14 Nov 2010

Aksi Panas Dalam Kereta Di Pantai Sri Tujoh Dan Pantai Geting

Banteras aksi panas di pantai

TUMPAT - Pasangan kekasih yang tidak segan silu melakukan ‘aksi tidak senonoh’ di kawasan Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting, menjadikan kawasan tersebut tumpuan Pejabat Agama Jajahan Tumpat untuk melakukan operasi tangkapan pasangan berkhalwat.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama, Kamarudin Osman berkata, dari Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 55 kes tangkapan khalwat dan kelakuan tidak sopan berlaku di kawasan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua kawasan berkenaan merupakan kawasan panas bagi Penguat Kuasa Agama Tumpat dan Skuad Amru berdasarkan statistik tangkapan khalwat tahun ini yang agak tinggi di kawasan itu.

“Kita dibantu Skuad Amru Masjid As-Somadi Geting yang mempunyai kuasa menangkap pasangan berkhalwat di sekitar Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting.

“Mereka melakukan rondaan secara bergilir-gilir setiap masa terutama di sekitar Pulau Tengkorak yang menjadi kegemaran pasangan kekasih kerana kawasannya agak terlindung dengan pokok ru” katanya.

Menurutnya, pada 10 November lalu, satu tangkapan dilakukan ke atas pasangan yang berdua-duaan di dalam sebuah kereta di Pantai Geting.

"Lelaki tersebut berusia 47 tahun, berstatus suami orang dengan enam anak manakala wanita terbabit, isteri orang, berusia 45 tahun juga mempunyai enam anak ditangkap kira-kira jam 1.30 tengah hari di kawasan pantai tersebut.

“Ketika serbuan, mereka berdua-duan di dalam kereta di tempat duduk masing-masing dengan kusyen kereta direbahkan.

“Setelah disoal siasat, mereka bukan muhrim dan didakwa di bawah Seksyen 5 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2/85 Negeri Kelantan.

Juara Formula1 2010 Ditentukan Malam Ini

Abu Dhabi: Pemandu pasukan Red Bull, Sebastian Vettel akan bermula dari petak utama pada perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi, hari ini, selepas mengatasi cabaran sengit dari bekas juara Lewis Hamilton dan pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Fernando Alonso, malam tadi.

Vettel merakam 1 minit 39.394 saat pada sesi kelayakan terakhir di litar Yas Marina, 0.31 saat lebih pantas berbanding pemandu McLaren, Hamilton menjelang perlumbaan penutup musim, hari ini.

Alonso 0.398 saat lebih perlahan di dalam jentera Ferrari, dengan juara tahun lalu Jenson Button (McLaren) di tempat keempat. Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber sekadar bermula dari petak kelima.

Alonso hanya perlu menang perlumbaan di litar Yas Marina atau sekurang-kurangnya di tempat kedua untuk muncul juara musim ini. Webber akan bergelar juara jika menang dengan syarat Alonso di tempat ketiga atau ke bawah. Vettel bakal juara jika menang dengan Alonso di tempat kelima atau lebih. - Agensi

Bolehkah PAS Berubah?

PAS perlu ubah pendekatan

SHAH ALAM, 14 Nov: PAS 'baru' dengan pembaharuan dari segi pendekatan tanpa mengubah dasar, amat diperlukan untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU), kata penganalisis politik, Ghazali Mayudin.

Bercakap dalam forum "PAS Sedia Ganti Umno: Harapan dan Cabaran" di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) petang semalam, beliau berkata, senario politik hari ini, hanya PAS baru boleh menggantikan Umno.

"PAS tidak boleh ganti Umno dalam kerangka yang lama.Berdasarkan senario politik semasa, PAS baru dengan pendekatan yang baru, kaedah yang baru mungkin boleh. Tapi PAS yang sedia ada agar sukar untuk menggantikan Umno," katanya.

Beliau juga berkata, PAS harus bersedia berubah mengikut kehendak masyarakat tanpa perlu mengubah dasar Islam yang diperjuangkan.

