2 Nov 2010

Peruntukan Parlimen Diagihkan Kepada Ketua Bahagian UMNO, PAS Perlu Bertindak

SDO mengaku peruntukan diberi kepada ketua Umno bahagian

KUALA LUMPUR, 2 Nov: "Sory YB! Kita beri kepada Ketua Bahagian Umno. Ini arahan yang kita terima." Ini adalah jawapan Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Wilayah Persekutuan kepada anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Jawapan ini diberikan beliau ketika Dr Lo' Lo' (gambar) bersemuka dengannya dan bertanya, "Siapa yang menghabiskan peruntukan untuk saya selaku anggota Parlimen Titiwangsa?"

Kedua-duanya bertemu dalam majlis taklimat tentang program e-Kasih di bangunan Parlimen tidak lama dahulu.

Perkara ini diceritakan oleh Dr Lo' Lo' dalam satu kenyataan yang dibuat kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan BN tidak menyalurkan peruntukan RM1.5 juta untuk setiap kawasan Parlimen kepada para ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ia hanya diberikan kepada anggota Parlimen BN dan ditempat yang BN kalah, peruntukan itu diberikan kepada ketua bahagian Umno.

"Namun dasar Umno/BN yang kolot dan takut berhadapan secara profesional di padang yang sama rata menyebabkan peruntukan tersebut masuk kantung ketua bahagian Umno," kata Lo' Lo'.

Namun begitu, katanya, semua 10 anggota Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur telah berjaya menunjukkan politik baru yang tidak berdasarkan perkauman tetapi berdasarkan keperluan dan keutamaan.

"Kita layan rakyat sama sahaja, tanpa mengira warna kulit," cerita Lo' Lo' dalam kenyataan ketika mempertikaikan ucapan Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang berkata, Umno tidak memerlukan undi Cina dan India.

Bagi beliau, kenyataan Datuk Johari Ghani itu umpama terlajak perahu boleh ditarik balik, terlajak kata buruk padahnya.

Bagi beliau, Datuk Johari telah menunjukkan warna sebenar Umno.

"Mereka hanya perlukan undi orang Cina, orang India dan bukan Melayu secara am. Bila perkiraan matematik mereka menunjukkan Umno akan selamat dengan sokongan orang Melayu, mereka tidak segan silu menyebut tidak akan sembah orang Cina dan India.

"Alhamdulillah mereka tak sembah orang bukan Melayu untuk undi. Jika tidak berat kes sebab kita orang Islam sepatutnya sembah Allah bukan sembah orang atau kaum lain," peringat Lo' Lo' dalam kenyataannya.

Lo ' Lo' sekali lagi memperingatkan, rakyat di kawasan beliau sangat memerlukan pertolongan dan Umno jelas telah membiarkan mereka selama ini.

"Bayangkan di Titiwangsa ni sahaja seramai 700 ibu tunggal yang sepatutnya layak dapat bantuan, hanya 67 orang sahaja yang ada dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Apa wakil rakyat dulu buat? Itu baru isu ibu tunggal, belum lagi isu OKU, pesakit kronik, warga emas, pesakit mental dll," katanya.

Selain itu, beliau juga kesal dengan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak mengambil berat isu pendatang asing yang berniaga memenuhi kawasan Chow Kit yang terletak dalam kawasan Parlimen beliau.

"Belum lagi cerita Chow Kit yang telah dijajah oleh PATI. Bagaimana gerai-gerai PATI boleh dibina atas kaki lima? Bila minta DBKL bertindak, jawapannya gerai-gerai itu kepunyaan orang tempatan yang merupakan ahli/ajk beberapa persatuan peniaga.

"Siapakah ahli/ajk persatuan ini? Sebahagian besar merupakan ajk cawangan Umno yang berselerak. Rupanya yang menggadai Chow Kit bukan Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng dari DAP tetapi Umno sendiri," tempelak beliau.

Kerana pelbagai isu itulah, kata Lo' Lo', apabila beliau membuka pusat perkhidmatan, berduyun-duyun yang datang meminta bantuan dan perkhidmatan dari pejabat beliau yang terletak di Kampung Baru.

"Bila saya buka pusat khidmat di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, berduyun-duyunlah orang yang datang. Orang Melayu, Cina, India, Sikh silih berganti datang.

"Semuanya kita layan dan lakukan apa yang termampu. Yang tidak mampu ialah bagi duit sebab memang tak ada duit. Kalau ada beras, staf saya akan beri beras kepada yang memerlukan. Penagih dadah pun ramai datang," cerita Dr Lo' Lo' lagi.

Beliau sekali lagi menempelak Datuk Johari yang berkata sudah membuka pusat khidmat Umno di Desa Pandan yang lebih canggih dari pusat khidmat beliau.

"Duit kita dia dah rembat. Cuba bagi RM1.5 juta kepada anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat uruskan, alamat sakitlah mereka. Kita akan beri kepada rakyat secara langsung dan telus," kata beliau lagi. -harakahdaily

Ulasan GB

Dr Lo' Lo' sepatutnya sebaik saja mendapat jawapan itu dari Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Wilayah Persekutuan, telah pun membuat laporan polis dan SPRM mengenai kecurangan kementerian.

Ia adalah bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.

Tetapi YB-YB PAS yang dah ada bukti bahawa peruntukan itu diberikan kepada Ketua Bahagian UMNO tidak berbuat apa-apa.

Saya tidak faham kenapa Presiden PAS sendiri selaku ketua organisasi tidak mengajar, tidak memberitahu atau tidak menunjuk-ajar kepada YB-YB PAS agar segala lahlaku pegawai kerajaan diambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan SPRM.

Apakah tidak ada penggembelengan inisiatif dan pelan bertindak bersama terhadap isu-isu yang melibatkan tekanan pusat ke atas wakil-wakil rakyat PAS?

Apakah tidak ada lansung koordinasi diantara YB-YB PAS ini sehingga masing-masing bertindak seperti anau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing?

Setiap kali kita menganjurkan supaya diadukan kepada Polis dan SPRM, ada suara menyatakan, ah polis dan SPRM pun tidak akan ambil tindakan. Memang benar, tetapi ia perlu dilakukan untuk perhatian rakyat dan untuk dijadikan asas mengheret kerajaan ke mahkamah secara kolektif.

Inilah yang saya rasa PAS perlu lebih pro-aktif di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Bukan sekadar melawat kawasan tetapi menaburkan benih kosong kerana tiada peruntukan.

Organisasi PAS perlu disusun semula. Kita tidak boleh mengharap dah memerintah kerajaan pusat baru kata berkemampuan nak menolong rakyat. Habis sekarang rakyat dah beri kita peluang sebagai YB, apa-apa sekatan yang menyebabkan terhalangnya kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat perlu ditentang dan dihpuskan. Jika tidak mampu bersendirian, lakukan secara kolektif. Kita kan ada Lajnah Undang-undang. Takkan Lajnah Undang-undang hanya untuk membela YB-YB yang ditahan berdemonstrasi sahaja untuk dapat kemenangan dan habuan peribadi.

