9 Nov 2010

Tren KTMB Tergelincir Berhampiran Stesen Bukit Timah Singapura

Khidmat tren antara bandar ke selatan terganggu: KTMB

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Antara Bandar ke selatan terganggu berikutan kegelinciran tren KTM Antara Bandar di Kilometer 773.0 di Stesen Bukit Timah, Singapura, pada 8.17 pagi tadi.

Tren yang terbabit adalah tren Ekspress Rakyat dari Singapura ke Butterworth, Pulau Pinang yang bertolak pada 8 pagi yang membawa 60 orang penumpang dari Singapura.

"Penumpang yang terbabit telah dibawa semula ke Stesen Tanjung Pagar di Singapura dan tambang sepenuhnya dipulangkan. Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan," menurut KTMB dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan tren lain yang terjejas ialah Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura di mana perkhidmatannya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Singapura ke Butterworth pula akan dibatalkan dan tren itu hanya akan bermula dari Stesen KL Sentral ke Butterworth.

Selain itu, perkhidmatan tren Ekspres Senandung Sutera dari Kuala Lumpur ke Singapura akan ditamatkan di Stesen JB sentral dan ia dijangka lewat.
Bagi perkhidmatan Ekspres Senandung Sutera dan Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke Kuala Lumpur, tren dari Singapura akan dibatalkan dan akan bermula dari JB sentral.

Bagi perkhidmatan Ekspres Sinaran Selatan dari Kuala Lumpur ke Singapura, tren hanya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral manakala perkhidmatan Ekspres Senandung Timuran dari Singapura ke Tumpat, Kelantan dibatalkan dan tren itu akan bermula dari JB Sentral.

Bagi Ekspres Sinaran Timuran pula dari arah Tumpat ke Singapura, tren akan ditamatkan di Stesen JB Sentral sementara bagi Tren Shuttle dari Kuala Lipis, Pahang ke Singapura dan balik ke Kuala Lipis dengan perkhidmatannya bermula dan tamat di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Tren Shuttle Singapura ke Gemas, Negeri Sembilan dan Singapura, akan dibatalkan.

"Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmtan yang dibatalkan atau pun menukar semula tarikh perjalanan. Kerja-kerja mengalihkan gerabak dan membaik pulih landasan sedang dijalankan dan landasan dijangka pulih pagi esok," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan KTMB boleh dihubungi di talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB 1-300-88-5862. - BERNAMA

Siapa MB Yang Pernah Nak Jadikan Selangor Salah Satu PIG COUNTRIES?

MB Selangor perli Khir boleh jadi tak pernah belajar perakaunan

SHAH ALAM, 9 Nov — Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa kerajaan Selangor bakal menjadi “PIGS countries”, yang bakal bankrap mengikut langkah Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol.

Dr Khir membuat tanggapan sedemikian atas alasan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim terus mengamalkan belanjawan defisit, bukannya bajet berimbang yang dipopularkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri, semalam.

“Akan datang Selangor akan dibandingkan, dengan izin, ‘PIGS countries’, bukan merujuk kepada negara penternak babi tetapi merujuk kepada Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol (PIGS) yang berdepan dengan masalah kewangan dengan serius,” kata Dr Khir (gambar) pada sidang DUN Selangor.

Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang berkata demikian kerana perbelanjaan negeri pada 2009 defisit sebanyak RM65.98 juta.

Beliau menjangkakan, Bajet 2010 juga akan terus defisit minimum sebanyak RM114 juta berbanding anggaran pendapatan asal iaitu sebanyak RM1.35 bilion.

Ini kerana menurut Dr Khir, kerajaan negeri pada April lalu telah mendapat peruntukan tambahan RM69 juta.

Pada Julai lalu, tambah Khir, kerajaan negeri sekali lagi mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta.

Pada sidang DUN semasa, kata beliau, kerajaan negeri turut memohon peruntukan tambahan RM8 juta.

“Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini (2010) ialah RM194 juta, jumlah keseluruhan Belanjawan 2010 adalah sebanyak RM1.494 bilion,” jelas Dr Khir.

Bagaimanapun, Khalid, Menteri Besar Selangor menerusi satu kenyataan media petang tadi menafikan jangkaan perbelanjaan yang didedahkan Dr Khir.

“Boleh jadi dia (Dr Khir) tidak pernah belajar perakaunan atau belanjawan, belanjawan adalah satu proses, bukan satu kesimpulan.

“Jadi, belanjawan itu akan ditinjau atau dinilai semula.

