11 Jul 2010

Utusan Serang Anwar Untuk Tutup Pekung Najib Dan UMNO

Najib, Malaysia 'Ayam Sabung' Amerika Syarikat

Lebih RM70 juta yang dibayar oleh kerajaan Umno kepada firma berkaitan Zionis, Apco Worldwide semakin menampakkan hasil untuk membina imej Perdana Menteri Najib Razak di Amerika Syarikat.

Najib menerima pujian dari penulis-penulis rencana The New Ledger sebagai sekutu yang amat boleh dipercayai untuk menjaga kepentingan Amerika Syarikat.

Malah penulis Rachel Motte memuji Najib sebagai pemimpin yang bingkas membekukan eksport barangan minyak ke Iran atas permintaan washington.

Pemimpin Pakatan Rakyat Yusmadi Yusoff menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang cuba menjadikan malaysia 'ayam sabung' Amerika Syarikat.

Dua rencana terbitan newsledger.com, bertajuk 'CNN, bad journalism dan anwar's apology tour' tulisan Joshua Trevor dan 'the reversal of anwar ibrahim' tulisan Rachel Motte yang menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang 'kurang patuh' kepada Amerika seperti Najib.

"Kepimpinan Malaysia sekarang ini pro-perniagaan, pro-Amerika dan bersedia untuk bangkit dan berjuang sebagai sekutu strategik Amerika Syarikat di dunia Islam. Di Persidangan Puncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak berikrar untuk membantu Washington di pelbagai medan, bahkan turut menghentikan pembekalan petroleum ke Iran sejurus kembali ke Kuala Lumpur," kata penulis Rachel Motte.

Artikel dari laman web konservatif berhaluan kanan itu juga menyatakan Najib telah berjanji membantu Amerika Syarikat dalam pelbagai perkara termasuk menutup penghantaran barangan petroleum kepada Iran setelah Persidangan Puncak Keselamatan Nuklear di Washington, awal tahun ini.

"Warga Malaysia perlu lebih peka kerana dalam keghairahan Najib menambat hati kelompok Amerika," kata Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff.

Beliau menggadai banyak kepentingan Malaysia terutama imej negara dengan negara Islam dalam isu Iran, dimana Malaysia dilihat telah menjadi 'ayam sabung' Amerika Syarikat," tegas beliau.

"Malaysia dilihat lesu dan lembik dalam membahas isu Palestin malah membawa agenda anti-terrorisma acuan Washington, dan bukannya agenda serantau dan sejagat," tambah Yusmadi.


Laporan dalam Utusan dakwa Anwar 'alat' CIA

Utusan Malaysia hari ini meneruskan serangan terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporannya - kali ini akhbar itu memetik tulisan seorang penulis blog - yang mendakwa ketua umum PKR itu adalah "alat" kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Dalam edisi Ahadnya hari ini - Mingguan Malaysia - akhbar harian bahasa Melayu itu memetik tulisan Elaine Meinel Supkis, yang digambarkannya sebagai "seorang penulis blog terkemuka", mendedahkan bahawa Anwar merupakan "alat" CIA .

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar."

Mingguan Malaysia memetik tulisan Elaine yang bertajuk 'CIA and Mossad want Anwar Ibrahim assassinated (CIA dan Mossad mahu Anwar Ibrahim dibunuh) yang menyebut bahawa Anwar merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara itu di Malaysia.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Elaine kecuali apa yang terdapat dalam blognya. -mk

Jangan Sebarkan Ramalan Bola Sepak Yang Tidak Berasaskan Kajian

Percaya ramalan boleh rosakkan akidah: Mufti

KUALA LUMPUR: Tokoh agama di negara ini mendakwa amalan mempercayai ramalan atau tilikan adalah haram di sisi agama Islam dan boleh merosakkan akidah.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsudin, berkata ramalan bagi menentu keputusan perlawanan bola sepak juga adalah haram dan umat Islam yang mempercayainya melakukan dosa besar kerana syirik terhadap Allah.

