan parti yang didakwa "didalangi oleh pemimpin atasan".

"JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) tidak telus dan berat sebelah," katanya sambil menambah pihaknya hadir ke situ dan tidak mahu menimbulkan kekecohan.

Sebelum ini, terdapat dua protes yang sama diadakan di ibu pejabat parti di Petaling Jaya berhubung isu yang sama.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media bersama Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution memberitahu biro politik parti telah mengusulkan supaya Kottapan dipecat.

"Bagaimanapun, ia hanya akan berkuat kuasa selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berbincang dan menerimanya," jelasnya.-mk


Berkata benar biarpun pahit:
Jangan jadi dayus melindungi ketidakadilan


Kepada Pemimpin-Pemimpin PKR dan saudara-saudari sahabat seperjuangan,

Kami anggota-anggota bawahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhimpun pada hari ini untuk melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap pimpinan PKR yang terus-menerus mempertahankan salahlaku Jawatankuasa Pilihan Raya (JPP) dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini. Aduan dan laporan yang telah dibuat oleh anggota Parti langsung tidak dilayan oleh pimpinan, sekaligus menyerlahkan sikap sebenar pimpinan; bahawa anggota bawahan ini tidak penting untuk dijaga perasaan mereka apatah lagi untuk dihormati, bahawa setiap anggota juga mempunyai pemikiran rasional untuk menentukan apa yang benar dan apa yang salah.

Kesedihan dan kekecewaan ini semakin dirasai apabila anggota-anggota bertindak mengkritik, membuat aduan atau mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap salah laku perjalanan pemilihan PKR yang gagal dikendalikan secara adil dan bersih. Ketidakpuashatian ini akan dianggap oleh Parti sebagai sesuatu yang menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Menuntut keadilan, memperjuangkan kebenaran, menentang salahlaku atau mencadangkan penambahbaikan akan dianggap sebagai tindakan derhaka dan khianat. Semua anggota diminta untuk menjadi anggota yang mempunyai kesetiaan tidak berbelah bagi untuk disayangi Anwar Ibrahim dan Azmin Ali walau dalam apa jua keadaan asalkan tidak menyusahkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Adakah kerana kami anggota bawahan, kami tidak berhak mendapat layanan baik dari pemimpin atasan yang kini sudah berpangkat besar, semakin berharta, lagi berkuasa? Nasihat kami kepada pemimpin PKR: anggota juga mempunyai maruah diri yang mesti dihormati. Tanpa sokongan dari kami anggota bawahan, anda tidak akan diangkat menjadi pemimpin PKR.


Oleh itu, jika pemimpin Parti mengiktiraf pemilihan PKR sebagai sah dan melindungi salahlaku yang sudah berlaku ini nescaya akan menyerlahkan kedayusan pemimpin dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran yang dilaung-laungkan selama ini. Dengan ini, kami memberi ingatan kepada pimpinan parti: jikalau tidak mampu untuk memberi keadilan kepada anggota sendiri, bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka.

REFORMASI! REFORMASI! REFORMASI!

*Kenyataan media oleh KS Kotappan Suppaiah selaku calon Ketua Cabang Kota Raja yang tewas dalam pemilihan PKR. -Merdeka review



Sekeping Surat Palsu, Angkara Siapa?

Surat pecat Jenapala palsu, akui bekas timbalan SU Agung PKR

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Bekas timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jonson Chong hari ini mendakwa parti itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memecat seorang lagi bekas timbalan setiausaha agung parti itu P. Jenapala.

Beliau berkata ‘surat pemecatan’ itu sebenarnya adalah palsu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

PKR sedang melangsungkan kongres nasional mereka di Petaling Jaya.

“Apa yang benar-benar menjijikkan saya ialah hakikat bahawa saya tahu seseorang di ibu pejabat parti tahu bahawa surat itu palsu. Ia dibuat bagi menutup kesilapan tidak disengajakan oleh seseorang apabila mereka mengatakan Jenapala telah dipecat dalam bulan Februari 2009,” kata Chong dalam blognya hari ini.

