28 Jan 2010

Menanti Februari :1Malaysia Bergolak

Tiada kepastian sehingga hari ini bahawa krisis Perak akan dibubuh noktah dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang bakal diumumkan pada 9 Februari 2010. Apa yang pasti, Februari tahun ini tidak kurang "berkocak"-nya berbanding Februari 2009, melihat kepada isu demi isu yang beratur menunggu masa untuk diletupkan.

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim dan inkues tragedi kematian Teoh Beng Hock telah dijadualkan pada awal bulan Februari, sebelum diberi kata dua "siapakah Menteri Besar Perak yang sah" pada 9 Februari. Desas-desus mula tersebar, meramalkan pembubaran DUN Perak dalam masa yang terdekat.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang menjadi sasaran selepas Perak, juga diuar-uarkan bakal ditumbangkan. Khabar ini tercetus sejak tahun lalu, meletakkan 16 September 2009 sebagai saat letup-hancurnya kerajaan PR, yang kemudiannya ditundakan kepada Januari 2010.

Biarpun khabar sedemikian disifatkan sebagai "perang psikologi" oleh mereka yang tidak mempercayainya, namun ia tetap mencungkil saraf PR, sehingga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sendiri turun ke gelanggang negeri darul Ehsan ini untuk menghalang impian UMNO-BN daripada menjadi "kenyataan".

Bubar DUN Perak?

Sindiran "1Malaysia, 2Perak" menjadi tamparan sengit kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, sejak beliau menerajui kerajaan dengan laungan slogan "1Malaysia". Malah, rampasan kuasa yang mengungkit kemarahan rakyat, sehingga gambar dirinya dipijak ini telah menjadi beban UMNO-BN dalam PRU ke-13.

Berlatar-belakangkan konteks ini, Najib dijangka akan melepas tangan sebelum PRU ke-13. Lebih-lebih lagi, UMNO-BN amat yakin dengan sokongan masyarakat Melayu-nya di Perak, ditambah pula penghakiman kes ini bakal memberi implikasi yang boleh menimpa Najib sendiri, maka UMNO-BN terpaksa memilih untuk berdepan dengan rakyat.

Sama ada Menteri Besar BN sekarang, Zambry Abdul Kadir membubar DUN sebelum penghakiman diumumkan, atau Menteri Besar PR, Nizar Jamaluddin berbuat demikian seandainya dirinya disahkan sebagai "MB halal", akan menjurus kepada pembubaran DUN dan disusuli dengan pilihan raya negeri Perak.

Kes liwat: Perkembangan yang tidak menentu

Empat hari lagi Januari sampai ke penghujungnya. Sembilan hari selepas itu "MB Perak yang sah" bakal dikenalpasti. Seandainya diberi laluan, segala-gala ini akan berlaku di sekitar Februari, setahun selepas krisis Perak bermula.

Di Kuala Lumpur pula, perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim akan berlangsung. "Bahan bukti" yang bakal dihadap ke mahkamah, sama ada "melucukan" atau "menggemparkan", pastinya menjadi isu kempen jikalau pilihan raya Perak diadakan. Malah, untuk berdepan dengan perkembangan yang tidak menentu ini, PR perlu mengerah kepakaran peguam dan sokongan rakyat di ibu negara.

Sudah pastinya, Anwar Ibrahim wajib berulang-alik ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan. Sebahagian rakan seperjuangannya akan berada di sisinya untuk menghadapi kes mahkamah, sementara sebahagian yang lain pula akan menjelajah ke negeri Perak untuk mengembalikan kuasa kerajaan negeri itu ke pangkuan PR.

Perkiraan ini berdasarkan andaian bahawa DUN Perak dibubarkan. Seandainya ditambah pula andaian pembubaran DUN Sarawak (pilihan raya lalu - Mei 2006), pembahagian kerja antara pemimpin PR akan menjadi lebih rumit.

Bagaimana pula dengan Selangor?