Kita khuatir nanti rakyat akan menolak kita di dalam pilihanraya akan datang. Why bother to vote for PAS, they dont have the allocation, they can't help us even a penny, tempelak mereka nanti.

Kita telah pun diserang dengan pelbagai cara oleh Kerajaan Pusat, sekarang juga sepatutnya kita mengambil tindakan pantas mendakwa mereka di mahkamah di atas segala perbuatan salahlaku yang membelakangkan semangat Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Sekadar menjeritkannya di dalam ceramah atau mengadu kepada harakahdaily tidak dapat menolong.

Tindakan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jayekumar sebelum ini yang mengheret Kerajaan ke mahkamah adalah betul. Baca sini.

Perarakan Satu Malaysia: Habuan RM100 Setiap Seorang

Perarakan Satu Malaysia: Satu Orang, Satu Ratus Ringgit

Perarakan bukan lagi "budaya Barat" yang mengancam ketenteraman masyarakat, sebaliknya setiap pesertanya dibayar ganjaran "Seratus Ringgit Malaysia", seandainya mengambil bahagian dalam perarakan Satu Malaysia dalam PRK Galas, semalam.

Namun demikian, ganjaran ini diberi secara senyap-senyap, tanpa mahu didedahkan kepada media. Wartawan MerdekaReview menerima khabar pada jam 9.50 pagi ini, bahawa peserta perarakan Satu Malaysia yang dianjurkan semalam boleh menuntut ganjaran RM100, dengan menunjukkan kad pengenalan mereka.

Bagaimanapun, penduduk tempatan yang menerima wang enggan berterus-terang kepada wartawan. Ada yang mendakwa "ada pemeriksaan darah percuma" di tingkat atas, ada pula yang berkata "ada tiket jamuan malam". Makcik-makcik yang turun dari tingkat atas melipat sampul surat putih dan memasukkannya ke dalam kocek, meninggalkan situ secara tergesa-gesa.

Ketika wartawan MerdekaReview sampai ke tingkat atas, kononnya tempat di mana wang diberikan, seorang wanita yang berpakaian "Satu Malaysia" dengan kolar merah kelihatan berada di situ. Terdapat juga beberapa helai senarai nama dalam bahasa Malaysia, dan nombor kad pengenalan yang disalin menggunakan tangan. Penduduk yang mengelilinginya meletakkan kad pengenalan di atas meja, menunggu untuk dikenalpasti.

Wartawan MerdekaReview cuba bertanya, sama ada itu aktiviti "pemeriksaan darah percuma", dibalas wanita tersebut dengan, "Ya, tapi dulu". Apabila wartawan menyusul dengan soalan lain, wanita tersebut menjelaskan bahawa mereka sekadar mendaftarkan peserta jamuan malam. Ini kerana pertubuhan yang menyebarkan konsep "Satu Malaysia" telah tiba di Gua Musang untuk menjamu penduduk tempatan.

Isyarat tangan: RM100 diberi

Kemudian, wartawan pula bertanya penduduk yang berada di tingkat bawah. Mereka dengan tegas menafikan bahawa mereka mengambil wang, malah seorang lelaki berpakaian T-shirt merah menekankan bahawa penduduk sekadar datang untuk mengambil tiket jamuan, dan tiada wang diberikan. Wartawan mendesak dengan pertanyaan berapa orang dalam senarai namanya, ataupun berapa orang yang mendaftarkan diri, namun soalan-soalan ini enggan dijawabnya.

Wartawan mendapati makcik-makcik yang turun ke tingkat bawah mempunyai sampul surat putih dalam koceknya. Mereka menerima isyarat daripada penganjur, yang disyaki didalangi MCA, enggan ditemuramah wartawan, dan meninggalkan tempat kejadian dengan terburu-buru.

Tetapi, seorang makcik yang turun dari tangga memberi isyarat kepada wartawan bahawa wang diberikan di tingkat atas. Wartawan MerdekaReview menunggu di kawasan berdekatan untuk hampir sejam, dan menanya seorang lelaki yang turun dari tingkat atas.

Beliau mengangguk secara senyap, ketika ditanya sama ada wang diberikan di tingkat atas. Wartawan menyusul dengan pertanyaan sama ada "RM500 diberikan", beliau menafikan sambil ketawa, dan memberi isyarat tangan bahawa RM100 diberikan.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi, wartawan cuba untuk naik ke tingkat atas sekali lagi. Kebetulan wartawan terserempak dengan dua orang wanita yang sedang turun dengan sampul surat putih di tangannya. Seorang daripadanya dengan tangkas memasukkan sampul surat ke dalam begnya, sementara seorang lagi memasukkan ke dalam koceknya dan meninggalkan tempat kejadian sambil berlari.

Taukeh kedai yang berdekatan bertanya wartawan, "Kamu ada menyertai perarakan Satu Malaysia semalam? Naik tangga, bagi dia tengok kad pengenalan, kemudian kamu akan dapat RM100."

Selepas itu, beberapa orang penduduk menyerahkan sampul surat berwarna putih itu kepada wartawan, yang ditulis nombor siri dengan pen merah, juga tertera perkataan "Food and Lodging". Dua helai RM50 didapati di dalam sampul.

Seorang penduduk tua memberitahu MerdekaReview, mereka dibasahi hujan ketika menyertai perarakan Satu Malaysia semalam, maka ia dianggap sebagai "elaun" kepada apa yang tertimpa ke atasnya (dibasahi hujan).

Apa yang menarik, walaupun pertubuhan "1Malaysia" ini mendakwa diri mereka badan bukan kerajaan yang bebas, tetapi lelaki dari tangga atas yang memberi penjelasan kepada wartawan tadi turut mengedarkan risalah untuk aktiviti "berdialog" dengan Menteri dan Timbalan Menteri dari MCA, iaitu Liow Tiong Lai dan Wee Ka Siong. Risalah ini tertera nama cawangan MCA Kota Gua Musang. -MR

Ulasan GB

Bila PAS nak beri wang pengangkutan RM250 untuk rakyat Galas balik mengundi laju jer SPR beri amaran menyatakan ia adalah wang sogokan disambut pula oleh golongan UMNO yang resah gelisah dengan tindakan PAS itu.

Sekarang depan mata UMNO tabur wang sogokan malam tadi, kenapa SPR senyap membisu?

Rakyat dapat saksikan, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah Timbalan Pengerusi yang paling membodek UMNO yang SPR ada selama ini.



