7 Jul 2010

Dari Menteri Berbudaya Kepada Menteri Berkepala Buaya

Menteri tak budaya' punca khazanah sastera hilang

Datuk A Samad Said menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai "kurang berbudaya" apabila mempersoalkan apa lagi yang dimahukan oleh Sasterawan Negara itu.

"Kalau dia (Rais) tanya apa lagi yang saya mahukan, kalau dulu dia bertanya, saya akan huraikan. Cuma caranya bertanya itu kurang berbudaya.

"Maka sekarang, saya (jawab) tidak mahu apa-apa lagi dari dia (Rais)," kata A Samad ketika diminta mengulas kenyataan Rais minggu lalu bahawa terlalu banyak dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperoleh bahan atau artifak seni budaya.

Rais, menjawab kekecewaan A Samad terhadap layanan kementeriannya dalam menyediakan penempatan untuk khazanah sastera yang dimilikinya dilaporkan berkata, hampir RM485,000 buku sasterawan itu, tidak termasuk sajak yang telah dibeli.

A Samad sebelum itu dilaporkan mahu menempatkan khazanah yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan yang diberikan kementerian dalam menyediakan penempatannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, A Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, menjelaskan bahawa beliau menjual, justeru tidak ada langsung konsep "hutang budi" dalam perkara tersebut.

"Kalau saya ada duit, saya mahu ambil balik. Berdegar sangat beliau (Rais) bercakap. Ia sepatutnya sesuatu yang peribadi dan menjadi rahsia," kata Sasterawan Negara ketiga itu.

Menurut beliau, khazanah berharga itu termasuklah buku tulisannya, manuskrip, diari, proses penciptaan, surat-menyurat, rekod-rekod lagu dan lukisan - sebahagiannya dibeli daripada pengkarya muda di seluruh negara.

Ada antaranya telah sudah disimpan selama 50 tahun, kata pengarang yang terkenal dengan novel Salina itu.

Sementara itu, ditanya tentang status rundingannya dengan pihak asing, A Samad memberitahu beliau agak "keberatan" mendedahkannya buat masa ini kerana ia adalah "rahsia".

"Yang boleh saya katakan, ada (bahan) yang sudah setuju, ada yang belum," katanya yang tidak dapat menjangkakan bila rundingan bagi penempatan di rumah New Zealand bakal selesai.

Tambahnya, jika perkara tersebut menjadi kenyataan, akan terdapat sebuah rumah di negara Kiwi itu yang menempatkan karya-karyanya "seperti Rumah Tagore di India, Rumah Shakespeare di Barat dan Rumah Iqbal di Pakistan."

Ditanya apakah beliau tidak sayang karya dan koleksinya yang amat bernilai itu hilang daripada tangannya, Pak Samad menjawab mesra: "Iya, cuma hilang daripada saya...."

Ulasan GB

Siapa yang tak kenal Rais Yatim. Menteri yang kononnya membakar jambatan setelah keluar UMNO.

Tetapi rupanya beliau paling awal setelah Ku Li berpatah balik ke pangkuan UMNO. Malah Rais lebih hebat mengampu dan membodek pimpinan daripada Ku Li sehingga beliau berjaya menempatkan dirinya semula di dalam kabinet.

Kini, beliau adalah species makhluk zaman batu sebarisan Taib Mahmud dan lain-lain yang masih ada di dalam UMNO dan dipertahankan oleh PM. Bebal dalam teknologi maklumat tetapi jadi Menteri yang menjaga hal ehwal multimedia setelah meninggalkan kementerian yang hanya menjaga budaya.


