13 Feb 2010

Sambut Hari Valentine Bererti Raikan Kejatuhan Islam Di Sepanyol

Esok, 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.


SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

# Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

# Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

# Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

# Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke empat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)”. –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Pemuda PAS sedia kerjasama dengan jabatan agama

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya sedia mengadakan kerjasama dengan jabatan agama negeri-negeri bagi membendung gejala zina yang semakin berleluasa sekarang.

Beliau yang merujuk kepada tahap gejala sosial termasuk zina yang semakin parah sebagaimana yang dilaporkan media arus perdana hari ini.

Ini, katanya ditambah dengan laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008.

Nasrudin menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Anti Zina, Arak dan Pergaulan Bebas di Pasar Seni, di sini, petang ini. Hadir sama ialah timbalan dan naibnya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Ahmad Sabki Yusof serta beberapa Exco Pemuda PAS Pusat.

Katanya, kebetulan pula esok adalah sambutan Valentine’s Day.

“Kita lihat masyarakat kita sambut Valentine’s Day tak ubah sebagaimana orang barat menyambutanya,” ujarnya.

Bahkan, katanya Pemuda PAS Pusat turut menghantar memorandum kepada pihak Menara Kuala Lumpur yang mengadakan sambutan itu dengan program yang merosakkan golongan muda.

Mengenai kempen anti zina, beliau memberitahu ia dijalankan secara berterusan sepanjang masa.

“Kita menyedari jika kita tidak mengambil berat dalam perkara ini, maka gejala ini semakin teruk,” ujarnya.

Tambahnya, kempen anti zina adalah salah satu daripada tiga kempen yang dilaksanakan oleh pihaknya pada mesyuarat Pemuda PAS Pusat hari ini.

Menurutnya lagi, kempen kedua ialah Kempen Lailahaillallah lanjutan daripada pendirian PAS Pusat bahawa penganut agama samawi boleh menggunakan kalimah Allah tetapi tidak boleh menyalahgunakannya yang boleh mengelirukan umat Islam.

Selain itu, katanya satu lagi ialah Kempen Selamatkan Negara daripada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan salah urus tadbir negara pihak pemerintah. -harakahdaily



Mayat Bayi Lelaki Rentung Ditemui Di dalam Tong Sampah

Mayat rentung seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah besar milik Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) di Jalan Tengku Zainal Abidin di sini pagi tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada bayi yang masih bertali pusat dan uri itu telah dibakar hidup-hidup.

Ketika ditemui tiga petugas MDKK yang sedang melakukan tugas memungut sampah di situ kira-kira 11 pagi, bayi yang berkulit cerah tersebut ditemui rentung pada sebahagian badan sementara kakinya juga terputus daripada badannya.

Seorang petugas berkenaan, Mohd Zain Pa'Su, 57, berkata pada mulanya beliau dan rakanya terkejut apabila mendapati tong sampah tersebut telah terbakar.

"Tong sampah ini turut dipenuhi dengan rumput, kayu dan zink yang didapati disusun dengan rapi seolah-olah bagi menyembunyikan sesuatu.

"Amat jarang tong sampah ini terbakar. Disebabkan sukar untuk mengangkat sampah kerana tongnya terbakar, kami terpaksa memunggahnya.

"Tetapi alangkah terkejutnya kami apabila menemui mayat bayi lelaki di dalamnya. Ketika itu separuh badan bayi itu masih putih tetapi masih ada bara api pada keseluruhan badannya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Abdul Rahim Che Ghani, berkata berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai terbakar sejak pagi semalam.

"Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah, tidak ada sesiapa yang menemui bayi itu sehinggalah kakitangan MDKK menjalankan tugas mereka pagi ini," katanya.

Beliau berkata, petugas MDKK berkenaan membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 11.25 pagi tadi.

"Kita turut mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah itu untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi itu.

Katanya, pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang tinggal di sekitar bandar ini kerana beranggapan tidak mungkin orang luar akan berkereta bagitu jauh untuk membuang bayi berkenaan.