Keadaan sedemikian mungkin membuka ruang kepada musuh PR di Selangor. Sekiranya diteliti rekod kerajaan PR ini, hampir kesemua Exco-nya terjerat dengan tuduhan yang dilemparkan. MB-nya Khalid Ibrahim terperangkap dengan isu "kereta dan lembu"; Exco Senior-nya Teresa Kok pernah ditahan bawah ISA kerana isu azan; Exco yang lain seperti Ean Yong Hian Wah, Ronnie Liu, Yaakob Sapari dan Xavier Jayakumar pula disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak cukup dengan itu, imej kerajaan PR di Selangor dicalitkan apabila gambar peribadi Elizabeth Wong didedahkan pada tahun lalu, dan tuduhan khalwat dilontarkan terhadap Halimah Ali. Malah, ADUN PR yang lain seperti Lau Weng San sebagainya terbelit dengan tuduhan menyertai perhimpunan haram, yang belum tentu nasibnya.

Melihat kepada senario sedemikian, tidak mustahil sekiranya kerajaan negeri PR ini digulingkan, walaupun pernah seketika selesa dengan kedudukan 36-20 kerusi selepas PRU ke-12. Pada November 2009, ADUN Port Klang-PKR Badrul Hisham Abdullah keluar parti sebagai calon bebas yang menyokong BN, merapatkan jurang kepada perbezaaan 14 kerusi, yang cuma memerlukan "penyeberangan" lapan orang ADUN untuk menukar kerajaan.

Kemelut luar dan dalam

Perkembangan terkini semakin tidak menentu, apabila kontroversi penggunaan kalimah "Allah" gagal ditamatkan. Pada masa yang sama, Malaysia digemparkan pula dengan penangkapan 10 orang pelajar ( termasuk 9 orang warga asing) di bawah ISA, sebagaimana yang diakui oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pada hari ini.

Namun, kemelut terbesar sebenarnya datang dari dalaman PR sendiri. Zulkifli Noordin (PKR), Hasan Ali (PAS)... antara pemimpin PR yang kontroversi telah dihadapkan kepada lembaga disiplin parti masing-masing. Nasib Hasan Ali dan seorang lagi pemimpin PAS, Khalid Samad akan diketahui minggu ini, sementara tindakan terhadap Zulkifli Noordin pula akan diketahui dalam tempoh sebulan.

Padahal, lidah UMNO telah bersedia dengan retorik yang bakal didendangkan seandainya kedua-dua orang yang menggelar dirinya "pejuang Islam" ini tersingkir dari PR. "Zul Noordin pejuang sejati atau 'duri dalam daging'" tulisan Zaini Hassan yang tersiar di Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan, "Apa ini? Bercakap mengenai Islam pun tak boleh? Hendak mengkritik kawan yang menentang Islam pun tak boleh?"

Januari semakin ke penghujungnya. Februari satu Malaysia mula bergolak. - Lim Hong Siang (Merdeka Review)



Hishamuddin Tidak Jujur Selesai Isu Serangan Rumah Ibadat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilihat tidak jujur di dalam menyelesaikan isu serangan rumah ibadat apabila beliau menyatakan polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang pembabitan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

Ramai pemerhati politik berpendapat tindakan Keselamatan Dalam Negeri tidak mengambil keterangan dari Azmin kerana khuatir Azmin berjaya membuktikan penglibatan UMNO di dalam insiden serangan gereja.

Hishamuddin pula berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Azmin kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata, Bernama dipetik.

"Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam," katanya selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Azmin semalam, yang mendakwa mempunyai maklumat tentang pembabitan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Januari lalu.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian ahli Umno yang didakwa terbabit.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.

Beliau berkata, polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya selepas bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia membabit orang Umno atau sesiapa saja yang didapati terbabit.

"Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting selepas kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pula, berkata dakwaan pembabitan Pemuda Umno dalam insiden itu hanyalah satu strategi baru pembangkang yang kini mensabitkan semua kejadian buruk kononnya datang dari Umno.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Umno juga boleh menuduh PKR atau pembangkang melakukan perbuatan tersebut, tetapi Umno tidaklah sejahil itu untuk membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.