Chong menjelaskan bahawa beliau merupakan timbalan setiausaha agung yang bertanggungjawab membantu lembaga disiplin menangani kes yang dirujuk kepada mereka oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau berkata ketika isu Jenapala timbul semasa pemilihan parti, seseorang dari ibu pejabat telah menghubunginya dan bertanya jika terdapat surat dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya.

“Saya kata tidak ada surat sedemikian dan tidak ada keputusan untuk memecatnya. Yang ada hanya keputusan untuk memecat beliau secara prinsip iaitu jika dia benar-benar didapati terlibat dengan pembentukan satu parti politik yang baru.

“Kemudian, tahu-tahu sahaja saya melihat ada surat yang ditandatangani setiausaha agung parti terdahulu, yang kononnya dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya pada Februari 2009. Saya jadi bungkam,”
kata beliau calon kerusi naib presiden ini, yang turut menarik diri daripada bertanding.

Chong berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa surat itu palsu, dan tercengang kerana PKR sanggup berbuat demikian bagi menutup kesilapan yang tidak disengajakan, yang sepatutnya dijelaskan kepada media sebelum beralih ke perkara lain.

Semalam, bekas setiausaha agung PKR Datuk Salehuddin Hashim membuat laporan polis kerana mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam surat pemecatan Jenapala.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung surat bertarikh 2 Feb 2009, yang kononnya ditulis dan ditandatangani Salehuddin.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman Jenapala terhadap tiga pemimpin PKR berhubung jawatan timbalan presiden parti itu.

Menerusi saman pemula pada 18 November lepas, Jenapala berkata beliau ingin mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.





Negeri Maju 2010, Projek Tangguh 2011

Negeri Maju 2010, Projek Tangguh 2011

Inilah singa laut yang akan dipersembahkan nanti

Kegagalan sebuah kontraktor menyiapkan projek Taman Tema Singa Laut, Pulau Melaka telah memalukan Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam kerana gagal disiapkan pada tahun 2010 sempena tarikh keramat Melaka Negeri Maju 2010 sebaliknya kepada tahun 2011.

Projek tersebut sepatutnya siap pada tahun ini, 2010 iaitu pada 30 November 2010 tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga bulan Mac 2011 kerana setakat ini projek itu baru siap 72 peratus. Punca utama projek itu tertangguh adalah disebabkan kekurangan pekerja pembinaan tersebut.

Berikutan daripada itu, kehadiran pelancong pada musim cuti persekolahan ini agak merosot dan menyebabkan Ali Rustam dengan kontraktor tersebut. Ali meminta kontraktor tersebut menambahkan jumlah pekerja dengan secepat mungkin agar projek 2010 tidak menjadi projek maju 2011.

Tapak projek Taman Tema Singa Laut, Pulau Melaka itu berharga RM1.9 juta dan projek bersebelahan dengannya juga gagal disiapkan seperti mengikut jadual iaitu Arab City. Pekerja tapak projek berkenaan adalah seramai 40 orang dan itulah punca kegagalan projek tersebut untuk disiapkan.

Kerugian demi kerugian telah ditanggung oleh kerajaan Ali Rustam. Kerugian paling dirasai adalah rakyat Melaka yang telah tertipu dengan projek yang gah tetapi tergendala akibat kekurangan pekerja di tapak binaan.

Taman tema kendalian Syarikat Putrindo Empat Lestari Sdn Bhd itu dapat menampung jumlah 1500 pengunjung setiap hari untuk menyaksikan persembahan singa laut jika siap.

Dakwaan Penyelewengan Dalam Pemilihan Jejaskan Peluang PKR Dalam Pilihanraya

Apakah Dakwaan Penyelewengan Pemilihan Jejas Peluang PKR Dalam Pilihan Raya Umum Nanti?

