29 Okt 2010

Puting Beliung Landa Perlis

Puting beliung landa kawasan Jejawi, musnahkan 50 buah premis

Gambar: Angin puting beliung yang berpusar sempat dirakamkan kira-kira pukul 5.15 petang di Jejawi dekat sini, semalam.

KANGAR - Lebih 50 buah rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi dekat sini rosak akibat angin puting beliung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis Mansor Jusoh berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan kerugian sekitar RM100,000.

Baitul Mal Perlis dan Unit Pembangunan Insan Perlis akan membantu mereka yang terlibat membaiki rumah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerugian sebenar, katanya kepada pemberita ketika melawat mereka yang terlibat hari ini.

Katanya walaupun sebuah pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi, kebanyakan penduduk lebih selesa tinggal sementara bersama saudara-mara.

Sementara itu seorang penduduk, Rohana Abdul Rahman, 52, berkata, ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.

"Saya melihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan pecah dan bumbung diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, semua yang terlibat hari ini menerima bantuan awal daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 seorang dan beras. -BERNAMA

Pemilihan PKR Pincang. JPP Diselar Kerana Lewat Hantar Kertas Undi

Kertas undi tiba lewat di Kelantan

PETALING JAYA: Proses pengundian pimpinan PKR pusat yang sepatutnya bermula jam 10.00 pagi tadi terbantut buat seketika sebelum diteruskan akibat kelewatan kertas undi membabitkan jawatan Timbalan dan Naib Ketua Wanita di Cabang Kota Bharu.

Menurut ahli PKR Kota Bharu Adnan Ibrahim yang dihubungi oleh FMT hari ini, setakat jam 10.00 pagi, kertas undi belum diperolehi.


Bagaimanapun katanya, wakil Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang dikenali sebagai "Jo" dan seorang wakil JPP Rantau Panjang membuat keputusan untuk meneruskan proses pengundian.

Namun, katanya proses pengundian untuk jawatan-jawatan lain terus berjalan, kecuali untuk dua jawatan itu.

Namun di Tumpat, kertas undi hanya tiba jam 12.00 tengahari tadi.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Wanita Kota Bharu, Wan Norjam Wan Sulaiman ketika dihubungi FMT.

Kelewatan kertas undi ini menyebabkan proses pengundian lewat dan tergendala memandangkan umat Islam mendirikan solat Jumaat seperti kebiasaan.

Dalam pada itu, Adnan turut mendakwa pengawas yang dihantar di Kota Bharu dan Tumpat terdiri dalam kalangan ‘orang kuat” Azmin Ali.

Sekaligus mencetuskan persoalan membabitkan aspek ‘ketelusan’ bagi memastikan proses pemilihan ini berjalan dengan lancar.

Menurut Adnan, kedua-dua cabang itu dikenali sebagai ‘kubu kuat’ Datuk Zaid Ibrahim yang bertanding jawatan timbalan presiden.

Zaid bakal ditentang dua calon lain membabitkan Naib Presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

"Kami harap ketelusan dalam pengundian kali ini dan mahu JPP segera mengatasi masalah ini agar tidak berulang lagi," katanya. -FMT


Kem Zaid desak pemilihan PKR dihentikan

Agen calon jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mendesak supaya dihentikan pemilihan parti itu kerana mendakwa berlakunya penyelewengan yang serius di empat cabang yang mengadakan pengundian memilih pucuk pimpinan parti itu hari ini.

Bagaimanapun, setiausaha jawatankuasa pemilihan, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin (kiri), pula berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Saya mengawasi seluruh operasi dan saya tidak mempertahankan orang-orang saya tanpa sebab," katanya.

Menurut agen pemilihan Zaid - Rashid Azad Khan dan pembantunya Muhammad Firdaus Christopher - penyelewengan itu berlaku di empat cabang yang tiga daripadanya mencalonkan Zaid untuk jawatan nombor dua itu.

Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa kertas undi di Tumpat dan Alor Setar belum tiba sehingga 12 tengahari - dua jam selepas pengundian sepatutnya bermula (10 pagi).

"Ramai ahli yang telah beredar untuk solat Jumaat tanpa mengundi," kata mereka. -MK


Blogger Pro UMNO Memfitnah Sultan Kelantan

.Kempen Galas heret Sultan Kelantan, istana nafi terlibat

GUA MUSANG, 29 Okt — Kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang masuk hari keempat hari ini, mula “panas” dengan dakwaan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS menggunakan Sultan Kelantan untuk memancing undi.

Khabar angin tersebar luas di Gua Musang sejak pagi tadi bahawa Sultan Muhammad V akan mengunjungi Gua Musang hujung minggu ini untuk mengurniakan geran tanah pada satu majlis kerajaan negeri, yang didakwa akan digunakan untuk menaikkan reputasi PAS menjelang hari pengundian minggu depan.

Bagaimanapun Istana Kelantan menafikan Sultan Muhammad V akan berada di Galas menjelang hari pengundian 4 November ini.

Blog pro-Umno The Unspinners mendakwa kerajaan negeri bercadang untuk memberi 1,200 Orang Asli geran tanah.

Satu lagi blog, Bigdogdotcom pula mendakwa adalah malang jika Sultan Muhammad V dimanipulasikan oleh sebuah parti politik ketika kempen, laporan yang dilihat mendakwa Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan pihak istana.

“Adalah malang jika Duli Yang Maha Mulia Sultan digunakan sebagai alat oleh sesetengah pihak ketika kempen proses demokratik, khususnya dalam pilihan raya.

“Pilihan raya adalah persaingan antara parti politik dan ahli-ahli politik,” kata tulisan blog yang disiarkan semalam.

