22 Mac 2010

Mat Sabu : Tamat kontrak wakil tetap PBB ada kaitan dengan APCO?

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Haji Mohamad Sabu mempersoalkan adakah tindakan menamatkan kontrak wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna mempunyai kaitan dengan nasihat firma perhubungan awam Apco Worldwide.

Perkhidmatan wakil tetap tersebut, Datuk Mohamad Arshad Hussain ditamatkan bulan ini setelah dipanggil balik oleh Kementerian Luar awal Disember lalu.

Menurut laporan Bernama, beliau dipanggil balik "bagi perbincangan selepas undi Malaysia pada mesyuarat IAEA bercanggah dengan prosedur kerajaan".

Pada mesyuarat itu, Malaysia bersama-sama dengan Cuba dan Venezuela, telah mengundi tidak menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program pengkayaan uranium.

Mohamad Arshad juga adalah pengerusi lembaga gabenor IAEA yang dilantik. "(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengaitkan pemecatan Mohamad Arshad dengan keengganannya menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program nuklear.

"Oleh sebab tindakan pemecatan yang pro-Amerika Syarikat dan pro-Israel itu berlaku di zaman Apco menjadi tempat Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) meminta nasihat, bimbingan, panduan dan tunjuk ajar, kita tertanya-tanya adakah tindakan itu hasil dari muslihat perhubungan awam yang ditagih oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan kerajaan BN yang diketuainya dari firma yang didominasi Zionis itu?" soal Mohamad.

Beliau menyifatkan tindakan pemecatan yang pro-Amerika dan Israel itu meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina.

"Para pemimpin Umno dan BN menjadikan perbuatan menuduh pembangkang memburuk-burukkan nama negara sebagai hobi dan perisai untuk melindungi kelakuan buruk mereka.

"Hakikatnya kerajaan BN di bawah Najiblah yang meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina dengan pelbagai keburukan seperti misteri pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pemecatan Mohamad Arshad dan pelbagai kelakuan buruk lain," kata Mohamad.

Pertengahan Disember lalu, dalam posting blognya yang bertajuk "Kita sudah tukar," Dr Mahathir menyatakan "duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika".

Secara sinis bekas Perdana Menteri itu bertanya: "Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?"

Tindakan menamatkan kontrak Mohamad Arshad itu kebetulan berlaku ketika Apco sudah memulakan perkhidmatannya untuk Najib dan kerajaan BN.

Tidak berapa lama selepas Najib menjadi Perdana Menteri, Apco membuka pejabatnya di Malaysia.

Menurut laporan Bernama, firma yang didominasi oleh tokoh-tokoh Yahudi itu menyatakan, tugasnya di Malaysia termasuk sokongan komunikasi untuk pelbagai inisiatif pembaharuan yang diambil oleh kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang pekerjaan, promosi pendidikan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Januari lalu, memetik The Times Of India (TTI), Free Malaysia Today melaporkan bahawa APCO Worldwide juga memberikan perkhidmatan kepada diktator Nigeria, Sani Abacha dan presiden seumur hidup Kazakhstan, Nursultan Abishuly Nazarbayev.

Pelanggan-pelanggan lain APCO termasuk jutawan Mikhail Khodorkovsky, yang juga salah seorang pemimpin muda Parti Komunis Rusia.

Beliau dikaitkan dengan kegiatan mafia.

TTI berusaha membongkar senarai pelanggan APCO selepas mendapati Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi juga menjadi pelanggan syarikat tersebut.

Narendra didakwa menjadi penyebab kepada pergaduhan ugama pada Februari 2002 di mana kira-kira 1,000 orang terbunuh, majoritinya orang-orang Islam.

Kerajaan Negeri Gujarat membayar US$25,000 sebulan kepada APCO untuk memulihkan imej Narendra.

Walaupun perkhidmatan APCO tiga kali lebih mahal dari firma-firma PR yang lain, APCO dipilih kerana ia mempunyai ramai ahli-ahli Democrat dan Republican yang berkhidmat sebagai perunding.

Akhbar The Edge dan laman berita Malaysian Insider tahun lalu melaporkan kerajaan Malaysia memilih APCO dengan kontrak bernilai RM20 juta sebaik saja Najib menjadi Perdana Menteri untuk memulihkan imejnya yang sering dikaitkan oleh media-media seluruh dunia dengan pembunuhan Altantuya dan misteri di sebalik pembelian kapal selam Scorpene serta pembelian jet Sukhoi diselubungi misteri.

1 September lalu, APCO Worldwide membuka cawangannya di Kuala Lumpur selepas perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Najib.

Di antara penasihat utama APCO ialah pakar-pakar yang pernah berkhidmat dengan rejim Zionis Israel termasuk bekas Ketua Agensi Keselamatan Israel, Doron Bergerbest-Eilon; bekas duta Israel ke Jerman, Shimon Shein dan bekas duta Israel ke Amerika Syarikat, Itamar Rabinovich. -FMT

Khairy : Cakap Satu Malaysia tetapi di belakang lepaskan PERKASA

Berikut sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di pejabatnya di Bukit Damansara minggu lalu.

Khairy, antaranya mengulas panjang berhububung Pertubuhan Pribumi Perkasa yang dilihat banyak pihak sebagai mula menggantikan peranan Umno dalam mempertegaskan hak-hak istimewa orang Melayu.

Umno mahu berhaluan tengah, tetapi yang radikal dalam Umno bergerak Melayu PERKASA. Bagaimana YB melibat fenomena ini?

Saya rasa kita perlu jelaskan kepada mereka pendekatan yang diambil kerajaan, perdana menteri, malah Umno dan Pemuda Umno. Mungkin mereka rasa proses ini, melihat kepada liberalisasi (ekonomi) dan sebagainya sebagai proses yang menghakis kedudukan Melayu. Tetapi saya rasa ini tanggapan yang salah.

Kita tak boleh kata kumpulan macam PERKASA tak boleh ada, sebab (atas semangat) kebebasan. Ada kumpulan macam PERKASA, ada Su Qiu ada Dong Ziao, Hindraf dan sebagainya yang bangkitkan soal kaum masing-masing. Tetapi atas semangat kebebasan bersuara kita kena hormati.