Oleh Alan Ting

PETALING JAYA, 26 Nov (Bernama) -- Bila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan parti itu baru-baru ini, yang dilempari dakwaan penyelewengan tidak akan menjejas peluangnya dalam pilihan raya umum akan datang, timbul respons berbelah bagi dari kalangan penganalisis politik dan beberapa orang anggota parti.

Alasan beliau ialah parti itu telah melakukan segala mungkin untuk membetulkan segala kecacatan dan kelemahan dalam sistem pemilihan langsung yang diadakah buat kali pertama itu.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat kegagalan itu -- yang menyaksikan ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden sebelum bertindak keluar parti -- akan menjejas peluang mereka dalam pilihan raya umum itu.

"Bagi saya, penyelewengan ini tentu menjejas parti itu, tidak setakat kepercayaan di kalangan penyokong tetapi juga mereka di luar parti, terutama mereka yang duduk di atas pagar dan memerhatikan pemilihan ini dari dekat," kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian.

"Saya percaya mereka yang kalah dalam pemilihan akan menunjukkan kemarahan dan kekecewaan, kerana mereka kalah akibat perbuatan mempersenda sistem," ujar beliau. Dr Sivamurugan menarik perhatian terhadap keputusan tidak rasmi pemilihan parti yang menunjukkan mereka mendapat undi India yang berkurangan.

"Jika mereka tidak mempunyai pemimpin India yang dipilih untuk jawatan naib presiden, parti itu boleh melantik seorang pemimpin kaum itu untuk jawatan tersebut.

"Parti itu mempunyai 33 peratus penyokong India. Apapun, keputusan akan menjejas parti. Mungkin persepsi di kalangan pengundi bandar tentang perebutan jawatan dalam PKR tidak akan berubah, tetapi tidak di kalangan pengundi luar bandar," kata beliau.

Beliau berkata sesetengah pihak dalam parti itu sendiri mula mempersoalkan mengapa Anwar selaku Ketua Pembangkang di Parlimen, tidak bertanding sebagai presiden parti.

"Anwar kini perlu memfokus kepada bagaimana hendak memulihkan keyakinan dan kepercayaan kerana parti itu sedang menghadapi cabaran terbesar sejak Pilihan Raya Umum 2008.

"Bagaimana beliau harus menenangkan mereka yang telah kalah dalam pemilihan parti agar terus menyokong parti?," ujar beliau.

Malah rakan mereka dalam pakatan Pembangkang turut memberi perhatian terhadap apa yang berlaku dalam pemilihan PKR bila anggota exco kanan Selangor dan pemimpin DAP Teresa Kok secara terbuka mengingatkan anggota DAP di Selangor agar tidak mencontohi apa yang berlaku dalam PKR.

Namun, beberapa penganalisis politik lain percaya apa yang berlaku semasa pemilihan PKR memberi impak kecil terhadap tahap sokongan kepada parti itu, dan ia bergantung juga pada bila pilihan raya umum diadakan.

"Ia tidak menjejas PKR. Ia bergantung pada bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan bila pilihan raya umum diadakan. Ia hanya menjejas PKR pada jangka pendek," kata penganalisis politik di Universiti Monash Prof James Chin.

"Sebabnya mudah, rakyat Malaysia mudah lupa. Rakyat Malaysia mudah mengalih perhatian dengan skandal politik," kata beliau.

Bagaimanapun, Chin berpendapat cabaran terbesar parti itu ialah sama ada orang nombor dua parti atau mereka yang dipilih sebagai timbalan presiden mempunyai pengaruh politik yang cukup untuk mengambil alih jawatan presiden parti.

"Persoalannya ialah...sama ada, sesiapa yang dipilih sebagai orang nombor dua mempunyai pengaruh politik yang cukup untuk mengambil alih jawatan nombor satu, sekiranya Anwar dipenjarakan berikutan perbicaraan sodominya (sekarang).

