20 Jan 2010

Tindakan Berpilih SPRM DiKecam

Masyarakat dari segenap lapisan hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang telah melakukan tangkapan ke atas 34 orang serta serbuan ke atas pejabat Exco kerajaan negeri Selangor, Yaakob Safari hari ini.

"Kenapa beriya-iya benar jadikan kerajaan PR Selangor sebagai sasaran? Ketara benar SPRM melakukan siasatan berpilih," tegas seorang aktivis PR.

"Apa yang mereka lakukan nampak sangat diskriminasi dan tidak professional. Kes Khir Toyo yang SPRM terima berpuluh dan beratus laporan dan aduan, mengapa sampai sekarang tiada pendakwaan?" tambahnya lagi.

SPRM hari ini telah menahan Hussein Ahmad, setiausaha peribadi exco Selangor, Yaakop Sapari atas dakwaan rasuah berhubung lawatannya ke China yang dipercayai dibiayai oleh sebuah syarikat melombong pasir.

Premraj Victor yang mengetuai lima anggota pasukan SPRM berkata mereka menahan Hussein untuk disoal siasat setelah menerima tiga laporan mengenai lawatannya ke Yiwu, China pada bulan November 2009.

Ketiga-tiga laporan yang berbeza itu ialah urusniaga perlombongan yang diluluskan oleh Hussein, lawatannya ke Yiwu, China dan lawatan lain ke Beijing.

“Lawatan Hussein ke Yiwu, China dibayar oleh kerajaan negeri. Saya boleh sahkan kita mempunyai dokumen yang cukup untuk membuktikannya,” kata Yaakop, Ahli Dewan Selangor Kota Anggerik itu.

Yaakop mendakwa SPRM sengaja mengambil tindakan ini bagi memalukan
pejabat pentadbirannya.

Salim Bashir, peguam yang mewakili kerajaan negeri berkata Hussein ditahan di bawah Akta SPRM 2009 dan mempunyai waran tangkap.

Beliau berkata, “Hussein telah dibawa oleh lima pegawai ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya jam 11.15 pagi tadi untuk disoal siasat.

Mereka menahan Hussein dan merampas beberapa dokumen berhubung urusniaga perlombongan pasir.

“Mereka dijangka merakamkan kenyataan beliau dan membawanya ke mahkamah di Kajang, esok,” terang beliau.

Kekecohan berlaku jam 3.30 petang tadi dekat lif untuk turun ke lobi bangunan SUK apabila pegawai-pegawai SPRM enggan memberi nama dan nombor pengenalan mereka kepada pegawai bangunan.

Sebelum itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi amaran kepada SRPM supaya mengikut prosedur temuduga dan menekankan bahawa ianya hendaklah dilakukan pada waktu pejabat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan khidmat peguam kepada Hussein.


Malaysia Sebagai "Missing Country"

Malaysia kini boleh digelar sebagai 'Missing Country' kerana banyak kejadian aneh dan kehilangan misteri yang berlaku belakangan ini.

"Kes Teoh Beng Hock misalnya, biarpun mendiang Teoh dijumpai mati di pejabat SPRM Selangor, namun mati-mati pihak terbabit menyatakan mereka tidak bertanggungjawab ke atas insiden tersebut.

"Malah segala bukti dihilangkan begitu saja dan banyak fakta yang tidak masuk akal didedahkan kepada umum," kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dalam konvensyen PKR Pahang 2010 yang diadakan baru-baru ini.

Menurut beliau, kehilangan terus berlaku selepas itu dalam kes Altantuya apabila rekod perjalanan masuk wanita Monggolia itu ke negara ini telah hilang dan akhirnya wanita itu sendiri dihilangkan menggunakan letupan bom C4.

Terbaru, katanya, negara turut digemparkan dengan kehilangan enjin pesawat jet pejuang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bernilai jutaan ringgit.