Beliau meminta orang ramai agar memberi maklumat mengenai kejadian tersebut dan juga meminta hospital dan klinik memaklumkan kes pesakit yang baru bersalin.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka, manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu. - Bernama



Ulasan GB

Akhir zaman....

Apa Punya Pemimpin, Tender Tak Lulus Menjadi Sebab Untuk Tuduh KM Pulau Pinang Diktator Dan Keluar Parti

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada PKR sebagai menjaga kepentingan individu dan peribadi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keretakan antara beliau dan Anggota Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

"Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat 'dua ringgit' itu?," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

"Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator," katanya.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan anggota lembaga pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

Pada Jumaat, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

-- BERNAMA


Abdullah Karim Dan Hanipa Pertikai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim (gambar) - yang mengecam Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatankuasa disiplin - kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya, demikian lapor malaysiakini.

"Saya bahkan bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang ditulis oleh Tuan Ibrahim itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Tuan Ibrahim pada 3 Februari, antaranya mendakwa aduan Abdullah - berhubung penglibatan ahli PAS dalam "konspirasi menjatuhkan Pakatan Rakyat" - kepada jawatankuasa disiplin tidak dilayan kerana tidak berasas dan dibuat berdasarkan dengar cakap.

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pahang sebelum itu mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa tersebut susulan kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pada 29 Januari lalu.

Abdullah antaranya dilaporkan membayangkan jawatankuasa disiplin PAS berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan-aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada jawatankuasa itu dan pejabat agungnya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini kelmarin, Abdullah menyatakan keraguannya kemungkinan "terdapat sebab-sebab lain" aduannya ditolak.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim atau mana-mana orang lain bahawa aduan saya tidak boleh diambil tindakan kerana ada bukti, atau kerana ia sekadar dengar cakap sahaja, atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan aduan ini ditolak," katanya.

Kenyataan tidak dibetulkan

Setelah ditegur Tuan Ibrahim sebelum ini, Abdullah berkata, beliau telah menggunakan "saluran yang betul" dengan menghubungi sendiri naib presiden itu melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Namun, selepas seminggu berlalu, Tuan Ibrahim tidak menjawab e-mel saya dan tidak juga memperbetulkan tulisan tersebut yang masih kekal ada di dalam blognya.


"Maka, saya tidak mempunyai pilihan bagi menyatakan kebenaran ini melainkan membuat penjelasan terbuka dan saya berharap hal ini dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengannya dapat diperjelaskan di dalam mesyuarat jawatankuas pusat PAS yang akan datang," katanya.

Jawatankuasa pusat PAS akan dijadual bersidang esok di ibu pejabatnya di ibu negara.

Abdullah juga sekali lagi mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya.

Perkara itu juga, tambahnya, menunjukkan jawatankuasa itu seolah-olah hanya menerima arahan dari setiausaha sgung.

"Jika inilah keadaannya, ianya perlu diperbetulkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan juga angapan-anggapan negatif yang lain. Soal menentukan sesuatu aduan tatatertib itu mempunyai merit atau sebaliknya, tidak sepatutnya diputuskan oleh seorang individu sahaja.

Beliau juga sempat menempelak Mustafa yang tidak langsung memanggilnya berhubung aduannya walaupun telah memberitahu media akan melakukannya segera awal bulan ini.

Sementara itu penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan dua pemimpin Selangor yang kini mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak, lapor Malaysian Insider.

Hanipa memnberitahu bahawa beliau akan meminta jawatankuasa kerja pusat agar mengkaji semula penghakiman yang diumumkan agar ahli parti akan melihat keputusan ini sebagai adil dan seimbang.

“Sama ada kedua-dua mereka mengemukakan rayuan ataupun tidak, jawatankuasa pusat mesti mengkaji semula keputusan yang dibuat jawatankuasa disiplin,” kata beliau.

Dalam keputusan diumumkan 29 Jan lalu jawatankuasa disiplin menjatuhkan hukuman menggantung kesemua jawatan dalam parti disandang Khalid selama enam bulan.

Pesuruhnjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pula diberikan amaran.

Mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik Hasan.

Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Liow Siew Moi.