“Dalam hadis ada menegaskan ramalan, tekaan atau tilik menilik yang dilakukan manusia adalah satu pembohongan. Maka, jika manusia yang meramal pun dipanggil pembohong, apatah lagi jika haiwan yang meramal.

“Jika setiap ramalan itu betul, ia hanya kebetulan, bukan kerana kepandaian dimiliki manusia atau haiwan, sebaliknya hanya kebetulan. Oleh itu, haram bagi umat Islam percaya kepada ramalan. Ia akan merosakkan akidah, diri, keluarga dan masyarakat kerana mendorong kepada amalan bertaruh dan berjudi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, masyarakat dunia dikejutkan dengan ramalan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia yang dilakukan seekor sotong kurita bernama Paul. Bagi pertemuan akhir antara Belanda dengan Sepanyol sotong berkenaan meramalkan kemenangan bakal memihak kepada Sepanyol.

Selain sotong kurita, seekor burung nuri yang dipelihara di Singapura, dikenali sebagai ‘Mani Si Nuri’ pula meramalkan Belanda akan menewaskanSepanyol bagi menjuarai Piala Dunia 2010.
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, berkata umat Islam yang mempercayai sesuatu ramalan itu perlu sedar bahawa solatnya tidak akan diterima oleh Allah selama 40 hari.

“Jika seseorang itu perca ya kepada sesuatu ramalan, maka Allah tidak akan menerima solatnya selama 40 hari. Umat Islam tidak boleh percaya kepada ramalan seperti itu dan ia salah di sisi Islam,” katanya.

Sementara itu, bagi pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata perkara yang akan berlaku pada masa depan terletak di tangan Allah dan manusia atau haiwan tidak boleh meramalkan apa yang bakal berlaku.

“Kita hanya boleh merancang, tetapi Allah yang menentukan dan tidak boleh meramalkan sesuatu bakal berlaku, hanya Allah berhak meletak jawapannya (apa yang akan berlaku) dan kita tidak boleh mendahuluiNya,” katanya.

Katanya, perbuatan mempercayai ramalan dan juga lebih mengutamakan sesuatu perlawanan bola sepak sehingga mengabaikan solat adalah perbuatan syirik dan dimurkai Allah. -BH

Ulasan GB

Sejak demam bola berlansung, tersebar ramalan dari apa yang disebut sotong kurita yang dikatakan telah dapat meramal dengan tepat termasuk keputusan penentuan tempat ke3 dan ke4 dimana Jerman berjaya mengalahkan Uruguay pagi tadi.

Ramalan yang berasaskan kajian dan sejarah, berasaskan prestasi dan pencapaian dibenarkan tetapi apabila ada unsur tilikan menggunakan binatang seperti burung, sotong, ikan dan seumpanya jelas terlarang.

Banyak portal berita menyiarkan mengenai kisah sotong kurita tersebut dan ditambahi pula dengan ramalan burung kakak tua dari Singapura yang juga membuat ramalan Piala Dunia.

Berita itu kemudian telah disalin tampal oleh para blogger.

Perlu diperingat bahawa bukan sahaja mempercayai tenungan dan ramalan haiwan berkenaan itu haram, menyalin-tampal dengan maksud menyebarkan berita mengenainya juga adalah haram di sisi agama. Penyebarannya seolah-oleh membenarkan ramalan berkenaan dan menyesatkan pembaca-pembaca blog.

Walaupun anda tidak mempercayainya tetapi anda telah menyebarkannya di blog anda. Ia tamsil seorang pekedai yang tidak minum arak tetapi menjual arak di kedainya.

Lebih ramai yang membacanya, ebih banyaklah dosa yang dipikul oleh penyalin berkenaan.

Justeru itu, elakkan diri kita dari mendapat dosa percuma di musim bola ini.


54% Golongan Muda Selangor Sokong Pakatan Rakyat, 44% Yakin Umno Parti Rasuah

Pada umumnya pengundi muda yang ditemui dalam satu kajiselidik di Selangor berpuashati dengan penyediaan keperluan asas oleh kerajaan negeri seperti pemberian air percuma tetapi masih tidak berpuashati dengan tahap perkhidmatan yang dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.