Kita kena jelaskan (perbezaan) antara Umno dan gagasan Satu Malaysia dengan apa yang dibawa PERKASA. Tak apalah kalau ada orang Umno nak pergi sertai PERKASA. Tetapi akhirnya kalau perlu buat keputusan, saya harap mereka buat keputusan bahawa Satu Malaysia inilah satu gagasan yang terbaik untuk kaum Melayu.

Bagaimana YB melihat PERKASA secara keseluruhannya?

Seperti saya katakan, ia ada agenda. Agenda Ibrahim Ali untuk membela Melayu dan sebagainya. Saya hormat dia sebagai seorang pejuang yang hendak buat sesuatu. Dia orang lama dalam politik. Tetapi retorik (PERKASA ) itu saya tidak setujulah. Saya tidak bersetuju dengan retorik PERKASA bukan sahaja dari segi sama ada ianya baik untuk orang Melayu, tetapi juga kerana ia (berunsur) ofensif terhadap bukan Melayu. Ini tidak selaras dengan masyarakat yang saling menghormati, yang Malaysia perlukan.

Janganlah kita lihat pada satu perkara yang menjadi penghalang, yang goncang orang Melayu. Saya sebut dalam ucapan sebagai ketua Pemuda, ucapan sulung saya. Saya kata bukan Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) yang jadikan kita istimewa, tetapi kebolehan kita. itu yang betul-betul menjadikan kita istimewa dalam erti kata sebenar.

Ada yang berhaluan kanan dalam Umno mahu parti lebih Melayu, mahu Melayu dilindungi?

Saya saya ia proses yang berterusan. Kita kena selalu mendekati untuk pastikan mereka memahami. Sesetengah daripada mereka mungkin mengikut PERKASA dan sebagainya. Mereka mungkin bereaksi dan mungkin rasa tidak selamat, tetapi kita hendak beri jaminan, sebenarnya tiada apa yang menjadi kekhuatiran pada mereka. Jangan runsing.

Sebab apa yang kita buat (dalam Umno) ini perkara yang positif, yang tidak akan sekali menggugat orang Melayu. Sebenarnya dia lebih matlamat akhir. Saya rasa matlamat akhir Umno dan PERKASA sekarang ini lebih kurang sama, mahu orang Melayu maju. Saya rasa pembangkang pun tak akan bantah. Tetapi sikap, pendekatan itu yang berbeza.

Antara Umno dan PERKASA, lebih banyak persamaan atau lebih banyak perbezaan?

Saya tak tahu. Tetapi sebenarnya saya tak hendak samakan Umno dengan PERKASA,sebab umno parti politik, PERKASA NGO. Jadi modes operandi kita lain. Objektif kita, dari segi gerakan lain. Mungkin objektif kita untuk melihat Melayu berjaya itu sama, tetapi objektif gerakan, modus operandi kita, keahlian kita, struktur memang lain.

Jadi saya tak suka samakan Umno dengan PERKASA, seolah-olah PERKASA itu pasukan alternatif untuk Umno.

Orang melihat Ibrahim Ali sedang membina 'tentera Melayu' yang besar. Dalam masa yang sangat singkat ia sekarang ada di setiap negeri. Secara perlahan-lahan PERKASA akan ambil alih peranan Umno?

Saya rasa terlalu pramatang untuk kita buat rumusan bahawa PERKASA akan ganti peranan umno. Saya rasa PERKASA tak boleh ganti peranan Umno. Umno ini parti politik yang berjuang untuk Melayu, Islam dan rakyat malaysia. Jadi kita total, PERKASA ini cuma satu NGO (bagi) mempertahankan hak orang Melayu dan sebagainya.

Dia ada mesej hendak mempertahankannya. OK, tetapi itu bukan mesej kita. Mesej kita lebih daripada itu. Mesej kita bagaimana hendak, maaf saya hendak gunakan perkataan, perkasakan orang Melayu.

Boleh kita kata saling lengkap melengkapi?

Tidak, tidak, ini bukan kata kita ada agenda rahsia dengan PERKASA! Ada yang berkata seolah-olah - ini bukan satu pembandingan yang tepat - tetapi seolah Umno adalan Sinn Féin dan PERKASA adalah IRA (Tentera Republik Ireland). Mengatakan Umno adalah wajah politik dan PERKASA ini Tentera Republik Ireland, tidak.

Perbandingannya sama ada umno ini 'polis baik' (good cop) dan PERKASA ini 'polis jahat' (bad cop) untuk bukan Melayu (juga) tidak timbul sebab kita tiada apa-apa agenda yang tersembunyi.

Bagaimana dengan penyertaan ramai ahli Umno dalam PERKASA?

Tetapi saya difahamkan, saya tidak tahulah betul atau tidak, tetapi saya difahamkan dalam PERKASA ada ahli Umno, ada ahli PAS dan ada juga ahli PKR. Jadi saya tak bolehlah buat rumusan bahawa PERKASA ini sama dengan Umno.

Saya nampak mesej PERKASA ini kalau kita tak fikir secara mendalam, ia mesej yang susah ditolak oleh orang Melayu. Orang Melayu mana hendak tolak mesej PERKASA?

Ibrahim Ali datang kata, dia datang sebagai orang Melayu, sebagai NGO yang berkecuali, tidak berpolitik, ahli parlimen bebas, (berkata) saya hendak mempertahankan orang Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam. Siapa hendak kata tidak setuju?

Jadi ramailah yang tertarik. Tidak ada sesiapa cakap macam ini sekarang. Jadi semua orang pergi (pada PERKASA). Soalnya sekarang kita sebagai orang Umno mestilah bagi tahu orang-orang kita dan ahli Umno secara keseluruhan bahawa itu pendekatan mereka, tetapi pendekatan kita lebih daripada itu.

(Kita) Bukan sahaja hendak mempertahankan (Melayu), tetapi kita juga hendak majukan orang Melayu, perkasakan bangsa mereka. Jadi mesejnya berbeza sepenuhnya.

Memanglah banyak ahli daripada pelbagai parti sertai PERKASA, tetapi daripada Umno ini 'taiko-taiko' (yang sertai). Macam di Selangor misalnya ada orang macam (exco agama Umno negeri) Datuk Zainal Abidin Sakom?