“Ada belanjawan berimbang dan ada belanjawan tidak berimbang, oleh itu perkara yang mengatakan (anggaran) belanjawan mesti tidak berubah tak ada,” kata beliau.

Beliau turut menafikan dakwaan Dr Khir bahawa kononnya Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat turut mengamalkan perbelanjaan defisit seperti kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Walaupun defisit pada bulan Disember (2009), tetapi pada bulan Jun tahun ini kita telah meningkatkan simpanan rizab negeri (sebanyak) RM285 juta... merupakan peningkatan tertinggi sejak lima tahun lalu,” kata beliau.

Sehubungan itu, Khalid menasihatkan Dr Khir supaya tidak hanya menuduh kerajaan negeri bakal bankrap sekiranya beliau ikhlas mahu membangunkan kerajaan negeri.

“Perdana Menteri Malaysia yang mengamalkan perbelanjaan defisit yang jumlahnya bukan RM200 juta, jumlahnya ialah RM20 bilion hingga RM40 bilion.

“Kalau kerajaan negeri itu berbelanja (defisit) tak sampai RM200 juta, bayangkan kalau kekurangannya (kelemahan kerajaan pusat) sehingga RM20 (defisit)... perbincangan ‘loyar buruk’ (Dr Khir) ini tidak boleh digunakan.

“Kalau dia (Khir) takut Selangor bankrap, dia kena memberitahu Perdana Menteri kerana Perdana Menteri adalah ialah menjalankan belanjawan defisit,” jelas Khalid sambil meminta rakyat mengetepikan dakwaan Selangor bankrap oleh bekas menteri besar itu. -TMI

Ulasan GB

Yang hampir membankrapkan Selangor, setahu rakyat ialah sewaktu Khir Toyo menjadi MB. Kes Disneyland, sampai bawa berpuloh ahli keluarga menelan belanja jutaan ringgit. Kes beli apartmen mewah di Mekah menggunakan wang Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), kes istana Khir di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 Shah Alam yang berharga RM24 juta dan banyak lagi.

Selangor yang diperli oleh Khir jadi one of the PIGS COUNTRIES pun sebenarnya di zaman Khir Toyo. Pendedahan Ketua biro pertanian tradisional MCA Datuk Dr Lee Chong Meng mengenai sebuah syarikat bumiputera (berkepentingan Umno) terlibat dalam projek ladang babi yang diluluskan oleh Kerajaan BN bawah pimpinan Dr.Khir Toyo.

Siap ada bukti bergambar lagi. Individu yang menjadi kepala menentang projek babi dan menjadi dalang demonstrasi iaitu Dr. Karim ialah individu yang dalam gambar disamping kandang babi. Beliau dilaporkan terlibat dalam melawat kandang Babi di Jerman, kononnya untuk membawa teknologi ladang babi Jerman ke Selangor.



Saifuddin Cuba Memperbodohkan Ahli PKR

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini hanya enam aduan rasmi diterima berhubung perjalanan pemilihan pimpinan tertinggi PKR.

Sekali gus, beliau menyisihkan dakwaan dua calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sebelum ini bahawa lebih banyak aduan dibuat terhadap perjalanan pemilihan PKR.

"Di tengah hiruk pikuk ini, jawatankuasa pemilihan pusat hanya terima enam aduan secara rasmi.

"Kenapa masih riuh di luar sedangkan hanya enam aduan diterima," kata Saifuddin dalam sidang media di ibu pejabat parti itu petang ini.

Jelasnya, tiga daripada aduan tersebut masing-masing diterima dari Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Katanya, pemilihan juga akan diteruskan di sebanyak 133 cabang lagi. -mk


Pemilihan pusat PKR tetap diteruskan, kata SU Agung

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan pemilihan langsung yang berlangsung sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.

Ketika menyatakan pendirian tegas parti itu petang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga menolak dakwaan Datuk Zaid Ibrahim bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi.

“Adakah ini akan memberi kesan ke atas proses (pemilihan)? Tidak, kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini.

Saifuddin juga menegaskan bahawa daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan pengundian, Zaid menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang.

Dalam pada itu seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang memberikan kata dua kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi, menang di 11 cabang.

“Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,” kata Saifuddin. -TMI


Ulasan GB

1) Saifuddin berkata, "kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi", jika benar dapat sokongan kuat dari akar-umbi, kuat yang macamana? Bukan beliau sendiri mendedahkan 38 cabang menyokong Zaid dan hanya 37 cabang menyokong Azmin? Kuat apanya? Bukankah sokongan akar umbi kuat pada Zaid?