Polis Pekakkan Telinga Supaya Jangan Sesuka Hati Menembak Mati

SUARAM merujuk kepada insiden penembakan mati empat orang suspek penjenayah samun di rumah Wan Adnan di Kuantan pada 5 Julai 2010 yang lalu. SUARAM menghargai pengawai polis yang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan rakyat dalam kes tersebut, namun pihak polis tidak sepatutnya menggunakan senjata api dan menembak mati keempat-empat suspek tersebut. Pihak polis sepatutnya cuba untuk menahan supaya mereka boleh dibicarakan di mahkamah kemudian. Dengan menggunakan senjata api untuk menembak seseorang sampai mati, pihak polis telah mencabuli hak asasi setiap suspek yang telah ditembak mati ketika proses penahanan.

SUARAM sebagai sebuah badan hak asasi manusia, menyeru kerajaan Malaysia supaya memastikan pihak berkuasa terutamanya PDRM menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa "Setiap orang berhak untuk hidup" dan Artikel 5 menyatakan bahawa "Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan."

Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa "Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api."

Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009 <*1>, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis. Pihak polis sepatutnya menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis.

Akhirnya, kami menyeru kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api di kalangan polis serta mendedahkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera agar penyalahgunaan kuasa polis tidak berulang lagi dan pemeriksaan awam dapat dijalankan terhadap penggunaan senjata api oleh pihak polis.

<*1> Pemberitahuan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Dewan Rakyat, Rujukan No: 2357 , 18 March 2010.

*Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM.


Polis tembak mati 4 lelaki cuba samun rumah exco Pahang

Polis sedang memburu seorang penjenayah yang berjaya melarikan diri selepas empat rakannya ditembak mati selepas memecah masuk kediaman seorang exco kerajaan negeri Pahang di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, mereka memecah masuk kediaman Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat untuk melakukan samun.

Menurut polis, penyamun berkenaan mengumpil pintu sebelah tepi rumah dua tingkat itu.

Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani berkata Wan Adnan bersama enam anggota keluarganya dan dua pembantu rumah tidak cedera.

"Datuk Wan Adnan dan keluarganya ketika itu berada di tingkat atas rumah dan bertindak menghubungi polis," kata Robiah kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, polis melihat kelima-lima lelaki terbabit bergegas keluar dari rumah berkenaan.

"Suspek cuba menerpa dengan parang, dan polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan empat suspek mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri," katanya.

Robiah berkata semua lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditembak di kawasan berhampiran rumah exco berkenaan. Bagaimanapun identiti mereka belum dikenalpasti.

"Suspek yang melarikan diri itu dipercayai mengalami kecederaan ketika melarikan diri dan bukannya akibat ditembak. Dia memakai baju berwarna merah," katanya.

Polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar.

"Suspek juga dipercayai menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu. Berdasarkan modus operandi yang sama dengan beberapa kes samun sebelum ini, polis percaya kumpulan itu juga terbabit dalam kejadian samun lain," katanya.

Beliau berkata polis kini melancarkan gerakan bagi memburu lelaki yang melarikan diri itu.

"Kami meminta semua klinik atau pengamal perubatan melaporkan kepada polis jika didatangi lelaki berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mahu mendapat rawatan kecederaan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati peluru senjata api kepunyaan Wan Adnan dilapor hilang. Bagaimanapun jumlah peluru yang hilang belum dipastikan.

- Bernama


Ulasan GB

Polis MASIH berani untuk berdegil menggunakan taktik TEMBAK MATI sekalipun sebelum ini rakyat telah membicarakan tentang kewajaran polis bertindak sedemikian di dalam menjalankan tugas mereka.

Kisah serupa di dalam mana-mana kejadian sebegini - tembak mati - alasan: anggota diserang dengan parang dan dikatakan "polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar".

Tidak ada kejadian berbalas tembak, menunjukkan hanya polis yang memiliki dan menggunakan senjati api untuk menembak sekalian 4 orang yang dikatakan penjenayah.

Itu polis pengecut dan bacul namanya! Dah tembak mati sebelum jenayah dibuktikan berlaku.

Nak tembak GB? Tembak... lepas tu esok akhbar akan melaporkan bahawa polis dalam sidang medianya menytakan GB serang polis dengan parang!