Tambah beliau, kehilangan yang berlaku ini mengesahkan lagi kepada rakyat bahawa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sememangnya sudah tidak boleh dipercayai lagi.

"Mereka katanya bukan sahaja menghilangkan semua barang bukti kes-kes tertentu, malah turut gemar menghilangkan wang rakyat dan harta negara sesuka hati mereka," katanya.

Terdahulu, PKR telah menganjurkan Konvensyen PKR Pahang 2010 untuk membuat perubahan besar menjelang pilihan raya umum akan datang. Seramai 920 perwakilan dari cabang-cabang PKR seluruh negeri Pahang telah mengambil bahagian dalam konvensyen ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyampaikan ucaptamanya. Hadir dalam konvensyen ini, Ahli Parlimen (MP) Kuantan, Fauziah Salleh, MP Indera Mahkota, Azan Ismail, Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Zakaria Hamid, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu, Tuan Haji Abdul Rahman Yusof serta pemimpin peringkat negeri lain. -erapakatan



Terkini Selangor, Hussein Ahmad Dibawa Ke Pejabat SPRM

Hussein Ahmad, pegawai khas dan setiausaha kerja exco kerajaan negeri Selangor, Yaakob Safari, telah ke ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Difahamkan SPRM telah berjaya mendapatkan waran untuk menahan Hussein untuk siasatan lanjut.

Yaakob dan penasihat undang-undang negeri, Salim Bashir, turut mengikut Hussein ke Putrajaya.

Yaakob memberitahu pemberita bahawa SPRM menyiasat dua perkara, iaitu kelulusan penjualan pasir dan lawatan beliau ke negeri China November lalu.

Katanya, pegawai SPRM itu mengambil tiga dokumen, iaitu profail syarikat berkaitan dengan penjualan pasir dan dokumen kedua lawatannya ke Hang Zhou dan Yiew (November) dan lawatannya ke Beijing minggu lalu. Hussein turut mengikuti lawatan ke China itu.

Yaakob menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai satu langkah yang sengaja untuk memalukannya.

Tiga exco kerajaan negeri yang lain turut berada di pejabat Yaakob. Mereka ialah Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.

Sementara itu di dalam satu kenyataan petang ini, SPRM menyatakan bahawa pegawai merekat telah menahan 34 orang, termasuk masing-masing seorang pegawai khas dan setiausaha sulit ahli politik berhubung sindiket mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri serta rasuah seks.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata kes mencuri dan menyeludupan pasir itu membabitkan suapan lebih RM280,000 manakala rasuah seks membabitkan tiga kes.

"Wang tunai RM50,000 turut dirampas selain dokumen dalam beberapa siri operasi tangkapan semalam dan hari ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, petang ini.

Ulasan GB

Nama Shukri Abdull ini memang masyur. Beliau kini ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Semasa kes Teoh Beng Hock ditemui mati di Plaza Masalam, Shukri adalah Pengarah Siasatan SPRM yang telah membuat kenyataan paling awal mengenai kematian Teoh Beng Hock. Beliau membuat pengumuman pada ketika itu bahawa Teoh mungkin mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan.

Inkues kematian Teoh masih berjalan dan ahli patologi forensik dan Pengarah, Institut Pusat Sains Forensik, Kementerian Keadilan, Bangkok.Dr Pornthrip mencuri perhatian umum, apabila ketika memberi keterangan forensik beliau bagi pihak kerajaan Selangor pada inkues kematian Teoh Beng Hock berpendapat bahawa kebarangkalian 80 peratus kematian Setiausha Politik itu adalah bersifat homisid (pembunuhan).

Beliau memberi alasan terdapat kesan tanda bulat di leher Teoh dipercayai dicekik, retakan pada tengkorak mendiang bukan akibat terjatuh dan kecederaan pada dubur Teoh juga akibat dicucuk dengan objek sebelum terjatuh.