"Ini cabaran terbesar dihadapi PKR, bukan bilangan undi yang diraih seseorang calon," kata beliau.


Rahsia Di sebalik Pangkal Nama Menurut Islam

Rahsia di sebalik pangkal nama menurut Islam Oleh Fairuz Zaidan

BAYANGKAN dengan jumlah penduduk Malaysia kini yang menjangkau 26 juta orang, pastinya ada 1,001 jenis nama yang menjadi kebanggaan individu mahupun keturunan di dalam sesebuah keluarga.

Namun, di sebalik nama glamor atau pelik yang cuba didaftarkan dalam sijil kelahiran, tidak semua nama sebenarnya boleh diberikan kepada anak dengan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh nama yang tidak digalakkan didaftarkan dalam sijil kelahiran ialah seperti Bulat, Buang, Pungut atau juga Tumpang, di samping nama gelaran keturunan bagi yang layak saja.

Syed, Sharifah, Nik,Wan, Raja dan Tun adalah antara nama gelaran istimewa yang diberikan oleh jalur keturunan seseorang, di mana ia begitu dijaga supaya kemuliaan nama gelaran itu kekal terpelihara ke generasi akan datang.

Ada juga keluarga dalam kelompok ini yang sensitif untuk memilih di kalangan mereka saja bila membabitkan soal perhubungan, jodoh hinggalah ke gerbang perkahwinan, semata-mata untuk memelihara keturunan dan nama gelaran berkenaan. Cara sedemikian dilakukan bukan semata-mata `memilih bulu’, sebaliknya ditekankan kerana ingin memastikan zuriat keluarga mereka masih lagi memegang nama gelaran keluarga.

Walaupun berbau `agak perkauman’, masyarakat hari ini sedar dan bersikap terbuka dengan senario perkahwinan sesama gelaran sebagai kesinambungan kepada budaya dan susur galur keturunan.

Namun, di sebalik keistimewaan nama gelaran ini, ada juga masyarakat yang bertindak ‘menggugurkan’ atau dengan lebih tepat lagi menukar nama gelaran yang dimiliki dengan nama biasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor, berkata Jabatan Pendaftaran tidak menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk menukar identiti seseorang sekiranya nama asal mereka mempunyai maksud yang kurang baik.

“Tetapi, tidak sewenangnya seseorang untuk menukar nama. Sebagai contoh mereka perlu mendapat pengesahan surat dari Jabatan Agama Islam atau mana-mana pertubuhan agama dianutinya sebagai bukti menyokong permohonan pertukaran nama berkenaan.

“Di samping itu, individu berkenaan juga perlu mengangkat sumpah yang mengesahkan tindakannya untuk menukar nama baru, sebelum kes berkenaan dirujuk ke Jabatan Pendaftaran untuk tindakan susulan,” katanya kepada i-Kon.

Beliau berkata, sebaik proses mengangkat sumpah selesai, individu terbabit sendiri perlu hadir untuk mengisi borang pindaan butiran membawa sekali butiran peribadi seperti kad pengenalan asal dan kelahiran. Katanya, sebaik segala proses pertukaran nama selesai barulah permohonan pertukaran nama disahkan oleh Jabatan Pendaftaran dalam tempoh tertentu.

Ditanya mengenai permohonan individu yang inginkan gelaran nama tertentu seperti Syed, Sharifah, Wan, Nik atau sebagainya, Jainisah berkata, gelaran nama keturunan itu tidak boleh diberikan sebarangan kecuali jika ia dapat dibuktikan menerusi susur galur keturunan dalam keluarganya.

“Sebagai contoh, Nik dan Wan. Nama ini tidak boleh didaftarkan individu yang tiada kena mengena dengan keturunan nama ini.

“Mengenai nama unik pula, kebanyakan permohonan nama sedemikian didaftarkan di Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak etnik kaum,” katanya yang menyatakan Jabatan Pendaftaran Negara tiada halangan bagi seseorang yang ingin mendaftarkan nama asalkan ia tiada maksud yang tidak baik.