Selain itu, kira-kira 42 peratus pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 30 tahun yang sepatutnya layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Manakala rata-rata responden yang ditemui turut melahirkan rasa tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh wakil rakyat mereka samada dari Pakatan Rakyat mahupun Umno-Barisan Nasional.

Itu antara rumusan yang diberikan oleh Dekan Fakulti Dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar) iaitu ketua penyelidik satu kajian yang bertajuk 'Pola Pengundian Pengundi Muda Dalam Pilihanraya Kecil selepas Pilihanraya Umum ke 12, 2008'.

Selain Dr Mohammad Redzuan, dua lagi pembentang kajian berkenaan ialah Amer Saifude Ghazali dari Jabatan Geografi UM dan Dr Zulkarnain Abdul Rahman, pensyarah Jabatan Sejarah universiti berkenaan.

Menurut Dr Mohammad Redzuan, kajian itu dijalankan terhadap 1,410 responden dipilih secara rawak dari seluruh negeri Selangor dengan menyasarkan pekerja swasta, kakitangan kerajaan, pelajar, bekerja sendiri dan suri rumah.

Dalam pembentangan beliau, Dr Mohammad Redzuan menjelaskan pelbagai persepsi di kalangan golongan muda Melayu di Selangor terhadap pencapaian kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Antara yang dinyatakan sebanyak 54 peratus golongan muda menganggap Pakatan Rakyat masih mempertahankan hak-hak Melayu dan kedudukan agama Islam manakala 44 peratus lagi percaya Umno sebuah parti yang mengamalkan rasuah.

Secara kesimpulannya beliau menyatakan golongan muda melayu di Selangor merupakan golongan yang bersimpati dan menyokong dasar Pakatan Rakyat tetapi pembangkang memerlukan pendekatan yang lebih berkesan untuk menarik sokongan mereka.

"Dari segi perspektif kesejahteraan rakyat, umumnya majoriti responden berpuashati dengan penyediaan keperluan asas. Tak timbul umpamanya isu jalan dan sebagainya kerana di sini telah selesai termasuk soal pemberian air yang dianggap menimbulkan.

"Dalam aspek pembangunan sosial ramai responden tidak berpuashati dengan perkhidmatan oleh PBT seperti pengutipan sampah, pembersihan longkang dan perparitan. Ketiga dari aspek politik, kebanyakan responden masih tidak berpuashati dengan prestasi wakil rakyat masing-masing dan umumnya mereka masih belum mengenali wakil rakyat mereka," kata Dr Mohammad Redzuan.

Katanya lagi, kebanyakan pengundi muda tidak mendapat maklumat berkenaan kerajaan Negeri Selangor dan banyak bergantung kepada maklumat yang disiarkan menerusi media arus perdana.

"Bilangan responden 42 peratus tidak mengundi dan sebahagian besar responden berada dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 40 tahun yang sepatutnya layak mengundi tetapi masih belum mengundi. Ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian," ujar beliau lagi. -SK

Memorandum Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010

.Kami seperti penama pertubuhan di bawah berpendirian bahawa satu-satu formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi pelbagai parti yang aktif dan sihat.

Menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif.

Namun, keadaan tersebut masih dalam tahap membimbangkan memandangkan terdapat segelintir yang berada dalam keadaan terdesak yang menggugat pilihan raya, termasuk penyalahgunaan apparatus kerajaan mahupun merubah keputusan pilihan raya melalui defeksi dan menolak pilihan raya yang baru apabila mandat terdahulu dipertikaikan.

Pada pilihan raya yang akan datang ini, patutkah parti-parti politik mengelakkan penerimaan "hanya demokrasi caranya" dan cuba untuk bersaing mendapatkan kuasa dengan cara penipuan dalam pilihan raya atau pun menolak keputusan pilihan raya? Maka, Malaysia akan tenggelam di dalam kemelut politik.

Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan kestabilan politik dan pendemokrasian adalah suatu yang penting. Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 114(2) menyatakan harapan agar SPR dapat menjayakan keyakinan orang awam. Ini bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya menjalankan pilihan raya dengan telus dan tidak berpihak dalam mempastikan hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti-parti politik dan calon-calonnya.

Artikel yang sama juga memaklumkan berkenaan dengan penawaran pilihan-pilihan dengan memaklumkan dan perwakilan inklusif. Bersih 2.0 percaya bahawa melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada, SPR mampu menjalankan tugas mereka secara demokratik berdasarkan piawai menurut amalan antarabangsa.

SPR mampu dan mestilah melindungi demokrasi kepelbagaian parti dengan memastikan pilihan raya adalah bersih dan adil, di dalam pentadbirannya dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan serta melalui advokasi perubahan-perubahan yang sepatutnya menurut Perlembagaan, undang-undang dan peraturan.

Berpandukan satu cita-cita untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, kami mendesak SPR membawa perubahan-perubahan berikut. Kami berharap SPR akan bekerjasama dengan kami dan orang awam melalui rundingan dan pertimbangan. Kami juga menggesa agar orang awam dibiasakan dengan hak-hak mereka sebagai pengundi dan melanjutkan agenda reformasi melalui cara-cara mereka dan rangkaian yang ada.

Kerunsingan Sedia Ada

Penyiasatan kesalahan-kesalahan Pilihan Raya. Kami berpegang bahawa SPR wajib menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan penyiasatan kesemua kesalahan pilihan raya yang berlaku, terutama sekali dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan, berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya. Ia akan menjadi suatu yang keterbiaran sekiranya mereka mengabaikan laporan-laporan sedemikian yang difailkan berdasarkan kesalahan-kesalahan yang dijalankan. Di dalam mengekalkan kebebasan badan tersebut, SPR seharusnya diberi kuasa pendakwaan terhadap pihak yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menghalang pendaftaran pengundi. Kami dikejutkan dengan aduan-aduan mengenai sekatan-sekatan tidak munasabah yang berlaku, seperti menghadkan borang-borang pendaftaran kepada Pembantu Pendaftar di dalam usaha mendapatkan pengundi baru memandangkan terdapat seramai empat juta pengundi yang layak mengundi masih belum berdaftar. Halangan di dalam hak-hak sejagat adalah kesalahan serta kepincangan terhadap demokrasi. SPR mestilah menolak sekatan-sekatan sedemikian serta-merta di dalam usaha menambah pengundi baru atau SPR akan hilang keyakinan orang awam sepenuhnya, sehingga menjadikan badan itu tidak layak berfungsi menurut perlembagaan. SPR mestilah dilihat sebagai badan yang bekerjasama kuat dengan kesemua parti di dalam menyediakan segala bentuk bantuan (bukannya menghalang) keefisienan pendaftaran pengundi.

A. Hak Mengundi dan Pembuangan Undi

1. Pendaftaran otomatik – kami berpegang bahawa kesemua pengundi yang layak seharusnya didaftarkan serta-merta sebagai pengundi tatkala mencecah usia kelayakan dan status alamat mereka dikemaskini dengan diseraya dengan senarai pengundi dan pengkalan data pendaftaran negara. Ini akan mengelak sebarang penipuan dan aduan yang bersangkut-paut dengan senarai pengundi sedia ada yang wujud dari pengundi hantu, alamat yang tidak lengkap, pemindahan alamat hinggalah kepada pendaftaran berulangkali.

Kami amat khuatir bahawa SPR telah menolak cadangan mewujudkan pendaftaran otomatik, khususnya perkara ini mempu menyelesaikan kesemua aduan mengenai proses pendaftaran.

2. Menurunkan usia mengundi – kami berpegang bahawa seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak mengundi dan menjadi calon di dalam pilihan raya di peringkat parlimen mahupun negeri. Mereka sudah mencapai tahap kematangan untuk mengambil bahagian di dalam kehidupan awam dan terkesan dengan dasar-dasar kerajaan di dalam pendidikan mahupun pekerjaan, hampir 90% negara di seluruh Dunia – termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja – telah meletakkan usia 18 tahun sebagai usia layak mengundi. Malaysia sepatutnya idak memberi sebarang alasan untuk berada di luar senarai tersebut.