Bagaimanapun sumber-sumber Istana Kelantan menafikan yang Sultan Muhammad V akan melawat Galas dalam tempoh terdekat.

Sumber itu menambah, baginda juga telah menangguhkan kesemua pertemuan dengan Exco Kerajaan Negeri yang dijadualkan sebelum 4 November.

“Malah, Sultan pun tiada di negeri dan baginda tidak akan mengunjungi Gua Musang sehingga pilihan raya berakhir,”
kata satu sumber istana kepada The Malaysian Insider.

Sultan Muhammad V yang dimashyurkan sebagai sultan bulan lalu telah mengunjungi bahagian Gua Musang minggu lalu sebelum bermulanya tempoh berkempen untuk mengurniakan geran tanah kepada lebih 100 penduduk.

Bagaimanapun difahamkan tiada ahli politik dibenarkan menghadiri majlis itu.

“Tidak ada ahli politik dibenarkan menghadiri majlis itu disebabkan sensitiviti, Tuanku hanya diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias dan pegawai-pegawainya,” kata sumber.

“Sultan bijak, baginda tahu peranan baginda, baginda faham situasi, jadi baginda tiada rancangan untuk melawat Gua Musang ketika tempoh berkempen,” katanya.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Datuk Abdul Halim Hamad yang mengesahkan tiada kunjungan diraja ke bahagian Gua Musang menjelaskan, majlis pengurniaan geran tanah minggu lalu telah dijanjikan oleh Sultan Muhammad V tahun lalu ketika baginda masih pemangku Sultan Kelantan.

“Mereka yang menerima geran tanah merupakan mereka yang memohon terus kepada baginda, ketika baginda masih Tengku Mahkota,”
kata Halim.

“Permohonan ini diluluskan baru-baru ini dan Tuanku memutuskan untuk mengurniakan secara peribadi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Halim menafikan ia keputusan politik.

“Ia adalah rutin baginda. Bukan sahaja di Gua Musang, baginda melawat seluruh negeri untuk menyampaikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukannya,” kata Halim.

“Istana tidak terlibat dalam kempen. Mereka boleh berkata apa yang mereka mahukan, tetapi istana tidak terlibat dalam politik,” kata Halim lagi.

Jentera kempen Barisan Nasional diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, ketua Umno Gua Musang, yang merupakan anggota kerabat diraja. -TMI


Pengelola: Tiada program Sultan K'tan di Galas

Pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad hari ini menafikan desas-desus bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V akan menyertai kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Katanya, Istana setakat ini belum mengatur apa-apa program untuk Tuanku Muhammad Faris Petra, seperti yang dilaporkan dalam satu blog hari ini.

"Kita akan siasat," kata Abdul Halim yang akan mencetak kandungan tulisan di laman berkenaan dan akan merujuk perkara itu kepada Tuanku Muhammad Faris.

"Setakat ini belum atur apa-apa program lagi (di Gua Musang)" katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, ketua jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Ab Hamid berkata beliau tidak tahu menahu mengenai program pemberian geran tanah kepada Orang Asli, seperti dilaporkan blog berkenaan.

"Itu tidak betul. Tak ada, tak ada. Saya tak ada dengar berita seperti itu," katanya ketika dihubungi.

"Tuanku sentiasa berkecuali, dia tidak boleh terlibat dengan kempen pilihan raya," katanya yang juga pegawai pengurus bagi pilihan raya kecil DUN Galas. -mk


Ansari Jatuh Laut Lagi

Sandakan: Baru dua hari selepas jatuh ke laut, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi Ansari Abdullah tergelincir lagi ke laut selepas jambatan kayu menuju ke sebuah perkampungan nelayan runtuh hari ini, lapor Bernama.

Kejadian berlaku pada 3.45 petang ketika Ansari dan rombongan kempennya, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Gas.

"Kejadian berlaku sejurus selepas Tan Sri Khalid (Ibrahim) melepasi jambatan itu menghala ke sebuah rumah yang dibina dalam laut. "Beliau bergayut pada sebuah papan bila lima pekerja kempen cuba mengangkatnya.

Bagaimanapun, mereka semua jatuh ke laut, kata Jumin Jeffrey Masuling, pengurus media pilihan raya PKR. Jumin, yang juga setiausaha cabang PKR Tuaran itu berkata Ansari, pengerusi cabang PKR Tuaran, diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Beliau mengalami cedera ringan di lutut dan dada dan dihantar ke Hospital Sandakan," katanya.

Selepas rawatan, beliau meneruskan kempen. Pada Rabu, Ansari dan pengurus kempennya Oting Enchi dan seorang wartawan NTV7 jatuh ke laut selepas titi kayu di sebuah kampung berhampiran Pulau Api Api runtuh.

Kesemua mereka basah kuyup di air sedalam semeter tetapi tidak cedera, kecuali telefon mudah alih dan kamera Ansari, bernilai RM4,000 rosak.

Sementara itu, di Sandakan Sebuah van yang dipasang dengan bendera Barisan Nasional terbabas ke dalam parit di Jalan Batu Sapi, di sini hari ini.

Pemandu van, Wahab Abdul berkata kenderaan yang dipandunya gagal dikawal selepas bertembung dengan sebuah lori panjang di jalan sempit dan sedang diperbaiki itu.

Suasana kempen pilihanraya di Batu Sapi semakin hangat sebelum hari mengundi pada 4 hb November ini, serentak dengan tarikh pilihanraya kecil DUN Galas di Gua Musang Kelantan.