Tetapi yang paling penting, taiko yang utama Datuk Seri Najib (Razak) masih lagi tidak bersama PERKASA. Saya pun tak ada (sertai). Jadi kita kena bezakan dengan pemimpin peringkat bahagian dan negeri yang mungkin terlibat dalam PERKASA dengan kepimpinan parti Umno. Kepimpinan parti Umno masih lagi dengan pendirian kita yang saya katakan tadi berbeza dengan pendirian PERKASA.

YB lihat PERKASA ini sebagai satu ancaman kepada Umno?

Tidak, saya tidak rasa ancaman kepada Umno. Kalau dikatakan PERKASA ini adalah kenderaan Umno, maka mungkin ada yang kata, Umno cakap tak serupa bikin. Cakap Satu Malaysia tetapi di belakang lepaskan PERKASA.

PERKASA bukan kenderaan Umno. Kita yakin degan perjuangan kita sendiri. Umno sudah harungan semua ini bukan baru lagi, sejak tahun 1946. Zaman itu kita tewaskan British, haluan kiri, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Bustamam, haluan tengah, haluan kanan, semua haluanlah. Kita terus hidup. -mk

Pakatan Rakyat Cabar Najib Pecat APCO

Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional mengambil tindakan tegas ke atas APCO Worldwide dengan menamatkan kontrak mereka dengan segera.

Tindakan ini perlu disegerakan agar dunia luar lain tidak mengelarkan Malaysia bersekongkol dengan Israel yang telah diketahui tindakan zalimnya terhadap rakyat Palestin sejak 64 tahun.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff menegaskan penglibatan APCO adalah perkara yang serius perlu diketahui oleh rakyat dan mengapa kerajaan melibatkan syarikat terbabit.

"Saya nak beritahu siapa di belakang APCO, penasihat kepada APCO terdiri dari mereka yang terlibat dengan organisasi kerajaan Israel dan salah seorang dari mereka menentang rundingan damai Palestin sebelum ini. Kita tidak mahu negara kita terlibat dengan dasar Israel kerana ini membuatkan negara kita lebih parah dan bahaya.

"Barisan Nasional sepatutnya menilai sebelum melantik APCO, apa yang diberitahu merujuk kepada jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan kerajaan tidak melantik syarikat dalam dan luar negara dalam mempromosikan 1Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik oleh kerajaan dalam melaksanakan khidmat komunikasi secara meyeluruh.

"Kita lihat apa konsep komunikasi yang di bawa kerajaan kalau bukan 1Malaysia, ini yang kita tegaskan. Kita tahu siapa disebalik APCO sebab itu kita bantah penglibatan APCO kerana faktor keselamatan negara

"Selain itu juga tindakan kerajaan umpama mempertikaikan pengalaman yang ada pada rakyat Malaysia dan ini mempunyai kepentingan yang tertentu

"Kami dari Pakatan Rakyat bertegas penglibatan APCO dan akan menyampaikan maklumat yang jelas kepada rakyat tentang implikasi penglibatan APCO dalam negara lebih-lebih lagi kempen gagasan 1Malaysia. Sikap kerajaan menerima APCO umpama menerima dasar Israel yang zalim lagi kejam," jelas beliau kepada media di lobi Parlimen .

Yusmadi menegaskan penglibatan ini akan menyebabkan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana faktor keselamatan negara yang tidak akan terjamin lagi.

Cucu imam bunuh 4 sekeluarga ‘dapat arahan dari langit'

Seorang pengganggur Rasidi Ismail, yang dituduh membunuh empat anggota keluarganya termasuk datuknya Januari lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mendapat arahan dari langit.

Setelah Rasidi mengaku bersalah dan faham terhadap keempat tuduhan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin berkata mahkamah ingin tahu mengapa dia mengaku salah.

Rasidi berkata dia mendapat arahan dari langit.

Bagaimanapun peguam tertuduh Hanif Hassan memohon pengakuan tertuduh ditolak dan tidak direkodkan.

Justeru, mahkamah memutuskan Rasidi dihantar menjalani pemerhatian mental di hospital mental selama sebulan.

Ahmad Nasfy mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 342(3) Kanun Acara Jenayah memandangkan buat masa ini tertuduh tidak berupaya untuk membela diri.

“Setelah mendengar penjelasan daripada kamu (tertuduh) tentang kenapa kamu nak mengaku salah, mahkamah berpuas hati bahawa buat masa ini kamu tidak berupaya untuk membela diri. Jadi, pada masa ini mahkamah akan menghantar kamu ke hospital mental untuk pemerhatian,” katanya ketika membuat keputusan berkenaan.

Ahmad Nasfy kemudian menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu Rasidi, 32, mengaku bersalah dan faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Jan antara 7 dan 11 pagi.

Dia menghadapi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76, neneknya, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor juga di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili oleh Hanif dan Kamarulzaman Jusoh.



Zahrain Gelapkan Masa Depan Politik 8 MP Umno

Umno-Barisan Nasional sekali lagi cuba membinasakan KEADILAN dengan cubaan memusnahkan karier politik dan maruah Anwar Ibrahim dengan kes fitnah ke-2.

Tidak hanya Anwar, malah isteri beliau yang juga Presiden KEADILAN juga turut di heret bersama kekancah penghinaan.

Tujuan mereka tidak lain tidak bukan untuk mematahkan semangat perjuangan orang-orang Melayu dalam KEADILAN.

Umno-BN berharap orang-orang Melayu yang sensitif dengan isu liwat akan segera menarik diri dari KEADILAN dan kembali ke pangkuan Umno-BN.

Nyata sekali kesemua percubaan Umno-BN itu gagal. Bukan sahaja orang Melayu tidak terpengaruh, malahan orang Melayu bertambah marah kepada pemimpin UMNO dan bersimpati pula kepada Anwar.

Terkini dan mutakhir, Umno-BN mempergunakan Zahrain Hashim untuk menjatuhkan KEADILAN. Zahrain yang bagaikan lembu di cucuk hidung dengan lantangnya menyatakan dalam persidangan Parlimen mengenai hasrat Anwar untuk berjumpa ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung dan Panglima Tentera Malaysia untuk memaklumkan akan pembentukan sebuah kerajaan baru.

