13 Feb 2010

Wanita JIM Kecam Kempen Tanpa Seluar Dalam

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Selangor mengecam kempen “no panties” pada Hari Kekasih (Valentine) yang hangat dipromosikan di kalangan pelajar-pelajar wanita institusi pengajian tinggi.

Ketuanya, Dr Ruziaton Hasim berkata, kempen itu bertujuan menggesa golongan pemudi mengambil tindakan sedemikian sempena sambutan Hari Kekasih sebagai luahan tanda cinta sejati mereka terhadap pasangan masing-masing.

Menurutnya, perkara ini amat menyedihkan apabila usaha ini tidak dilihat sebagai tindakan menjijikkan di kalangan pelajar wanita, malahan mereka menyambutnya dengan gembira.

“Reaksi sedemikian datang dari golongan pelajar Melayu yang seharusnya memiliki nilai kesopanan dan tahap kecerdasan minda yang tinggi dengan kebolehan intelek yang baik dan ia amat menyedihkan.

“Golongan pelajar terpengaruh dan disibukkan oleh aktiviti tidak sihat sebegini sebenarnya tertipu oleh pihak yang mempromosikan kempen ini,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Katanya, Wanita JIM Selangor mengingatkan sambutan Hari Kekasih bukanlah budaya dianjurkan oleh Islam dan usaha sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyarankan kempen ini sangat menyedihkan.

Beliau berkata, reaksi pelajar berkenaan mengenai kempen itu jelas menunjukkan pemuda pemudi di negara ini masih keliru dengan pernyataan cinta sejati dan tidak dapat membezakannya dari hawa nafsu syahwat.

“Golongan ini harus diingatkan agar terus menjaga maruah diri masing-masing dan tidak menggadaikan harga diri dengan murah.

“Kelebihan akal manusia kurniaan Allah SWT sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam membuat pertimbangan mengenai baik buruk sesuatu tindakan,” katanya.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat cara terbaru memancing remaja Islam menyertai sambutan Hari Kekasih hujung minggu ini. Kini tersebar luas pesanan ringkas (SMS) mengajak remaja Islam, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi bersama-sama merayakannya dengan slogan ‘Bare Your Loves, No Panties During Valentines’ (zahirkan kasih sayang anda tanpa seluar dalam sempena Hari Kekasih). -SH


Sambut Valentine tanpa seluar dalam

BUTTERWORTH - Cara terbaru memancing remaja Islam menyertai sambutan Hari Kekasih (Valentine) hujung minggu ini.

Kini tersebar luas pesanan ringkas (SMS) yang mengajak remaja Islam, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi di sini untuk sama-sama merayakannya dengan slogan ‘Bare Your Loves, No Panties During Valentines’ (zahirkan kasih sayang anda tanpa seluar dalam sempena Hari Kekasih).

Sehubungan itu, Urusetia Menangani Gejala Sosial Pulau Pinang (UNGGAS) meminta ibu bapa memerhati gerak geri anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan gejala negatif, yang jika tidak dibendung membawa kepada keruntuhan moral dan akhlak anak muda Islam.

Koordinatornya, Nurfitri Amir Muhammad berkata, langkah itu perlu kerana perayaan berkenaan disambut dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral termasuk menghabiskan malam perayaan bersama pasangan, bergaul bebas dan berakhir dengan pesta seks.

“Walaupun kami tidak tahu pihak atau individu yang memulakannya, kempen ini jelas mencabar ajaran Islam yang melarang umatnya mendekati zina.

“Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, persidangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-71 pada 22 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan merayakan valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

“Roh perayaan itu mempunyai unsur-unsur agama lain dan amalannya yang bercanmpur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” katanya.

Sehubungan itu, UNGGAS bersama beberapa pertubuhan lain mengedarkan risalah untuk menyedarkan remaja Islam agar tidak terjebak dengan gejala negatif serta mengadakan operasi pada malam berkenaan yang lebih kepada memberi penerangan dan kaunseling.

“Kami akan membuat rondaan dan sesi penerangan secara bersemuka dengan remaja Islam di kawasan tumpuan ramai untuk memastikan mereka tidak terlanjur dan bersedia kembali ke pangkal jalan,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.