Maruah SPRM sebenarnya telah lama rosak tetapi sikap dan pegawai tinggi SPRM tidak berubah. Persepsi masyarakat bahawa SPRM menjalankan tugasnya secara tidak profession, melakukan siasatan berpilih dan berindak sebagai kuda tunggangan pihak tertentu nampaknya belum terhakis.

SPRM Serbu Pejabat Exco Selangor Tanpa Waran

Leave no stone unturned. seolah-olah begitulah keadaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap kerajaan Pakatan rakyat Selangor.

Hari ini, Pegawai SPRM menyerbu pejabat exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari (gambar) di Shah Alam tengah hari ini.

Dipercayai pegawai SPRM telah mengarahkan seorang pembantu exco tersebut, yang dikenali sebagai Hussein Ahmad, datang ke pejabat SPRM Selangor untuk disoalsiasat.

Yaakob adalah pengerusi pengurusan sumber alam dan pembangunan ssahawan negeri.

Pegawai Khas Exco, Hussein Ahmad berkata lima pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya diketuai Superitenden Prem Raj Victor menyerbu pejabat tersebut ketika Yaakob sedang menghadiri mesyuarat Exco.

SPRM diberitakan mahu membawa Hussein ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk disoalsiasat.

Bagaimanapun tindakan itu dihalang pihak Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menyatakan SPRM hanya boleh menyoal siasat Hussein di dalam bangunan SUK pada waktu pejabat.

SUK menyatakan pendirian itu melaui peguamnya Salem Bashir.

Difahamkan SPRM menyerbu pejabat Yaakob tanpa sebarang notis atau waran tangkap bagi mendapatkan dokumen berhubung isu pasir.

Difahamkan insiden ini ekoran pertelingkahan tentang pengurusan syarikat kaitan kerajaan, kumpulan Semesta yang menguruskan penjualan pasir.

Sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor, didakwa banyak kes kecurian pasir.

Oleh itu, ia diserahkan kepada Kumpulan Semesta untuk mengendalikannya dan ia terletak dalam bidangkuasa Yaakob selaku yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut.

Ulasan GB

Nampaknya amanat agenda Najib unuk menawan Selangor masih dipegang setia oleh SPRM. Seorang demi seorang exco disiasat walaupun dengan aduan sekcil mana sekalipun dilakukan terhadap wakil rakyat dari PR Selangor.

Masalah yang diwarisi dari kerajaan UMNO BN yang dahulu pun akan dilekatkan kepada ADUN/exco PR.

Persoalan yang perlu diberikan perhatian di sini ialah tatacara serbuan dilakukan. Tindakan serbuan tanpa sebarang notis atau waran hendaklah dihentikan segera. Ia merupakan satu kaedah yang tidak betul malah satu pncerobohan (trespassing) dan SPRM perlu diheret ke mahkamah lantarannya.

Thanenthiran Melenting Apabila Sudah Terpelanting

R.S.Thanenthiran hari ini mempertikai tindakan memecat beliau dari parti Makkal Sakti kerana menurutnya semua 14 anggota jawatankuasa pusat yang bermesyuarat sepanjang ketiadaannya itu membuat keputusan yang bercanggah dengan undang-undang parti.

Menurutnya beliau masih presiden parti yang sah dari segi perundangan.

Beliau berkata sebelum pemergiannya ke India kira-kira dua minggu lalu, parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada anggota jawatankuasa pusat berkenaan mengenai mesyuarat haram yang diadakan pada 19 Disember lepas, namun mereka gagal untuk memberikan jawapan balas.

"Oleh itu secara automatik mereka tidak lagi menjadi anggota parti Makkal Sakti yang sah, kerana dalam tempoh tujuh hari yang diberikan untuk menjawab surat tunjuk sebab itu, tiada jawapan yang diterima.

"Apabila mereka tahu hal ini mereka (kemudiannya) ambil tindakan di luar undang-undang parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan lepas.