2) Betulkah hanya 6 aduan rasmi? Sedangkan kenyataan media calon Timbalan Presiden mendedahkan hari ini terdapat 162 aduan?


Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.


Bab itu pun masih nak menipu Saifuddin?

3) Saifuddin berkata lagi: “Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,”. Main kasar nampak. Itulah jawapan yang sama Saifuddin beri semasa tewasnya YB Kamarul Baharin bin Abbas di cabang Port Dickson. Kata Saifuddin kalau kita ada manipulasi tentu YB kamarul Bahrain tak kalah.

Jawapan saya, kamu malang kerana kamu tak dapat nak mempengaruhi semua. Penipuan kamu tidak menyeluruh. Kerana Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Berkuasa, menyekat laluan kamu untuk menipudaya. Dan kini Allah akan mendedahkan lagi kepincangan dan konspirasi kamu-kamu di pimpinan tertinggi.

Jawapan Saifuddin itu sama dengan jawapan UMNO satu ketika dulu bila UMNO membela SPR kononnya SPR bertindak adil dan telus. Kata mereka, "jika SPR tidak adil, pembangkang tak boleh menang walau satu kerusi pun di Parlimen, tak boleh rampas satu negeri pun di negara ini."

Kemudian apa jawapan kita masa itu?

Kita kata, jika SPR benar-benar telus dan adil, kita dah jadi pemerintah Malaysia pada hari ini!


So Saifuddin, janganlah nak kelentong berlebih-lebihan.

Kamu boleh berdegil untuk meneruskan pemilihan. Tetapi Mustaffa dan Zaid juga berhak untuk meneruskan tindakannya. GB berdoa agar Allah memenangkan Zaid dan Mustaffa yang sedang dizalimi oleh sebab sifat kebinatangan pimpinan tertinggi PKR termasuk kamu Saifuddin untuk memenangkan calon pilihan kamu, Azmin namanya.


Pemilihan PKR Terus Pincang. Chegu Bard Akui Pernah Hantar Bantahan Rasmi

Chegu Bard akui pernah hantar bantahan rasmi

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard hari ini mengakui pihaknya ada menghantar bantahan rasmi kepada Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Chegu Bard, beliau telah mengemukakan dokumen bantahan rasmi kepada Ibu Pejabat PKR yang didedahkan oleh individu misteri kepada FMT sebelum ini, kira-kira dua minggu lalu sebelum bermulanya pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Aduan rasmi itu sebenarnya dah lama dihantar, semasa pemilihan MPP belum mula lagi, tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Pihak kami juga tidak menerima sebarang maklum balas dari JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) berhubung status aduan itu".

Demikian beritahu beliau kepada FMT ketika diminta mengulas pendedahan dokumen bantahan rasmi yang didedahkan kepada FMT oleh sumber yang mendakwa dirinya sebagai kakitangan Ibu Pejabat PKR.

Ketika ditanya kemungkinan beliau mengenali individu yang membocorkan dokumen terbabit, beliau memberitahu sehingga kini beliau tidak dapat memikirkan mana-mana individu yang berkemungkinan.

"Saya belum dapat gambaran jelas tentang apa yang anda beritahu ini.

Tadi, saya cuma mengetahui perkara ini apabila diberitahu oleh seorang teman yang menghubungi saya tetapi masih belum sempat baca laporan yang disiarkan itu," kata beliau lagi.

Beliau juga memberitahu sehingga kini pihaknya tidak bercadang untuk mendedahkan kepada media berhubung bantahan-bantahan yang telah dibuat pihaknya.

Sedia dokumen bantahan

Sementara itu, calon ahli AMK Pusat, Zulkifli Ibrahim turut mengakui beliau bertanggungjawab menyediakan dokumen bantahan tersebut untuk dimajukan kepada ibu pejabat parti.

Beliau yang namanya ditulis dalam surat tersebut sebagai Ketua Penyelaras Kempen Anak Muda Penerus Perjuangan Reformasi turut tidak dapat menjangka mana-mana individu dari Ibu Pejabat PKR yang mendedahkan dokumen bantahan tersebut.

"Saya tidak dapat mengesyaki sesiapa di HQ (ibu pejabat). Tak semua kakitangan di sana saya kenal. Tetapi nampak jelas yang dia melihat kepincangan berlaku dalam pemilihan parti.

"Mungkin untuk langkah berjaga-jaga, jadi sebab itulah dia mahu merahsiakan indentitinya," ulas Zulkifli lagi.