Hanipa memberitahu berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang peguam keputusan yang diumumkan bulan lalu tidak kelihatan sebagai sesuatu yang “logik dan rasional serta munasabah”.

Beliau juga mahu menulis surat kepada lembaga disiplin bagi mendapatkan penjelasan tentang alasan yang digunakan untuk mencapai keputusan mereka.

Hanipa berkata beliau akan menentukan tindakan susulan berdasarkan penjelasan yang akan diberikan oleh jawatankuasa disiplin kelak.

Ulasan GB

Nampaknya tidak keseorangan di dalam melakukan pendedahan terhadap kepincangan Jawatankuasa Disiplin PAS sejak dari awal sekalipun GB telah diserang hebat dengan menuduh GB yang bukan-bukan oleh kumpulan pro-UMNO dalam PAS.

Ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku diperingkat tertinggi parti. InsyaAllah, ianya bakal terbongkar nanti.

Hasbunallah.

Hanipa Sertai Pasukan Peguambela Anwar

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah pasukan peguamnya untuk mengendalikan kes liwat beliau dengan mengambil penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin sebagai anggota baru.

Dalam Twitternya malam tadi Anwar berkata, “panel guaman setuju penyertaan Hanipa”.

Hanipa ketika dihubungi The Malaysian Insider juga mengesahkan pelantikan beliau untuk menyertai pasukan peguam Anwar yang sedia ada.

Kini selain Karpal Singh sebagai peguam utama, Anwar juga diwakili Datuk Param Cumaraswamy, Datuk CV Prabakharan, Ram Karpal Singh Deo, Sankara Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando.

“Secara rasmi saya memulakan penyertaan (dalam pasukan Anwar) semalam... saya juga hanya akan memainkan peranan macam biasa, macam peguam-peguam lain beliau... sumbangan saya sebagai peguam sahaja,” kata Hanipa.

Selain kes di mahkamah sivil Anwar juga ada memfailkan tuntutan qazaf di Mahkamah Syariah.

“Setakat ini saya hanya akan terlibat dalam kes sivil,” kata Hanipa yang mempunyai kepakaran kedua-dua bidang syariah dan sivil.

Perbicaraan kes liwat Anwar ini, yang kedua sejak 1998, bermula 3 Feb lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Setakat ini hanya satu saksi sahaja yang memberi keterangan iaitu pengadu itu sendiri, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sesi soal balas pembela ke atas Saiful yang sepatutnya bermula Isnin lalu ditangguhkan ekoran permohonan Anwar untuk melucutkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bermula 18 bulan selepas Anwar didakwa di mahkamah pada Ogos 2008.

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 17 Feb ini untuk mendengar bantahan awal tiga responden berkaitan permohonan Anwar untuk mendakwa Saiful, bekas pembantunya, atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya. -malaysian insider

Ulasan GB

Sdra Hanipa Maidin menjadi peguam kepada Datuk Seri nwr tatkala ramai yang tertanya-tanya mengapa tiada pimpinan PAS (kecuali TunGuru Nik Aziz Nik Mat) datang memberi sokongan moral kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat tersebut di hari perbicaraan kes Anwar samada di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan.

Sepastinya Hanipa tidak perlu mendapat endorsement partinya kerana menjadi peguambela kepada DSAI kerana beliau melakukan demikian di atas kapasitinya sebagai peguam, buak sebagai Peguam PAS.

Hanipa sebelum ini telah menyuarakan bahawa penghakiman Jawatankuasa disiplin PAS mengenakan hukuman menggantung semua jawatan selama enam bulan ke atas Khalid dan amaran kepada Hasan pula disifatkan sebagai berat sebelah.

Dalam laporannya kelmarin beliau telah berkata bahawa jawatankuasa pusat PAS harus membuka semula kes siasatan membabitkan Hasan dan Khalid kerana hukuman mereka tidak adil dan tidak logik.

Hanipa memberitahu berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang peguam keputusan yang diumumkan bulan lalu tidak kelihatan sebagai sesuatu yang “logik dan rasional serta munasabah”.