Memang secara logik dan 'precedent' politik semasa, seseorang Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar dibolehkan untuk dilucutkan jawatannya di istana sahaja.

Bukan lagi mengikut perundangan di mana perlucutan hanya boleh di buat di Dewan Undangan Negeri atau oleh rakyat.

Kes rampasan kuasa di Perak telah menjadi suatu 'precedent' kepada susur-galur politik di Malaysia sekarang ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat Umno-BN dengan megah mendabik dada dan tertawa ria bila Anwar Ibrahim di aibkan dengan tuduhan-tuduhan “hearsay evidence” daripada Zahrain.

Akan tetapi mereka terlupa, dalam masa yang sama, apa sahaja yang di perkatakan oleh Zahrain akan menjadi 'backfire' kepada Umno-BN.

Lapan orang YB yang di sebut namanya oleh Zahrain telah di cacatkan imejnya pada pandangan mata Najib Razak dalam Dewan Rakyat.

Dengan terdedahnya nama 8 orang YB Dewan Rakyat yang nak lompat ke KEADILAN itu sudah pasti mereka ini tidak ada lagi peluang jadi calon di bawah tiket BN pada PRU-13 yang akan datang.

Antara Zahrain sedar atau tidak sikap yang ingin 'membantu' Umno-BN dalam memaklumkan aktiviti KEADILAN telah menghancurkan karier politik mereka dalam Umno.

Najib sudah pasti tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kelapan-lapan YB yang di sebut namanya oleh Zahrain itu. Syabas Zahrain engkau telah berbuat kerja baik untuk KEADILAN!

Kepada Zahrain, tahniah di ucapkan kerana niat beliau sebenarnya untuk memalukan Anwar tetapi akhirnya memakan Umno-BN sendiri serta membubuh karier politik 8 orang Ahli Parlimen Umno yang di sebut namanya oleh Zahrain.

Walaupun dinafikan oleh 8 orang YB Umno tersebut tapi parut lukanya mesti nampak ketara bahawa 8 orang YB tersebut sudah mencacat cederakan ketaatan mereka kepada Umno dan Najib. Boleh kah Najib percaya mereka? -SK

Gila Fesyen, Gila Glamour, Khairy Dan Mukhriz Patut Jadi Artis Bukan Ahli Parlimen

Pergolakan antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir bukan sahaja kepada perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno malah kepada penampilan dan imej mereka. Perang fesyen jelas terbukti dengan penglibatan mereka dalam majalah gaya hidup dan fesyen kebelakangan ini.

Pada tahun lalu Khairy dilihat tampil ala model dengan gaya kontemporari dalam majalah fesyen dan gaya hidup terkenal Harper's Bazaar dan bercakap soal politik, keibubapaan dan kontroversi yang membelenggunya. Tindakan yang sama diambil Mukhriz bulan ini tampil dengan gaya korporat berkemeja dan bertali leher dalam majalah remaja dan gaya hidup popular KLue.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas menegaskan mereka berdua sebenarnya gagal dalam arus perjuangan yang golongan muda inginkan dan menyifatkan tindakan mereka itu sudah lari dengan dunia politik mereka.

"Saya rasa Khairy dan Mukhriz perlu letak semua jawatan mereka di dalam politik dan menyertai dunia artis sepenuh masa. Kita lihat mereka sempat bergaya di dalam majalah dengan imej pakaian masing-masing sedangan kepentingan kawasan mereka belum tentu terbela. Rakyat bukannya hendak wakil rakyat yang mereka pilih sibuk mengejar populariti sampai kena tampil dalam majalah dunia fesyen.

"Kalau glamer pilihan mereka dunia artis layak untuk mereka. Kita lihat sekarang anak muda sudah bosan dengan perjuangan yang di bawa oleh Pemuda Umno sehinggakan ada anak muda yang tidak berminat dengan dunia politik tidak kenal siapa Khairy Jamaluddin atau nama glamer dia KJ mahupun Mukhriz

"Ini jelas tentang kedudukan anak muda sekarang, walau apa jua tindakan yang kedua-duanya ambil tetap gagal menarik minat golongan muda. Apa yang ingin saya katakan golongan muda sudah jemu untuk membaca akhbar dan lebih berminat dengan dunia siber, mereka lebih merujuk kepada blog yang kebanyakkannya di pelopori oleh Pakatan Rakyat. Walaupun mereka tidak menyertai Pakatan Rakyat tetapi jiwa mereka lebih kepada kita," jelasnya.

Beliau juga menyifatkan apa yang mereka lakukan itu satu pendekatan yang silap dan tidak berasas selain mereka hanya mementingkan tentang diri mereka sahaja tanpa memperdulikan nasib rakyat.

"Kita lihat mereka berdua hanya pentingkan imej semata-mata, hendak nampak mewah dan bergaya sedangkan nasib rakyat tidak pernah mereka fikirkan. kalau dengan kos gaya yang mereka bawa juga boleh berikan kepada rakyat itu adalah suatu yang baik tetapi kita tahu mereka tidak pernah berfikir sedemikian. Tegas saya katakan Pemuda Umno gagal dalam perjuangan mereka dan rakyat semakin bosan dengan Pemuda Umno mahupun Umno apatah lagi dengan penglibatan mereka dalam dunia fesyen," tegasnya.

Peperangan antara mereka mula timbul pada persaingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno sebelum ini dan lebih parah bila pengumunan keputusan telah mengambil masa agak lama sehingga menimbulkan kesangsi kepada setia perwakilan pemuda pada waktu itu.

Keputusan yang tidak memihak kepada Mukhriz tidak disenangi ramai tetapi tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi jawatan dalam kabinet kepada Mukhriz yang kalah dalam pertandingan jawatan tersebut menyebabkan Khairy kecewa sehingga terpaksa menggunakan dunia fesyen.

Mukhriz yang tidak mahu ketinggalan dalam pertandingan tersebut juga menggunakan media yang sama. -SK


'Perang' fesyen: Siapa menang?

Dalam keadaan malu-malu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan wujudnya 'perang fesyen' antara beliau dengan anak bekas perdana menteri Mukhriz Mahathir.