Perubahan tersebut juga perlu menyeluruh, bukan bersifat cebisan sahaja.

"PAS mesti berubah mengikut perubahan-perubahan dan kehendak-kehendak dalam masyarakat supaya diterima umum. Bila kita katakan PAS ganti Umno bermakna kita nak masyarakat Melayu menerima PAS untuk menggantikan Umno.

"Perubahan keadaan bukan bersifat cebisan tapi menyeluruh. Dari segi keahlian juga harus berubah. Bukan sahaja ahli PAS setakat dengar ceramah tetapi haruslah bergerak ke lapangan masyarakat, baru boleh berlaku satu transformasi.


Tambahnya, bagi memastikan PAS diminati, bukan dibenci, parti itu harus tahu menggunakan isu yang relevan mengikut perkembangan dalam masyarakat

"Perubahan yang harus dilakukan ialah dari segi cara kepimpinan, cara memerintah negeri, dan dasar-dasar yang ditekankan.

"Sekarang ini orang menekankan hak asasi, kebebasan, ketelusan dan sebagainya. Jadi agak asing kalau PAS masih memperjuangkan isu-isu yang mengguris dan menyebabkan orang lari daripada PAS," katanya lagi.

Sudah ada perubahan

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Shaharudin Badarudin dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wadah, PAS sudah mengalami proses perubahan yang besar sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Dalam empat, lima tahun ini PAS berubah begitu besar. PAS sudah mengalami perubahan itu terutamanya sejak tahun 2001, banyak pembaharuan yang dikemukakan.

"Contohnya isu muslimat boleh bertanding. Walaupun pada mulanya memang dibenarkan dan kemudiannya tidak dibenarkan, ia dibenarkan kembali pada 2003. Begitu juga dengan penubuhan kelab dan seterusnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, tahaluf siasi iaitu pakatan dengan DAP dan NGO sudah mencirikan PAS baru.

Menurutnya juga, PAS telah menunjukkan kelebihan apabila boleh bergerak kerja tanpa mendominasi Pakatan Rakyat, seperti Umno mendominasi barisan Nasional.

"Kelebihan PAS ialah PAS boleh bekerja dalam keadaan tidak mendominasi parti. Dalam tidak dominan itu PAS mampu melakukan perundingan dan sebagainya dengan DAP dan PKR, apatah lagi jika PAS mendominasi Pakatan, sudah tentu banyak kejayaan yang boleh dicapai," katanya.

Forum dua jam itu dipengerusikan oleh ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat dalam seminar "PAS ganti Umno" anjuran lajnah penerangan dan dakwah PAS Pusat. -harakahdaily


Ulasan GB

Persoalan pokok, mampukah PAS dan ahlinya berubah?

Senario yang ada kita melihat PAS dan ahlinya terlalu ingin kemenangan tetapi tidak ada kesungguhan di dalam setiap usaha yang dilakukan untuk mencapai kemenangan.

Ahli-ahli PAS benci dan takut dengan kritikan. Apabila blog seperti blog GB mengkritik parti komponen Pakatan Rakyat cepat saja dianggapnya GB sebagai blogger UMNO yang menyerang, tidak dihargai ulasan-ulasan kita untuk memperbaiki dan memperkemaskan parti.

Maunya, biar hanya yang indah-indah dipaparkan. Yang jelek sekalipun ada hendaklah disorokkan. Cukup dah katanya kita dah dihentam oleh media UMNO BN. Biar media PR dan blogger menyajikan perkara baik dan wangi sahaja tentang PR.

Sedangkan kebenarannya, yang pahit itulah ubat untuk ditelan supaya "demam" PR segera sembuh. Hanya anak-anak kecil yang manja takut memakan "ubat yang pahit".


Sewaktu sebelum PRK Galas, Pemuda PAS menganjurkan Ijtima' Tarbawi dengan laporan 5,000 pemuda berhimpun di Rusila dan ia merupakan pelancaran jentera PAS untuk PRK Galas tersebut.