Beliau juga mahu menulis surat kepada lembaga disiplin bagi mendapatkan penjelasan tentang alasan yang digunakan untuk mencapai keputusan mereka.

Hanipa berkata beliau akan menentukan tindakan susulan berdasarkan penjelasan yang akan diberikan oleh jawatankuasa disiplin kelak.

Wanita JIM Kecam Kempen Tanpa Seluar Dalam

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Selangor mengecam kempen “no panties” pada Hari Kekasih (Valentine) yang hangat dipromosikan di kalangan pelajar-pelajar wanita institusi pengajian tinggi.

Ketuanya, Dr Ruziaton Hasim berkata, kempen itu bertujuan menggesa golongan pemudi mengambil tindakan sedemikian sempena sambutan Hari Kekasih sebagai luahan tanda cinta sejati mereka terhadap pasangan masing-masing.

Menurutnya, perkara ini amat menyedihkan apabila usaha ini tidak dilihat sebagai tindakan menjijikkan di kalangan pelajar wanita, malahan mereka menyambutnya dengan gembira.

“Reaksi sedemikian datang dari golongan pelajar Melayu yang seharusnya memiliki nilai kesopanan dan tahap kecerdasan minda yang tinggi dengan kebolehan intelek yang baik dan ia amat menyedihkan.

“Golongan pelajar terpengaruh dan disibukkan oleh aktiviti tidak sihat sebegini sebenarnya tertipu oleh pihak yang mempromosikan kempen ini,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Katanya, Wanita JIM Selangor mengingatkan sambutan Hari Kekasih bukanlah budaya dianjurkan oleh Islam dan usaha sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyarankan kempen ini sangat menyedihkan.

Beliau berkata, reaksi pelajar berkenaan mengenai kempen itu jelas menunjukkan pemuda pemudi di negara ini masih keliru dengan pernyataan cinta sejati dan tidak dapat membezakannya dari hawa nafsu syahwat.

“Golongan ini harus diingatkan agar terus menjaga maruah diri masing-masing dan tidak menggadaikan harga diri dengan murah.

“Kelebihan akal manusia kurniaan Allah SWT sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam membuat pertimbangan mengenai baik buruk sesuatu tindakan,” katanya.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat cara terbaru memancing remaja Islam menyertai sambutan Hari Kekasih hujung minggu ini. Kini tersebar luas pesanan ringkas (SMS) mengajak remaja Islam, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi bersama-sama merayakannya dengan slogan ‘Bare Your Loves, No Panties During Valentines’ (zahirkan kasih sayang anda tanpa seluar dalam sempena Hari Kekasih). -SH


Sambut Valentine tanpa seluar dalam

BUTTERWORTH - Cara terbaru memancing remaja Islam menyertai sambutan Hari Kekasih (Valentine) hujung minggu ini.

Kini tersebar luas pesanan ringkas (SMS) yang mengajak remaja Islam, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi di sini untuk sama-sama merayakannya dengan slogan ‘Bare Your Loves, No Panties During Valentines’ (zahirkan kasih sayang anda tanpa seluar dalam sempena Hari Kekasih).

Sehubungan itu, Urusetia Menangani Gejala Sosial Pulau Pinang (UNGGAS) meminta ibu bapa memerhati gerak geri anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan gejala negatif, yang jika tidak dibendung membawa kepada keruntuhan moral dan akhlak anak muda Islam.

Koordinatornya, Nurfitri Amir Muhammad berkata, langkah itu perlu kerana perayaan berkenaan disambut dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral termasuk menghabiskan malam perayaan bersama pasangan, bergaul bebas dan berakhir dengan pesta seks.

“Walaupun kami tidak tahu pihak atau individu yang memulakannya, kempen ini jelas mencabar ajaran Islam yang melarang umatnya mendekati zina.

“Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, persidangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-71 pada 22 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan merayakan valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

“Roh perayaan itu mempunyai unsur-unsur agama lain dan amalannya yang bercanmpur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” katanya.

Sehubungan itu, UNGGAS bersama beberapa pertubuhan lain mengedarkan risalah untuk menyedarkan remaja Islam agar tidak terjebak dengan gejala negatif serta mengadakan operasi pada malam berkenaan yang lebih kepada memberi penerangan dan kaunseling.