“Tidak, tidak (ada perang). Pakaian ini (berdasarkan) apa yang selesa dan apa yang sesuai dengan keadaan. Saya selalu tidak fikir panjang lebar tentang apa yang saya hendak dipakai pada hari itu.

“Cuma saya melihat pada jadual, kalau saya hendak pergi ke sekian majlis yang memerlukan pakaian kebangsaan, batik, sut, saya akan pakai ikut kesesuaian dan keselesaan,” katanya yang berulang kali ketawa apabila mengulas perkara itu.

Khairy diminta mengulas penyertaan beliau dan Mukhriz - yang pernah merebut jawatan nombor satu dalam Pemuda Umno - dalam majalah gaya hidup dan fesyen kebelakangan ini.

Mukriz bulan ini tampil dengan gaya korporat - berkemeja dan bertali leher - dalam majalah remaja dan gaya hidup popular KLue.

Diperkenalkan sebagai “rakyat Malaysia yang pendiam” (the Quiet Malaysian), Mukriz bercerita dengan pendirian dan pengalaman politiknya sebagai anak Tun Dr Mahathir Mohamed.

Manakala Khairy pula pada tahun lalu pernah tampil ala model - dengan gaya kontemporari - dalam majalah fesyen dan gaya hidup terkenal Harper's Bazaar dan bercakap soal politik, keibubapaan dan kontroversi yang membelenggunya.

Kedua-dua Khairy dan Mukriz dilihat sentiasa bersaing bagi mendapat tempat dan meraih populariti dalam sayap kanan Umno. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya masing-masing mempunya pertalian rapat dengan dua perdana menteri sebelum ini.

'Janggut pun dah beruban'

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Bukit Damansara semalam, Khairy berkata beliau tidak percaya dengan politik yang menggunakan fesyen bagi menonjolkan personaliti masing-masing.

“Ini politik yang sangat ceteklah,” katanya ringkas dalam wawancara penuh ceria itu.

Sebagai ketua kepada kira-kira 700,000 anggota pergerakan itu, Khairy juga kelihatan malu-malu apabila bercakap soal citarasa fesyennnya.

“Apa yang saudara lihat, inilah yang saya pakai,” katanya yang keberatan mengulas perkara tersebut.

Beliau sebelum itu sempat berseloroh, diikuti dengan ketawa besar: “Kamu dari Malaysiakini, saya tidak percaya kamu tanya soalan ini.”

Dalam sesi tersebut, ahli parlimen Rembau - yang sebelumnya bergegas daripada parlimen - tampil dalam pakaian formal dengan sut kelabu dan bertali leher warna gelap.

Menantu Tun Abdullah Badawi itu juga menjelaskan, pembinaan imejnya merupakan sesuatu yang tidak pernah dirancang.

“Saya tidak fikir pada perkara ini pun. Kalau tengok janggut saya pun dah beruban. Dari segi imej ini tidak adalah apa-apa yang saya rasa terancang, biasa sahaja," katanya. -malaysiakini

Klinikk 1Malaysia Beri Ubat Silap Kepada Pesakit

Klinik 1Malaysia dikatakan memberi perkhidmatan perubatan yang berkualiti rendah, sehingga ada pesakit yang diberi salah nasihat dan juga bekalan perubatan yang silap. (gambar hiasan)

Dr T Jayabalan, yang mewakili pekerja dan Majlis Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) mendakwa, kajian klinik-klinik 1Malaysia yang dilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapati ada pegawai pembantu perubatan memberikan ubat yang silap kepada pesakit.

Kajian berkenaan didakwa dilakukan di Kampar, Perak.

“Mereka memberi preskripsi untuk ubat yang salah dan ada juga yang membekalkan ubat yang mereka tidak ditauliahkan untuk berbuat demikian.

"Ada juga yang didapati gagal mengenalpasti sakit yang dihadapi oleh pengunjung klinik itu,” kata Jayabalan yang juga adalah penasihat kesihatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

“Walaupun, penyediaan klinik-klinik itu adalah tindakan yang mulia untuk membolehkan golongan kurang upaya mendapatkan bantuan kesihatan, namun kita mahu pesakit diberikan akses perubatan yang berkualiti,” katanya.

Doktor berpengalaman itu yang kini berkhidmat di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang membuat pendedahan berkenaan ketika ceramahnya di Kompleks Caring Society di Pulau Pinang yang berjudul “Apa silap dengan sistem kesihatan kita” pada Sabtu lalu.

Majlis itu anjuran Forum Sembang-sembang, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan isu sosial dan awam. Ia dipengerusikan oleh bekas ahli dewan undangan negeri Machang Bubok yang mewakli Gerakan, Toh Kin Woon.

Jayabalan juga melahirkan rasa terkejutnya kerana 44 klinik berkenaan yang ditubuhkan sejak Januari lalu bagi membantu golongan berpendapatan rendah di bandar gagal ditubuhkan secara telus.

Dakwanya, kebanyakan doktor kurang mengetahui mengenai projek klinik 1Malaysia itu. -malaysiakini


Sister In Islam Disaman Oleh Dewan pemuda Masjid Malaysia

Dewan Pemuda Masjid Malaysia hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap SIS Forum (Malaysia) bagi menuntut perisytiharan bahawa nama organisasi itu yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam.

Pengarah Eksekutif dewan berkenaan, Mohd. Taqiuddin Abdullah memfailkan saman itu selaku pemohon dengan menamakan SIS Forum (Malaysia) selaku responden.

Dalam saman pemula itu, beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah bahawa SIS Forum tidak dibenarkan atau dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan.

Larangan itu juga termasuk menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.

Selain itu, Dewan Pemuda Masjid juga memohon mahkamah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden.

Mereka juga menuntut agar responden dihalang daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama berkenaan sehingga dibenarkan secara sah di sisi undang-undang.



Persidangan Dewan Rakyat Dilanjut Sehingga 22 Apri

Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-12 yang sepatutnya berakhir pada 15 April ini dilanjutkan sehingga 22 April kerana masih ada urusan yang belum diselesaikan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata tambahan hari bersidang itu perlu bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain diselesaikan selaras dengan peruntukan mesyuarat 11(2) peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat.