"Saya nak ingatkan pembangkang jangan buat tuduhan melulu. Jika ada bukti sila dedahkan. Yang penting Umno tak suruh. Jika misalnya ada ahli Umno yang terbabit mencuri, itu bukan Umno yang suruh. Itu yang penting," katanya.

400 Orang Ketua-ketua Agama Bertemu Di Kelantan

Lebih 400 orang ketua-ketua agama dari empat buah agama di seluruh negara akan menghadiri jemputan Mahabbah Kerajaan Kelantan sempena majlis jamuan tengahari yang bakal diadakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada masa yang sama, majlis yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu juga bakal disertai wakil media seluruh negara.

“Selain ketua-ketua agama dari ulama Islam, paderi dan sebagainya, saudara-saudara dari rakan media juga turut menjadi tetamu pada hari berkenaan esok,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Sempena majlis yang diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga, ada beberapa acara antaranya ucapan dari Tuan Guru sendiri termasuk wakil-wakil dari pemimpin agama juga akan turut berucap.

Program berkenaan bertujuan untuk meredakan keadaan yang sedikit tegang baru-baru ini yang berkait dengan beberapa isu agama.

“Mudahan dengan cara ini Kelantan dapat menjadikan ianya suatu contoh isu-isu sansitif seperti itu dapat diselesaikan secara musyawarah bagi mengekalkan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Kita berbangga kerana Kelantan telah menjadi perintis pada program seperti ini,”ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menyeru rakyat Kelantan seluruhnya hadir untuk mendengar penjelasan isu tuntutan royalti di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, bermula dengan solat Maghrib petang ini.

Menurutnya, rakyat Kelantan wajar hadir pada majlis itu untuk mendengar taklimat khas yang akan disampaikan oleh pengerusi Petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah malam esok.

Majlis berkenaan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang turut disertai berpuluh NGO lain.

“Majlis bermula dengan solat Maghrib, solat sunat hajat dan Isyak sebelum ceramah yang akan ditekankan soal-soal hak, khususnya dari sudut undang-undang,”ujarnya.

Tambahnya, amat wajar rakyat negeri ini turun beramai-ramai untuk mendengar pendedahan yang tidak pernah diketahui oleh mereka.

“Jadi saya seru pada semua lapisan masyarakat di negeri ini, tidak kira bangsa, agama dan fahaman parti politik supaya turut datang mendengar ceramah ini,”ujarnya.

Tuan Guru turut mendapat maklum, masyarakat Terengganu juga dijangka hadir untuk mendengar taklimat berkenaan. -harakahdaily


UMNO Pelawa Zul Kulim Sertai Parti Itu

UMNO sedia membuka pintu untuk Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyertai parti itu sekiranya beliau dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pendiriannya tentang penggunaan kalimah Allah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, UMNO bersifat terbuka mengenai perkara tersebut selagi beliau boleh menerima asas dan matlamat perjuangan parti itu yang cukup jelas iaitu untuk menegakkan dan mempertahankan Islam.

“Pada masa sama, UMNO mempunyai kerukunan hidup rakyat Malaysia dan tidak ekstrem, lebih mengutamakan permuafakatan dan mengutamakan keadilan kepada semua pihak.

“Sebab itulah hubungan baik UMNO dengan parti komponen dapat dipertahankan.

“Oleh itu, kita terbuka sekiranya Zulkifli ada hasrat untuk menyertai UMNO dan kita mengalu-alukannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek pembinaan asrama terbengkalai Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (SMKKKB) di sini semalam.

Mohd Puad berkata, UMNO tidak mengambil kesempatan atas kecelaruan berlaku terhadap parti itu ketika ini.

Menurutnya, beliau menghormati pendirian Zulkifli di atas keberanian beliau mengatakan bahawa sanggup dikenakan sebarang tindakan di atas pendirian beliau mengenai isu kalimah Allah.