Kes Aminul-Rasyid: Apa Motif Polis Paksa Kawad Cam Secara Tergesa-gesa?

Peguam Kesal Polis Panggil Azzamudin Buat Kawad Cam Secara Tergesa-gesa

SHAH ALAM 7 Jul - Peguam Azzamudin Omar, rakan kepada Aminulrasyid Amzah, remaja 14 tahun yang mati ditembak polis 27 April lalu kesal dengan tindakan polis yang memanggil anak guam membuat kawad cam secara tergesa-gesa di Ibupejabat Polis Daerah Seksyen 11, Shah Alam petang semalam.

Farhana Abdul Halim yang mewakili Azzamudin dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Monaliza Mokhtar yang ditemui media bersama Azzamudin di perkarangan ibupejabat polis berkata pihaknya hanya diberitahu secara tiba-tiba dan kawad cam telah pun dijalankan.

"Kita sangat tidak berpuas hati kerana Azzamudin dipanggil dalam waktu yang singkat tanpa sempat memaklumkan kepada peguam.

"Azzamudin telah dimarahi oleh salah seorang pegawai polis untuk mempercepatkan proses kawad cam itu malahan beliau dibuat seperti seorang pesalah.

"Cara mereka mengadakan kawad cam itu adalah amat tidak profesional langsung dan beliau ditakut-takutkan dengan cara yang sangat tidak beretika," ujar Farhana.

Katanya lagi, pihaknya sememangnya menjangkakan Azzamudin tidak akan dapat mengecam kerana kejadian tersebut berlaku dalam keadaan yang amat pantas dan gelap,

Kata Farhana sudah tentu keadaan ini menyukarkan Azzamudin untuk membuat pengecaman sama ada polis yang memukulnya itu berpakaian seragam atau tidak.

"Kawad cam ini adalah daripada laporan polis pada 26 Mei lalu yang mana Azzamudin membuat laporan berhubung beliau dipukul semasa arwah Aminulrasyid mati ditembak polis.

"Proses itu dijalankan oleh pegawai polis, ASP Shanmugam daripada Ibupejabat Polis Bukit Aman,"

Dalam pada itu, bapa Azzamudin, Omar yang juga merupakan pegawai polis dari ibu pejabat polis yang sama melarang anaknya menemui media selepas kawad cam itu dengan alasan tidak mahu media memainkan isu tersebut kerana beliau baru sahaja 'selesa' untuk bekerja. -SK

Ulasan GB

Pada hemat GB, polis sengaja memaksa secara tergesa-gesa saksi kes adik Aminulrasyid melakukan kawad cam untuk kelirukan saksi berkenaan.

Dari perspektif rakyat umum, nampaknya ia seperti satu grand design polis melakukan cover-up terhadap pembunuh celaka tersebut yang telah menyebabkan kematian Aminulrasyid.


Sarawak : Semua Bekerja Keras Untuk Tamatkan BN Pimpinan Taib Mahmud

Sarawak yang kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri dalam waktu terdekat ini menyaksikan kemunculan parti baru, yang ditubuhkan oleh bekas penyokong Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud yang sudah memimpin hampir tiga dekad.

Bagaimanapun entiti baru ini — Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERS) — belum didaftarkan lagi.

Pemimpin-pemimpin parti itu terdiri daripada bekas anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib, sekali gus dilihat sebagai bakal memberi cabaran kepiminan beliau dalam pilihan raya negeri.

Parti ini berhasrat untuk meletakkan calon di kesemua kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, negeri yang dianggap selamat bagi Barisan Nasional (BN) sekian lama.

Bagaimanapun PERS berkata, mereka bersedia bekerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat untuk mewujudkan ikatan yang lebih kukuh.

Pemimpin-pemimpin PERS berkata mereka sedang mengendalikan aktiviti mereka sebagai sebuah entiti perniagaan — Projek Ekonomi Rakyat Sarawak Sdn Bhd.