Dr Jayekumar Saman Kerajaan Bagi Pihak Rakyat Yang Menyokong PR

Gagal salur peruntukan, MP heret k'jaan ke mahkamah

Ahli parlimen Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jeyakumar menjadi wakil rakyat pertama yang mengheret kerajaan persekutuan ke mahkamah kerana tidak menyalurkan dana yang diperuntukkan untuk kawasan pilihan rayanya.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, Jeyakumar yang memenangi kerusi parlimen Sungai Siput, selepas menewaskan presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pada 2008, mendakwa beliau tidak pernah melihat sebarang dana diperuntukkan kepada Sungai Siput sejak beliau menang.

Beliau juga mendakwa bahawa tindakan menyekat dana tersebut, melanggar Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Dalam permohonannya itu, Jeyakumar berkata, dalam kontaks tersebut, Perkara 8 (1) menyatakan bahawa "peruntukan khas bagi kawasan pilihan raya hendaklah dilaksanakan secara sama rata di antara semua ahli parlimen, tanpa mengira kaitan politik."

"Saya menulis surat kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan diberitahu bahawa RM1.72 juta diberikan (pada 2010), termasuk kepada dua buah sekolah dan sebuah rumah anak yatim, tapi apabila saya menelefon (penerima yang didakwa itu) mereka kata belum menerimanya," kata Jeyakumar (gambar tengah).

Dinamakan sebagai responden dalam saman tersebut ialah ketua pengarau ICU, pengarah pejabat pembangunan negeri Perak, dan kerajaan Malaysia.

Jeyakumar meminta responden menjelaskan kuasa mereka dalam menyalurkan dana peruntukan khas kawasan pilihan raya, dan prosedur bagi peruntukan dana sejak tahun 2008. -mk

Ulasan GB

Tahniah Dr. Jayekumar.

GB sudah lama suarakan hal ini bahawa wakil-wakil rakyat PR perlu mengheret kerajaan BN ke muka pengadilan. Tindakan mereka menyekat peruntukan kepada YB-YB pembangkang hendaklah dicabar di mahkamah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Bergitu juga kerajaan-kerajaan negeri. Sepatutnya mereka telah lama membawa isu mengenai sekatan pembangunan ke mahkamah. Buktinya jelas. Ucapan Mahathir dahulu sewaktu beliau menjadi PM dan kemudian diteruskan dasarnya oleh PM-PM selepasnya menyatakan bahawa "jika bantuan dan pembangunan di salurkan kepada negeri yang dikuasai oleh pembangkang, nanti rakyat akan berkata tidak ada beza untuk memangkah BN atau pembangkang. Oleh itu mengapa sekatan dilakukan kepada Kelantan. Hal yang sama diakui oleh Mustapa Mohamed, yang pada ketika itu ahli Majlis Perunding Ekonomi Negara (MAPEN).

Bahawa tindakan mereka bertentang dengan Perlembagaan kerana membelakangi konsep Federalisma. Tetapi ianya tidak dibawa ke mahkamah.

Ada yang menyatakan apa guna bawa ke mahkamah jika sistem kehakiman negara masih belum bebas? Itu adalah hal yang lain. Pokoknya segala hal yang tidak betul perlu dibawa ke tengah. Kemungkinan kalah di mahkamah memang ada, tetapi kita tidak boleh 100% tolak penggunaannya dan kemudian membiarkan YB-YB pembangkang dan negeri-negeri pembangkang kering kontang untuk membantu rakyat.

Nama saja wakil rakyat tetapi tidak ada peruntukan untuk membantu rakyat.

Tetapi wakil-wakil rakyat PR enggan untuk bersatu, enggan untuk membuat tuntutan di mahkamah. Tidak ada ketua pembangkang yang bagus untuk menyusun Pakatan Rakyat agar dapat bertindak dengan satu suara dan satu hati di dalam perjuangan menuntut hak mereka.

Malah YB-YB PR kelihatan syok untuk diri mereka sahaja dengan elaun-elaun yang mereka terima. Rakyat punya hal, nombor dua. Yang diperjuangkan hanyalah hal-hal superficial di dewan rakyat dan DUN. Itu pun jarang sekali menang di dalam undi belah-bahagi kerana ramai juga YB PR yang ponteng. Kabinet bayangan sebelum ini yang dibentuk oleh PR pun tak berfungsi.

Itu sebab Tuhan menangguhkan PR ke Putrajaya. Banyak lagi yang kena susun dan kena perbetulkan di dalam PR. Belum ada seorang pun yang mmenampakkan ada kalibar dan wibawa seseorang yang mempunyai ciri-ciri PM dari PR yang boleh diharapkan, yang boleh menyusun dan mengetuai organisasi PR seperti sebuah kerajaan menanti.

PRU13 kita harapkan akan merubah segala-galanya. PR perlu menapis calon-calon yang bertanding supaya hanya mereka yang benar-benar layak untuk berkhidmat kepada rakyat yag dipilih.

Sekali lagi, tahniah kepada Dr. Jayekumar, dari rakyat Malaysia yang mengundi PR.


Ng Yen Yen "Kena Gerudi" Oleh Ong Tee Keat

Ng "digerudi" oleh bekas bos dalam parti

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Dr Ng Yen Yen, yang menerima kritikan kerana berbelanja mewah ketika melawat ke luar negeri, kini kembali mendapat tumpuan, kali ini "digerudi" oleh bosnya dalam MCA, Ong Tee Keat.

Dalam jawapan bertulis kepada Menteri Pelancongan, Ong (BN-Pandan) menyoal perincian lawatan rasmi Ng sejak beliau mengambil alih tugas daripada Azalina Othman Said pada 2009 dan apa kesannya yang beliau bawa kepada industri.

