14 Nov 2010

Tangan Kiri Kanak-kanak Yang Ditetak Disambung Semula

Adik nak air

KUANTAN: “Adik nak air,” demikian kata Anas Safian Efa Rizal, 3, kanak-kanak malang yang menjadi mangsa amukan ‘ala mafia’ seorang lelaki tidak dikenali dipercayai bermotifkan cemburu di rumah pengasuhnya di Flat Alor Akar, di sini, kelmarin.

Ibu kanak-kanak itu, Suhana Mohamad, 33, memaklumkan Anas berkata demikian sejurus sedar selepas sembilan jam menjalani pembedahan menyambung semula tangan kirinya yang cedera parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki berkenaan dalam kejadian mengerikan itu.

Katanya, Anas mula sedar kira-kira jam 6 pagi semalam selepas menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin yang berakhir kira-kira sembilan jam kemudian.

“Perkara pertama dia katakan kepada saya yang dia nak air selain memaklumkan yang dia sakit. Dia cakap hendak minum saja tapi tidak mahu makan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Suhana (gambar) berkata, doktor yang melakukan pembedahan memaklumkan tangan kiri Anas berjaya disambung dan menunjukkan perkembangan baik.

“Kata doktor darah mula mengalir dan ibu jarinya yang hampir terputus berjaya disambung.

“Sebelum pembedahan dilakukan, doktor memaklumkan jika ia tidak dapat disambungkan, kemungkinan besar pergelangan tangan kirinya dipotong, namun saya bersyukur semuanya selamat,” katanya yang turut memaklumkan doktor memberi tempoh seminggu untuk mengetahui perkembangan lanjut keadaan itu.

Menurutnya, sehingga kini Anas masih diberi pengawasan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) HTAA.

Sementara itu, pengasuh Anas, Suziana Hopiah, 24, memaklumkan Metro Ahad, beliau menafikan tuduhan suspek yang mendakwa dia dan suami, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, menyembunyikan isteri lelaki berkenaan di rumah mereka.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengatakan adik saya menyorokkan isterinya (suspek) di rumah saya, kami tak pernah sembunyikan sesiapa, apatah lagi isteri orang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Suhana berkata, dia tidak pernah mengenali isteri suspek dan tidak tahu sama ada adiknya mempunyai hubungan dengan wanita itu seperti didakwa.

“Saya dan suami memang tak kenal wanita itu dan tidak tahu menahu mengenai hal adik saya yang menetap di Rantau Abang, Terengganu,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini polis masih meneruskan usaha memburu suspek berusia 30 an itu. -hm

2 ulasan:

  1. jenayah makin meningkat dibawah pemerintahan BN, ganti kerajaan pusat PRU13

    BalasPadam
  2. Macam-macam gila manusia sekarang sehingga sanggup menetak kanak-kanak yang tidak berdosa. Dia tak fikir ke kalau anak dia sendiri yang kena tetak, bagaimana perasaannya dan bagaimana merana anak tersebut dengan kesakitan. Semoga didakwa dengan kesalahan yang menjatuhkan hukuman yang paling berat terhadap penetak kanak-kanak tersebut.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.