Katanya, beliau melihat apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah seolah-olah bahawa mereka tidak ada mekanisme untuk mengendalikan perbezaan pendapat dan ia antara penyebab Pakatan Rakyat tidak didaftarkan sebagai satu pertubuhan yang sah berbanding dengan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini.

Beliau juga bersetuju dengan pendapat sikap diktator penasihat pasti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca kenapa perkara itu berlaku sehingga Zulkifli terpaksa menggunakan blog menyatakan pandangan dan pendiriannya.

“Dan akhirnya Zulkifli terpaksa membuat laporan polis untuk beliau mempertahankan pendirian tersebut.

“Ini cukup jelas, sebab saya bila lihat Anwar memanggil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Angkatan Belia Islam (ABIM) dan juga Gerakan Islamiah Malaysia (GIM) untuk mempertahankan pendiriannya.

“Pertemuan itu sebenarnya pada saya bukan diskusi atau dialog, tetapi dia mengharapkan mereka menyokong pendirian beliau dengan kalimah Allah,” katanya.

Menurutnya, sikap Anwar itulah menyebabkan ramai dalam kalangan pemimpin PKR yang keluar dari parti ataupun menjadi ahli politik bebas.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan wujudnya tuduhan terhadap UMNO memberikan habuan kepada Zulkifli untuk mengambil keputusan meninggalkan PR, Puad berkata ia adalah satu tuduhan biasa.

“Itu memang tuduhan yang akan dibuat oleh Anwar Ibrahim sebab dalam isu kalimah Allah yang mengatakan UMNO yang merancang, begitu juga apabila ramai ahli jawatan kuasa PKR Kuala Selangor meletak jawatan mereka kata UMNO.

“Apa kena mengena perkara tersebut dengan UMNO?” katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah memahami perkara tersebut kerana apa yang berlaku di dalam PKR sudah sememangnya dipalingkan kepada UMNO. -SH


Dakwaan firaun kecil tidak akan dilayan

SHAH ALAM- “Kita tidak mahu layan kenyataan wujudnya firaun kecil dalam parti,” kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin semalam.

Menurutnya, Zulkifli tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan kerana sedang disiasat lembaga disiplin parti.

“Ketua Umum (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali mengingatkan kepada beliau melalui email dan khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, tetapi beliau tidak patuh.

“Dia boleh cakap apa pun (sekarang), tetapi kita tidak mahu layan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kes Zulkifli akan selesai dalam tempoh terdekat.

“Kita tunggu dan lihat sajalah nanti apa tindakan yang bakal dikenakan,” katanya.

Sebelum ini, Zulkifli berkata, ada firaun kecil yang cuba menjatuhkan beliau melalui media sedangkan beliau belum menerima notis untuk menghadiri prosiding jawatankuasa disiplin mahupun biro politik.

Zulkifli menegaskan dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah, beliau tidak akan berkompromi walaupun sedikit dan bersedia hadapi sebarang kemungkinan.

Kelmarin, Setiausaha Agung parti itu, Saifudin Nasution, memberi amaran kepada Zulkifli berikutan tindakannnya yang dianggap mempunyai elemen membelakangkan saluran dalaman parti.


Ulasan GB

So, Zul, jangan malu-malu nak sambut pelawaan. Time laku.

p/s bila kita panggil orang dengan satu-satu panggilan, maka ianya berbalik kepada kita. Demikianlah. Zul Kulim kini dah jadi "Firaun Kecil".

Sepatutnya RM40 juta Bukan RM20 juta - Husam

Kerajaan PAS Kelantan mempertikaikan wang ihsan hanya sebanyak RM20 juta dan meminta kerajaan pusat menilai jumlah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata nilai yang sewajarnya diterima negeri itu, berdasarkan dengan pihak Petronas awal bulan ini, adalah sebanyak RM40 juta bukannya RM20 juta seperti diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Husam yang juga Pesuruhjaya PAS II Kelantan berkata melalui perbincangannya Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 8 Jan lalu, beliau RM40 juta itu tidak termasuk tuntutan di kawasan telaga bintang yang dengan kawasan perairan Terengganu-Kelantan.