3. Tidak Hadir Membuang Undi – kami berpegang bahawa undi pos yang berasingan pada masa kini sepatutnya dimansuhkan untuk kesemua pengundi – kakitangan kerajaan atau anggota keselamatan, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar negara – mereka sepatutnya memohon untuk dikecualikan daripada tidak hadir pada hari pembuangan undi sekiranya mereka mempunyai alasan-alasan sah. Mereka sepatutnya diberi tempoh untuk mengaju permohonan sedemikian sebelum hari pembuangan undi. Dengan cara ini, ia mampu mengelak timbulnya sebarang faktor ketakutan dan pertuduhan yang mendakwa kerahsiaan dan kebebasan mereka dicabuli di dalam pengundian pos.

4. Dakwat kekal – Kami berpegang bahawa dakwat kekal sepatutnya digunakan di dalam semua pilihan raya bagi mengelak pengundian berganda. Kabinet, walau bagaimana pun telah membuat keputusan mengenai perkara ini pada tahun 2007 dan pekhabaran mengenai kegiatan sabotaj tidak dapat dibuktikan dan tidak berasas. Risiko SPR diperlihatkan sebagai covert dengan membenarkan pengundian berganda bilamana SPR sendiri tidak mahu melaksanakan dakwat kekal.

Persempadanan Semula Kawasan

5. Meminimakan Pengubahan Sempadan (gerrymandering) – Kami berpegang bahawa kawasan-kawasan yang dipertandingkan sepatutnya diletakkan sempadan mereka berdasarkan, antara lain, kepada kepentingan komuniti, yang mana ia menjadi sempadan pentadbiran. Oleh yang demikian, tidak ada kawasan parlimen dan negeri sepatutnya bersilang dengan sempadan yang dirangka oleh sempadan penguatkuasaan tempatan mahupun pentadbiran daerah. Pada masa yang sama, tidak ada komuniti tempatan sepatutnya disisihkan dengan sempadan-sempadan pilihan raya. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menyatakan pertalian tempatan sepatutnya dihormati.

6. Meminimakan Kegagalan Pengagihan (malapportionment) – kami perpegang bahawa SPR mestilah secara jujurnya mematuhi peraturan yang termaktub di dalam Seksyen 2, Bahagian 1, Schedule Tigabelas Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara ini. Kekurangan yang dihadapi di kawasan luar bandar bukanlah lesen untuk SPR bagi menjalankan manipulasi kepada saiz kawasan pilihan raya. 17 daripada 56 kawasan negeri di Selangor atau 30% mempunyai lebih ramai pengundi daripada kawasan parlimen terkecil di Selangor iaitu Sabak Bernam pada pilihan raya 2008 yang menunjukkan bahawa SPR, secara tidak adilnya, mencabul peruntukan perlembagaan semasa persempadanan semula yang dibuat sebelum ini. Kami mendesak supaya di dalam merangka sempadan semula pada masa akan datang, SPR sepatutnya pastikan tidak ada cara mana-mana kawasan mempunyai saiz yang lebih besar daripada 50% jumlah pengundi di dalam kawasan parlimen terkecil yang berada di dalam negeri yang sama.

Persaingan dan Media

7. Tempoh Kempen yang Berpada – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya memberi tempoh kempen tidak lebih dari 21 hari. Kempen yang lebih panjang tidak hanya membenarkan pengundi mempunyai lebih banayak masa untuk mengumpul maklumat ecukupnya dalam membuat pilihan, ia juga mengurangkan ketegangan yang dialami semasa pilihan raya memandangkan parti-parti mempunyai jangkamasa yang cukup kepada sumber-sumber mereka. Tempoh 21 hari suatu tempoh yang berpada memandangkan Kerajaan Kolonial British membenarkan tempoh dua kali ganda lebih panjang, 42 hari pada waktu pilihan raya kebangsaan pertama dijalankan pada tahun 1955. Pada masa akan datang, SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda atas alasan sedemikian.