“Kami akan membuat rondaan dan sesi penerangan secara bersemuka dengan remaja Islam di kawasan tumpuan ramai untuk memastikan mereka tidak terlanjur dan bersedia kembali ke pangkal jalan,” katanya.




Mauludir Rasul Pulau Pinang Tidak Batal. Guan Eng Cabar Muhyiddin Ikut Serta

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan perarakan Maulidur Rasul tahunan akan diadakan seperti biasa sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan umat Islam, sebagai satu pembohongan.

Lim juga menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pentadbirannya anti-Islam atas alasan kononnya telah membatalkan perarakan itu kali ini.

Sebaliknya beliau menjemput timbalan perdana menteri itu sendiri mengambil bahagian dalam sambutan tiga hari akhir bulan ini.

“Saya mencabar timbalan perdana menteri untuk menyertai perarakan ini apabila ia diadakan,” kata Lim sambil menambah, media arus perdana dengan sengaja membelakangkan berita atau tidak melaporkan perkara yang sebenar tentang Pulau Pinang.

“Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha agung DAP itu kini berhadapan dengan siri dakwaan bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Hashim yang semalam keluar parti itu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bulan lalu Zahrain mengecam keras kepimpinan Lim dan semalam pula mengumumkan keluar Pakatan Rakyat.

Lim yang mengetuai Pulau Pinang sejak Mac 2008, sendiri pernah mengambil bahagian dalam perarakan itu selaku ketua menteri bagi memperlihatkan beliau juga mengambil berat tentang sentimen umat Islam.

“Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan. Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu pembohongan,” katanya.

Lim telah pun melarang Utusan Malaysia dan New Straits Times, kedua-duanya dikaitkan dengan Umno, kerana menurut beliau seringkali salah lapor dan enggan membawa jawapan balas beliau.

Semalam Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim yang membatalkan acara tradisi umat Islam yang diadakan sebagai tanda rasa cinta dan sayang mereka kepada Nabi Muhammad, seolah-olah menunjukkan mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Katanya perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.

Menurut Muhyiddin sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, mereka sepatutnya meneruskan amalan yang membawa kebaikan kepada sesebuah masyarakat di negeri berkenaan kerana ia melambangkan pimpinan memahami dan menghormati agama-agama lain.

“Apakah ini hendak menunjukkan satu sikap baru daripada DAP bahawa mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita umat Islam? Kita tanya balik pada dia (Guan Eng),” kata Muhyiddin.

Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi peringkat negeri pada 3 Feb lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga melahirkan pandangan sedemikian dengan meminta kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan.

Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan. -MalaysianInsider

Tindakan Zahrain Cubaan UMNO BN Raih Majoriti Di Parlimen

Umum pimpinan Pakatan Rakyat menjangkakan Zahrain akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengelak tindakan displin dari parti itu, setelah gagal mempertahankan tuduhan terbukanya terhadap Lim Guan Eng.

Yang menarik ialah komen Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang mengaitkan tindakan Zahrain itu kepada cubaan Umno-Barisan Nasional (BN) meraih kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Desas-desus mengatakan parti pemerintah mencari ikhtiar mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meluluskan usul persempadanan semula kerusi dewan negeri dan parlimen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Zahrain mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen bebas, bermakna Pakatan Rakyat mempunyai 81 kerusi ketika ini, berbanding dengan 137 milik Umno-BN.

Umno-BN memerlukan kira- kira 10 kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga yang akan membolehkan parti itu kembali merombak semula persempadanan kerusi Parlimen dan dewan negeri.

Ini sering dilakukan untuk memberi kelebihan kepada Umno-BN menghadapi pilihan raya.

"Barisan Nasional tidak ada majoriti dua pertiga untuk pemerintah membuat sebarang pindaan dalam perlembagaan negara termasuk persempadanan semula dan lain- lain," katanya.

Azan tidak menolak kemungkinan Zahrain telah dipujuk oleh Umno untuk meninggalkan PKR. Azan berkata beliau sendiri menjadi sasaran umno baru- baru ini.