Menurut kementerian berkenaan, Ng membuat 16 lawatan rasmi, melibatkan 26 buah negara dan 61 bandaraya sehingga Oktober 2010. Secara keseluruhan, kesemua lawatan itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.25 juta.

"Dan jumlah perbelanjaan lawatan beliau pada 2009 ialah RM1.67 juta dan RM1.58 juta di antara Januari hingga Oktober 2010," kata kementerian itu.

Walaupun melibatkan kos yang melambung tinggi, kementerian itu berkata usaha beliau untuk meletakkan kedudukan negara ini pada tangga ke 10 dalam "10 Tertinggi Negara Yang Dilawati" berbanding di tempat ke 11 pada 2008.

"Ini sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia merupakan salah sebuah dari dua negara yang masuk dalam senarai tersebut," kata kementerian itu.

Minggu lalu, Ng mempertahankan dirinya dari kritikan mengenai lawatan rasminya dengan menyatakan usaha peribadi beliau pergi menemui para pelancong membawa kepada peningkatan jumlah ketibaan pelancong pada kos promosi yang lebih rendah.

Brosur Pavilion Expo di China memalukan

Serangan ke atas Ng tidak terhenti di situ saja apabila dua ahli parlimen pembangkang mendedahkan hari ini bahawa brosur yang mempromosi Pavilion Malaysia di Expo Shanghai 2010, telah menarik perhatian daripada para pelancong, tetapi dengan pandangan yang negatif.

Bercakap kepada para pemberita di lobi Parlimen hari ini, Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) berkata brosur dua muka surat itu diedarkan pada September lalu mengandungi beberapa kesilapan ejaan.

Mereka memberitahu perkataan yang mudah seperti "multicultural", "Taman Negara", "invite", "country", "development", "pavillion" dan "visitors" dieja dengan salah pada muka depan brosur itu. Sebaliknya perkataan-perkataan itu dieja dengan "nulticultural", "Taman Nerara", "incite", "ctry", "decelopment", "pacillion" and "visitous", yang telah mencemar imej negara pada mata dunia.

"Matlamat expo itu ialah untuk mempamer apa yang boleh disumbangkan oleh negara ini kepada ekonomi dunia. Malangnya tidak ada apa yang diperlihatkan oleh Pavilion Malaysia bagi tujuan ini," kata Loke.

Ulasan GB

Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet kerana telah memalukan negara akibat kecuaiannya mempastikan brochure yang diedarkan mengandungi kesilapan-kesilapan ejaan.

10 Tahun Politeknik Pekan Tak Siap-siap Lagi. Apa Kes?

Projek Pembinaan Politeknik Muadzam Shah yang tidak siap biarpun hampir 10 tahun dimulakan, kini mengalami peningkatan kos sejumlah RM75.74 juta, iaitu 34.6% berbanding kos asal. Malah, kos ini belum mengambil kira kos perkhidmatan perunding yang perlu dibiayai kerajaan berjumlah RM10.55 juta. Apa yang menarik, projek ini terletak di daerah Pekan, kawasan parlimen Perdana Menteri, Najib Abdul Razak.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009, projek yang beralih tangan dari Kementerian Pelajaran ke Kementerian Pengajian tinggi pada tahun 2004 ini, sepatutnya disiapkan pada 14 September 2003. Namun demikian, ia belum siap bina sehingga kini biarpun hampir 10 tahun berlalu, dan RM294.74 juta telah dibelanjakan berbanding kos asal projek, iaitu RM219 juta.

"Memandangkan politeknik ini masih belum disiapkan, Kerajaan terpaksa menanggung kos sewaan tempat belajar sebanyak RM2500 sebulan, dan setakat bulan Disember 2009, sejumlah RM130,000 telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Selain itu, bilangan pengambilan pelajar juga terpaksa dihadkan setakat 64 hingga 347 pelajar sahaja berbanding 5,000 pelajar yang dirancang."

Pada pandangan Audit, prestasi kerja dan kedudukan kewangan sesebuah syarikat perlu dijadikan asas dalam pemilihan kontraktor dan subkontraktor bagi melaksanakan projek Kerajaan supaya projek berjalan lancar dan tidak merugikan Kerajaan.

"Selain itu, pihak Kementerian dan JKR juga hendaklah memantau dan memberikan pengawasan yang rapi terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor serta perunding bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan siap dalam tempoh yang ditetapkan."

Latar belakang projek

Pada masa yang sama, Ketua Audit Negara juga mengingatkan Jabatan Kerja Raya untuk mengambil tindakan bagi memungut denda kelewatan yang berjumlah RM4.34 juta daripada Kausar.

Menurut laporan, projek ini dilaksana secara reka dan bina oleh Yayasan Kontraktor Melayu Pahang Corporation Bhd (YKMP) yang dilantik secara rundingan terus, pada peringkat awal. Nilai kontrak berjumlah RM219 juta dan tempoh siap projek selama 24 bulan, dari 15 September 2001 hingga 14 September 2003. YKMP telah melantik anak syarikat Kausar Corporation Sdn.Bhd, iaitu V.C.Technologies Sdn.Bhd sebagai subkontraktor untuk melaksanakan projek tersebut.

Projek ini gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan kontraktor berkenaan telah ditamatkan kontraknya pada 15 Disember 2003.

Kemudiannya, Syarikat Kausar Corporation Sdn.Bhd telah dilantik untuk menyiapkan projek ini, diberi tempoh antara 10 November 2005 hingga 9 Mei 2007. Bagaimanapun, sejarah berulang dan syarikat ini ditamatkan kontrak pada 6 Mei 2008.