Kiandee memaklumkan perkara itu sebelum sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengikut takwim persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat pertama penggal ketiga itu dijadual berlangsung mulai 15 Mac hingga 15 April. - BERNAMA



Pencalonan pemilihan baru MCA bermula

Pencalonan bagi pemilihan baru MCA pada 28 Mac ini, dibuka di Wisma MCA di sini pada jam 1 tengah hari tadi dan dijadual ditutup pada jam 5 petang.

Setiausaha agung parti, Datuk Wong Foon Meng, mengumumkan secara rasmi bermulanya proses pencalonan itu yang akan diikuti dengan tempoh bantahan selama 30 minit.

Proses pencalonan itu bermula perlahan dengan beberapa calon tiba di dewan membawa kertas pencalonan masing-masing tetapi kemuncak pencalonan dijangka bermula pada kira-kira jam 3 petang di mana mereka yang akan bertanding bagi jawatan utama dan tertinggi parti akan menyerahkan kertas pencalonannya. Sebanyak 31 jawatan akan dipertandingkan, termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden, empat jawatan naib presiden dan 25 untuk ahli jawatankuasa pusat (CC).

Jawatan presiden dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting dan bekas timbalan presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pemilihan baru itu diadakan berikutan peletakan beramai-ramai 22 ahli CC parti pada awal bulan ini.

Pemilihan parti terakhir diadakan pada Oktober 2008. - Bernama



ISA: Sikap Hipokrit UMNO BN Dibongkar

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 83 buah organisasi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti-Parti Poliltik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pekerja menggesa Kerajaan untuk menghentikan cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi sebaliknya menegaskan ISA mesti dimansuhkan.

Dalam kerajaan ingin meminda akta ini, satu penangkapan ISA terbaru telah diberi liputan besar-besaran oleh media milik kerajaan bahawa kerajaan telah menahan sekumpulan pelajar yang majoritinya adalah dari luar negara yang sedang menuntut di beberapa universiti di Malaysia dan menuduh mereka sebagai pengganas antarabangsa.

Seramai 12 orang telah ditahan pada 21 Januari 2010.

Mereka telah dinafikan hak untuk bertemu peguam walaupun telah beberapa kali dipohon.

Mereka telah menfailkan permohonan habeas corpus sehingga hari perbicaraan iaitu pada 11 mac 2010, mereka masih tidak dibenarkan berjumpa peguam.

Kerajaan dengan ini jelas mencabul hak mereka. Apakah ini yang dikatakan pindaan yang menambah baik ISA?

Tiba-tiba mereka yang dituduh pengganas itu dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang ke negara masing-masing dan beberapa orang masih menunggu di Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang tanpa memaklumkan kepada isteri dan ahli keluarga mereka dan tanpa membenarkan mereka berjumpa ahli keluarga mereka sebelum dihantar pulang.

Isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac 2010 dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac 2010.

Kedua-duanya dihantar pulang ke Nigeria. Ummu Huzaifah isteri kepada Sheikh Aiman warganegara Syria, seorang pelajar PhD Universiti Putra Malaysia hanya dapat bercakap dengan suaminya melalui telefon sejurus sebelum suaminya berlepas (dihantar pulang) pada 16 Mac 2010.

Tindakan kerajaan Malaysia yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, CEDAW yang menghendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita.

Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (PSK-GMI) mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis dan jabatan imigresen Malaysia yang membiarkan ahli keluarga mereka yang ditahan bersendirian terumbang ambing di Malaysia.

Mereka tidak mempunyai keluarga di sini bahkan mereka datang kerana menemani suami mereka untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Alangkah terkejutnya mereka apabila tiba-tiba suami mereka ditahan tanpa dibenarkan membela diri terus dihantar pulang dan meninggalkan mereka bersendirian dengan anak-anak di sini.

Mereka adalah wanita yang mempunyai hak untuk dilayan seperti manusia dan bukan dibuat sesuka hati oleh Menteri Dalam Negeri.

Kami memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan ini akan menjadi bebanan dan memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara timur tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA.

Kempen supaya ISA dimansuhkan sudah berjalan sejak 20 tahun lalu dan telah berjaya mencipta gelombang kesedaran dan perubahan hasil daripada kempen GMI dan anggota gabungannya.

Isyarat jelas penolakan terhadap ISA dilihat pada keputusan Pilihanraya Umum ke-12, 8 Mac 2008 dan kejayaan Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009.

Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA(PSK-GMI) yang selama ini menjadi tempat mengadu nasib bagi kaum wanita dan kanak-kanak mangsa ISA, tetap dengan pendirian bahawa ISA telah menzalimi golongan wanita.

Hasrat kerajaan yang kononnya membela wanita adalah ternyata kenyataan hipokrat apabila menggunakan ISA terhadap rakyat dan sesiapa sahaja dan sekaligus menganiaya golongan wanita dan kanak-kanak yang menjadi keluarga tahanan.

Sejak tahun 1960 hingga kini (2010), lebih 20,000 orang ditahan tanpa bicara di bawah ISA. Kesan penangkapan ISA, lebih 50,000 orang terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang telah kehilangan ketua keluarga yang mencari rezeki dan tempat bergantung pendidikan dan kasih sayang seorang bapa.

Dengan ini kami menuntut agar:
Kebajikan isteri-isteri pelajar-pelajar ini ditanggung oleh Kerajaan Malaysia
Jika mereka ingin pulang ke negara masing-masing, kerajaan mestilah menguruskan penghantaran mereka sehingga selamat sampai
Kerajaan memohon maaf atas kesilapan menahan suami mereka dan membayar gantirugi pengajian suami mereka yang terhenti disebabkan pengkapan ISA


Kenyataan Media ini turut disokong oleh:

1. Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang & Ketua Wanita PKR)
2. Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam & Ketua Wanita DAP)
3. Hjh Nuridah Salleh (Ketua Muslimat PAS)
4. Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja)
5. Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)
6. Tian Chua (Ahli Parlimen Batu)
7. Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
8. Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa)
9. Haniza Talha (Adun Taman Medan, Timbalan Speaker Dun Selangor)
10. Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga, Exco Wanita Kerajaan Negeri Selangor)
11. Siti Aishah Hj Ghazali (Adun Merbau Pulas, Exco Wanita Kerajaan Negeri Kedah)
12. Saari Sungib (Adun Hulu Kelang)
13. Mumtaz Md Nawi (Senator, Kelantan)
14. Siti Zailah Mohd Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang)
15. Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan)
16. Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang)

Musa Hassan Dicabar Dedahkan Siapa Pihak Ketiga Dalam PDRM

Pendedahan Ketua Polis Negara, Musa Hassan tentang kewujudan campurtangan pihak ketiga dalam pentadbiran Polis Diraja Malaysia bukanlah satu perkara baru.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata isu pihak ketiga dalam institusi milik kerajaan sudah lama membarah dalam PDRM, bahkan Musa sendiri lebih arif dalam soal campurtangan ini.