Apa yang pasti, tidak kiralah pangkal nama individu itu kedengaran ‘pelik’ seperti Puteh, Khamis, Tumpang, Pungut mahupun Buang atau juga nama gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Syed, Syarifah, Wan, Raja dan Nik kerana yang pasti keperibadian dan tingkah laku lebih mendapat perhatian.

Syed/Sharifah = Dosa/pahala berganda?

BENARKAH ini? Seorang rakan dari keturunan Syed, Sharifah berkata, keturunan Syed/Sharifah, kalau buat baik, pahala akan digandakan, begitu juga jika membuat dosa. Semuanya dikira double!

Mengapa? Entahlah, jawabnya tetapi kata rakan tadi, inilah yang diperturunkan kepadanya oleh keluarga. Adakah kerana mereka keturunan pewaris nabi, maka segala-galanya dikira `lebih’?

“Tidak. Tiada beza keturunan Syed, Sharifah dengan orang Islam yang lain. Dosa, pahala yang diterima sama saja seperti umat Islam yang lain walaupun mereka keturunan Rasulullah.

“Dalam hadis ada menyebut, Rasulullah pernah menyatakan kepada Fatimah bahawa baginda tidak mempunyai hak untuk membantu anaknya itu biarpun haknya sebagai Rasulullah,” kata Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Maznah Daud.

Begitu juga dengan anggapan keturunan ini mendapat dua syafaat di akhirat. Reputasi keturunan ini memang diakui dan kemuliaan keluarga mereka terjaga tetapi tidaklah sehingga mereka mendapat kelebihan ini. Jika mereka tidak beribadat dan tidak patuh pada ajaran Allah, mereka tetap menerima seksaan Allah yang keras.

Satu lagi perkara yang paling sinonim dengan keturunan ini ialah perkahwinan sesama keturunan. Banyak kes, perhubungan tidak direstui keluarga kerana anak-anak memilih calon di kalangan `orang biasa’. Hakikatnya, kata Prof Madya Maznah, walaupun mereka diakui kemuliaan keturunannya, tidaklah hingga golongan ini tidak boleh berkahwin dengan orang biasa.

Jika disorot sejarah silam, Baginda Rasulullah juga mengahwini orang biasa, malah seorang isterinya Sofiah adalah daripada bangsa Yahudi. Malah anak-anak baginda juga berkahwin dengan orang biasa. Seperkara lagi yang dikaitkan dengan keturunan ini ialah mereka tidak boleh menerima sedekah atau zakat.

Apa ada pada nama?

MEMILIKI nama dengan gelaran istimewa pasti memberi kelebihan, dan tidak kurang juga ‘tekanan’ khususnya bagi wanita yang dikatakan perlu bertemu jodoh dikalangan keturunan mereka semata-mata.

i-Kon cuba ‘menyelami’ identiti mereka yang mempunyai pangkal nama istimewa yang tidak dimiliki sebarangan orang dan berkongsi pandangan mengenai identiti mereka, asal usul keturunan dan pendapat mereka mengenai perkahwinan dalam keturunan mereka.

Nik Norma

PENUNTUT Ijazah Doktor Falsafah University of Canterbudy, New Zealand, Nik Norma Nik Hasan berbicara mengenai nama keluarganya yang mempunyai pangkal nama Nik di hadapan. Kata Nik Norma, dalam susur galur keluarganya mempunyai banyak gelaran nama dalam keluarga seperti Tengku, Tunku, Engku, Raja, Tuan, Che dan Nik, sekali gus mewarnai keturunan keluarganya.

Namun, beliau sendiri tidak dapat memastikan yang gelaran Nik pada nama keluarganya adalah dari kalangan keluarga di raja walaupun neneknya mempunyai gelaran Tengku. “Saya mewarisi nama Nik daripada ayah iaitu Nik Hasan Nik Yusuf walaupun ibu saya tidak mempunyai gelaran Nik.