"Saya tahu perkara ini sebab saya sendiri telah dihubungi oleh mereka sebaik sahaja saya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Penegrusi 2 Pahang baru- baru ini. Memang mereka menunggu peluang ini. Dan mereka akan menggunakan peluang ini untuk melengkapkan majoriti dua pertiga di Parlimen," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh berkata tindakan Zahrain keluar dari PKR tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat.

"Tiada terasa kehilangan. Di Pulau Pinang, Pakatan Rakyat sangat kuat dan saya rasa tidak ada kesan apapun. Selain itu Zahrain bukannya seorang pemimpin terkemuka dalam politik," kata Karpal.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, Zahrain sering bertindak atas kepentingan diri dan membelakangkan perjuangan parti dan Pakatan Rakyat.

“Yang sebenarnya kedudukan dia dan imej dia yang sudah terhakis. Boleh dikatakan sekarang ini orang nampak dia marah kerana dia tidak dapat jadi Timbalan Ketua Menteri, nak jadi calon di Penanti tidak dapat, kemudian digugurkan sebagai Pengerusi di Pulau Pinang, kerana prestasi tidak memuaskan.
"Dia juga dikatakan masih marah dengan kontrak yang terlibat dengan dia dan golf- golf Bukit Jambul, semua ini menunjukkan wajah sebenar dia,” kata Syed Husin.

Syed Husin berkata PKR dan Pakatan Rakyat merelakan pemergian wakil rakyat yang masih berpegang kepada budaya UMNO.

“Kalau ada yang lain hendak menyertai diri menjual maruah dan segalanya kepada UMNO, sila ikut dia. Sekarang dia tidak mesra UMNO, dulu dia kata tidak akan keluar dan letak jawatan tapi sekarang dia letak jawatan. Sekarang kita tunggulah apa langkah seterusnya," akhiri Syed Husin -TVS



Tindakan Zahrain Tidak Gugat Pakatan Rakyat

Dari Undian SMS Edisi 7 malam tadi menyaksikan 77% responden menolak tindakan Ahli parlimen Bayang Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengambil keputusan keluar dari PKR membayangkan krisis PKR semakin parah.

Ia juga bererti sekalipun UMNO BN cuba mengeksploitasikan isu berkenaan, ia tidak sama-sekali menjejaskan sokongan rakyat terhadap PR.

Malah beberapa pemimpin PR mengalu-lukan tindakan Zahrain berkenaan. Mereka yang tidak mempunyai jati diri dalam memperjuangkan agenda parti serta menjadi kumpulan yang hanya mahu mengambil kesempatan (opportunist) untuk kepentingan peribadi disaran untuk memikirkan semula pendirian mereka atau keluar dari parti, erapakatan dipetik.

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata kumpulan 'pengambil kesempatan' yang hanya mahu menumpang tuah Anwar seharusnya mengambil pendirian sekarang.

"Mereka sewajarnya membuat tindakan keluar parti dari sekarang atau memperbetulkan semula niat mereka untuk berjuang bersama parti.

"PKR bersama Pakatan Rakyat (PR) sedang menuju hala tuju politik baru yang berteraskan integriti serta keadilan yang bersifat sejagat dan bukan parti untuk mengumpul kekayaan dan pangkat sebagaimana BN.

Kenyataan beliau dibuat ekoran tindakan Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim mengumumkan keluar dari PKR berkuatkuasa serta merta dan menjadi wakil rakyat bebas.

"Lebih baik beliau (Zahrain) bertindak demikian sekarang dari menjadi duri dalam daging kepada parti dimasa akan datang yang membuka ruang kepada Umno menyerang PR," kata beliau ketika dihubungi Era Pakatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu berkata PKR merupakan perjuangan parti yang terdiri dari semua kaum yang membelakangkan isu-isu perkauman.

"Kita sedar ramai yang menganggap bila menyertai PR akan dapat banyak projek atau berpeluang minta banyak projek tapi sebenarnya itu salah kerana PR mementingkan kemampuan melalui tender terbuka untuk semua.