"Pengakuan dan pendedahan yang dilakukan oleh ketua polis mengesahkan apa yang telah Pakatan Rakyat itu nyatakan sebelum ini, memang ada campurtangan pihak ketiga. Saya tidak terkejut atau tidak saya rasa rakyat sudah menyedar tentang hal ini,"

"Saya rasa tidak ramai yang simpati kerana dia sendiri pernah melakukan dan terlibat dalam perkara yang dia kutuk sekarang," kata Khalid.

Musa dalam satu temubual bersama Mingguan Malaysia berkata pihak ketiga itu berkemungkinan sekali orang politik atau pihak tertentu. Menurutnya lagi, pihak ketiga ini mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai-pegawai bawahannya tanpa pengetahuan beliau.

Khalid berkata masyarakat umum tidak lupa peranan Musa dan tilam yang diusungnya dalam perbicaraan kes konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Musa dikatakan menerima arahan secara terus daripada kuasa ketiga yang dipercayai orang politik untuk mengusung tilam yang kononnya dipercayai bahan bukti bagi tuduhan liwat terhadap Anwar.

Arahan itu diketahui umum telah membelakangi ketuanya, Ketua Polis Negara keika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor. Campurtangan kuasa ketiga membabitkan Musa ini berterusan apabila ketua polis yang didapati bersalah memukul anwar semasa dalam tahanan itu diganti oleh Tan Sri Norian Mai.

"Apa yang dia perkatakan itu biasa berlaku dan dia sendiri pun buat perkara itu. Dia sendiri menerima arahan langsung daripada ketua individu tertentu yang memberikan arahan sedangkan ia bercanggah dengan sifat profesionalisma. Mungkin sekarang dia rasa terjejas sebab itu dia timbulkan isu ini," ujarnya.

"Saya tak rasa bahawa pendedahan ini sesuatu yang kritikal. Sebab dah lama benda ni dan kedua tidak membawa satu kesedaran atau penjelasan yang boleh mengubah cara berfikir semua orang dan menganggap campurtangan ini perkara biasa," katanya.



Ulasan GB

Persoalan kini, siapapihak ketiga itu? Mengapa isu ini hanya muncuil tatkala rakyat sudah bosan dengan PDRM terutama Tan Sri Musa Hassan sendiri yang dilhat tidak lebih dari hanya menjadikan dirinya robot kepada pihak pemerintah?

Amat wajar KPN ini bersara awal seperti yang kita syorkan sebelum ini.

Perkasa Platform Umno Serang Bangsa Lain

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno yang bermatlamat untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam dilihat sebagai bukti kegagalan penubuhan Umno selama 64 tahun.

Malah kewujudan dua badan bukan kerajaan ini didakwa hanya sebagai samaran Umno menggunakan platform NGO untuk menyerang bangsa lain.

Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin berkata kemunculan pertubuhan terbabit yang mendapat sokongan segelintir Melayu 'ultra' atau ektremis tercetus selepas beberapa insiden berkaitan sensitiviti kaum tercetus yang didakwa didalangi Umno.

"Perkasa sebenarnya wujud selepas isu penggunaan kalimah Allah, bakar gereja, kepala babi dalam surau dan sebagainya sebagai cubaan nak jadi wira pertahankan Islam dalam negara kita.

"Presidennya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dalam Parlimen juga berucap seolah-olah sebagai pejuang Melayu dan Islam tulen.

"Persoalannya sudah 50 tahun negara merdeka dan Perdana Menteri kesemuanya beragama Islam, tapi tahap kemantapan akidah dan moral masyarakat kita masih jauh daripada pencapaian yang ditetapkan," kata Zuraida ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata wujudnya pertubuhan seperti Perkasa menjadi bukti jelas bahawa Umno gagal membawa ajaran dan budaya Islam yang sebenar.

Selain tindakan terdesak untuk meraih sokongan Melayu 'ultra' Zuraida berkata penubuhan NGO itu juga sebagai alat Umno untuk menyerang dan menakut-nakut bangsa lain.

"Umno-BN galak promosikan slogan 1Malaysia atas alasan nak gabung semua kaum dan agama, tapi pada masa sama luluskan penubuhan Perkasa dan Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno sebab nak 'attack' bangsa lain, mereka gunakan Perkasa di bawah Ibrahim Ali jalankan kerja kotor ini," katanya.

Beliau juga memuji tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menolak untuk menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan (AGM) Perkasa pada 27 Mac ini.

"Sultan mengambil langkah bijak dengan tidak menghadiri AGM Perkasa kerana ia akan mencerminkan Sultan Selangor mengambil pendirian politik secara berat sebelah sedangkan negeri Selangor pada ketika ini berada dalam pentadbiran Pakatan Rakyat," katanya. -SK

Pertarungan Pelbagai Penjuru Rebut Kerusi MCA

Beberapa hari sahaja lagi menuju pemilihan MCA, namun bahangnya sudah mula dirasai.

Tampuk kepimpinan MCA bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon bertahan Datuk Seri Ong Tee Keat menentang pencabar heavyweight Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Chua yang menjadi tumpuan dalam krisis dalaman MCA sejak pemilihan 2008 mengumumkan keputusan ini di sebuah hotel berhampiran Wisma MCA petang tadi.

Beliau ditemani regu, bekas Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha, yang mahu merebut kerusi Timbalan Presiden.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjadi menjadi pemimpin kedua merebut jawatan Timbalan Presiden, sekali gus menyaksikan persaingan sengit pada pemilihan Ahad depan.

