22 Mac 2010

Gila Fesyen, Gila Glamour, Khairy Dan Mukhriz Patut Jadi Artis Bukan Ahli Parlimen

Pergolakan antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir bukan sahaja kepada perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno malah kepada penampilan dan imej mereka. Perang fesyen jelas terbukti dengan penglibatan mereka dalam majalah gaya hidup dan fesyen kebelakangan ini.

Pada tahun lalu Khairy dilihat tampil ala model dengan gaya kontemporari dalam majalah fesyen dan gaya hidup terkenal Harper's Bazaar dan bercakap soal politik, keibubapaan dan kontroversi yang membelenggunya. Tindakan yang sama diambil Mukhriz bulan ini tampil dengan gaya korporat berkemeja dan bertali leher dalam majalah remaja dan gaya hidup popular KLue.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas menegaskan mereka berdua sebenarnya gagal dalam arus perjuangan yang golongan muda inginkan dan menyifatkan tindakan mereka itu sudah lari dengan dunia politik mereka.

"Saya rasa Khairy dan Mukhriz perlu letak semua jawatan mereka di dalam politik dan menyertai dunia artis sepenuh masa. Kita lihat mereka sempat bergaya di dalam majalah dengan imej pakaian masing-masing sedangan kepentingan kawasan mereka belum tentu terbela. Rakyat bukannya hendak wakil rakyat yang mereka pilih sibuk mengejar populariti sampai kena tampil dalam majalah dunia fesyen.

"Kalau glamer pilihan mereka dunia artis layak untuk mereka. Kita lihat sekarang anak muda sudah bosan dengan perjuangan yang di bawa oleh Pemuda Umno sehinggakan ada anak muda yang tidak berminat dengan dunia politik tidak kenal siapa Khairy Jamaluddin atau nama glamer dia KJ mahupun Mukhriz

"Ini jelas tentang kedudukan anak muda sekarang, walau apa jua tindakan yang kedua-duanya ambil tetap gagal menarik minat golongan muda. Apa yang ingin saya katakan golongan muda sudah jemu untuk membaca akhbar dan lebih berminat dengan dunia siber, mereka lebih merujuk kepada blog yang kebanyakkannya di pelopori oleh Pakatan Rakyat. Walaupun mereka tidak menyertai Pakatan Rakyat tetapi jiwa mereka lebih kepada kita," jelasnya.

Beliau juga menyifatkan apa yang mereka lakukan itu satu pendekatan yang silap dan tidak berasas selain mereka hanya mementingkan tentang diri mereka sahaja tanpa memperdulikan nasib rakyat.

"Kita lihat mereka berdua hanya pentingkan imej semata-mata, hendak nampak mewah dan bergaya sedangkan nasib rakyat tidak pernah mereka fikirkan. kalau dengan kos gaya yang mereka bawa juga boleh berikan kepada rakyat itu adalah suatu yang baik tetapi kita tahu mereka tidak pernah berfikir sedemikian. Tegas saya katakan Pemuda Umno gagal dalam perjuangan mereka dan rakyat semakin bosan dengan Pemuda Umno mahupun Umno apatah lagi dengan penglibatan mereka dalam dunia fesyen," tegasnya.

Peperangan antara mereka mula timbul pada persaingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno sebelum ini dan lebih parah bila pengumunan keputusan telah mengambil masa agak lama sehingga menimbulkan kesangsi kepada setia perwakilan pemuda pada waktu itu.

Keputusan yang tidak memihak kepada Mukhriz tidak disenangi ramai tetapi tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi jawatan dalam kabinet kepada Mukhriz yang kalah dalam pertandingan jawatan tersebut menyebabkan Khairy kecewa sehingga terpaksa menggunakan dunia fesyen.

Mukhriz yang tidak mahu ketinggalan dalam pertandingan tersebut juga menggunakan media yang sama. -SK


'Perang' fesyen: Siapa menang?

Dalam keadaan malu-malu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan wujudnya 'perang fesyen' antara beliau dengan anak bekas perdana menteri Mukhriz Mahathir.

“Tidak, tidak (ada perang). Pakaian ini (berdasarkan) apa yang selesa dan apa yang sesuai dengan keadaan. Saya selalu tidak fikir panjang lebar tentang apa yang saya hendak dipakai pada hari itu.

“Cuma saya melihat pada jadual, kalau saya hendak pergi ke sekian majlis yang memerlukan pakaian kebangsaan, batik, sut, saya akan pakai ikut kesesuaian dan keselesaan,” katanya yang berulang kali ketawa apabila mengulas perkara itu.

Khairy diminta mengulas penyertaan beliau dan Mukhriz - yang pernah merebut jawatan nombor satu dalam Pemuda Umno - dalam majalah gaya hidup dan fesyen kebelakangan ini.

Mukriz bulan ini tampil dengan gaya korporat - berkemeja dan bertali leher - dalam majalah remaja dan gaya hidup popular KLue.

Diperkenalkan sebagai “rakyat Malaysia yang pendiam” (the Quiet Malaysian), Mukriz bercerita dengan pendirian dan pengalaman politiknya sebagai anak Tun Dr Mahathir Mohamed.

Manakala Khairy pula pada tahun lalu pernah tampil ala model - dengan gaya kontemporari - dalam majalah fesyen dan gaya hidup terkenal Harper's Bazaar dan bercakap soal politik, keibubapaan dan kontroversi yang membelenggunya.

Kedua-dua Khairy dan Mukriz dilihat sentiasa bersaing bagi mendapat tempat dan meraih populariti dalam sayap kanan Umno. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya masing-masing mempunya pertalian rapat dengan dua perdana menteri sebelum ini.

'Janggut pun dah beruban'

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Bukit Damansara semalam, Khairy berkata beliau tidak percaya dengan politik yang menggunakan fesyen bagi menonjolkan personaliti masing-masing.

“Ini politik yang sangat ceteklah,” katanya ringkas dalam wawancara penuh ceria itu.

Sebagai ketua kepada kira-kira 700,000 anggota pergerakan itu, Khairy juga kelihatan malu-malu apabila bercakap soal citarasa fesyennnya.

“Apa yang saudara lihat, inilah yang saya pakai,” katanya yang keberatan mengulas perkara tersebut.

Beliau sebelum itu sempat berseloroh, diikuti dengan ketawa besar: “Kamu dari Malaysiakini, saya tidak percaya kamu tanya soalan ini.”

Dalam sesi tersebut, ahli parlimen Rembau - yang sebelumnya bergegas daripada parlimen - tampil dalam pakaian formal dengan sut kelabu dan bertali leher warna gelap.

Menantu Tun Abdullah Badawi itu juga menjelaskan, pembinaan imejnya merupakan sesuatu yang tidak pernah dirancang.

“Saya tidak fikir pada perkara ini pun. Kalau tengok janggut saya pun dah beruban. Dari segi imej ini tidak adalah apa-apa yang saya rasa terancang, biasa sahaja," katanya. -malaysiakini

1 ulasan:

  1. keduanya layak jadi pelakon kerana pandai bermuka-muka.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.