“Apa yang saya difahamkan, gelaran Nik akan lupus dengan sendiri jika wanita bergelar Nik berkahwin dengan lelaki ‘biasa’,” katanya. Namun, katanya ada juga lelaki Nik yang tidak meneruskan tradisi meletakkan pangkal nama Nik pada anak mereka seperti yang dilakukan oleh bapa saudaranya. Apakah asal usul Nik?

“Dari apa diceritakan kepada saya, pada zaman Puteri Saa’dong (di selatan Thailand), ada seorang raja memerintah tidak memiliki cahaya mata. Justeru, raja berkenaan mengambil anak angkat lelaki.

“Seorang diperoleh dari buluh betung manakala seorang lagi daripada mulut ikan sebelah. Jadi, gelaran nama Nik ini diberikan kepada mereka sebagai membezakan dengan gelaran kerabat di raja lain
,” katanya yang sehingga hari ini tidak pernah menikmati hidangan rebung dan ikan sebelah kerana kepercayaan yang mengatakan keturunan Nik tidak boleh menikmati kedua hidangan berkenaan.

Nik Norma berkata, dari kajian dari buku yang dilakukannya, ada juga pendapat yang mendakwa gelaran Nik berasal dari nama Tengku sekitar kurun ke-18 hingga ke-19 dan diteruskan sehingga kini. “Malah, ketika kakak saya ingin bersalin dia dikehendaki membentang kain kuning kerana dikatakan mudah ketika bersalin,” katanya yang gembira kerana memiliki gelaran Nik dan berharap dapat meneruskan tradisi nama gelaran itu kepada anaknya pada masa akan datang.

Aida

BERBEZA pula dengan Aida S Kadir, 36 yang tidak meletakkan nama Sharifah di pangkal nama, sedangkan bapanya adalah dari keturunan Syed. Nama sebenar bapanya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir.

Kata Aida, susur jalur keturunan gelaran Syed dalam keluarganya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir bin Sheikh @ Syed Omar bin Tunku Syed Abdul Rahman al-Qadri (Pembesar Linggi Negeri Sembilan) – pembesar Melayu zaman British.

Namun, bapanya juga tidak meletakkan nama Syed dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk kelebihan dan keistimewaan nama dimiliki keluarganya itu. Bagaimanapun, kata Aida, dua abangnya mengangkat sumpah untuk mendapatkan semula gelaran Syed dengan alasan untuk memelihara keturunan Syed pada generasi akan datang.

“Dari cerita bapa, saya dari keturunan al-Qadri dari Riau Sumetera, suku sakat yang membuka Negeri Sembilan. “Walaupun saya tidak memegang gelaran Sharifah, dua anak kembar saya yang berusia dua tahun dinamakan Putri iaitu Putri Maryam Idez Azlisham dan Putri Khadijah Idez Azlisham,” kata anak keempat dari lima beradik ini.

Info JPN

JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94 aksara sahaja. Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau anak, koma dan sengkang.

Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dan boleh dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15 hingga 42 hari.

Pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun saja selepas pendaftaran nama anak.

NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG

Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan

Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara Luar.

Nama pangkat atau jawatan

Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi, Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar, Ustazah.

Gelaran keturunan

Syed, Sharifah, Tunku, Tengku, Nik, Wan, Raja

Nama profesional

Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat

Nama kepahlawanan

Mahaguru, Pahlawan, Pendekar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria

Nama lucah atau yang lucah bunyinya

Nonok, Bontot, Bola Besar, Kote, Faraj, Shahwat, Zina, Kopek, Pundek, Punat, Khalwat, Zakar, Kulup, Coli, Liwat

Nama-nama buruk

Buruk, Malang, Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting

NAMA YANG TIDAK SESUAI

Nama binatang atau serangga

Babi, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular

Nama buah-buahan, sayursayuran, tumbuhan, makanan

Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai, Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur, Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.