Setiausaha penaja PERS, Mohammad Nor Bakri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya sudah mengenal pasti calon-calon untuk diturunkan di kesemua 71 kerusi yang bakal dipertandingkan.

Kata beliau, kebanyakan calon berpotensi adalah dari PBB.

“Kami menubuhkan parti untuk berjuang bagi hak-hak ekonomi rakyat Sarawak dan mahu berjuang demi kepentingan golongan yang tanah mereka telah dirampas,” kata Mohammad Nor.

Katanya, beberapa calon yang berpotensi parti itu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan salah seorang daripada mereka telah kehilangan 99 ekar tanah, yang diambil untuk ditanam kelapa sawit.

Penubuhan parti itu akan diumumkan secara rasmi di Kuching, Sabtu ini. -TMI

Peguam Cap Ayamkah Dikau?

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin bukan lagi seorang ahli PAS sejak beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua tahun yang lalu, kata Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Mustafa memberitahu The Malaysian Insider, perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa seseorang ahli akan hilang keahliannya secara automatik apabila mereka menyertai parti politik yang lain.

PKR merupakan komponen Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS.

“Menurut perlembagaan PAS, sebaik sahaja anda menyertai parti lain, anda hilang (taraf) keahlian,” kata beliau.

Semalam, Zulkifli yang kini merupakan anggota Dewan Rakyat yang bebas mendakwa beliau masih merupakan seorang ahli PAS meskipun telah dipecat PKR Mac lalu atas kerana melanggar peraturan parti.

Katanya, PAS sekurang-kurangnya harus memberi makluman notis menunjukkan beliau bukan lagi ahli parti itu.

“Tidak perlu memaklumkan beliau, beliau secara automatik sudah dipecat,” kata Mustafa ketika ditanya sama ada Zulkifli perlu dimaklumkan oleh parti itu.

Zulkifli berkata beliau menjadi ahli PAS sejak 1997.

Pada 2004, Zulkifli bertanding di Kuala Langat atas tiket PAS tetapi tewas di tangan wakil Barisan Nasional, Datuk Dr Shafie Salleh.

Dua tahun lalu Zulkifli menyertai PKR dan bertanding di Kulim-Bandar Baharu dengan menewaskan bekas ketua Pemuda Umno Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Ulasan GB

Bagaaimana beliau boleh menjadi seorang peguam apabila beliau sendiri pemalas dan tidak mahu untuk membaca Perlembagaan PAS sehingga tidak tahu status keahliannya telah gugur secara automatik berdasarkan Fasal ke 13 perlembagaan parti?



Aneh dunia ini sehinggakan seorang yang berprofesyen undang-undang cuba untuk berhujjah di atas perkara yang sudah jelas.

Serupa juga ramai juga yang mengaku umat Islam tetapi mengabaikan perkara yang membatalkan syahadah - apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang bergelar atau digelarkan "ulamak".


Pemimpin Umno-BN Dalangi Aktiviti Curi Pasir Sejak Lebih 20 Tahun Di Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafiei menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah didalangi agenda politik Umno-Barisan Nasional yang semakin panas punggung ekoran usaha tegas kerajaan negeri membanteras aktiviti dan penyelewengan pengeluaran pasir oleh pihak terbabit sejak lebih 20 tahun dahulu.

Ketika di hubungi Suara Keadilan, Suhaimi berkata arahan siasatan SPRM terhadapnya dikeluarkan tidak sampai 48 jam selepas beliau membuat kenyataan media untuk menbongkar salah guna kuasa dan penyelewangan oleh beberapa individu yang memegang jawatan kanan dalam Umno-BN di Selangor berhubung permohonan tanah di sekitar Shah Alam.

"Perang saraf ini bertepatan dengan usaha propaganda awal yang mengatakan saya adalah salah seorang ADUN KEADILAN yang akan meletakkan jawatan dalam Dewan Undangan Selangor. Apa yang berlaku mengesahkan adanya arahan daripada pihak tertentu agar memberi tekanan kepada saya supaya terperangkap dengan permainan politik mereka, yang telah menetapkan sasaran agar dapat membeli tiga lagi ADUN KEADILAN sebelum penghujung tahun ini.