Sebelum ini, FMT telah menerima satu dokumen bantahan rasmi yang didakwa tiada tindakan diambil oleh JPP dalam Pemilihan PKR daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai kakitangan Ibu Pejabat PKR. -FMT

Lagi Isu RON95: Kerajaan Akan Kaji Punca Kenderaan Terbakar

Punca kenderaan babit nahas terbakar dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang untuk melaksanakan kajian berhubung punca kenderaan terbakar selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata kementerian memandang serius perkara itu walaupun bilangan kemalangan membabitkan kenderaan terbakar dan menyebabkan mangsa rentung kecil.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang kajian, tetapi kementerian akan melihatnya secara serius dan membuat penyelidikan berhubung perkara itu.

“Kajian itu akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Bahagian Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kenderaan terbakar dan yang terbaru membabitkan empat saudara termasuk bekas wartawan Berita Harian apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah treler bermuatan kelapa lalu terbakar di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Pahang, 6 November lalu.

Terdahulu, Abdul Rahim merasmikan majlis pelancaran Bengkel Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Malaysia-Sweden Kali ke-3, di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Besar Sweden di Malaysia, Per-Arne Hjelmborn dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Mengulas wujudnya spekulasi penggunaan petrol RON95 adalah punca kenderaan terbakar pula, beliau berkata orang ramai tidak boleh membuat sebarang andaian kerana tiada kajian saintifik membuktikan perkara itu.

“Setakat ini kita tidak mengetahui penyebab sebenar kenderaan yang terbabit kemalangan terbakar. Kita akan buat kajian untuk mengetahui puncanya terlebih dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan juga akan berbincang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keperluan menyediakan perkhidmatan ambulans di lebuh raya bagi menyelamatkan mangsa kemalangan sekali gus mengurangkan angka kematian.

“Syarikat konsesi lebuh raya mungkin boleh membantu menyediakan perkhidmatan ambulans berpusat di plaza tol kerana kemalangan yang berlaku di lebuh raya berkemungkinan jauh dari hospital dan ia menyulitkan operasi menyelamat mangsa,” katanya.

Mustaffa Beri 48 Jam Untuk PKR Hentikan Pemilihan 2010

Calon timbalan presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub memberi amaran pihaknya akan mengambil yang lebih tegas 'demi mempertahankan prinsip keadilan' sekiranya desakan supaya pemilihan PKR 2010 diberhentikan dalam tempoh 48 jam, tidak diendahkan.

"Pemilihan kepimpinan pusat Keadilan sedang berlangsung sejak 28 Oktober 2010. Sehingga kini terdapat 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hari ini, beliau dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden PKR dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat (JPP).

"Antara lain dalam memorandum ini kami mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan perlembagaan parti dalam Kongres Khas Jun 2009.

"Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil.

"Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang di antara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi,"
tambahnya.

Oleh itu, Mustaffa berkata, pihaknya juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini.

"Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.

Semalam, seorang lagi calon timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim membuat pengumuman mengejut untuk menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

Selain itu, Zaid yang juga pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan juga mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam PKR. -mk


Kenyataan Media dari Mustaffa Kamil Ayub
KENYATAAN MEDIA

9 NOVEMBER 2010

PEMBATALAN DAN PENJALANAN SEMULA PEMILIHAN PARTI KEADILAN RAKYAT 2010

Pemilihan Kepimpinan pusat Keadilan sedang berlangsung sejak 28hb. Oktober 2010. Sehingga kini terdapat 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Antara lain dalam memorandum ini kami mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada bulan Jun 2009.

Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil (clean, free and fair election). Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.

Kami juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.

Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.

“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”

MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden KEADILAN


Ulasan GB

Demikian ketegasan Mustaffa untuk mempertahan "kebenaran dan keadilan", bukan pertahankan sebarang individu di dalam parti dan beliau kini tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Akhirnya selari dengan kebenaran dan keadilan yang juga dibawa oleh Zaid Ibrahim sebelum ini.

Akhirnya nanti kebenaran dan keadilan juga bakal mendedahkan konspirasi pimpinan tertinggi PKR yang tidak berkecuali tetapi berusaha untuk menaikkan Azmin Ali di kerusi Timbalan Presiden dengan cara yang keji dan kotor. Anwar Ibrahim dalangnya!

Kebenaran dan keadilan akan menang akhirnya dan ia juga akan menjatuhkan semua pemimpin PKR yang jahat-jahat itu yang terlalu berani untuk menipu ahli-ahlinya, seluruh rakyat dan Tuhan Yang Maha Menyaksikan.