Seterusnya, syarikat MMN Bina Sdn.Bhd (MMN Bina) telah dilantik untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh 12 bulan, mulai 24 Februari 2009 hingga 23 Februari 2010. -MR

[Bergambar] GALAS: Masyarakat Tionghua Pilih Calon PAS

Masyarakat Tionghua Galas yakin calon PAS

GUA MUSANG: Masyarakat Tionghua Galas yakin calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mampu meneruskan kesinambungan perjuangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, demikian lapor FreeMalaysiaToday.

Dr Zulkefli yang pernah bertanding di Galas pada pilihan raya 2004, dikenali mereka sebagai mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sudah semestinya berupaya untuk menerajui perubahan rakyat semua kaum di kawasan itu.

Selain sifatnya yang lemah lembut, tidak lokek mengukir senyum setiap kali bertemu orang ramai membuatkan Dr Zulkefli senang didampingi oleh segenap lapisan masyarakat.

Seorang masyarakat Cina, Chee Kin Hwa, 53, berkata, pemilihan Dr Zulkefli sebagai calon wakil rakyat Galas adalah tepat berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat kepada rakyat.

“Dr Zul bagus. Dia orang baik, tidak sombong dengan orang ramai sama ada kenal atau tidak kenal kalau berhadapan dengan dia kita mudah akan dapat merasai kemesraannya.

Sokong seratus peratus

“Saya percaya kaum Cina di Galas akan memberi sokongan seratus peratus kepada Dr Zul dalam pilihan raya kecil ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Gua Musang dekat sini malam tadi.

Chee berkata, sebagai masyarakat veteran dia amat memahami citarasa atau sentimen pengundi Cina Galas yang lebih mengutamakan pemimpin yang berperwatakan bersih, telus, adil serta ikhlas dengan rakyat.

Chong Kun Sew, 42, menerima kerajaan pimpinan ulama berdasarkan sikap terbuka PAS yang tidak pentingkan satu bangsa, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat semua kaum atau bangsa di dalam negara dengan sama rata.

“Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh jaga rakyat. Ada masa untuk jenguk rakyat, tanya khabar apa masalah rakyat, bukan masa pilihan raya sahaja hendak jumpa rakyat selepas itu hilang, setahun tak boleh jumpa sekali, sibuk kononnya.

“Saya yakin Dr Zul boleh jadi seperti Chek Hashim dulu. Kalau lebih dari itu lagi bagus,” katanya yang pernah menemani Allahyarham Che Hashim semasa mendapat rawatan di China sebanyak lima kali.

Allahyarham Chek Hashim meninggal dunia pada 27 September lalu akibat barah usus pernah menjalani pembedahan di The First People’s Hospital Fu San oleh pakar dari Beijing.

Sukar dicari ganti

Sementara itu, Wong Siew Lan, 45, memberitahu masyarakat Cina masih mengenang pemergian Allahyarham Chek Hashim yang dianggap kehilangannya sukar dicari ganti, dan berharap Dr Zul menjadi penerus demi keharmonian masyarakat Galas.

“Kaum Tionghua Gua Musang banyak terhutang budi pada wakil rakyat Chek Hashim. Sikap bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.

“Saya menyeru semua pengundi Cina terus undi calon PAS (Dr Zulkefli) sebagai tanda kasih sayang berkekalan kepada Chek Hashim yang telah banyak membuat jasa kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Yap Chan Look, 34, berkata PAS mempunyai harapan besar untuk pertahankan kemenangannya di Galas.

“Tanggungjawab kerajaan Pas kepada rakyat adalah jelas. Mereka telus. Kebajikan rakyat diageh dengan adil tak kira kaum Cina, India atau Orang Asli.

“Saya fikir tidak ada sebab rakyat semua kaum hendak tolak atau tukar perjuangan Pas kepada parti lain,” jelasnya.

Jumlah pengundi Cina Dun Galas adalah 20.06 peratus dengan 2,317 orang pengundi.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agong DAP pada malam tadi telah menyampaikan ceramahnya di tiga buah kampun di Galas. Tok Guru Nik Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MB Nizar Jamaluddin turut menyampaikan ceramahnya di lokasi berkenaan.

Sekalipun hujan turun di sepanjang malam namun ia tidak menghalang orangramai dari turun beramai-ramai untuk mendengar ceramah dari pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tersebut.














Gunung Merapi Meletus Kali Kedua Dan Masih Aktif

YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.

“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.

Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.

Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.

Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.

Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.

Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.

Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.

Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.

Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter. – Agensi


Umpama padang jarak padang tekukur


KAKI Gunung Merapi, gunung berapi yang memuntahkan asap dan debu sehingga mengorbankan 32 nyawa dan meninggalkan ratusan lain cedera, kini diibaratkan seperti 'padang jarak padang tekukur'.

Pokok layu menyembah bumi, manakala rumah, bangsal, surau dan kenderaan diselubungi debu tebal.

Kesan kemusnahan akibat letusan itu juga kelihatan sehingga lima kilometer dari kaki gunung berkenaan dengan haiwan ternakan seperti angsa dan lembu mati bergelimpangan di bahu jalan.

Malah, tiada seekor pun burung berterbangan di kawasan itu kerana debu gunung berapi itu mengeluarkan bau belerang yang kuat.

Penulis dan jurugambar tiba di rumah jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, antara mangsa korban letusan gunung berapi berusia 400,000 tahun itu dengan bantuan penduduk tempatan, Eko, 27; dan Bluri, 26, menggunakan ngojek (motosikal sewa) jam 1 tengah hari semalam.

“Aktiviti di sini lumpuh mas (abang), harus lakukan sesuatu untuk pertahan hidup,” kata Eko sebelum membawa kami ke kaki gunung.