Liow diringi 15 anggota jawatankuasa pusat termasuk Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan 20 Ketua Bahagian MCA.

Semalam, seorang lagi bekas Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan akan merebut jawatan nombor dua itu.

Proses penamaan calon akan diadakan esok, manakala pemilihan dijadualkan berlangsung 28 Mac depan.



Skrip Ucapan Zahrain Wujudkan Kecurigaan Sesama MP BN Sendiri

Pendedahan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Zahrain Hashim berhubung beberapa nama yang didakwanya berunding dengan Anwar Ibrahim untuk meninggalkan UMNO-BN dan menubuhkan kerajaan baru menjelang 16 September 2008 mencetuskan kecurigaan baru di kalangan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional.

Malah ramai di kalangan mereka yang mempersoalkan apakah motif Zahrain berbuat demikian kerana ia pasti menimbulkan keretakan dalam perpaduan umno-bn yang mutakhir ini semakin rapuh.

Krisis dalaman Barisan Nasional seperti yang berlaku dalam MCA serta gesaan dari pelbagai peringkat parti Gerakan supaya meninggalkan BN dikeruhkan lagi oleh pendedahan Zahrain awal minggu ini di Dewan Rakyat.

“Apa yang disebutkan oleh Zahrain di dalam parlimen, sebahagian besarnya adalah pembohongan dan ini telah dibuktikan dengan kenyataan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh, dan ini turut dinafikan oleh satu dua orang dari Sabah termasuk Bung Mokhtar” ujar Naib Presiden PKR, Syed Husin Ali.

Dalam sidang Dewan Rakyat Rabu lalu, Zahrain yang dianggap sebagai tentera baru UMNO oleh Parti Keadilan Rakyat menyebut nama-nama seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Kalabakan, Ghapur Salleh dan Datuk Anifah Aman Ahli Parlimen Kimanis sebagai antara mereka dikatakan berunding dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk meninggalkan BN.

Sebelum itu, Anifah yang kini Menteri Luar, pernah mendakwa dalam rundingan dengan Anwar, beliau kononnya ditawarkan jawatan penting dalam cabinet baru yang bakal dibentuk selepas 16 September dua tahun lalu.

“Bila UMNO merasakan dirinya tidak waspada akan berlaku perkara seperti ini ianya akan merugikan kepada UMNO sendiri. Dan ini apabila tembelangnya terbuka sekarang ini, saya fikir ia satu hal yang baik kepada UMNO kalau dia mahu berubah" ujar bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said zahari pula.

Nama lain yang kini dalam keadaan sulit akibat faktor Zahrain ini ialah Datuk Eric Majimbun Ahli Parlimen Sepanggar; Tengku Datuk Seri Azlan Sultan Abu Bakar Ahli Parlimen Jerantut; Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat; Datuk Chau Soon Bui , Ahli Parlimen Tawau serta Datuk Bung Mokhtar Raden, Ahli Parlimen Kinabatangan.

Bagaimanapun bagi menyembunyikan kegusaran UMNO-BN, fokus cuba diberikan kepada sebahagian lagi pendedahan Zahrain kononnya Anwar ada menyatakan kepadanya bahawa Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong berkenan menyokong kerajaan baru Pakatan Rakyat dan nama panglima angkatan tentera juga dibabitkan.

“Saya fikir ini titik politik yang UMNO sengaja gunakanlah sebab mereka nampak ia titik politik yang boleh digunakan sekarang. Anwar menggunakan nama Agong dan sebagainya ia bukanlah satu perkara yang semestinya sebab ada kemungkinan pada waktu itu Anwar ada bertemu dengan Agong dan mungkin Agong bersetuju. Cuma yang tidak disangkakan oleh Anwar mungkin perkara ini mungkin diumumkan” ujar Said Zahari.

Lantaran itu, apabila mendapat isyarat daripada pengerusi BN, Najib Razak, ahli-ahli umno berpusu-pusu membuat laporan polis menggesa siasatan dijalankan.

“Saya nampak tindakan yang hendak diambil oleh polis ini adalah ekoran daripada apa yang disebut oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri menyatakan pihak berkuasa perlu menyiasat tetapi pihak berkuasa seperti polis dan AG, Gani Patail, mereka ini tidak mempunyai kredibiliti sama sekali untuk menyisat perkara seperti ini” ujar Syed Husin pula.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua menyifatkan tindakan itu sebagai dalil menunjukkan meskipun sudah lebih setahun, umno masih dihantui baying-bayang pelan 16 September dan terus mencurigai kesetiaan wakil-wakil rakyatnya.

“Ada kemungkinan begitu. Tetapi juga menunjukkan bahawa mereka menggunakan ucapan Zahrain ini untuk menekan atau memperkukuh balik Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional supaya mereka taat atau diintimidasikan supaya mereka tidak lagi berani untuk menentang kepimpinan Najib” ujar Tian.

Pemuda Umno membuat dua laporan polis di Lembah Klang hari ini berhubung pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Parlimen Rabu lalu mengenai rancangan “16 September”, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Laporan polis pertama difailkan Ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Ghazali di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira pukul 10 pagi tadi manakala laporan kedua oleh Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengah hari tadi.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Husein memberitahu pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara akan menyiasat pendedahan ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan bahawa PDRM telah menerima laporan berhubung dakwaan Zahrain itu dan akan memanggil Anwar untuk disiasat dibawah Akta Hasutan 1948.

“Saya mengalu-alukan mereka siasatlah. Kami tidak ada masalah disiasatlah. Sekarang alasan mereka mereka melakukan semua ini their afraid to expose their witnesses and their using the independent untuk menekan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan saya nampak ini mendedahkan betapa takutnya mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Tian menambah rakyat umumnya sedar bahawa sokongan rakyat kepada Umno semakin menipis, terutamanya menjelang pilihanraya negeri Sarawak tidak lama lagi dan pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“Ini adalah satu motif yang nyata kerana 16 September merupakan sangat kritikal dan kerajaan sekarang mengakui bahawa betul mereka hampir jatuh dan mereka sekarang ini masih takut kepada ada kemungkinan ini akan berulang.....” tambahnya lagi. -TVS