Jika setiap seorang dari peserta Ijtima berkenaan dapat mencari seorang saja penugundi, kita sudah dapat 5,000 pengundi dan boleh menang. Tetapi PAS hanya memungut 4,134 undi, maka kita kalah. Itupun tidak dapat disandar kesemua 4,134 undi hanya usaha Pemuda. Ini bererti Ijtima Pemuda di Rusila itu sepatutnya dibedah dan diberikan penilaian terhadap keberkesanannya.

Contoh terkini, tatkala PAS berforum di Shah Alam dengan tajuk "PAS Sedia Ganti Umno", rakyat marhain yang ada di antaranya sedang bersusah payah di Kedah kerana banjir, ada pesawah sedang menitis air mata kerana tidak tahu apakah kesudahan nasibnya selepas ini, ada di mana-mana di dalam negara ini, seorang petani sedang menghitung wang syiling dari tabung untuk mencari sesuap nasi, ada pemanjat pokok kelapa yang sedang memetik buah untuk menanggung anak-anak yang sedang di bangku sekolah, ada pemetik kelapa sawit yang sedang menderita kerana pokoknya lawas tidak menghasilkan buah yang baik dan pelbagai lagi kisah rakyat yang masih susah. Apa usaha PAS / PR untuk mereka?

Kita hanya menjengah dan mengetuk pintu mereka sewaktu pilihanraya diadakan. Sebelumnya?

Kita berijtimak, berforum, berseminar di bilik hawa dingin tentang sesuatu yang muluk-muluk untuk menyedapkan hati, dan kita mendakwa bahawa kita adalah "kerajaan menanti" sedangkan pesawah, petani dan pemanjat pokok kelapa itu sedang menggelengkan kepalanya dengan menyatakan di dalam hati mereka, "ada kamu semua jengah kami? Kamu serupa saja dengan mereka, aku tetap begini juga".

Hal ini yang berlaku di Manek Urai, Bagan Pinang, Galas dan Batu Sapi.

Hal ini mengingatkan saya tentang kisah Umar Al-Khattab. suatu malam menyamar menjadi rakyat jelata dan menyusuri kampung-kampung kecil di Madinah. Di sebuah tempat, ia berhenti karena melihat seorang perempuan tengah merebus batu kerana tidak punya gandum untuk ditanak. Anak si perempuan menangis tak henti-henti karena lapar. Perempuan itu merebus batu, untuk membujuk anaknya, agar berhenti menangis.

Umar terperanjat. Nuraninya tersodok. Ia cepat-cepat balik dan langsung menuju gudang tempat penyimpanan gandum. Umar bin Khatab mengambil satu karung gandum dan memikulnya di atas bahunya sendiri. Ketika seorang pembantunya ingin membantu mengangkat karung gandum itu, Umar berkata, “Apakah kau sanggup memikul dosaku kerana aku membiarkan umatku kelaparan, sementara aku tak memberinya makan?" Umar kembali menuju rumah perempuan miskin itu dan memberikan gandum itu agar mereka bisa makan dengan semestinya.

Siapakah diantara pemimpin PAS / PR yang ada melakukan ini?

Setahu GB ramai pula yang semakin sibuk mengira-ngira berapa yang hendak dibelanjakan untuk membesarkan rumah, menggantikan kenderaan dan seumpamanya. Dan bagi parti pula, sibuk nak pakai karpet warna apa, bilik air-cond yang mana untuk kita berseminar lagi bulan depan!

Rakyat di solok teluk, petani di hujung tanjung dan tulisan/perkataan blogger macam GB dipersampahkan sebab kata mereka "you all are nobody!". Mentang-mentang pilihanraya jauh lagi.

Kami hanya mampu menjawab "terima kasih".

Tetapi ingat pesan GB, di Padang Masyar nanti, berkemungkinan ada tapak kaki petani itu diangkat Allah lebih bercahaya atau lebih mulia dari wajah seorang YB!

Korban Merapi Meningkat 240

Kepuharjo: Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat yang tertimbus di beberapa kampung di lereng Gunung Merapi, menjadikan jumlah korban letupan gunung itu meningkat kepada 240 orang, semalam.