Nama-nama lucu

Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang, Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut, Tanduk, Kerepot, Kentut

Nama-nama kejadian alam

Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir, Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa Nama-nama alat perkakas lSenduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar, Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok

Nama-nama warna

Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning

Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya

D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zerozero Seven

Nama perhiasan atau pakaian

Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai, Seluar, Kasut

PERKATAAN ARAB YANG MAKNANYA TIDAK ELOK

Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki), Khinzir (babi), Zakar (kemaluan lelaki), Faraj (kemaluan perempuan), Wati (persetubuhan).

NAMA INDIA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Ammakannu, Andayan, Annachi, BatumalaiBotha, Baby, Ettikkan, Idache, Idayan, Kalavani, Kali, Karuppan, Kathammah, Madasamy, Mottayan, Muthammal, Mukayi (Mookayee), Mooli, MachappuPapa, Prayasamy, Periyannan, Sadachi, Sigappi, Sinnayee, Sengan, Satan, Sembu Setty, Thambi, Kulli, Thangachi, Udukayee, Uthandy, ValuVellayan, Valoo.

NAMA CINA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Hokkian

Ah Chaw (ular), Ah Goo (kerbau), Ah Gong (orang gila), Ah Kooi (hantu), Ah Loo (keldai)

Kantonis

Ah Seh, Ah Nyau, Sor Chai, Ah Kwai

Mandarin

Ar Ser, Ar New, Ar Ngong, Ar Kwe, Ar Loo

Jalan-jalan Ziarah Masjid - Koleksi Masjid Terindah Di Dunia

Koleksi 40 Masjid Terindah Di Dunia.

Sebagaimana telah diketahui, masjid adalah tempat suci bagi umat muslim.

Selain menjadi tempat beribadah, masjid dapat juga menggambarkan kebudayaan umat Islam dan menjadi bangunan dengan senibinanya yang indah, seperti yang akan anda lihat pada foto-foto dari masjid terkenal di bawah ini yang terdapat di berbagai penjuru dunia :



Masjid Suci Al-Haram, Arab Saudi

Masjid Nabawi, Arab Saudi

Masjid di Brunei

Masjid Putrajaya, Malaysia – dibangun di atas air

Masjid Umayyad, Damascus

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Masjid Faisal, Pakistan

Masjid Jame Asr Hassanil Bolkiah, Brunei

Masjid Besar Jumeirah, Dubai

Masjid Putra di Putrajaya, Malaysia

Masjid Sheikh Zayed Bin Sultan Al Nahyan, Abu Dhabi UEA

Masjid Sultan Ahmet Camii (The Blue Mosque), Istanbul Turki

The Blue Mosque dilihat dari Hagia Sophia

Masjid Crystal, Malaysia

Masjid Schwetzinger, Jerman

Masjid Suci Golden, Singapura

Masjid Sehzade, Istanbul Turki

Makkah, Arab Saudi

Salah satu Masjid di Jeddah Arab Saudi

Masjid Lao Huasi Sufi di Linxia Cina

The Mezquita, Spanyol

Masjid Sheikh Zayed

Masjid Shahjahan, Pakistan

Masjid dan Menara Kembar, Malaysia

(tidak diketahui dimana letaknya)

Masjid Omayad, Syria

Masjid Besar, Bahrain

Masjid Muhammad Ali, Kairo Mesir

Masjid Badshahi

Masjid Tooting, London

Masjid Zahir, Malaysia

Masjid Ubudiah

Masjid Sultan, Singapura

(tidak diketahui dimana letaknya)

Masjid terbesar di India

Masjid Al-Hassan II, Casablanca Moroko

Masjid terbesar di Amerika Utara

Masjid Alnour, Sharjah

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei



Jadi bagi anda umat muslim yang akan melancong ke luar negera, jangan lupa untuk berkunjung juga ke masjid-masjid diatas.