Hukuman Mati Keatas Polis Yang Membunuh Along Spoon Kekal

Bunuh Along Spoon: Hukuman mati ke atas anggota polis kekal

PUTRAJAYA: Seorang anggota polis tetap menjalani hukuman mati selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon (gambar), 11 tahun lalu.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang mendapati Lans Koperal Mohamed Ya'cob Demyati bersalah terhadap tuduhan membunuh Sabi'ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Sewaktu keputusan itu diumumkan, Mohamed Ya''cob, 44, dari cawangan pengawal pengiring Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kelihatan tenang.

Abdull Hamid yang mengumumkan keputusan itu berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah apabila menerima maklumat daripada Mohamed Ya'cob mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan yang membawa kepada penemuan mayat Sabi'ul atau lebih dikenali sebagai Along, di KM 28, Jalan Kuala Klawang Genting Peras.

Selain maklumat mengikut Seksyen 27 itu, Abdull Hamid berkata, terdapat keterangan mengikut keadaan yang membawa kesimpulan bahawa Mohamed Ya'cob membunuh Along.

Beliau berkata, terdapat keterangan menunjukkan bahawa Mohamed Ya'cob adalah orang terakhir bersama dengan si mati, malah seorang saksi pendakwa Mohd Fadzil Mohd Yatim juga memberi keterangan bahawa beliau diminta oleh Mohamed Ya'cob untuk meninggalkan mereka (Ya'cob dan Along) di tempat di mana mayat Along ditemui kemudian.

Selain itu, kata beliau, terdapat keterangan bahawa Mohamed Ya'cob menyoal si mati berkali-kali dengan suara yang keras tentang hubungannya (Along) dengan isterinya (Ya'cob).

Mohamed Ya'cob, yang juga pengawal peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 dan ke-11 pada 1999, didakwa membunuh penyanyi berusia 19 tahun itu, di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada 1 pagi 26 Disember 1999.

Along yang popular dengan lagu "Rindu Serindu-Rindunya" dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 dan polis kemudian menjumpai rangka manusia dipercayai penyanyi itu, yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, pada 6 Januari 2000.

Pada 29 Ogos 2008, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Ya'cob terhadap sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya. Dalam keputusannya itu, Abdull Hamid tidak bersetuju dengan hujah peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohamed Ya'cob bahawa anak guamnya tidak diberikan satu perbicaraan yang adil kerana hakim Mahkamah Tinggi mengambil kira-kira lima tahun dan lima bulan untuk menyediakan asas penghakimannya.

Abdull Hamid berkata, bukan semua kelewatan boleh membatalkan semua prosiding mahkamah.

Katanya, Mahkamah Tinggi telah memberikan keputusannya pada 10 April 2002, iaitu sebulan, empat hari selepas selesai mendengar perbicaraan kes itu, oleh itu, tidak boleh mengaitkan isu kelewatan dengan hak Mohamed Ya'cob untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, Mohamed Ya'cob memberitahu Mohd Fadzil bahawa dia mensyaki isterinya ada hubungan dengan si mati.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.-Bernama

BN Selama Ini Tidak Pedulikan Titi-titi Di Batu Sapi Reput & Uzur

Jika calon BN jatuh laut di Kelantan

Katakanlah kawasan Parlimen Batu Sapi yang sedang berdepan pilihan raya kecil kini letaknya di negeri Kelantan diperintah PAS. Andaikan juga calon mewakili parti pembangkang negeri yang dua kali menerima musibah terjatuh ke laut di sana adalah dari sebuah parti mewakili Barisan Nasional (BN).

Rasanya tidak sukar dibayangkan reaksi dan luahan dukacita bersangatan dari para pemimpin BN di atas kejadian tersebut. Hampir tidak akan ada pemimpin parti itu, kecil mahu pun besar, tua dan muda yang berlumba-lumba mengambil kesempatan menyuarakan kekecewaan mereka.

Tidak cukup dengan para pendokong dan penjuak parti, tokoh-tokoh ternama masyarakat yang kononnya tidak terlibat politik juga ada kemungkinan diminta memberikan pandangan mereka. Akan ada ahli akademik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat yang dirakam komentar mereka, terutama dari perspektif keselamatan sosial dan keselesaan hidup rakyat.

Dapat juga diduga bagaimana serius dan berlumba-lumbanya media-media talibarut BN menggemariuhkan insiden calon pembangkang jatuh ke laut itu. Barangkali sudah tersumbat telinga mendengar leteran dan kutukan serta sudah naik berbulu mata kita melihat gelagat melebih-lebih para penjuak dan pengampu BN mengulas insiden itu diulangsiar saban hari oleh media elektronik, cetak dan siber.

PAS selaku parti pemerintah kerajaan negeri dengan mudah dilabelkan gagal melaksanakan pembangunan, sehingga tidak berupaya menjamin keselamatan rakyat. Seperti lazimnya, sorotan dan ulasan mereka akan berpanjangan hari ke hari. Ia diseret berjela-jela dipenuhi berbagai andaian negatif dan analisa berat sebelah.

Bahkan, satu ungkapan wajib yang rasanya tidak akan ketinggalan disebut para pemimpin BN dan pengulas media dalam keadaan itu ialah dakwaan kononnya rakyat amat menyesal memilih PAS sebagai pemerintah. Akan ada juga dakwaan kononnya para pengundi di kawasan Batu Sapi, “Kelantan” sudah serik dengan PAS dan bertekad memilih BN pula dalam pilihan raya Khamis nanti.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari BN-PBS, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 26 Oktober menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon-calon BN-PBS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN diwakili Naib Ketua Wanita PBS, Datin Linda Tsen Thau Lin, yang juga isteri mendiang Edmund. PKR diwakili Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah, manakala SAPP diwakili Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Kebetulannya, pilihan raya berkenaan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan. Justeru, keghairahan BN mengulangi tabiatnya menjaja isu pembangunan sebagai modal kempen kembali menguasai suasana di sana.

Galas, yang baru dua tahun ditawan PAS, didakwa mundur dan tersisih dari arus pembangunan, sepertimana keseluruhan Kelantan juga. Ia dibahasakan kepada kegagalan kerajaan negeri ditadbir PAS memajukan kawasan Hulu Kelantan itu.

Berbagai isu menyentuh kepentingan rakyat dibongkar dan ditonjolkan, terutama oleh media talibarut BN. Dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan dan keselesan penduduk adalah lumrah.

Itu belum lagi calon BN di Galas terjatuh sungai ketika berkempen ke mana-mana destinasi dalam kawasan berkenaan, sepertimana dialami Ansari di Batu Sapi.

Setakat ini sudah dua kali calon PKR itu mengalami musibah serupa. Kali pertama pada 27 Oktober, apabila jeti diperbuat daripada kayu yang sudah usang di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, runtuh secara tiba-tiba.