Sementara itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada ratusan ribu penduduk di pusat perlindungan supaya tidak pulang ke kediaman mereka memandangkan keadaan gunung di Jawa Tengah itu masih berbahaya.

“Kami tidak tahu dan tidak boleh meramalkan bila letupan besar akan berlaku lagi.

“Kerana itu, penduduk perlu kekal di pusat perlindungan sehingga penilaian terbaru dilakukan,” kata pakar gunung berapi kerajaan, Subandrio.

Menurutnya, aktiviti gunung berapi itu masih berstatus berjaga-jaga.

Sebahagian besar yang mati itu tertimbus di bawah lahar dan batu yang dimuntahkan gunung berkenaan apabila ia meletup 5 November lalu, yang terbesar dalam tempoh lebih 100 tahun.

Sementara itu, penyelaras sukarelawan, Makbul Mubarak berkata, 139 penduduk Kampung Sleman, antara kawasan paling teruk terjejas akibat letupan itu, masih hilang.

Katanya, kebanyakan yang hilang itu adalah orang tua dan dewasa. - AFP

Salah Orang, Janda Yang Ditangkap Itu Bukan Saya

Janda ditangkap itu bukan saya’

KAMPUNG BENDANG MAN - Gara-gara sikap orang ramai yang mudah membuat spekulasi mengikut andaian sendiri, seorang ibu tunggal terpaksa menanggung malu walaupun bukan kesalahannya tetapi dia dituduh melakukannya.

Menurut Rokiah Abdullah atau dikenali sebagai Ani, 44, berkata, dia baru menyedari perkara tersebut kelmarin setelah diberitahu oleh seorang jiran yang kesian melihat dirinya difitnah tanpa usul periksa.

Katanya, perkara itu terjadi selepas Sinar Harian melaporkan kisah mengenai suami orang ditangkap berkhalwat dengan seorang janda oleh Pejabat Agama Daerah Sik (Pads) di Lata Mengkuang pada 21 Oktober lalu.

“Dalam berita tersebut, secara kebetulan kisah wanita yang ditangkap itu mempunyai sedikit persamaan dengan diri saya iaitu dua kali menjanda dan mempunyai lima anak, namun umur wanita tersebut adalah 37 tahun.

“Pada mulanya saya tidak menyedari apa-apa, kerana sewaktu berita itu keluar saya tidak sempat membelinya (akhbar Sinar Harian), tetapi setelah semakin ramai orang menyangka wanita yang ada dalam gambar itu adalah saya, saya bertekad untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Rokiah berkata, dia terkilan dengan sikap sesetengah pihak yang suka melemparkan tohmahan tanpa usul periksa sehingga menjejaskan kesejahteraan hidup orang lain terutamanya dalam kalangan insan bergelar janda.

“Semenjak dari itu saya mula dipandang sinis oleh segelintir penduduk kerana mereka menyangka saya yang melakukannya tambahan pula keadaan fizikal wanita tersebut lebih kurang saya, tetapi gambar muka dikaburkan untuk mengelakkan dari dikenali.

“Perasaan malu saya semakin menebal ketika mengunjungi majlis kenduri di kampung, walaupun tidak melakukannya tetapi sangkaan orang mengatasi segalanya dan perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan maruah saya,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima orang anaknya kini telah meningkat dewasa, yang sulung berusia 25 tahun dan mempunyai seorang anak, manakala anak kedua menolongnya menoreh getah, seorang di sekolah menengah serta dua anak bongsunya baru tamat sekolah rendah.

“Bagi menjernihkan kembali keadaan dan mengubah persepsi orang kampung, saya berani tampil ke depan untuk menjelaskan perkara yang sebetulnya dan saya sama sekali tidak terlibat dalam kes tersebut.

“Saya percaya sekiranya tohmahan seperti ini berterusan akan menjejaskan kehidupan kami sekeluarga, terutamanya anak-anak yang baru meningkat remaja sedangkan semua tohmahan tersebut tidak berasas sama sekali,” katanya. -SH

Sepasang Kekasih Dicekup Ketika Tidur Berduaan

Pandan Indah - Sepasang kekasih yang sedang lena dibuai mimpi terkejut apabila Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu di salah sebuah unit kondominium di Pandan Perdana, awal pagi semalam kerana disyaki berkhalwat.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, operasi kira-kira jam 3 pagi itu dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat serta aduan orang awam.