Operasi mencari dan menyelamat mencari dua penduduk tempatan yang dikatakan memotong rumput ketika Gunung Merapi meletus, Selasa lalu dihentikan semalam bagi menghormati upacara pengebumian Maridjan di Desa Srunen, Glasharjo selepas solat Zuhur.

Pengebumiannya dihadiri ribuan penduduk tempatan, selain Ketua Umum Partai Glokar, Aburizal Bakrie.

Pemandu kenderaan pelancong dari Kalasan, Purwanto 40, berkata Madrijan amat disegani penduduk setempat dan luar ekoran ramalan tepatnya pada 2006 yang gunung berapi itu tidak akan meletup walaupun mengeluarkan asap dan debu.

Kira-kira 400,000 penduduk di daerah sekitar Gunung Merapi terutama di Daerah Sleman, Klaten, Magelang dan Boyolali (Jawa Tengah) terjejas akibat bencana alam itu.

Tinjauan mendapati kebanyakan hospital di Yogyakarta termasuk di Hospital Umum Daerah Muntilan sesak berikutan pertambahan mangsa bencana alam itu, kebanyakannya mengadu mengalami masalah pernafasan.

Beberapa pusat pemindahan turut dibuka agensi kerajaan dan badan swasta di daerah terbabit dengan 3,000 mangsa ditempatkan di Lokasi Pemindahan Desa Keporharjo di Cangkringan, kira-kira lapan kilometer dari Gunung Merapi.

Sementara itu, di Yogyakarta, kira-kira 500 pelajar Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk Gunung Merapi meletus lagi.

Jika berlaku, mereka akan dipindahkan ke Universitas Negeri Surakarta (UNS) di Solo kira-kira 65 kilometer dari Merapi. -BH


Kejam: Mayat Remaja Perempuan Disumbat Dalam Bag Pakaian

Mayat Remaja Perempuan Ditemui Berlipat Dalam Beg Pakaian

AMPANG: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian, semalam.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim am@hmetro.com.my Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rizab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.

Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang ditemui di lokasi kejadian turut tidak menolak kemungkinan mangsa diculik sebelum dibunuh kejam.

Walaupun tiada sebarang laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan di daerah Ampang, beliau percaya kemungkinan mangsa dibawa dari luar daerah ini sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

“Oleh itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, pekerja bengkel terbabit menemui beg berisi mayat itu ketika dia melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Rumah Bakti Hulu Klang.

Pekerja terbabit dikatakan menunggang motosikal melintasi jambatan berhampiran sebelum melihat satu beg hitam mencurigakan dibuang di kawasan itu.

Sifat ingin tahu menyebabkan lelaki terbabit cuba mengangkat beg berkenaan, namun mendapati ia terlalu berat dan menyangka beg berkenaan mengandungi wang tunai.

Bagaimanapun, apabila dibuka, dia ternampak kaki manusia terjulur dalam beg berkenaan, menyebabkan dia bertempiaran lari dan membuat laporan polis.

Abdul Jalil berkata, bertindak atas laporan diterima sepasukan anggota unit ronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang segera dihantar ke lokasi kejadian.

“Pemerhatian awal mendapati mangsa remaja perempuan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun. Ketika ditemui mangsa memakai gaun biru dan ditutupi baju lusuh yang turut disumbatkan ke dalam beg itu.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan darah pada pakaian dipakai mangsa,” katanya. Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berambut lurus paras bahu dipercayai baru dibunuh dan dibuang ke kawasan itu.

“Besar kemungkinan remaja perempuan itu rakyat tempatan, namun siasatan lebih terperinci masih dilakukan. Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, siasatan awal unit forensik polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun belum dipastikan sama ada ia kesan cekik atau jerutan.

“Selain itu polis turut menemui satu beg tangan mengandungi nama lelaki, mungkin warga Indonesia berserta nombor telefon. Polis akan menjejak lelaki itu untuk mengetahui kaitannya dengan mangsa,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ditanya sama ada mangsa turut diperkosa sebelum dibunuh, Abdul Jalil berkata, pihaknya belum dapat memastikannya sehinggalah bedah siasat dijalankan.

“Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa. keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa berkenaan,” katanya. -hm

Kes Nusyuz Exco Wanita Umno 24 Januari Depan

Kes nusyuz (ingkar) yang difailkan seorang jurutera terhadap isterinya iaitu Exco Wanita Umno, Senator Datin Paduka Norhayati Onn akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada 24 Januari depan.

Hakim Syarie Drs Atras Mohamed Zin menetapkan tarikh itu selepas peguam Muhammad Buruk yang mewakili Mohd Suffian Abdul Aziz, 52, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tetap meneruskan permohonan nusyuz.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 25 November ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Mohd Suffian bagi membatalkan permohonan cerai taklik yang difailkan Norhayati, 47.

Pada 18 Februari 2008, Mohd Suffian memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya mengikut Seksyen 60(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sementara itu, di luar mahkamah, Mohd Suffian memberitahu, beliau akan memberikan keterangan secara lisan dalam prosiding perbicaraan dengan menzahirkan segala perkara yang berlaku dalam rumah tangganya.

Pada prosiding semalam, Mohd Suffian hadir ditemani dua anaknya, Ahmad Razali, 26, dan Siti Hasmah, 23, hasil perkongsian hidup bersama Norhayati.

Norhayati bagaimanapun tidak hadir dan dia diwakili peguam Rubiah Jaafar. -metro

Zul Nordin Dari Konsortium MP Terbuang Memfitnah Pakatan Rakyat

Zul Noordin dakwa PKR, DAP buat pakatan jamin dominasi Cina

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Zulkifli Noordin mendakwa wujud “kontrak rahsia” antara PKR dan DAP bagi memastikan dominasi Cina jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu ini, bekas wakil rakyat PKR, mendakwa PAS juga tidak sedar tentang kewujudan kontrak tersebut.