Ketika kejadian, kira-kira 10 petugas PKR sedang melalui jeti berkenaan. Ansari bersama pengurus kempennya, Oting Enchi dan seorang wartawan sebuah televisyen portal terjatuh ke laut.

Kejadian hampir sama berulang lagi ke atas Ansari dua hari berikutnya. Beliau bersama empat petugas PKR terjatuh ke dalam laut ketika sedang berjalan ke sebuah rumah atas air di Kampung Gas, apabila pelantar pejalan kaki ke rumah tersebut runtuh.

Tidak ada satu pun kenyataan kesal oleh mana-mana pemimpin BN disiarkan media talibarutnya. Jauh sekali untuk mereka, selaku pemerintah kerajaan Pusat dan negeri Sabah, memohon maaf di atas kedaifan prasarana awam di situ.

Sebaliknya, media pro-BN masih sempat mempersenda Ansari dan seolah-olah menggambarkan insiden mencemaskan itu sebagai hanya satu babak menggelikan hati.
Sebuah tabloid arus perdana mencatatkan kejadian pertama menimpa Ansari sebagai “alamat buruk buat calon PKR”. Akhbar sama dalam melaporkan kejadian kedua menyifatkan beliau “seolah-olah sudah terkena sumpahan”, apabila sekali lagi terjatuh ke dalam laut.

Pandangan bersifat tahyul dan kurafat itu rupa-rupanya turut dikongsi para pemimpin BN. Dikatakan ada pemimpin BN menuduh Ansari tidak ada ‘feng shui’ atau ditimpa kecelakaan akibat dua kali terjatuh ke laut ketika kempen.


Bagi calon PKR itu, kenyataan sedemikian mencerminkan betapa rendahnya tahap pemikiran pemimpin BN itu yang lebih mementingkan kepercayaan ‘feng shui’ atau tilik nasib berbanding menganggapnya sebagai takdir Allah.

Setakat ini tidak ada pemimpin BN tampil menyatakan simpati. Sebaliknya ada yang tergamak menuduh Ansari mereka-reka cerita insiden tersebut.

“Terjatuh ke dalam laut bukan perkara main-main. Mereka (pemimpin BN) kata saya main-main atau mereka-reka terjatuh ke dalam laut,” media pada Isnin, 1 November, memetik reaksi Ansari.

Usaha mempersenda Ansari turut dibuat media talibarut BN. Bagi menutup kelemahan kerajaan negeri memastikan keselamatan penduduk, ia menyorot komen mereka mengenai kejadian itu.

Penjelasan seorang yang didakwa penduduk Kampung Gas dipetik akhbar tersebut. Katanya, “titi memang kuat... sebelum ini tak pernah goyang. Saya pun harian macam mana Ansari dan kawan dia boleh jatuh”.

Ertinya, media itu berusaha menafikan bahawa insiden itu akibat daripada keadaan pelantar kayu yang uzur dan tidak selamat, sekali gus menolak ia dikaitkan dengan kegagalan kerajaan BN negeri membangunkan kawasan berkenaan.

Sejauh manakah benarnya pelantar itu memang kuat dan insiden itu ada kena-mengena dengan “sumpahan” yang terkena Ansari? Barangkali penjelasan penduduk Kampung Bokara, sebuah kampung atas air seperti Kampung Gas, juga di dalam kawasan Batu Sapi, boleh dijadikan ukuran.

Seorang penduduk jati kampung berkenaan dipetik tabloid harian pada Isnin, 1 November, sebagai mengakui kebanyakan jambatan (pelantar) menghubungkan setiap rumah penduduk sudah reput dan usang serta perlu diganti baru.

Beliau mengakui penduduk tidak mampu membaikinya sendiri berikutan tiada kewangan mencukupi kerana ia memerlukan kos yang tinggi. Justeru beliau mempersoalkan, mengapa kerajaan negeri tidak berbuat sesuatu?


“Rumah saya ada lapan pengundi yang sentiasa menyokong kerajaan (BN), jadi apa salahnya jika mereka (BN) membalas jasa kami selama ini,” katanya, seperti dipetik tabloid berkenaan.

Aduh! Kita percaya, andainya Batu Sapi berada di Kelantan diperintah PAS, nescaya reaksi sebegitu dan yang jauh lebih pedas dari itu akan lebih banyak dapat kita dengar dan baca di media-media arus perdana! -harakahdaily

Pengundian Pos Batu Sapi Bermula Hari Ini

1014 Pegundi Pos Batu Sapi Mengundi Hari Ini

SANDAKAN: Pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi bermula hari ini melibatkan 1,014 pengundi pos terdiri anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mereka adalah antara 1,615 pengundi pos bagi pilihan raya kecil itu, dengan 601 lagi membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia yang layak untuk mengundi esok.

"Sehingga 11 pagi tadi, proses undi pos di tiga pusat undi pos berjalan lancar," kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supain ketika ditemui pemberita di pusat undi pos bagi petugas SPR di Pejabat Majlis Perbandanran Sandakan di sini.

Anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am mengundi di Pejabat PGA di Karamunting, anggota polis lain di Pusat Giat Mara Sandakan dan petugas SPR di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan.

Anggota TLDM akan mengundi esok di Taman Samudera di Batu 5 di Jalan Labuk.

Mohd Hamsan berkata undi pos bagi petugas SPR adalah dari 8 pagi hingga 4 petang manakala undi pos bagi anggota polis adalah dari 9 pagi hingga 4 petang.

Seramai 24,047 pemilih biasa layak mengundi pada Khamis ini di 12 pusat mengundi.

Pilihan raya kecil itu melibatkan Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat. -BERNAMA





Kes Sosilawati: Anaknya Kemuka Saman RM60 Juta

Anak Sosilawati Kemuka Saman RM60 Juta

Gambar: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Kamarudin Ahmad memfailkan saman terhadap N. Pathmanathan dan lima pekerja ladang yang didakwa terlibat dalam kes kematian jutawan kosmetik itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Enam anak pengusaha kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Selasa mengemukakan saman tuntutan ganti rugi berjumlah RM60 juta terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan.

Tuntutan ganti rugi itu dikemukakan oleh Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari Rizuwan, Md Erwan Nasri, Erni Erinawati Sofia, Erni Rineelawati and Siti Nur Fatimah melalui firma guaman Kamarudin & Rakan-rakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka menamakan enam individu sebagai defenden iaitu kesemua yang dituduh terlibat atau bersubahat dalam pembunuhan ibu mereka.

Empat daripadanya ialah bekas peguam N. Pathmanaban, R. Kathavarayan, R. Matan and T. Thilaiyagan sementara dua yang lain ialah K. Sarawanan dan U. Suresh. Kedua-duanya mengaku bersalah terlibat membakar dan membuang abu mangsa iaitu Sosilawati dan tiga lagi ke dalam sungai.

Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, ditemui mati dibunuh di sebuah kawasan ladang di Banting pada 30 Ogos lalu.

Jual RM21,000 Untuk Seorang Bayi. Kegiatan Seorang Doktor Bergelar Datuk

Kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di sini terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000, semalam. Suspek terbabit termasuk pemilik hospital, isterinya dan anak perempuan mereka serta tiga kakitangan ditahan dalam Ops Pintas Sayang yang dilancarkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman, kira-kira jam 4.30 petang.

Dalam serbuan di hospital itu yang diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim bersama lebih 20 anggota hasil maklumat awam, polis juga merampas sijil lahir bayi perempuan berusia seminggu itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai yang dibayar suami isteri terbabit.

Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati pasangan terbabit membeli bayi perempuan itu selepas berurusan dengan hospital berkenaan sejak sebulan lalu dan mereka sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Ibu kandung bayi itu dipercayai keturunan Melayu, manakala bapanya seorang warga Pakistan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, hospital berkenaan yang dikatakan dimiliki seorang doktor bergelar Datuk, dipercayai menjalankan kegiatan menjual bayi sejak lebih 10 tahun lalu.

Hospital itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi terbabit bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).

Seorang wanita yang juga kakitangan hospital berkenaan, turut mengiringi pasangan terbabit ke JPN di Putrajaya sejurus selepas urusan jual beli bagi membantu mendaftarkan kelahiran bayi itu dengan menamakan suami isteri terbabit sebagai ibu dan bapa kandung yang sah.


“Wanita itu kemudian ditahan polis di JPN Putrajaya selepas selesai menjalankan urusan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, harga bayi yang dijual sindiket itu boleh mencecah lebih RM30,000 mengikut bangsa dan jantina. Harga bayi lelaki dikatakan lebih mahal yang biasanya dijual antara antara RM15,000 ke RM20,000.

Bayi berbangsa Cina pula paling mahal dan dijual mengikut berat, iaitu RM10,000 sekilogram berikutan permintaannya tinggi dan sukar diperoleh.

“Jika bayi itu beratnya tiga kilogram, maknanya harga bayi itu adalah RM30,000, berbeza dengan bangsa lain
,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan wanita menjual bayi itu kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan perubatan yang mencecah sehingga RM5,000.

“Selalunya yang datang ke situ adalah wanita warga asing yang mengandung anak luar nikah selepas menjalin hubungan dengan lelaki senegara atau tempatan.

“Oleh kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan tidak mahukan bayi itu, mereka datang ke hospital berkenaan yang sememangnya diketahui menjalankan kegiatan menjual bayi.

“Si ibu akan bersalin di hospital itu dengan kos bersalin serta rawatan ketika pantang ditanggung hospital berkenaan, selain turut diberikan sedikit habuan selepas menyerahkan bayi mereka,” katanya. -BH

Berita Berkaitan

Kakitangan JPN Dicekup Polis Disyaki Terlibat Dalam Penjualan Bayi


[Bergambar] Gambar Terkini Banjir Di Kedah

Banjir di utara bertambah buruk, lebih 9,000 orang dipindahkan di Kedah

ALOR SETAR - Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.

Hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan 9,264 penduduk daripada 2,214 keluarga di beberapa daerah di Kedah kini dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu yang dibuka sejak semalam.

Di PERLIS pula, jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada lebih 3,000 orang berbanding kira-kira 1,600 orang malam tadi.

Di KEDAH, Kubang Pasu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga pukul 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu Datuk Noh Dahya menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terlibat dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula pukul 11.30 pagi, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m), katanya.

Tinjauan Bernama mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata, tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya.













[Bergambar] Majlis Ramah Mesra TGNA & Calon Galas Bersama Masyarakat Orang Asal

Orang Asal terima Sijil Penempatan Berkelompok

LOJING, 2 Nov: Program Muhibbah Menteri Besar Kelantan bersama Masyarakat Orang Asal bertempat di Kampung Sandrop dihadiri lebih 300 orang penduduk.

Tuan Guru juga sempat menyempurnakan penyampaian Sijil Penempatan Berkelompok Tanah Pos Sandrop Mukim Uklu Nenggiri, Daerah Batam, Jajahan Kecil Lojing, kelmarin.

Seramai 75 keluarga yang telah lama menduduki kawasan tersebut melahirkan rasa gembira dan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program tersebut turut dihadiri oleh calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan Penasihat Jentera Pilihanraya Kecil PAS Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood.



















Keputusan Lintang Pukang: Kesilapan Manusia Atau Wujudnya Manipulasi?

Keputusan Kontroversi Pemilihan PKR: Azmin Kembali Dahului Pencabar

PETALING JAYA: Seperti ada yang tidak kena dengan proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masuk hari keempat pada Isnin selepas keputusan awal yang dipaparkan melalui laman web rasmi parti itu dikatakan tersilap gara-gara 'kesalahan manusia'.

Keputusan laman web itu yang disiarkan pagi tadi bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, selepas 68 cabang mengundi menunjukkan Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mendapat keseluruhan 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR (3,051).

Manakala seorang lagi calon Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,271 undi.

Bagaimanapun, halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu sudah tidak dapat lagi diakses selepas ibu pejabat parti itu mengeluarkan keputusan rasmi lain yang menunjukkan angka berbeza iaitu Azmin mendahului Zaid.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah, Azmin mendahului dengan mendapat 3,051 undi sementara Zaid pula memperoleh hanya 2,529 undi manakala Mustaffa yang juga Naib Presiden (1,149).

Beliau mengesahkan bahawa kesilapan keputusan tesebut berlaku disebabkan oleh kecuaian individu yang memasukkan dan mengemaskini data serta keputusan rasmi bagi pemilihan tersebut.

"Ya memang kita akui ada berlaku kesilapan manusia ketika memasukkan data keputusan rasmi tersebut. Ia pun telah diperjelaskan oleh Setiuasaha Agung, Saifuddin Nasution hari ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Sementara itu, bagi kerusi naib presiden pula, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga Pengarah Strategik PKR mendahului senarai dengan mendapat 3,621 undi, diikuti oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang memperoleh (3,543).

Mereka diekori rapat oleh Pengarah Pilihan Raya PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan di tempat ketiga (2,895) manakala Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman mendapat (2,852). -mstar


Wujudkah elemen manipulasi dalam kiraan undi?

PETALING JAYA: Pertarungan untuk jawatan timbalan presiden PKR mencipta senario baru apabila para penyokong Dato’ Zaid Ibrahim mendakwa kemungkinan wujud elemen manipulasi dalam pengiraan undi terbaru yang dikeluarkan oleh ibu pejabat PKR semalam.

Firdaus Christopher, pembantu khas Zaid, berkata, untuk semata-mata menyalahkan "kesilapan manusia" atas kesalahan pengiraan undi yang pertama tidak menjamin ketepatannya.