“Setibanya di lokasi, didapati pintu rumah tidak dikunci dan keadaan ruang tamu agak gelap. Setelah lampu rumah dibuka, kami mendapati pasangan tersebut tidur di ruang tamu.

“Anggota penguat kuasa terus memperkenalkan diri setelah mengejutkan pasangan terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebelum pihaknya menyerbu rumah dipercayai disewa teman wanita pasangan itu, pegawai Masjid Al-Azmin mendapati pintu rumah itu ditampal ‘angpow’ Tahun Baru Cina dan beberapa tanglong bertujuan bagi mengaburi jiran tetangga dan pihak penguatkuasa.

Ahmad Nawi berkata, ketika tangkapan, lelaki berkenaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, manakala teman wanitanya berpakaian lengkap dan berseluar pendek.

“Pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk membolehkan pihaknya membuat laporan.

“Kami hanya menjalankan tindakan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabitkan kesalahan mereka boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada masa sama, pegawai Masjid Al-Azim turut menjalankan Operasi Cegah Maksiat yang bermula pada jam 12.30 malam hingga jam 7 pagi di beberapa kawasan tumpuan seperti di Bukit Langat, Bukit Permai dan pihaknya turut memantau di beberapa kawasan sekitar taman permainan dan padang di Pandan Indah, Pandan Jaya dan Pandan Perdana dalam usaha memerangi aktiviti tidak bermoral.

“Seramai 90 remaja ditahan di dalam operasi itu di beberapa lokasi berasi- ngan, pihak kami turut berhadapan dengan beberapa remaja yang ‘keras kepala’ ketika kami melakukan operasi di Bukit Langat.

“Bagaimanapun perkara tersebut berjaya dikawal setelah kami memberi penerangan dan taklimat ringkas kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nawi berkata, pihaknya telah mengambil maklumat kesemua remaja terbabit dan mereka perlu menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Pandan Indah.

“Tindakan tegas akan diberikan jika mereka ingkar dan tidak menghadiri sesi kaunseling tersebut,” katanya.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan di bawah Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Kami tidak teragak-agak menyerahkan mereka kepada pihak Jais untuk dikenakan tindakan lanjut apabila didapati melakukan perbuatan yang sama berulang serta ingkar menghadiri sesi kaunseling tanpa memberi alasan kukuh.

”Saya berharap mereka dapat memberi kerjasama atau berhadapan tindakan tegas daripada Jais,” katanya. -SH

Tangan Kiri Kanak-kanak Yang Ditetak Disambung Semula

Adik nak air

KUANTAN: “Adik nak air,” demikian kata Anas Safian Efa Rizal, 3, kanak-kanak malang yang menjadi mangsa amukan ‘ala mafia’ seorang lelaki tidak dikenali dipercayai bermotifkan cemburu di rumah pengasuhnya di Flat Alor Akar, di sini, kelmarin.

Ibu kanak-kanak itu, Suhana Mohamad, 33, memaklumkan Anas berkata demikian sejurus sedar selepas sembilan jam menjalani pembedahan menyambung semula tangan kirinya yang cedera parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki berkenaan dalam kejadian mengerikan itu.

Katanya, Anas mula sedar kira-kira jam 6 pagi semalam selepas menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin yang berakhir kira-kira sembilan jam kemudian.

“Perkara pertama dia katakan kepada saya yang dia nak air selain memaklumkan yang dia sakit. Dia cakap hendak minum saja tapi tidak mahu makan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Suhana (gambar) berkata, doktor yang melakukan pembedahan memaklumkan tangan kiri Anas berjaya disambung dan menunjukkan perkembangan baik.

“Kata doktor darah mula mengalir dan ibu jarinya yang hampir terputus berjaya disambung.