Doa di Kelab GB semalam akhirnya dimakbulkan Allah s.w.t.


Dan marilah kita berdoa beramai-ramai supaya kita sentiasa berada di dalam kebenaran dengan doa yang diajarkan oleh Nabi kita:

"Alahumma arinal haqqa haqqan, warnuqna tiba'ah
wa arinal bathila bathilan, warzuqnaj tinabah"


Ya Allah ya Tuhanku, tunjukkan kami kebenaran itu kebenaran dan pimpinlah kami ke arahnya dan tunjukkan kami kebatilan itu kebatilan dan pimpinlah kami untuk menjauhinya".


GB doakan selamat berjaya kepada kedua-dua orang ini, Zaid dan Mustaffa di dalam usahanya membersihkan dan mengembalikan perjuangan sebenar PKR.

GB amat yakin dengan perjuangan GB selama ini kerana bersandarkan doa yang GB bacakan itu.

Sidang Media Zaid Dan Mustaffa Dedah Manipulasi Pemilihan PKR

Lagi dakwaan manipulasi pemilihan PKR, didakwa pencalonan AMK diubah

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Di sebalik kecacatan didakwa menyelubungi pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (PKR), dakwaan terbaru mengatakan pegawai-pegawai dalaman parti telah memmanipulasi senarai pencalonan dibuat cabang-cabang tertentu.

Dakwaan terbaru menunjukkan perubahan dibuat ke atas senarai pencalonan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)iaitu sayap pemuda PKR.

Jawatan itu disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai “Chegubard”.

Dakwaan itu digariskan dalam surat yang dihantar kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhir bulan lalu, beberapa hari sebelum pemilihan pusat bermula.

Salinan surat diperoleh The Malaysian Insider semalam — pada hari calon jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding, juga dipanjangkan kepada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Pencalonan bagi semua jawatan pusat berakhir pada 3 Oktober lalu dan kesemua cabang dikehendaki memanjangkan senarai pencalonan kepada ibu pejebat sebelum 10 Oktober dan mereka yang dinamakan dikehendaki menerima pencalonan pada 16 Oktober.

Pengundian pemilihan pusat dijalankan mulai 29 Oktober lalu. Setakat ini pengundian telah dijalankan selama hari membabitkan 87 cabang dan tinggal lagi lima hari.

Shamsul Iskandar kini berada di depan dalam jumlah undi dikumpulkan mengatasi Badrul Hisham yang mendahului saingan tiga hari pertama.

Dalam surat itu yang dihantar kepada pucuk kepimpinan sebelum pemilihan pusat bermula 29 Oktober lalu, mendakwa pencalonan cabang Tampin menamakan Badrul Hisham untuk jawatan Ketua AMK pusat tetapi telah ditukar kepada Shamsul Iskandar kemudian.

“Setelah diteliti dari pangkalan data pusat, kami menyedari bahawa beberapa cabang lain turut ditukar pencalonan.

“Ini merupakan satu pencabulan demokrasi yang serius,” kata surat itu yang ditulis oleh Exco AMK pusat Zulkifli Ibrahim.

Bagaimanapun usaha menghubungi Zulkifli gagal sehingga berita ini ditulis.

Dalam surat itu, Zulkifli menamakan dirinya Ketua Penyelaras Kempen Anak Muda Penerus Perjuangan Reformasi

Surat itu meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera menyelesaikan isu berkenaan.

Sistem pemilihan pusat PKR memerlukan seseorang memperoleh hanya dua pencalonan untuk bertanding dan jumlah pencalonan dilihat tidak memberi kesan besar memandangkan setiap ahli berhak keluar mengundi memilih pemimpin.

“Jika nama boleh bertukar bagaimana pula dengan jumlah undi nanti,” kata surat itu.

Malah menurut surat itu lagi, dari sumber sebuah laman sosial Facebook pula melaporkan dinding pegawai penting AMK yang dibayar gaji oleh parti mengakui bahawa pencalonan boleh diubah berdasarkan niat tertentu.

Malah katanya, pegawai tersebut juga terlibat secara langsung dalam JPP.

“Ini amat menyedihkan apabila pentadbiran AMK pusat dalam keadaan celaru dan banyak perlu diperbaiki, dalam keadaan AMK cabang terpaksa mesyuarat tanpa kit manual mesyuarat tetapi ada pegawai bergaji dalam pengurusan AMK (secara sengaja atau tidak) sibuk berkempen untuk calon tertentu termasuk dirinya sendiri.