Ketiga-tiga parti itu menganggotai Pakatan Rakyat (PR) sejak pilihan raya umum 2008.

“Kontrak ini menjanjikan bahawa pemimpin-pemimpin Cina dalam DAP akan diberikan autonomi di Pulau Pinang (jika PR memerintah),” kata Zulkifli ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat Bebas ini, yang satu ketika dahulu rapat dengan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam DAP dengan menyifatkan parti itu sebagai “parti dijangkiti elemen chauvinis” dan mendakwa ia bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969.

“(Sekiranya PR mengambil alih kuasa) calon-calon Melayu akan diletakkan di Negeri Sembilan dan Perak. Dan, jika mereka menang (di negeri-negeri ini), mereka akan melantik menteri besar kalangan DAP untuk mengetuai negeri-negeri ini,” kata beliau lagi.

Zulkifli dan ahli-ahli Parlimen Bebas yang lain, khususnya dari komponen PR, menafikan mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN), tetapi ucapan hari ini beliau senada pendirian Umno yang digunakan untuk menyerang PR sejak kebelakangan ini.

Kini, BN berhadapan dengan saingan komponen PR iaitu PAS dalam pilihan raya kecil serentak di DUN Galas dan PKR di Batu Sapi.

Bagaimanapun beliau tidak menyediakan sebarang butiran bagi memperkukuhkan dakwaan beliau dalam ucapannya, yang dipendekkan oleh Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata, rakyat Malaysia perlu diberi bimbingan semula mengenai rusuhan 13 Mei 1969 agar jiwa mereka boleh didedahkan siapa sebenar DAP itu.

“Apa yang mereka lakukan, ialah mereka memainkan paten sama mencetuskan pembencian kaum terhadap orang Melayu meskipun telah diberi amaran oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj daripada berbuat demikian,” kata Zulkifli.

Menurut beliau, perdana menteri pertama itu memberi amaran kepada DAP supaya tidak mempersoalkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan juga hak-hak orang Melayu.

“Dan, ini yang dilakukan oleh DAP sekarang,” kata Zulkifli.

Wakil rakyat itu juga mempertahankan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika Perhimpunan Agung Umno minggu lalu sambil menekankan, pembangkang telah salah petik kandungan ucapan itu.

Ulasan GB

Lebih UMNO daripada orang UMNO sendiri.

Rahsia Balqis Terbongkar Jua. Tidak Pernah Dilarikan Jin Berbulu

Misteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar

Gambar: KETUA Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria menyerahkan Siti Balqis Mohd Noor yang didakwa dilarikan jin ke Gunung Jerai, Kedah, Ahad lalu kepada ibunya, Norizan Said (kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kuala Terengganu, semalam. Siti Balqis ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam. Foto Mohamad Ishak

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.

Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.

Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok.

“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19.

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini.

Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang.

Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam.

"Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin.

Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya.


Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu.

"Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya.

Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu.

Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya.

“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya.

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning
. -BH

Ulasan GB
1Malaysia berjaya ditipu oleh seorang remaja berumur 22 tahun yang mendakwa konon disorokkan jin di Gunung Jerai, sampaikan ada yang bergelar ustadz pun mempercayainya.

GB awal-awal tidak percaya kisah Balqis ini. GB kata ia akibat dari aqidah yang lemah. GB dah ulas di SINI. Petikan:


Macam dalam kisah Ahmad Albab pulak, jin boleh beri macam-macam harta karun. Sekarang dikisahkan pula jin boleh bawakan permata seperti delima, nilam dan zamrud. Siap dengan ada saksi lagi, dengan wartawan TV3 dengan kameranya bersama... Dihebohkan pula oleh blogger bebal yang main tampal dalam blog ikut suka menanamkan syirik untuk melebarkan dosa.

Nanti al-hasilnya, ramai tak percaya lagi majlis bacaan Yassin, ramai tolak kaedah agama. Lebih baik ikut cakap jin... dapat batu-batu permata... ghaib sekejap tak apa, asalkan dapat batu permata berharga "kurniaan" jin...

Inilah akibatnya apabila ilmu tauhid dan aqidah sudah kesasar jauhnya. Jin mengambil-alih mentadbir dunia, bukan lagi manusia menjadi khalifah. Akal kurniaan Allah sudah tidak berguna. Jin berkuasa bawakan itu dan ini, kata mereka... sedangkan ilmu tauhid mengajar kita "yang baharu tidak boleh memberi bekas" - samada mendatangkan menafaat atau mudharat.

Maka jadilah Terengganu dari sebuah darul-iman bertukar menjadi negeri jin bertendang.. dengan kisah Balkis ini, histeria di sekolah agama di negeri Terengganu... dihebohkan oleh wartawan yang ilmu tauhidnya juga empang-empang alang.. Ramailah yang terpesona dengan kisah ini, bukan sahaja UMNO, tapi ada sekerat dua dalam PAS yang berkopiah juga.. Dan jin runtuh itu khabarnya dah pergi ke Kedah juga. Semalam ada bangunan sekolah di Pokok Sena yang runtuh cederakan 10 pelajar, nak uji Mahfuz di sana. Jin ini, dibela dan diharapkan oleh UMNO akan runtuhkan kerajaan Kedah di sana.

Percaya kepada kuasa jin inilah timbul mendarem, timbul kisah politikus jumpa bomoh nak pertahankan jawatan, nak jadi YB sampaikan terjadi kisah Mona Fendy pun masih tak insaf-insaf lagi.