Ahad lepas kumpulan yang diketuai timbalan presiden parti A. Vathemoorthy mengambil keputusan "memecat" Thanenthiran selepas beliau dikatakan gagal memberikan respons terhadap beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Keputusan memecat Thanenthiran itu dibuat oleh 14 daripada 27 anggota jawatankuasan pusat Parti Makkal Sakti, parti yang ditubuhkan pada Mei lepas dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober itu.

Sementara itu Thanenthiran berkata, pemberian surat tunjuk sebab kepada 14 anggota jawatankuasa pusat itu sudah dimaklumkan kepada pejabat pendaftaran pertubuhan (ROS).

Katanya satu pertemuan khas akan diadakan di Kuala Lumpur Jumaat ini khusus bagi menyerahkan surat pemecatan jawatan kepada 14 anggota jawatankuasa pusat yang terbabit dalam usaha penyingkirannya dari parti itu.

"Parti ini mungkin masih baru lagi tetapi saya bukan baru dalam senario politik, saya masih berupaya untuk menyelesaikan segala masalah dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Thanenthiran juga menjelaskan bahawa pemergiannya ke India bukan dengan niat untuk melarikan diri dari masalah yang berbangkit, sebaliknya ia adalah acara tahunan beliau.

"Ini adalah tahun ke-15 saya menghadiri upacara sembahyang di India, saya berdiam diri bukan kerana lemah atau hendak larikan diri," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Penubuhan Makkal Sakhti direstui PM, Datuk Seri Mohd Najib, dengan tujuan untuk menarik semula sokongan rakyat kaum India kepada BN setelah MIC dan PPP ditolak oleh rakyat pada PRU yang lalu.

Kita tak tahu berapa banyak wang yang dibelanjakan Najib bagi penubuhan parti India ketiga ini.

Tetapi hukum universal tidak dapat disangkal, penubuhan dengan tujuan dan cara yang tidak baik akan akhirnya berkecai. Sama seperti kerajaan BN di Perak. Kerajaan yang ditegakkan bukan dengan pilihan rakyat tidak akan berkekalan.


TDM : Shaziman Berbohong Tentang Jumlah Pasir Silika Ke Singapura

Tun Dr. Mahathir Mohamad beranggapan bahawa ada pihak yang tidak bercakap benar apabila sebanyak 700 lori dengan muatan pasir silika didapati keluar dari Johor ke Singapura setiap hari.

Bekas Perdana Menteri berkata, walaupun Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu terdapat 500 lori membawa pasir itu ke seberang Tambak Johor setiap hari tetapi jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.

"Saya ingat kita dah hentikan penjualan tanah kita kepada Singapura.

"Seorang teman memberitahu saya bukan 500 lori tetapi 700 buah. Itu jumlah yang banyak," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini.

Beliau mengulas kenyataan Shaziman pada November lalu yang menyebut sebanyak 700 buah lori bertolak dari Singapura ke Malaysia melalui Tambak Johor setiap hari, manakala sejumlah 1,000 buah lori menggunakan laluan sama dari Malaysia ke Singapura.

Shaziman menambah, lebih kurang 500 buah lori ke Singapura membawa pasir.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, republik itu memerlukan pasir silika untuk menghasilkan mikrocip.

Secara sinis beliau menambah: "Saya tidak tahu berapa banyak pasir yang digunakan untuk membuat mikrocip yang sekecil itu. Mesti banyak sekiranya mereka perlukan 700 lori pasir sehari."

Beliau berkata, pulangan dengan menjual bahan mentah tidak menguntungkan dan kerana itu adalah lebih baik bagi negara ini memproses bahan mentah terbabit supaya ada nilai tambahan.

"Tidaklah begitu sukar untuk menghasilkan silika dari pasir silika. Saya rasa kilang kaca ada melakukannya sepanjang masa. Dan kita ada kilang kaca di Malaysia.

"Kenapa kita tidak hasilkan wafer silikon dan menjualnya kepada Singapura," ujarnya. -mstar

Ulasan GB

Bidsan Tun Dr Mahathir terhadap kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor tidak patut dipandang sepi oleh kerajaan.