8. Akses Media Bebas dan Adil – Kami berpegang bahawa pada pilihan raya umum yang akan datang, SPR sepatutnya mendesak badan penyiaran kebangsaan, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) membenarkan waktu siaran tertentu kepada debat terbuka perdana selaras dengan amalan di United Kingdom pada Mei 2010. SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda agar ianya digunapakai kepada media-media milik kerajaan untuk memberi kebebasan dan ulasan yang sama rata untuk parti-parti politik yang bertanding; juga kepada media milik swasta dalam menyediakan akses yang adil.

Kewangan Pilihan Raya

9. Kawalan perbelanjaan parti – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar perbelanjaan yang dinyatakan seperti kos pengiklanan yang dialami parti-parti politik diakaunkan dalam asas pro-rata yang menjadi sebahagian dariapda perbelanjaan pilihan raya calon.

10. Perbelanjaan Parti Kewangan Awam – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya menggesa Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memberi bantuan kewangan kepada semua parti politik berdasarkan kepada perkongsian undi semasa pilihan raya yang lalu.

Demokrasi Pelbagai Parti

11. Hak untuk Bertanding di dalam Pilihan Raya Selepas Perletakan Jawatan – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyisihkan halangan-halangan berhubung dengan Perlembagaan agar wakil-wakil yang dipilih berpeluang untuk bertanding kembali di dalam pilihan raya selepas perletakan jawatan. Kebanyakan daripada wakil-wakil rakyat dipilih melalui tiket parti yang diwakilinya.

12. Kesaksamaan Pentadbiran – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda sehingga tiada keputusan penting dan tidak penting termasuk projek-projek pembangunan dan dana yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan berhubung dengan bangsa, kerajaan mahupun kawasan parlimen dan negeri selepas Perundangan Parlimen / Negeri dibubarkan ataupun sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong.

13. Pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan – Kami berpegang bahawa SPR mesti mengusulkan kerjasama dengan mana-mana Kerajaan Negeri bagi memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan selaras dengan Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan. SPR mestilah tidak mencabuli tuntutan di dalam Perlembagaan.

Pentadbiran Pilihan Raya

14. Pengadilan dan Mengawal Rapi Sepenuhnya di dalam Petisyen Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar petisyen pilihan raya boleh difailkan atas apa jua keadaan yang berhubung dengan penipuan semasa pilihan raya. Akta tersebut dipinda pada tahun 2003 yang memberi kesan kepada integriti senarai pemilih yang mana senarai pemilih tidak boleh lagi dicabar di mahkamah perundangan.

15. Hak Untuk Pemantauan Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mempersiapkan sebuah tatacara inklusif yang telus bagi pemantau-pemantau tempatan dan antarabangsa agar mereka dibenarkan didaftarkan di pilihan raya yang akan datang. SPR seharusnya juga mengusulkan bahawa Akta Pilihan Raya dipinda agar membolehkan hak untuk memantau pilihan raya dipulihara.

*Memorandum Pertubuhan Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, diserahkan oleh Ambiga Sreenevasan selaku Pengerusi BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Pembelian kapal selam: Bala dipanggil Polis Perancis

Penyiasat Persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal telah menerima panggilan rasmi daripada polis Perancis untuk memberi keterangan berhubung kes pengambilan komisen dalam pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis, menurut sumber maklumat yang enggan didedahkan nama.

Saksi penting dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang kini melarikan diri ke London ini, akan bertolak ke Paris pada hujung minggu ini, diiringi peguamnya Manjeet Singh Dhillon. Balasubramaniam (gambar kanan) yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak pendakwaraya Perancis, akan diambil keterangan oleh polis pada jam 2 petang (waktu Perancis) di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture.

Sebagaimana yang diketahui, polis Perancis berminat untuk mengetahui maklumat dalaman yang diketahui Balasubramaniam, dalam kes pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia daripada Perancis. Balasubramaniam akan menjadi saksi utama polis Perancis.