“Sebelum pembedahan dilakukan, doktor memaklumkan jika ia tidak dapat disambungkan, kemungkinan besar pergelangan tangan kirinya dipotong, namun saya bersyukur semuanya selamat,” katanya yang turut memaklumkan doktor memberi tempoh seminggu untuk mengetahui perkembangan lanjut keadaan itu.

Menurutnya, sehingga kini Anas masih diberi pengawasan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) HTAA.

Sementara itu, pengasuh Anas, Suziana Hopiah, 24, memaklumkan Metro Ahad, beliau menafikan tuduhan suspek yang mendakwa dia dan suami, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, menyembunyikan isteri lelaki berkenaan di rumah mereka.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengatakan adik saya menyorokkan isterinya (suspek) di rumah saya, kami tak pernah sembunyikan sesiapa, apatah lagi isteri orang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Suhana berkata, dia tidak pernah mengenali isteri suspek dan tidak tahu sama ada adiknya mempunyai hubungan dengan wanita itu seperti didakwa.

“Saya dan suami memang tak kenal wanita itu dan tidak tahu menahu mengenai hal adik saya yang menetap di Rantau Abang, Terengganu,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini polis masih meneruskan usaha memburu suspek berusia 30 an itu. -hm

Projek Mega Telan Nyawa, Mayat Beum Ditemui

Johor Bahru – Seorang pekerja yang sedang mengendalikan jentera pengorek pasir hilang bersama sejumlah peralatan selepas sebahagian daripada kawasan tebus guna projek mega Lido Boulevard berhadapan Zoo Johor di sini tiba-tiba tenggelam malam kelmarin.

Gambar: SEBUAH bot pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mengesan Mohd. Nor di tempat kejadian (dalam bulatan) di Pantai Lido, Johor Bahru semalam.

Selain Mohd. Nor Miskan, 36, turut hilang ialah tiga jentera pengorek termasuk yang sedang dikendalikannya, dua buah kontena serta dua mesin penjana kuasa.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, Mohd. Nor sedang menjalankan kerja menambak laut kira-kira 100 meter dari pantai sebelum sebahagian daripada kawasan projek yang berpasir di situ tenggelam.

Setakat pukul 7 malam tadi, mayatnya belum ditemui.

Kakak mangsa, Hani Masra, 40, berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu oleh rakan mangsa tidak lama selepas kejadian.

“Dia (Mohd. Nor) sudah merancang hendak melawat ibu kami yang sudah dua hari dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat barah leher tetapi tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam. -kosmo

Kemalangan Maut Libatkan 2 Pelajar UiTM

2 penuntut UiTM maut nahas

Gambar: KEADAAN kereta yang dinaiki empat sahabat pelajar UiTM yang terbabit dalam kemalangan maut di KM 47.7 berhampiram susur keluar Tol Alor Setar Utara, 7 pagi ini. Dalam kejadian itu dua maut, dua lagi parah. Foto: Syaharim Abidin

ALOR SETAR: “Malam Rabu lalu, arwah Syazwan bersalaman dengan saya dan berkata tak sabar untuk mengikut rakannya ke Pulau Pinang.

“Saya pelik kerana dia nampak tergesa-gesa pada malam itu. Saya tak sangka itu antara tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Muhd Najib Zakaria, 18, rakan Syazwan Azizan, 19, yang maut bersama seorang lagi rakannya, Azrul Hadi Azizzan, 18, manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 47.7, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Syazwan dan Azrul Hadi maut, manakala Muhammad Aiman Ismail, 18, patah tangan dan kaki, sementara pemandu kereta, Faris Abdul Ghani, 18, cedera ringan selepas kereta Perodua Viva dinaiki terbabas dan melanggar pokok.

Keempat-empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menziarahi ibu Azrul Hadi di Pulau Pinang.