“Malah terlibat dalam ketidaktelusan yang berlaku. JPP harus bertindak segera,” katanya.

Surat itu menambah, keadilan bukan sahaja perlu dilaksana tetapi perlu dilihat dilaksana.

“Kesempatan dalam pemilihan ini juga seharusnya digunakan sepenuhnya oleh semua untuk memperbaiki parti.

“Selain menuding jari menyalahkan sabotaj pihak luar yang memang tak dinafikan wujud, kita juga seharusnya berjiwa besar memperakui kelemahan sendiri dan memperbaiki.

“Maka sejarah besar peristiwa berani yang ingin kita cipta dalam melebar demokrasi dalam parti akan lebih bermakna. Ubah sebelum parah, ubah demi maruah,” kata surat itu lagi.

Ahad lalu, Saifuddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat boleh dibeli.

Semalam, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian. -TMI


Anwar, Azmin punca segala masalah PKR, kata Zaid

Datuk Zaid Ibrahim hari ini terus membidas kepimpinan PKR dengan mencadangkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presidennya, Azmin Ali harus berundur.

"Anwar dan Azmin mesti berundur kerana mereka punca segala masalah,” kata Zaid.

Apabila diminta wartawan mengulas lanjut kenyataannya, Zaid berkata Azmin perlu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR yang sedang berlangsung manakala Anwar pula harus berundur dari kepimpinan parti.

"Saya berpendapat Anwar mempunyai banyak sangat isu peribadi dan Azmin juga mempunyai banyak isu. (Azmin) perlu banyak lagi belajar,” katanya. -mk


Ulasan GB

Semalam GB telah menulis dengan tajuk "Siapa Mahu Peduli Dengan Anwar Lagi Selepas Ini?"

Biasalah, ada yang menyokong ada yang menentang.

Yang terlihat, yang menentang tidak menampilkan hujjah aqli dan naqli, hanya berkisar menurut perasangkaan dan terjahan melulu tanpa ilmu.

GB kemudian menjelas di bahagian komentar. Begini penggulungan hujjah GB:

Kita perlu membela "keadilan" untuk Anwar, bukan membela "Anwar" untuk keadilan.

Itu dua perkara yang berbeza. Ramai yang keliru sehingga perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan tiba-tiba bertukar menjadi perjuangan menegakkan Anwar dan kroninya.

Sewaktu Saidina Ali menjadi Khalifah, pernah satu ketika seorang Yahudi telah mencuri baju besi beliau. Saidina Ali menyedari perkara ini lalu membawa kes ini ke pengadilan hakim. Walaubagaimanapun beliau tidak mempunyai bukti dan saksi bahawa Yahudi tersebut mencuri baju besi beliau. Lalu hakim memutuskan baju besi tersebut menjadi hak milik Yahudi.

Namun sekalipun Yahudi itu terlepas, ini tidak bermakna Yahudi itu perlu disokong. Islam tidak menyokong Yahudi berkenaan tetapi melepaskannya kerana tiada saksi yang dpt ditampilkan oleh Saidina Ali sekalipun memang baju besi itu memang kepunyaan Saidina Ali.

Perbuatan "salah tetap salah" sekalipun di dunia mungkin terlepas.

Jika sistem kehakiman itu yang tidak adil, maka sistem kehakiman yang adillah yang kita perjuangkan, bukan Anwar yang perlu diperjuangkan.

Oleh itu kita jangan keliru.

Seorang mukmin sebenar tidak akan terpelosok ke lubang biawak dua kali, kata Nabi.

Ya, begitulah reformis dan blogger sebenar tidak akan tertipu dua kali.


Kemudian GB menambah lagi:

Jika kita membela "keadilan" untuk Anwar maka keadilan itulah yang tertegak.

Sebaliknya jika kita membela "Anwar" untuk keadilan, "Anwar"lah yang tertegak, bukan keadilan. (tambahan kemudian)

Sekali lagi GB kata, jangan keliru.

Jika perjuangan itu kerana Allah, maka yang pertama, iaitu perjuangkan keadilan untuk Anwar, itulah yang benar, bukan yang kedua.

Wallahu 'alam.


Warga Tua Parah Ditetak Jiran - Pandu 600 Meter Berlumuran Darah Dptkan Bantuan

Tumpat: Seorang warga tua terpaksa memandu dalam keadaan berlumuran darah sejauh 600 meter bagi mendapatkan bantuan keluarganya, selepas ditoreh 15 kali oleh jiran sekampung yang berang ditegur menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik.