Sebelum keputusan rasmi diumumkan, pihak media tersentak dengan maklumat dari ibu pejabat bahawa Ketua PKR Wilayah Persekutuan Zaid sedang mendahului dengan selesa dalam perlumbaan merebut jawatan nombor dua itu.

Zaid memperoleh 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya Naib Presiden Azmin Ali dengan 3,051 undi dan calon ketiga, yang juga Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub (1,271 undi).

Bagaimanapun, keputusan itu dipinda oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution petang semalam dan sebaliknya mengumumkan Azmin yang sebenarnya mendahului dalam perlumbaan itu dengan Azmin mendapat 3,051 undi berbanding Zaid (2,529) dan Mustaffa (1,149).

Saifuddin menyalahkan faktor "kesilapan manusia" (human error) dan berkata pengiraan semula telah dibuat berikutan protes dari kedua-dua kem.

Aduan rasmi

Firdaus, yang tidak yakin dengan penjelasan itu berkata aduan rasmi akan dibuat di ibu pejabat PKR di sini.

"Kami mahu sekretariat parti atau JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang pada minggu-minggu yang akan datang," katanya.

Sementara itu, agen pilihan raya Zaid, Rashid Azad Khan memberitahu FMT bahawa angka-angka itu menunjukkan Zaid sedang mendahului tetapi angka-angka itu berbeza dengan apa yang disediakan oleh ibu pejabat sebelum diubah.

"Saya sedang menyiasat perkara ini dengan ahli-ahli kami di peringkat akar umbi. Jika kami betul, kami akan buat aduan di ibu pejabat.

Biar kami periksa dulu dan saya akan beritahu esok (hari ini)," katanya.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Azmin mempertahankan keputusan rasmi dengan menegaskan ia tidak sepatutnya dipertikaikan dan pembetulan yang dibuat oleh ibu pejabat adalah wajar. -FMT



Ulasan GB

Kesalahan manusia? Angka 3,683 jauh berbeza dengan 2,529. "Human error" berlaku jika angka tersebut begini: 3,529 atau 5,229 atau 3,592 dan seumpamanya. Iaitu berlaku "sedikit" sahaja kesilapan tatkala pemasukan data ke dalam lamanweb. Ini tidak, kesuleruhan angka itu silap. Sepastinya data-data yang telah ada di tangan webmaster adalah data-data yang telah disahkan terlebih dahulu.

Itu sebab ramai yang menolak kenyataan Saifuddin sepertimana berita pertama dari akhbar MSTAR di atas yang memulakan perenggannya dengan ayat:

Seperti ada yang tidak kena dengan proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ....

GB dah ulas perkara ini semalam di

Pemilihan PKR. Keputusan Lintang Pukang Petanda Buruk Untuk PKR

Sementelah lagi, Saifuddin was "not in the position" to make any statement or announcement regarding anything to do with the party election. Ia sepatutnya tugas JPP.


Kesilapan teknikal berlaku ketika usaha memasukkan data ke laman web berkenaan dan pihak parti sedang memperbetulkannya, tambahnya.

Inilah akibat kerja-kerja banyak tangan memanipulasi dan eksploitasi sehingga terdedah kepincangan keputusan. Setiausaha PKR tersebut yang sebelum ini GB telah kata agenda beliau akan terdedah satu demi satu. Pengumuman itu sepatutnya dibuat oleh Pengerusi JPP, bukan Setiausaha Agong parti. Tidak ada peruntukan di dalam mana-mana pertububuhan, seorang Setiausaha Agong parti boleh campurtangan di dalam pemilihan pimpinan, hanya di dalam PKR.



Pihak cabang yang tidak berpuashati sepatutnya boleh membantah terhadap kepincangan keputusan yang diumumkan.


p/s ini bukan kali pertama Saifuddin membuat kenyataan yang berpusing-pusing. Sebelum ini beliau juga yang membuat pengumuman Nurul Izzah boleh bertanding Timbalan Presiden walaupun sebelumnya beliau juga yang menyatakan Nurul tidak boleh bertanding. Alasannya kertas pencalonan tiba lambat....

Mohd Sabu: 20 Tahun Rekod Baik PAS Perintah Kelantan

20 tahun PAS tidak khianati rakyat Kelantan

GALAS, 1 Nov : Saudara Mohamad Sabu memuji pembangunan yang semakin pesat di bandar Gua Musang. Ini kerana apabila terjumpa kaum Tionghua, mereka berkata baik kalau dibuat lapangan terbang kecil di Gua Musang bagi memudahkn pergerakan mereka untuk urusan perniagaan. Hal ini jelas menunjukkan kemajuan ekonomi yang berlaku di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramahnya di Kg Sg Terah di sini malam tadi.

Menurut beliau pembaharuan pemikiran telah berlaku dan kehendak rakyat serta Kerajaan Negeri Kelantan telah menjuarai dalam pembangunan pelbagai aspek yang memberi manfaat kepada kebajikan rakyat.

"Pelbagai kaum termasuk bukan Islam boleh menerima dan yakin dengan PAS kerana sepanjang pemerintahan PAS selama 20 tahun menyaksikan rekod baik PAS yang tidak pernah sesekali pun mengkhianati atau mengusik hak-hak rakyat."

Bangsa Tionghua Kelantan khususnya, sepanjang berada di bawah kepimpinan Tok Guru, yakin dan senang dengan PAS kerana mereka tidak pernah ditindas dan hak mereka tidak pernah diketepikan (termasuk budaya & kepercayaan mereka)walaupun mereka maklum bahawa mereka adalah kaum minoriti.

Buktinya dapat dilihat pemerintahan di 6 buah negeri di bawah Pakatan Rakyat boleh diterima oleh kaum bukan Melayu.

"Orang bukan Islam sendiri tidak menentang sebaliknya boleh menerima dan memberi sokongan yang baik kepada PAS, tapi terdapat orang Melayu-Islam sendiri yang menentang seolah-olah mempertikaikan corak pemerintahan Islam"

Katanya hasil audit negara juga memperlihatkan pemerintahan Pakatan Rakyat adalah jauh lebih baik berbanding Barisan Nasional.

Tahun pertama PAS memerintah, walaupun tidak kaya tetapi 88 juta hasil telah diperolehi tanpa mengubah apa-apa sistem cukai negeri. Hal ini berkat jimat cermat pihak pemerintah PAS. Tahun 2009 pula dapat menyelamatkan 77 juta lagi tanpa mengubah apa-apa cukai.