Ia melibatkan satu penipuan serius kepada rakyat Malaysia selain dari menutup fakta sebenar. Ia juga seperti seolah-olah melindungi satu kegiatan urusniaga yang tidak telus beberapa pihak yang jelas diberikan perlindungan oleh kementerian kerja raya.

Siasatan perlu dilakukan. Siapakah yang memainkan peranan penjualan pasir yang begitu besar kepada Singapura? Dari manakah pasir itu dilombong? Siapa pengaut keuntungan sebenar? Berapakah nilai pasir yang dijual setiap hari dan berapa banyakkah yang telah dikaut dari urusniaga itu?


Penembak Suwandi dan Azman Mengaku Tak Pernah Solat

Saya tidak pernah solat!" Itulah antara jawapan yang diberikan oleh Lans Koperal Wan Aziz Wan Omar (Gambar) antara saksi utama Tragedi Berdarah Batu Buruk, semalam.

Wan Aziz Wan Omar adalah anggota polis berpangkat Konstabel ketika itu yang melepaskan tembakan dan mengenai Suwandi dan Azman yang sedang dibicarakan. Sebelum itu Wan Aziz menjawab pertanyaan peguambela yang bertanyakan apakah dia tidak bersolat Maghrib memandangkan dia berada di tempat kejadian sejak petang.

Wan Aziz juga membuat pengakuan bahawa dia seorang peminum arak. Bagaimanapun dia mengaku melakukan perbuatan tersebut diluar waktu bertugas.

Dalam tragedi 2 tahun lalu itu, Suwandi mendakwa beliau telah ditembak secara berdepan oleh Wan Aziz, yang berlari dan kemudian berpusing untuk melepaskan tembakan kearahnya. Bagaimanapun, Wan Aziz mendakwa, beliau terjatuh dan ketika itu melepaskan tembakan.

Menurut salah seorang pasukan peguambela Mohd Kamaruzaman Wahab, beliau yakin kes ini dapat dimenangi nanti, insyaAllah. -amdang81

Ulasan GB

Begitu kisahnya. Seorang anggota polis secara terang-terangan mengaku dia tidak pernah mendirikan solat, kemudian mengaku bahawa dia seorang peminum arak, sekalipun di luar waktu bertugas. Pun ada manusia "Islam" sebegini di kalangan penjawat awam.

Allah berfirman:

Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. QS. Hud (11)

Sedangkan solat itu pencegah perkara-perkara kejahatan. Maka apabila solat ditinggalkan, kejahatan di dalam diri orang yang mengaku Islam terus-terusan menebal dan akhirnya ia menmbentuk satu "aura" yang membuakkan kejahatan diri itu keluar dari dirinya merosakkan orang lain.

Oleh kerana yang demikian Rasulullah s.a.w beersabda dalam sepotong hadis :

الصلاة عماد الدين فمن أقامها فقد أقام الدين ومن هدمها فقد هدم الدين

Ertinya : solat merupakan tiang agama, barang siapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama, dan barang siapa yang telah meruntuhkannya / meninggalakannya maka dia telah meruntuhkan agamanya.

Solat juga diumpamakan seperti sebuah kepala daripada sebuah jasad. Perumpamaan ini juga daripada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh imam attabrani dalam masnadnya daripada saidina Umar bin Alkhattab r.a yang berbunyi :

(لا امان لمن لا امانة له ولا صلاة لمن لا طهور له ولا دين لمن لا صلاة له انما موضع الصلاة من الدين كموضع الراس من الجسم )

Ertinya : Tdak ada aman( perjanjian aman ) bagi mereka yang tiada aman baginya, tiada solat bagi sesiapa yang tiada kesucian baginya, tiada agama bagi sesiapa yang tiada menunaikan solat, sesungguhnya kedudukan solat daripada agama seperti kepala daripada sebuah jasad.