Dalam kejadian jam 10.30 malam di Kampung Bahagia dekat Chabang Empat di sini, Mohamad Salleh, cedera di kepala, badan dan lengan akibat diserang dengan senjata tajam dipercayai kelewang oleh penyerang berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan selepas polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes itu bersama isterinya.

“Mangsa dalam keadaan stabil dengan kesan kecederaan di kepala, muka, belakang badan dan tangan serta tikaman di bahagian badan sebelah pinggang kanan.

“Mangsa dipercayai ditetak dengan kelewang sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan mangsa menegur kegiatan suspek yang selalu menangkap ikan menggunakan renjatan elaktrik serta dendam lama suspek kepada mangsa,” katanya semalam.

Khalid berkata, setakat ini polis sudah merampas baju suspek dan baju mangsa serta senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak mangsa, Siti Hajariah, 21, berkata bapanya sudah dipindahkan daripada HRPZII ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam untuk menjalani pembedahan.

“Saya sedang tidur ketika dikejutkan ibu, Faridah Musa, 49, apabila melihat ayah balik ke rumah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Siti Hajariah berkata, walaupun cedera parah, bapanya masih boleh bercakap dan menceritakan kejadian yang berlaku serta individu yang menyerangnya.

“Ayah memaklumkan dia menegur lelaki terbabit yang menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membuang sampah.

“Berikutan teguran itu, lelaki terbabit menyerang ayah dengan senjata tajam,” katanya. -BH

Hospital Cuai, Remaja Terima Darah HIV Kini Menderita AIDS

Remaja terima darah HIV kini hidap AIDS

Gambar: MUHD. KHAIRUN memeluk remaja lelaki malang yang kini dijangkiti AIDS di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang remaja yang dijangkiti virus HIV sejak 11 tahun lalu gara-gara kecuaian kakitangan Hospital Segamat, Johor semasa melakukan pemindahan darah ke atasnya berterusan setelah dia kini disahkan menghidap AIDS.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu dikesan menghidap AIDS sejak empat bulan lalu.

Dia dijangkiti virus HIV ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat sewaktu diserang penyakit kuning ketika umurnya tiga tahun.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pemindahan darah tersebut dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada keluarga remaja itu.

"Pihak hospital mengakui kesilapan yang mereka lakukan dan memberi pampasan sebanyak RM100,000 bagi meringankan beban pesakit. Bagaimanapun, ia jumlah yang amat kecil dan dianggap tidak berpatutan dengan kesalahan yang mereka lakukan.

"Lebih malang, remaja itu sekarang hidup menderita apabila disahkan menghidap AIDS oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sel darah putihnya semakin berkurangan," katanya di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini semalam.

Menurutnya, remaja tersebut kini terpaksa menjalani rawatan yang terperinci di HKL akibat implikasi penyakit berbahaya tersebut kerana terdapat jangkitan kuman pada limpanya. -kosmo

Kes Pikat Daphne Iking Ke Mahkamah Majistret Semula

Mahkamah hantar semula kes pikat Daphne ke Mahkamah Majistret

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menghantar semula kes saman peribadi berhubung dakwaan memikat model dan pengacara Televisyen, Daphne Iking, ke Mahkamah Majistret bagi perbicaraan.

Panel tiga hakim, diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, membuat arahan itu selepas membatalkan permohonan rujukan kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan berhubung perlembagaan, dengan pihak yang berkenaan bebas memfailkan semula permohonan itu selepas selesai perbicaraan.

Zaki berkata, majistret perlu memutuskan fakta kes sebelum pihak yang terbabit boleh memohon untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan di sisi perlembagaan.

"Kita tidak jawab soalan undang-undang tanpa fakta atau soalan andaian." katanya yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif.

Zaki kemudian mengarahkan supaya perbicaraan kes itu didengar awal di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 29 November ini.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan terdapat merit pada permohonan Daren Choy Khin Ming untuk isu membabitkan Perlembagaan Persekutuan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan yang dicabar termasuk kesahihan Seksyen 498 Kanun Keseksaan di mana kes saman itu disandarkan.

Bekas suami Iking, Ryan Chong Chong Yiing Yih, 32 sudah mengemukakan saman peribadi terhadap Choy 45, kerana memikat Iking, 31, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Iking berkahwin dengan Chong pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel Daniella Iking-Chong.

Pasangan itu bagaimanapun, bercerai pada 2008.

Choy diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader manakala Chong pula oleh Wong Kian Kheong. - BERNAMA


Women are silly enough to be 'enticed'?