"Saya di panggil SPRM untuk mengambil keterangan saya atas fitnah oleh seseorang yang cuba mengaitkan saya dengan aktiviti mencuri pasir melibatkan sebuah syarikat bernama MNT Construction Enterprise yang saya sendiri tidak tahu mengenainya dan tidak kenal siapa mereka ini (dibelakang syarikat terbabit)," tegas beliau lagi.

Suhaimi menjelaskan telah menjadi prinsip beliau dan semua ADUN Pakatan Rakyat bahawa tiada seorang pun akan terlibat sama sekali dalam aktiviti haram, bahkan beliau menentang kuat aktiviti mencuri pasir yang amat berleluasa semasa pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Tambah beliau gejala ini semakin terkawal di bawah pengendalian dan pengawasan kerajaan negeri Pakatan Selangor, walaupun masih terdapat sedikit kelemahan.

"Cengkaman KEADILAN ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka yang terlibat hingga terpaksa mencari alternatif dengan mendakwa kami pula yang terlibat dalam kegiatan haram ini.

"Penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah sebagai pemangkin kepada usaha mengurangkan kecurian pasir oleh mereka yang tamak. Aktiviti mencuri pasir juga amat berleluasa di Johor dan Negeri Sembilan, tetapi kegiatan itu tidak disiasat menyeluruh kerana negeri itu adalah di bawah cengkaman Umno-BN," jelas Suhaimi.

Menurut beliau lagi, aktiviti ini berleluasa di bawah kerajaan Umno-BN tetapi dilindungi oleh pimpinan mereka.

Beliau memberi contoh di Shah Alam bagaimana seorang pemimpin politik Umno-BN telah menyalah gunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk memberi kebenaran kepada lori yang mencuri pasir melalui sebuah kampung kerana menerima sumbangan sebuah syarikat sekitar RM40,000 sebulan.

Suhaimi juga menegaskan percubaan kali ini adalah kesinambungan serangan siri terbaru Umno-BN yang memperalatkan agensi seperti SPRM untuk mencemarkan maruah kerajaan negeri Selangor dan mencalar imej beliau sebagai seorang ADUN Pakatan Rakyat yang memegang teguh prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Ini adalah satu propaganda politik dan jelas mempunyai tujuan ‘mala fide’ atau berniat jahat untuk mencemar Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kami akan menentang usaha jahat ini dengan mendedahkan lebih banyak pembohongan Umno-BN dan menelanjangkan siapa sebenarnya yang melindungi aktiviti pengeluaran pasir haram di sungai dan tanah kerajaan negeri satu ketika dahulu.

"Kita minta SPRM siasat mereka tanpa memilih bulu dan akhirnya, kebenaran pasti akan terbukti. Serangan ini tidak sama sekali akan melemahkan semangat saya dan rakan rakan untuk terus berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran," tambah beliau.

Beliau serta ADUN Batu Caves Amirudin Shari di panggil SPRM Khamis lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah. Suhaimi dipanggil semula ke SPRM Isnin lepas. -SK

Ulasan GB

Terdengar seolah-olah SPRM berkata begini: Oleh kerana pemimpin UMNO yang memulakan dan yang terlibat di dalam aktiviti curi pasir ini, kes ini akan ditutup. Katakan saja kepada rakyat tiada bukti kukuh mengenai kegiatan ini untuk mensabitkan mana-mana pihak.

Atau cari juga lubang sekecil manapun untuk pastikan pemimpin PR boleh dikenakan tindakan...

Sebab GB berkata demikian - setakat ini hanya pemimpin PR yang dipanggil oleh SPRM. Tiada siasatan dilakukan ke atas pemimpin UMNO BN.