"Pendirian kerajaan negeri tetap tidak menerima keputusan itu...kami mahu kenyataan rasmi dari Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di Kota Baharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mustapa semalam mengumumkan kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini yang merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil cari gali petroleum diperolehi sejak Mei 2008.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi cari gali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir
pantai negeri itu.

Kerajaan Negeri Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Husam berkata kerajaan negeri akan terus memperjuangkan haknya dalam tuntutan royalti minyak itu walaupun pusat mengantikannya kepada wang ihsan, Bernama di petik.

Dalam pada itu, himpunan 100,000 rakyat Kelantan yang bermula hari ini telah mendapat kelulusan daripada pihak polis, demikian kenyataan GEGAR (Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat) semalam.

Pada malam ini, Tengku Razaleigh dijangka mencerita bagaimana perjanjian itu dibuat dan apakah makna perjanjian itu bagi Kelantan, Petronas dan Malaysia.

Majlis ini dianjurkan oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) iaitu NGO yang memperjuangkan royalti untuk negeri Kelantan dan Terengganu. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan khas royalti minyak malam ini yang diadakan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu.

Perhimpunan yang akan bermula dengan solat Maghrib yang bakal diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan mendengar pidato khas Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi Petronas.

Malam ini juga bakal menjadi hari yang penting untuk Kelantan kerana di hari ini juga ketua-ketua gereja seluruh negara akan mengadakan perhimpunan mereka di Kota Bharu.


Merlimau Akan Hebat Membangun Bila UiTM Berpindah Ke Semujok

Bandar Merlimau dijangka akan pesat membangun apabila berikutan keputusan kerajaan pusat memindahkan projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, ke Jasin, Melaka.

Kawasan yang dimaksudkan ialah di tanah milik Yayasan Melaka di Seri Mendapat, Semujok, yang terletak lebih kurang 8 km dari Pekan Merlimau.

Kawasannya berhampiran dengan Politeknik Merlimau. Dan di merlimau juga terdapat sebuah Kolej Komuniti Jasin. Selain itu, terdapat sebuah Pusat Kokurikulum di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Melaka yang beroperasi di Kampung Lanchang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jasin akan dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menawarkan kepada PYBK Usahasama Sdn Bhd untuk membina kampus itu yang dianggarkan bernilai RM300 juta di tanah milik Yayasan Melaka tersebut dijangka siap pada 2013.

Katanya asalnya kampus itu ditawarkan untuk dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor.

"Kampus UiTM ini akan membantu Melaka menjadi hab pendidikan kerana daerah lain di Melaka semuanya sudah ada universiti," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak kampus UiTM itu Rabu.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan cadangan pembinaan kampus UiTM oleh YBK di Serendah, Rawang dibatalkan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan tapak bagi projek tersebut dan dipindahkan ke Jasin.

Di dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui rakyat negeri Selangor akan mengalami kerugian besar daripada segi pembangunan sosial berikutan keputusan kerajaan pusat memindahkan projek pembinaan kampus UiTM, yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, ke Jasin.

Katanya beliau juga tidak mempersoalkan keputusan kerajaan pusat untuk memindahkan projek itu kerana yang akan rugi ialah rakyat dan bukannya kerajaan negeri sebab tanah itu boleh dibangunkan untuk tujuan lain.

“Cuma saya berharap penggunaan duit pembayar cukai yang diambil kira dalam projek ini, akan dikaji sedalam-dalamnya oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled yang mengesahkan kampus baru UiTM itu dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata cadangan asal pembinaan kampus itu yang sepatutnya didirikan di Serendah, Rawang dibatalkan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan tapak bagi projek tersebut.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Di samping itu, beliau juga berkata pihaknya tidak akan campur tangan dalam apa-apa urusan perniagaan yang melibatkan YBK dengan entiti perniagaan lain.

Sementara itu, Khalid berkata semua wakil rakyat pakatan pembangkang akan mengadakan satu perjumpaan esok bagi membincangkan strategi dalam usaha memenangi hati dan minda rakyat.