KUALA LUMPUR, Malaysia: A beautiful Malaysian celebrity has found herself in the middle of an extraordinary court case in which her husband has accused another man of 'enticing' his wife.

Ms Daphne Iking, 30, is a familiar face on Malaysian TV as a presenter and TV show host.

She married Mr Ryan Chong in January 2007 on the resort island of Bali and the couple now have a daughter Isobel, who is 21 months old.

Mr Chong has dragged Mr Choy Khin Ming, a managing director, to court under Section 498 of the Penal Code for 'enticing or taking away or detaining with a criminal intent a married woman', The Star newspaper reported.

On Thursday, Mr Choy, dressed smartly in a white shirt and black trousers, stood in the dock as his lawyers and Mr Chong's lawyers appeared before magistrate Mohd Faizi Che Abu, the report said.

The appearance of two other lawyers took the court by surprise but one of them said that they were there to hold a watching brief for Ms Iking, the newspaper added.

One of the lawyers, Ms Pushpa Ratnam, told the magistrate that she would make a formal application to challenge the summons and the constitutionality of Section 498.

'It is archaic and no longer has a place in society,' she was quoted as saying.

'It is a total affront to women to suggest that we can be so easily enticed and stupid enough to be enticed.'

Ms Iking, 30, who is from Sabah, first made her foray into TV several years ago as the host of Explorace, a Malaysian reality show much like the Amazing Race. She is featured regularly in magazines, advertisements and TV commercials.

The current case has raised eyebrows and attracted a lot of interest in Malaysia because of her celebrity status. Her father, Mr Moses Iking, is a politician in Sabah.

According to a Star online report in 2006, the couple first met in October 2005 on the set of a TV series. Mr Chong was the executive producer at the time while she was one of the stars of the show.

They started dating in 2006 and after a six-month courtship, Mr Chong proposed to her in July. Friends had asked her if she was doing the right thing after such a short courtship.

She insisted they were a perfect match.

'Ryan is a brilliant young businessman. I am a Catholic Kadazan from Sabah and he is also a Christian, so spiritually we are one,' she was quoted as saying in the report.

In an interview with The Star last year, Ms Iking recalled how she had started working at a very young age for the things she wanted in life.

'I started waitressing at the age of 15 because I so badly wanted a pair of rollerblades,' she had said.

She later took up part-time work while studying for her degree and then her master's in broadcasting and communications at Universiti Sains Malaysia.

On Thursday, the lawyers representing the two men got into a heated argument over an application to adjourn the trial. Mr Choy's lead counsel Jagjit Singh sought an adjournment on the grounds that he had just recovered from a heart ailment and needed more time to study the case. But the lawyer for Mr Chong, Mr Wong Kian Kheong, argued that the trial could continue and suggested to the court that Mr Jagjit conduct cross-examinations in October.

Mr Mohd Faizi adjourned the case and said that Mr Jagjit could cross-examine in October if he felt unwell.

This article was first published in The Straits Times.


RON95 Cetus Api Dalam Kemalangan? Fomca Gesa Kerajaan Kaji Dakwaan

Kaji dakwaan RON95 cetus api dalam nahas

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.

“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.

“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.

Sabtu lalu, empat bersaudara rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

Mohd Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kecuaian pemilik kenderaan menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.

“Kini kebanyakan pemilik kenderaan gemar mengubah suai kenderaan di bengkel yang tidak bertauliah sehingga berlaku masalah pendawaian yang memudahkan kenderaan terbakar,” katanya. -hm

Treler Terbakar Di Senawang, Rombongan PM Austria Ke Melaka Tergendala Seketika

Seremban: Laluan ke selatan di Km 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang mengalami kesesakan sepanjang tiga kilometer hampir dua jam tengah hari tadi apabila sebuah treler terbabas, terbakar dan melintang di lorong ke selatan lebuh raya itu.

Gambar: Rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria Dr Heinz Fischer (belakang kereta peronda polis) untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika ekoran sebuah treler yang sarat membawa kayu terbakar dan melintang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 12 tengah hari di Kilometer 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang dekat sini hari ini.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian tengah hari itu, treler membawa muatan kayu bergergaji sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar.

"Pemandu lori itu Mohd Khatib Ahmad, 26, tidak mengalami kecederaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria, Dr Heinz Fischer untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika.

Rombongan itu terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu.

Jurucakap PLUS berkata, keadaan pulih pada 2 petang apabila laluan itu dibuka semula. - BERNAMA