Selain itu solat juga merupakan perkara pertama yang dihisab pada hari kiamat nanti hari yang tiada manfaat harta atau kekuatan kecuali yang datang menemui Allah dengan hai yang suci bersih. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Anas :

أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة الصلاة، فإن صلحت صلح سائر عمله، وإن فسدت فسد سائر عمله‏.

Ertinya : perkara pertama yang akan dihitung dengan akan seseorang hamba itu ketika hari kiamat ialah solat, jikalau ianya baik maka baiklah seluruh amalannya, jikalau rosak maka rosaklah seluruh amalannya.

Orang Islam, baik macamana sekalipun prangainya, tinggi macamana pelajarannya pun, hebat macamana kedudukan sekalipun, gagah macamana pun tubuh badannya, tidak bermaknalah segalanya itu apabila meninggalkan solat.

Perkara utama yang perlu diutamakan apabila PR memerintah di dalam pemilihan penjawat awam dari kalangan orang Islam ialah untuk mempastikan calon-calon penjawat awam itu mendirikan solatnya sepertimana yang pernah dikemukakan oleh Mursyidul Am PAS, TG Nik Abdul Aziz di Kelantan.


Nik Aziz cadang pengambilan pemimpin, kakitangan awam penuhi solat lima waktu

Menteri besar Kelantan bercadang membawa usul untuk mewajibkan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai syarat wajib pengambilan bekerja bagi pemimpin semua peringkat, termasuk ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata syarat menunaikan solat itu akan dicadangkan sebagai satu kemestian dalam memegang jawatan seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, lapor Bernama.

“Saya akan mencadangkan di dalam dewan (undangan negeri Kelantan) sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

“Syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak mereka supaya menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral,”
beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita semasa sidang dewan itu berhenti rehat, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas soalan lisan wakil rakyat Demit, Muhamad Mustafa mengenai langkah kerajaan negeri bagi mengatasi gejala meninggalkan solat khususnya solat Jumaat dan sejauh mana penguatkuasaan undang-undang terhadap isu itu.

Nik Aziz berkata mereka yang tidak menunaikan rukun itu mempunyai masalah di dalam hati, iaitu kelemahan di dalam nilai akhlak dan moral.

“Mereka yang tidak menunaikan sembahyang itu menunjukkan bahawa mereka sudah tidak takut kepada Tuhan, Tuhan yang maha berkuasa, apatah lagi kepada manusia, yang sememangnya kurang berkuasa. Mesti mereka ini tidak takut dan berani berbuat apa saja,” katanya. - BERNAMA Jul 8, 2008



Kemelut YBK Selangor, Khir Toyo Cuba Selindungkan Sesuatu

Kerajaan Negeri Selangor menuntut Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendedahkan maklumat mengenai semua bantuan yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Selangor sejak penubuhan yayasan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana laporan kewangan YBK seperti yang dipaparkan dalam laman sesawang rasminya gagal memberi maklumat penuh berhubung harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

"Kita sedia maklum laporan kewangan yang dipaparkan dalam laman sesawang mereka. Tapi laporan kewangan itu tidak memberi maklumat terperinci tentang harta dan wang yang diberikan kerajaan negeri Selangor. Sebab itulah kita kata perlunya yayasan itu membuat analisa dan penyataan semula," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laporan kewangan yang dipaparkan itu menyebut berkaitan tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar).

"Tanah itu adalah pemberian yang besar nilainya, tetapi tidak ada dalam laporan kewangan. Ini baru satu contoh. Jadi, kita harap YBK akan lebih telus dan memberikan maklumat yang sepenuhnya," tambah beliau lagi.

Khalid memberitahu, YBK gagal membayar walaupun satu sen untuk premium sejak 2001 lagi selain gagal mengambil sebarang usaha untuk membuat pembayaran.