Muhd Najib berkata, dia pelik dengan sikap Syazwan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Teh di kalangan rakan sekuliah sebelum dimaklumkan rakan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Sementara itu, bapa saudara Azrul Hadi, Abdul Rahman Omar, 68, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Arwah mungkin pulang ke rumah kakaknya di Pulau Pinang untuk menziarahi ibunya yang mengalami darah tinggi. Sejak bapanya meninggal dunia tiga bulan lalu, ibunya Mariam Md Saman, 45, mengikut anak perempuannya ke Pulau Pinang.

“Saya tak sangka arwah pergi terlebih dulu daripada kami. Dia seorang yang periang dan selalu mendengar kata orang tua,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Difahamkan, empat sahabat baik itu mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perladangan di UiTM berkenaan dan baru mendaftar masuk ke universiti itu pada Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab berkata, empat penuntut lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Arau, Perlis.

“Kereta Perodua Viva dipandu Faris dikatakan cuba mengelak ‘objek’ melintas di lebuh raya menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

Hishamuddin Tak Pandang Serius Kejadian Warga Nigeria Loloskan Diri

Kejadian dua warga Nigeria lolos diri tidak jejas keselamatan negara - Hishamuddin

KLUANG -- Kejadian dua tahanan warga Nigeria yang berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen dua hari lepas, tidak menjejaskan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata bagaimanapun, kementeriannya memandang serius perkara itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap dua pegawai Imigresen yang mengiringi kedua-dua tahanan berkenaan.

"Dalam hal berkaitan negara, saya sudah kata, kita (KDN) akan mengambil tindakan tegas, tidak kira orang luar atau pegawai kita sendiri sekiranya tindakan mereka menjejaskan keselamatan negara.

"Sudah tiba masanya kita serius hal-hal berkaitan pintu masuk negara dan saya cukup yakin mereka yang terlibat bukan sahaja bertaubat, tetapi menjadi pengajaran kepada pegawai lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali anjuran Parlimen Sembrong dekat di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua pegawai berkenaan kini digantung tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan, dan pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

Insiden pada 11.30 malam itu berlaku ketika dua warga Nigeria berkenaan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Sebelum itu, mereka ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran. Dalam perkembangan lain, Hishammuddin meminta anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis, supaya kekal di kedua-dua negeri untuk tempoh seminggu lagi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

"Kebanyakan anggota ini datang dari negeri lain. Kalau air sudah surut, kita izinkan mereka pulang, tetapi kita juga tidak menghadapi masalah untuk menggerakkan mereka semula sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata anggota polis, JPAM dan Rela yang berada di Kedah dan Perlis kini menumpukan usaha membersihkan tempat ibadat, sekolah dan taman perumahan di kedua-dua negeri. -- BERNAMA

berita sebelum ini.


Dua Tahanan Warga Nigeria Lolos Ketika Dalam Perjalanan Ke KLIA

Dua warga Nigeria berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal, Rabu malam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam berkata kedua-dua lelaki tersebut sebelum ini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran.

Bagaimanapun, difahamkan van Jabatan Imigresen yang membawa Solomon Udo Eneh dan Osuji Chinedu, bersama seorang lagi warga Palestin, singgah di sebuah stesen minyak sebelum dua lelaki yang bergari itu bertindak melarikan diri.

Mahmood berkata dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, dua pegawai Imigresen yang mengiringi tahanan tersebut telah digantung tugas dan usaha menjejak dua warga Nigeria itu sedang berjalan dengan bantuan polis.

"Pasukan petugas khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

Bagaimanapun, katanya, warga Palestin yang berada dalam kenderaan itu tidak melarikan diri dan dia rela dihantar pulang ke negara asalnya. -BERNAMA


Ulasan GB

Kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan bahawa kejadian dua tahanan warga Nigeria yang berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen dua hari lepas, tidak menjejaskan keselamatan negara itu amat merbahaya.

Ini bererti beliau tidak memandang kejadian seumpama itu sebagai serius.

Kini, dimana anda nak cari dua warga kulit hitam yang dah lepaskan diri itu? Ia seperti menunjukkan kepada kita betapa lemah Jabatan Imigresen dan lemah juga kementerian dan menterinya!

Menteri KDN sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya. Beliau sepatutnya meletakkan jawatan.