"Negeri Pulau Pinang sebagai contohnya mengambil contoh Kelantan bagi memberi pendedahan kepada seluruh rakyat Malaysia . Lim Guan Eng sendiri yakin bahawa orang Islam khususnya golongan huffaz merupakan orang yang baik dan mulia, beliau tidak teragak-agak untuk memberi elaun kepada golongan ini"

Mengulas mengenai isu penindasan UMNO terhadap PAS melalui media kata beliau, i"anya tidak apa tapi berilah peluang dan ruang bagi pihak Pas untuk menjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat melalui media tersebut sebagaimana keterbukaan negara-negara luar yang memberi ruang bersuara yang sama kepada kedua-dua pihak yang terbabit."

Rakyat khususnya di kawasan bandar sudah meluat melihat berita-berita yang dipaparkan dalam televisyen setiap kali musim pilihan raya, mereka lebih cenderung untuk mengambil tahu isu-isu luar negara daripada apa yang dipaparkan di dalam negara.

"Kalau harga televisyen 20 sen sahaja, rasa nak hempuk dua kali tv tu dek geram dengan apa yang dilaporkan", tambah beliau.

Beliau turut menyentuh isu pembaziran dalam pembinaan bangunan 100 tingkat yang nyata tidak menjaga kebajikan rakyat walaupun dari satu sudut, projek ini dilihat boleh memberi keuntungan kepada negara.

"Rakyat kita tidak mampu, bangunan sebegitu gah, sudah semestinya sewa pun tidak mampu dibayar. Nampaknya rakyat kita hanya mampu tumpang bergambar sahaja di bangunan tersebut". Peniaga Bumiputra tak mampu bersaing di bangunan sebegitu.

Beliau yakin bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Gua Musang sendiri kurang bersetuju dengan projek ini tapi dia tidak boleh nak cakap.

"Saya harap 4 Oktober ini kita akan 'menggalas' seluruh Galas dan Dr. Zulkefli akan diangkat menjadi wakil rakyat tuan-tuan semua, insyaAllah". Ujarnya mengakhiri ucapan. -n45galas

Balai Polis Lenggong Didatangi Tetamu Seekor Beruang

Beruang masuk balai polis

LENGGONG – Polis di Balai Polis Selat Pagar gempar apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran seekor anak beruang yang berlegar-legar dalam kawasan balai itu sejak kelmarin.

Ketua Polis Balai Selat Pagar, Sarjan Mejar Rafisah Seman berkata, beliau adalah orang pertama yang menyedari kehadiran beruang itu.

Menurutnya, beliau menyedari beruang itu memasuki kawasan Balai Selat Pagar sekitar Maghrib, semalam (kelmarin).

“Kemudian ia menghilang diri sebelum muncul kembali pada jam 9.30 malam dan sepanjang berada dalam kawasan balai, beruang itu sering kelihatan berlegar di kawasan padang bola dan kawasan belakang balai,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Selat Pagar, semalam.

Rafisah berkata, selepas dua kali melihat kelibat beruang itu, beliau segera melaporkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Gerik.

“Jabatan Perhilitan Gerik tiba sekitar jam 11 malam, semalam (kelmarin) dan berusaha mencari sehingga jam 2 pagi sebelum menangguhkan operasi untuk disambung hari ini (semalam).

“Kali ketiga beruang itu muncul sekitar jam 2 petang tadi (semalam) dan saya segera memaklumkan kepada Jabatan Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perhilitan Daerah Gerik, Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan Zainal Abidin Mat berkata, Perhilitan terpaksa berusaha selama dua jam sebelum beruang itu berjaya ditangkap.

“Kita memulakan operasi pada jam 3 petang sehingga beruang itu muncul dari tempat persembunyiannya.

“Beruang itu berjaya ditangkap dan operasi selesai sepenuhnya sekitar jam 5.45 petang,” katanya.

Zainal Abidin berkata, beruang yang ditangkap adalah seekor beruang sub dewasa dari jenis beruang matahari (Malayan Sun Bear) dan mempunyai berat sekitar 20 hingga 30 kilogram.

Beliau berkata, jantina hidupan liar itu belum dipastikan berikutan ia masih berada dalam keletihan dan tertekan selepas cuba melepaskan diri.

“Beruang sub dewasa ini berasal dari kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau di belakang kawasan Kampung Selat Pagar dan mungkin tersesat," katanya.

Katanya, ini adalah kejadian pertama berlaku di sini dan beruang itu akan dilepaskan kembali ke habitat asal. -SH

RM2100 Lesap Akibat Dipukau Oleh Lelaki Berkopiah Di Mesin ATM

SHAH ALAM - Seorang pemilik kedai runcit kehilangan wang tunai RM2,100 selepas bahunya ditepuk oleh seorang lelaki yang memakai kopiah putih ketika mangsa memasukkan duit di dalam mesin deposit sebuah bank di Seksyen 14 di sini Khamis lalu.

Gambar: RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki yang memakai kopiah putih menuju ke belakang mangsa sebelum disyaki melarikan RM2,100 di sebuah bank di Shah Alam, Khamis lalu.

Ketika kejadian pada pukul 1.21 tengah hari itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an pergi ke bank terbabit seorang diri untuk mendepositkan wang sebanyak RM5,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, semasa berada di dalam bank, bahu mangsa tiba-tiba ditepuk oleh seorang lelaki juga berusia dalam sekitar 50-an yang berada di belakangnya.

Lelaki itu kemudian menegur mangsa kononnya cara dia memasukkan wang ke dalam mesin deposit salah dan ingin membantu.

Mangsa selepas itu seakan-akan terpukau dengan menyerahkan kesemua wang kepada lelaki yang memakai kopiah itu. Selepas melakukan transaksi dia menyerahkan slip bank kepada mangsa lalu meninggalkan premis tersebut.

“Beberapa minit kemudian, mangsa yang melihat slip bank itu terkejut apabila mendapati hanya RM2,900 yang dimasukkan manakala baki dipercayai dilarikan oleh suspek,”
katanya pada sidang akhbar di sini semalam. -kosmo

21 Gunung Lagi Di Indonesia Dikhuatiri Meletus

Indonesia gusar aktiviti seismik meningkat selain Merapi

Gambar: SEKUMPULAN penduduk meninggalkan kawasan dekat Merapi di perkampungan Balerante, Klaten, semalam.

YOGYAKARTA: Indonesia pada masa ini bukan saja memantau Merapi yang memuntahkan gas dan debu panas semalam tetapi juga 21 gunung berapi lain yang menunjukkan tanda-tanda semakin aktif termasuk Galunggung, Dempo, Sinabung dan Anak Krakatau.

Letusan baru itu dilaporkan ketika Indonesia turut bertungkus lumus menangani kesan tsunami dengan dua bencana itu mengorbankan hampir 500 penduduk menyebab-kan tentera turut membantu.

Merapi adalah antara 129 gunung berapi aktif di Indonesia. Letusannya menyebabkan 38 kematian sejak seminggu lalu. Lebih 69,000 penduduk sudah dipindahkan daripada kaki gunung itu yang kini diselaputi debu.