Beliau berkata, yayasan itu hanya berhubung dengan Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat permohonan untuk menukar status tanah itu dari pertanian kepada pengunaan komersil dan jika permohonan penukaran status tanah itu dibuat, ia akan bernilai lebih kurang RM540 juta (dikira pada RM10 perkaki persegi).

"Untuk tanah yang begitu besar nilainya sudah tentulah kerajaan negeri prihatin mengenai hal bagaimana ia diurus tadbir. Mungkin kerajaan dahulu tidak mahu mengambil tahu, tapi Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu itu kerana 'kami bertanggungjawab ke atas setiap sen wang rakyat'," ujarnya.

Sehubungan itu, sebagai pemegang amanah harta rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja perlu telus dan bertanggungjawab, tetapi juga memastikan semua keputusan dan tindakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat selari dengan dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Khalid turut mengulangi keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan satu laporan terperinci berhubung harta dan wang yang diberikan kepada YBK pada tahun sebelum ini.

"Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah memohon kepada YBK supaya melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi YBK manakala ahli Exco Kebajikan dan dua lagi wakil kerajaan negeri itu dilantik sebagai ahli lembaga penasihat . Namun demikian YBK telah menolak permohonan tersebut,” kata kenyataan itu lagi yang turut disiarkan di laman rasmi Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -erapakatan


'S'gor tidak boleh campur tangan dalam YBK'

Kerajaan Selangor tidak boleh mencampuri urusan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana ia bukan di bawah kerajaan negeri itu, tetapi didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Di bawah pentadbiran saya dahulu, saya bekerjasama dengan YBK. Ia didaftar dengan ROS dan aktivitinya dikawal oleh lembaga pemegang amanahnya," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Khir menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Selangor yang mahukan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan pengerusi YBK.

Selain itu, dilaporkan, kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikan mereka memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK.

Bagaimanapun, pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata, ia bermakna kerajaan Selangor mahukan jawatan empat daripada enam ahli pemegang amanah yayasan tersebut.

Bagaimanapun, Zainal Abidin dilaporkan berkata YBK tidak akan tunduk kepada ugutan kerajaan negeri itu yang ingin menyekat segala kegiatannya jika tidak mematuhi syarat tersebut.

Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengugut YBK.

"Menggunakan kuasa untuk mengugut, memberi imej yang tidak baik (kepada kerajaan negeri). Kita tidak bersetuju dan sepatutnya (kerajaan negeri) bekerjasama dengan mereka.

"Meletakkan kata dua (kepada YBK) adalah satu tindakan yang tidak betul," katanya lagi.

Sepatutnya, kata Dr Mohd Khir, kerajaan negeri membantu pelaksaaan program-program YBK dan bukannya mengugut yayasan tersebut.

Beliau sebaliknya mendakwa, hasrat kerajaan neger itu untuk campur tangan dalam perjalanan YBK, dilihat sebagai satu usaha untuk "mengambil kesempatan" untuk kepentingan politik mereka.

YBK ditubuhkan oleh bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika negeri itu diperintah oleh BN.

Pada 11 Januari lalu, sebuah NGO - Bersih Bangun Selagor (BEBAS) - telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Khalid berhubung projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengerusi BEBAS, Mohd Abdul Raof Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan YBK melantik Khalid sebagbai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mohd Abdul Raof dilaporkan mendakwa ianya mengandungi unsur ugutan terhadap YBK dan meminta SPRM menyiasatnya.

YBK yang ditubuhkan 20 tahun lalu, bercadang membangunkan kawasan seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang. Tanah tersebut adalah milik YBK yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar tahun 1995 -malaysiakini


Ulasan GB

Sekarang kit baru faham mengapa Khir Toyo beriya-iya mempertahankan YBK dan mengkritik campurtangan Kerajaan Selangor di dalam perjalanan urusan yayasan berkenaan.

Ini kerana ada muslihat tertentu di mana banyak penyelewengan berlaku di dalam YBK sebelum Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan negeri Selangor.