Dunia kita dibentuk oleh minda kita sendiri. pegangan kita sendiri, aqidah kita sendiri, ilmu yang pada kita sendiri. Apa yang ada di dalam fikiran kita, itulah kita. Kalau percaya jin tu yang boleh bawa permata, jadilah ia begitu. Maka hilanglah pengetahuan tentang kudrat dan iradat Allah yang menakluki segala yang maujud, maujud qadim dan maujud hadith. Hilanglah pengertian ayat kelima suratul fatihah (iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in) dan ayat kedua suratul ikhlas (Allahus-Samad) yang dbaca saban hari.

Apabila ilmu tauhid sekangkang semut, maka runtuhlah aqidah sepertimana runtuhnya bangunan-bangunan di negeri Terenganu yang oleh politikus dan wartawan dikatakannya nanti, akibat jin-jin. Justeru itu, serunya lagi, mari beriman dengan jin - darul-iman juga namanya! - kata mereka.


GB pernah juga berkali-kali ditemui oleh mereka yang mendakwa disampuk, dirasuk oleh jin dan seumpamanya. Siap ada yang bawa botol air lagi. Nak mintak jampi katanya.

GB kata itu semua karut-marut. Tak payah bertendang-tendangan dengan jin, takder jampi-jampian. Tetapi ajarkan kalimah tauhid kepada "pesakit" termasuk kepada yang membawa pesakit itu. Habis cerita.

Memang sudah menjadi resmi, di kalangan orang Melayu masih ada lagi yang mempercayai khurafat dan tahyul, percaya kepada kuasa jin dan seumpamanya. Termasuk MB Rayuan di Perak.

JUSTERU ITU, BERSIHKAN TAUHID DARI SYIRIK. SYIRIK KHOFI (Sembunyi) dan SYIRIK JALI (Nyata).

Alat Pengesan Tsunami Di Mentawai Rosak

Alat pengesan Tsunami Mentawai Rosak

"Siren gempa dan tsunami memang sudah ada, tapi ada stesyen mengesan tsunami di dermaga Sikakap itu rosak. Kami yang biasanya mendengar siren waktu itu tidak terdengar sama sekali," kata Ferdinand Salamanang, warga di Kecamatan Sikakap, Pagai Utara, Kabupaten Mentawai.

Ferdinand selamat dari bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin (25/10), walaupun dusun tempat dia tinggal terletak sekitar 100 meter dari garis pantai.

Tetapi kampung tempat tinggalnya lenyap hampir tak ada bekas.

"Kampung saya menjadi seperti lapangan bola sekarang. Kerana dari 74 unit rumah penduduk, satu unit gereja GKPM, Gereja Kristen Protestan Mentawai, satu unit Sekolah Dasar Filial 3 lokal dan TK 2 lokal rata dengan tanah. Yang tersisa hanya tapaknya saja."

Saat tsunami menghentam sekitar pukul 21.30 WIB Isnin malam aktiviti warga dusun terhenti. Maklumat terakhir dari Badan Penanggulangan Bencana Daerah Sumatra Barat mencatat 272 orang meninggal dunia, 412 masih hilang dan sekitar 4.000 ketua keluarga tinggal di pusat pemindahan.

Alat pengesan tidak berfungsi

Wilayah Sumatra Barat sebenarnya telah memasang sistem peringatan awal tsunami.

Namun Kepala Pusat Maklumat Awal Tsunami dan Gempa Bumi BMKG, Fauzi, mengakui sejumlah alat penyedia data maklumat dini tsunami tidak bekerja.

Banyak desa di Mentawai yang hancur

BMKG hanya mengharapkan alat pengukur gempa untuk memaklumkan ada tidaknya kemungkinan tsunami, sedangkan buoy atau pelampung yang terpasang di lepas pantai untuk menngesan dan mengesahkan data kemunculan tsunami tidak berfungsi kerana ia rosak.

"Alat kawalannya ada yang di pantai, biasanya di pelabuhan, seperti di Teluk Bayur itu berfungsi. Kemudian yang memang tidak berfungsi itu adalah pelampung di tengah laut. Nah itu memang tidak jalan," kata Fauzi.

"Kami memerlukan data dari pelampung, juga dari pengukur gelombang yang ada di pantai. Tetapi kalau pengukur gelombang mendapat data berarti tsunaminya sudah sampai di pantai," tambahnya.

Menurut Fauzi data yang terkumpul dari alat-alat pemantau inilah yang kemudian disampaikan kepada masayarakat melalui media dan pemerintah daerah setempat.

Alat-alat seperti itu rata-rata menghabiskan kira-kira Rp5 miliar per alat,

Sementara itu Timbalan Teknologi Pengembangan Sumber Daya Alam BPPT, Ridwan Jamaludin, mengaku pelampung itu memang tidak berfungsi sejak sebulan lalu.

"Di Kepulauan Mentawai ada satu kita pasang. Di utara ada lagi satu yang kita pasang. Hanya persoalannya adalah kerosakan yang menjadi mengendalakan yang masih belum dapat kita atasi. Dua-duanya rosak. Saya menggunakan kata rosak...... Alat-alat seperti itu rata-rata menghabiskan kira-kira Rp5 miliar per alat," kata Ridwan.

Kerosakan alat ini katanya memang sering terjadi, dan belum ada kepastian bila alat-alat pengesan tsunami ini akan difungsikan kembali.

Sejak tsunami tahun 2004 yang menyebabkan 200,000 orang tewas di Wilayah Nanggroe Aceh Darusalam, sistem peringatan awal tsunami dipasang di berbagai tempat di pantai Barat Sumatra.

Namun tampaknya belum dapat berfungsi sepenuhnya, paling tidak di Mentawai. -BBC