Penyelewengan Wang Rakyat Berlaku Sejak 50 Tahun Lalu

Panelis Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) terkejut dengan penemuan sesi Selcat yang berlangsung hari ini.

Hasil soal-jawab dan penelitian dokumen kepenggunaan sumber oleh Dun- dun seluruh Selangor, Selcat mendapati Adun-Adun BN menggunakan ruang samar dalam peraturan dan tatacara urustadbir untuk menyeleweng peruntukan kerajaan negeri.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah wang peruntukan kerajaan negeri digunakan untuk membiaya jentera parti politik, bahkan wang dimasukkan terus ke akaun bank milik Adun kawasan terbabit.

Pegawai Daerah Kuala Langat Asmawi Kasbi dalam sesi hari ini berkata amalan ini telah menjadi kebiasaan pentadbiran Barisan Nasional sejak 50 tahun lalu.

“Saya rasa dari segi pembayaran kepada YB Dun Morib iaitu YB Hasiman Sidom pada ketika itu saya rasa bukan satu perkara yang luar biasa, sebab duit itu dimasukkan dalam akaun wakil rakyat berkenaan, jadi maknanya dalam Pekeliling Perbendaharaan pun tidak mengatakan bahawa tidak boleh dibayar kepada akaun wakil rakyat berkenaan itu satu, yang keduanya sama ada perkara pelik atau tidak bukanlah perkara yang pelik sebab memang perkara ini berlaku sejak sebelum ini pun memang berlaku, walaupun sekarang pun kita masih bayar kepada wakil rakyat penyandang pada ketika ini,” katanya.

Mengulas perkara ini, Panel Selcat Azmin Ali berkata amalan ini secara langsung menghakis keupayaan kerajaan negeri untuk berfungsi sebagai sebuah badan yang berintegriti.

Azmin memberi amaran bahawa amalan ini juga secara langsung membudayakan rasuah dalam operasi kerajaan negeri, lantas ia perlu dihentikan serta-merta.

“Dalam taklimat audit baru-baru ini yang dipimpin Dato Menteri Besar, kita diingatkan bahawa pembayaran kepada Adun itu merupakan satu sistem yang lemah dan tidak boleh dikira satu sistem yang baik kerana kemungkinan penyelewengan itu akan berlaku, yang hanya dibolehkan ialah pembayaran dibuat atas nama Adun sekiranya dalam kes-kes tertentu seperti pembayaran saguhati kepada anak-anak PMR, sudah tentu mereka belum ada akaun bank yang boleh dibayar,”jelasnya lagi. -TVS



Adun Morib Guna Wang Rakyat Biaya Jentera Umno

Adun Morib Hasiman Sidom didapati menyalahgunakan wang peruntukan buat penduduk Morib untuk membiayai kempen pilihanrayanya dalam PRU12 lalu.

Beliau didapati membelanjakan sekurang-kurangnya RM60 ribu yang diagih-agihkan kepada 30 Ketua Cawangan Umno di Dun Morib, serta RM60 ribu lagi untuk perbelanjaan Pemuda dan Puteri Umno kawasannya.

Perkara ini didedahkan panel Selcat, Azmin Ali di Pendengaran Awam Selcat, hari ini.

Dato’ Asmawi Kasbi ditegur Azmin kerana gagal menjalakan tugasnya selaku pengawal dana awam, walhal mengetahui wang itu tidak digunakan untuk kebajikan rakyat termiskin, sebalik untuk berkempen.

Asmawi memberi alasan Perbendaharaan Negeri tidak mengeluarkan arahan jelas melarang bayaran dibuat ke atas badan politik.

“Bagi Adun Morib, YB Hasiman Sidom daripada 500 ribu ringgit, 120 ribu ringgit diserahkan kepada Umno bahagian, Pemuda dan Puteri 60 ribu, cawangan-cawangan Umno sebanyak 30, 60 ribu juga, makna dari 500 ribu, lebih 1 perlima diserahkan kepada Umno,”katanya.