Pendakwaraya yang bertanggungjawab untuk menyiasat pembelian kapal selam oleh Malaysia ini telah mengarahkan satu serbuan polis ke pejabat DCNS, pembuat kapal selam pada bulan lalu. Polis telah bersedia untuk menyiasat siapakah penerima komisen dalam pembelian ini.

Menurut sumber maklumat, mereka daripada bidang perundangan di Perancis cenderung untuk mempercayai bahawa penerima komisen ini melibatkan ahli politik peringkat tinggi di Malaysia dan Perancis. Selama ini, nama DCNS kurang positif, malah sedang berdepan dengan siasatan dalam kes pembelian senjata oleh Taiwan dan Pakistan.

Malah, penjual-belian peralatan pertahanan antara DCNS dengan Taiwan dan Pakistan telah melibatkan kes pembunuhan. Antaranya, pendakwaraya Perancis mengesyaki satu kes peletupan yang meragut nyawa 11 orang jurutera kapal selam pada tahun 2002, mungkin merupakan dendam yang dibalas kerana Perancis mungkir janji untuk membayar komisen kepada pegawai tentera Pakistan yang bernilai jutaan dolar Amerika.

Siasatan bermula Mac 2009

Perancis memulakan siasatan pembelian kapal selam yang ada hubung kaitnya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sejak akhir Mac 2009. Badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia, SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) telah memfailkan kes pada Mac 2010 di mahkamah Perancis, untuk menyiasat sama ada kontrak pembelian Scorpene dan Agosta ini melibatkan rasuah.

Pada 28 April, peguam SUARAM Joseph Breham berkata, kes ini berada dalam peringkat inkues (inquest), malah yakin bahawa sistem kehakiman Perancis yang bebas mampu menahan tekanan luar.

Perdana Menteri Najib Razak pernah mengeluarkan kenyataan di parlimen bahawa kerajaan Malaysia tidak memberi komisen kepada syarikat Perimekar. Tetapi, syarikat Perimekar dikatakan menerima 114 juta Euro Dollar, atau RM 500 juta sebagai bayaran "penyelarasan dan perkhidmatan" untuk kapal selam Scorpene dan Agosta daripada DCNS.

Institusi kehakiman Perancis berkuasa untuk menyiasat kes yang berunsur rasuah ini kerana DCNS adalah syarikat Perancis.

Kes ini disiasat kerana beberapa perkara. Antaranya, syarikat Perimekar ditubuhkan pada tahun 2001, iaitu beberapa bulan sebelum kontrak pembelian kapal selam ini ditandatangani. Dengan kata lain, syarikat ini tidak mempunyai pengalaman dalam urus niaga kapal selam. Pemegang saham syarikat ini adalah bekas tink-tank Najib, iaitu Abdul Razak Baginda (gambar kanan, kiri) dan isterinya Mazlinda Makhzan (gambar kanan, wanita di tengah).

Perimekar adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang dikuasai Abdul Razak Baginda dengan isterinya sebagai pemegang saham terbesar.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan lawatannya ke London untuk mengambil keterangan Balasubramaniam, atas alasan masalah perundangan. Soalan bertulis yang ingin diajukan kepada Balasubramaniam diserahkan kepada peguamnya melalui kiriman pos laju.

Balasubramaniam pernah mendedahkan bahawa kos perbelanjaan hidupnya ditanggung oleh Deepak, peniaga carpet yang dituduh berkenalan dengan Rosmah Mansor, isteri kepada Najib Razak. -MR

Ulasan GB

Tutup macamana pun, bangkai gajah pasti terhidu juga akhirnya.

Walau pun sistem perundangan dan kehakiman negara tidak dapat diharapkan sebagai payung untuk rakyat mendapatkan kebenaran dan keadilan kerana telah dilacurkan oleh UMNO BN, namun mahkamah luar apatah lagi mahkamah Allah tidak mungkin mampu UMNO dan BN sekat.