Penduduk yang berada di khemah perlindungan sementara beberapa kilometer jauhnya turut lari mencari tempat lebih selamat selepas Merapi meletus lagi diikuti letupan kuat, kata Subrandrio, pegawai pemantau Merapi.

Gunung itu banyak kali meletus sejak dua abad lalu. Pada 1994, 60 orang maut manakala 1,300 terbunuh dalam letusan pada 1930 yang memusnahkan lebih 24 kampung.

Kerajaan juga meningkatkan tahap berjaga-jaga membabitkan 21 gunung berapi lain yang menunjukkan peningkatan aktiviti termasuk gegaran dan muntahan debu hitam sejak dua bulan lalu, kata pakar gunung berapi, Syamsul Rizal.
Seorang lagi pegawai, Gede Swantika berkata adalah biasa tahap berjaga-jaga ketiga tertinggi ditetapkan lima hingga 10 kerana sesebuah gunung berapi itu mungkin meletus dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pegawai yang memantau aktiviti gunung berapi mengesan lebih banyak tempat menunjukkan aktivisi seismik lebih tinggi.

“Kita akui ini suatu yang luar biasa kerana membabitkan lebiht 20 gunung berapi pada satu masa. Kami perlu terus memantau tetapi saya tidak boleh kata atau ramal mana satu akan meletus. Kami hanya dapat kesan coraknya,” katanya lagi.

Di PADANG, pihak berkuasa menafikan laporan bahawa bantuan tersadai di pelabuhan menyebabkan mangsa tsunami yang terselamat terpaksa mencari tumbuhan liar selepas bencana alam yang membunuh beratus-ratus orang.

Ketika Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata bahawa negaranya menerima bantuan asing untuk pembinaan semula kampung yang terjejas, ada laporan menuduh kerajaan merancang untuk menempatkan semula penduduk jauh dari kawasan pantai.

Mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami setinggi tiga meter di pulau Mentawai, barat Sumatera mengadu bahawa bantuan terlalu perlahan tiba kepada mereka manakala pekerja bantuan berkata koordinasi adalah terlalu lemah.

Tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter itu meranapkan kira-kira 10 kampung, memusnahkan sekolah, masjid dan rumah tradisional di kawasan pedalaman dan pantai yang popular di kalangan peluncur asing. – AFP/AP

“Penangguhan disebabkan keadaan cuaca buruk. Tetapi sekarang kami sudah tiba ke kawasan terjejas dan bantuan dihantar walaupun ia agak terbatas,” katanya. – AFP/AP

[Bergambar] Banjir Melanda Kedah Dan Perlis

Kedah, Perlis mula dilanda banjir

ALOR SETAR - Kedah dan Perlis mula dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Ekoran itu, lebih 3,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di dua negeri terbabit ekoran rumah masing-masing dinaiki air sedalam lebih satu meter.

Di Kedah, empat daerah dinaiki air iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Kota Setar di mana lebih 2,000 penduduk dipindahkan dan beberapa jalan raya ditutup.

Di Padang Terap, 1,449 penduduk daripada 385 keluarga di 18 buah kampung dipindahkan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir, Nurul Aziati Ahmad Salmi memberitahu, mangsa dipindahkan pada pukul 7 pagi dan antara kampung terlibat ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja dan Padang Sanai.

Katanya, pusat-pusat pemindahan dibuka di dewan Kampung Mani A, surau Kampung Mani B dan Mani C, dewan Felcra Tualak, dewan Kampung Padang Sanai, bangunan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan, masjid Kampung Labi, masjid Kampung Tanjung dan Bendang Raja.

Tambahnya, bacaan paras air Sungai Kuala Nerang melepasi paras bahaya iaitu 19.81 meter (m) berbanding paras bahaya 17.07m manakala tiga lagi sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Padang Sanai, Sungai Kubu dan Sungai Naka.

Di Kubang Pasu, 491 orang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Menengah Changlun, Sekolah Kebangsaan Malau dan Changkat Setoi.


Ribuan terkandas

CHANGLUN: Ribuan kenderaan yang dalam perjalanan pergi dan pulang ke Bukit Kayu Hitam, Sintok dan Perlis melalui Lebuhraya Utara-Selatan terkandas apabila Sungai Changlun naik setinggi 0.7 meter di Kilometer 10.5 lebuh raya itu di sini, petang semalam.

Kesesakan bermula kira-kira jam 2 petang sebelum berlarutan akibat penutupan lebuh raya menyebabkan kenderaan terkandas sepanjang kira-kira 10 kilometer dari Napoh ke pekan Changlun menyebabkan semua kenderaan diarah berpatah balik ke Jitra atau Bukit Kayu Hitam oleh anggota polis bertugas di lokasi.

Berikutan itu, lebuh raya di pekan Changlun di sini ditutup kepada kenderaan ringan bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Masalah lebih buruk apabila ramai ibu bapa dan keluarga yang pulang dari menghadiri majlis konvokesyen anak dan waris mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok semalam, terpaksa berpatah balik selepas diarahkan polis.

Nazri Baharudin, 40, dari Johor Bahru berkata, dia bersama keluarga yang datang untuk menghadiri majlis konvokesyen adik perempuannya di UUM Sintok hari ini terpaksa pulang ke hotel di Jitra kerana laluan ke Sintok ditutup berikutan banjir di Changlun.

“Saya dan keluarga terpaksa pulang semula ke hotel di pekan Jitra yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini kerana bimbang paras air terus naik. “Saya berharap air surut dengan cepat bagi membolehkan kami menghadiri majlis konvokesyen adik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, jurucakap UUM berkata, majlis konvokesyen ketiga dan keempat semalam berjalan lancar dan ramai ibu bapa hadir memenuhi dewan tetapi pihaknya menjangkakan jumlah itu berkurangan hari ini jika paras air meningkat dan jalan di pekan Changlun terus ditutup.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin pula berkata, lebih 50 anggota polis selain anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), petugas Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan banyak lagi terbabit dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa yang terkandas atau berpindah ke tempat selamat.

Beliau berkata, setakat jam 4 petang semalam, seramai 247 mangsa dipindahkan dari beberapa kampung yang ditenggelami air di daerah Kubang Pasu ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

“Antara kampung yang terbabit iaitu Kampung Perupok, Kampung Lahar, Kampung Belukar, Jalan Changlun, Taman Sayang dan Jalan Kodiang-Arau.

“Jumlah mangsa dipindahkan mungkin bertambah berikutan hujan tidak berhenti sehingga hari ini (semalam) dan kami sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir semalam.

Sawaludin berkata, pihaknya turut menyediakan sebuah bot polis yang dibantu sebuah bot penyelamat bomba untuk menyelamat mangsa yang masih terperangkap di rumah masing-masing. -hm