Hasiman Sidom dilaporkan turut menggesa Asmawi membenarkan wang rakyat Morib dibelanjakan untuk menggerakkan jentera pilihanraya Umno di 16 pusat daerah mengundi.

Selcat juga diberitahu sejumlah RM25 ribu ringgit disalahguna untuk kerja-kerja pengubahsuaian Pusat Khidmat Rakyat.

Namun apa yang lebih mengejutkan apabila kesemua cek pembayaran yang dibuat atas nama pemimpin Umno itu habis digunakan dalam masa sesingkat 1 bulan setengah.

“Maknanya kalau apa-apa pembayaran itu tuntutan itu dibuat mengikut peraturan kita bayar, cuma penerimanya sama ada Umno atau bukan saya rasa bukan tanggungjawab saya, maknanya patutnya wakil rakyat kena tentukan sendiri kebanyakan penerima-penerima adalah orang tempatan situ, cuma nama jer mungkin Umno, tapi mungkin penerimanya yang sebenarnya yang mendapat faedah tak semestinya orang Umno,”jelasnya. -TVS



Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Kes Kepala Babi

Ahli Parlimen Pantai Dalam Nurul Izzah Anwar menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat siri serangan terhadap rumah ibadat.

Beliau menjelaskan hanya melalui suruhanjaya bebas motif dan dalang keganasan ini dapat disiasat secara telus dan bebas dari prejudis.

“Saya fikir di saat ini kita patut wujudkan satu siasatan diraja. Satu badan khas yang benar-benar boleh menyiasat apakah sebabnya. Adakah kemungkinan ada kerja dalaman. Ini melibatkan perkara politik. Saya fikir tak cukup dengan siasatan, perlu ada badan diraja sebegini untuk meneliti tindakan yang perlu dibuat sepenuhnya”.

Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk lebih pro-aktif menyiasat kes ini dan bukan sekadar menjalankan siasatan “biasa” ke atas keganasan ini.

“Marah dan khuatir dengan perkembangan baru. Kita melihat bagaimana serangan melemparkan kehinaan kepada tempat ibadat sebuah masjid. Seolah-olah mahu mencetuskan insiden”. -TVS


Jangan Jadi Mangsa Kepada Agen Provokator!

Serangan terbaru yang berupa kepala khinzir di dalam kawasan Masjid At-Tirmizi, Sri Sentosa merupakan satu lagi cubaan terbaru golongan tertentu dalam mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di Negara kita.

Tindakan yang jijik ini, yang merupakan satu lagi siri provokasi berniat jahat perlu dikecam dan ditolak oleh semua pihak demi perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Saya menyambut baik kehadiran hampir keseluruhan pimpinan PDRM pagi tadi yang hadir bersama saya, dan menggesa agar pemantauan dilakukan bukan sahaja di sekitar Masjid At-Tirmizi tetapi juga semua masjid-masjid serta rumah ibadat lain yang berdekatan. Siasatan terperinci wajib dilakukan oleh PDRM, dan menjadi harapan saya agar tumpuan dirubah daripada memantau ahli politik pembangkang kepada provokator-provokator jahat sebenar yang bertanggungjawab dalam serangan-serangan sebegini.

Saya juga menggesa Kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kesemua serangan jahat terhadap rumah ibadat yang dilakukan untuk menggugat kesejahteraan dan keharmonian awam. Kita berhadapan dengan kemungkinan adanya dalang di sebalik serangan-serangan ini yang memaksa sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dan meneliti sebarang kemungkinan siapa pelaku serta penyebabnya.

Saya ingin menyeru semua pihak terutamanya rakyat Lembah Pantai agar bertenang dan bersabar dengan apa yang berlaku. Kita harus sentiasa bersatu hati dan saling percaya mempercayai antara sama lain demi memelihara ukhwah antara kaum. Saya akan turut serta dalam majlis kuliah Marghrib malam ini bertempat di Masjid At-Tirmizi untuk bersama dalam usaha memelihara ketenangan sesama kita. Sama-samalah kita berdoa untuk perlindungan dari Yang Maha Esa.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
27 Januari 2010