"Dalam pemberian kontrak-kontrak siapa yang layak tanpa mengira parti dan kaum berpeluang mendapatkannya," jelas Tian.

Ditanya mengapa isu melompat parti berlaku dikalangan pemimpin PKR beliau berkata perti tersebut sedang mengalami proses pemutihan.

"Walaupun dalam politik usia 10 tahun PKR dalam arena politik masih dianggap muda namun rakyat pelbagai kaum telah yakin dengan PR sehingga Umno terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengucar kacirkan parti-parti dalam PR.

"Begitu juga dengan konvensyen PR pada Disember tahun lalu membuktikan pakatan PR sedang melalui dimensi politik baru untuk menakluki putrajaya dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

"Perkembangan ini juga memaksa Umno/BN menggunakan pelbagai helah, sogokan, ugutan dan media mereka untuk memburuk-burukkan PR." kata beliau lagi.



Pemimpin PR Harus Tempuh Risiko Perjuangan

Seseorang pemimpin berjiwa rakyat harus menghargai sokongan rakyat dan sanggup menerima apa juga risiko termasuk dipenjara, difitnah dan tetap berprinsip apabila di tawar wang rasuah.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pemimpin mesti mempunyai iltizam untuk membela hak rakyat dan menamatkan kezaliman.

Datuk Seri Anwar malam tadi berucap kepada kira-kira 2,000 orang di Batu Caves Selangor.

Meskipun menghadapi pelbagai kekangan polis, kehadiran begitu ramai orang untuk mendengar ucapan Anwar di sekitar kawasan mencerminkan sokongan kuat untuk beliau.

Anwar berkata beliau peka kepada suara rakyat yang mahukan pemimpin mereka berprinsip dan tidak menjual maruah diri setelah meraih kemenangan pada pilihanraya.

Rakyat mahukan pemimpin yang tidak goyah dalam menghadapi kritikan atau di sogok oleh musuh politik untuk lompat parti.

Wakil rakyat yang bertindak sebaliknya akan hilang maruah dan nilai diri untuk selama-lamanya.

“Ini yang dikatakan lazat dan nikmatnya perjuangan bersama rakyat. Orang itu sudah menang, kena ugut sedikit, dapat wang banyak, dia tinggal rakyat yang derita, korban. Manusia jenis apa ini? “ ucap Anwar.

Anwar berkata, beliau sendiri tabah menghadapi fitnah dan maki hamun pemimpin UMNO-Barisan Nasional.

Ini dilakukan dengan mereka cipta pertuduhan liwat, pecah amanah, selain di labelkan menjadi agen Yahudi.

Anwar berkata semangatnya untuk berjuang demi membela rakyat masih kuat membara walapun beliau keluar masuk mahkamah, selain menghabiskan enam tahun di penjara.

“Keluar masuk penjara, bukan sekali bukan dua, tiga kali,empat masuk lokap, empat lima kali. Kalau saya pilih setelah bebas 2004, bagitahu saya sokong UMNO, saya telah insaf, saya tidak mahu lagi pembangkang, hari ini bukan Datuk Seri Anwar, Tun Anwar Ibrahim. Naib pangkat dirai, rai oleh siapa? Dirai secara rasmi, saya tidak pilih itu” tambahnya lagi.

Yang dipilih adalah misi untuk mempertahankan hak rakyat daripada kezaliman dan menamatkan pemerintahan yang rakus dan zalim.

“Saya kata Wallahil’azim, demi Allah kalau saya ditakdirkan memimpin negera ini bersama dengan rakan-rakan saya, saya akan pastikan sedaya upaya saya islah mastat'tum, perubahan dengan sebaiknya, bela nasib rakyat, pertahankan hak mereka, hentikan kezaliman” kata Anwar.

Walaupun menghadapi perbicaraan terbaru atas tuduhan fitnah liwat, Anwar tetap meneruskan program politiknya selaku ketua pembangkang di Parlimen.

Ini untuk meniupkan kesedaran awam atas pentingnya rakyat menyelamatkan Malaysia daripada penyelewengan kuasa dan pemerintahan rasuah Umno-Barisan Nasional.