20 Jan 2010

Thanenthiran Melenting Apabila Sudah Terpelanting

R.S.Thanenthiran hari ini mempertikai tindakan memecat beliau dari parti Makkal Sakti kerana menurutnya semua 14 anggota jawatankuasa pusat yang bermesyuarat sepanjang ketiadaannya itu membuat keputusan yang bercanggah dengan undang-undang parti.

Menurutnya beliau masih presiden parti yang sah dari segi perundangan.

Beliau berkata sebelum pemergiannya ke India kira-kira dua minggu lalu, parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada anggota jawatankuasa pusat berkenaan mengenai mesyuarat haram yang diadakan pada 19 Disember lepas, namun mereka gagal untuk memberikan jawapan balas.

"Oleh itu secara automatik mereka tidak lagi menjadi anggota parti Makkal Sakti yang sah, kerana dalam tempoh tujuh hari yang diberikan untuk menjawab surat tunjuk sebab itu, tiada jawapan yang diterima.

"Apabila mereka tahu hal ini mereka (kemudiannya) ambil tindakan di luar undang-undang parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan lepas.

Ahad lepas kumpulan yang diketuai timbalan presiden parti A. Vathemoorthy mengambil keputusan "memecat" Thanenthiran selepas beliau dikatakan gagal memberikan respons terhadap beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Keputusan memecat Thanenthiran itu dibuat oleh 14 daripada 27 anggota jawatankuasan pusat Parti Makkal Sakti, parti yang ditubuhkan pada Mei lepas dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober itu.

Sementara itu Thanenthiran berkata, pemberian surat tunjuk sebab kepada 14 anggota jawatankuasa pusat itu sudah dimaklumkan kepada pejabat pendaftaran pertubuhan (ROS).

Katanya satu pertemuan khas akan diadakan di Kuala Lumpur Jumaat ini khusus bagi menyerahkan surat pemecatan jawatan kepada 14 anggota jawatankuasa pusat yang terbabit dalam usaha penyingkirannya dari parti itu.

"Parti ini mungkin masih baru lagi tetapi saya bukan baru dalam senario politik, saya masih berupaya untuk menyelesaikan segala masalah dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Thanenthiran juga menjelaskan bahawa pemergiannya ke India bukan dengan niat untuk melarikan diri dari masalah yang berbangkit, sebaliknya ia adalah acara tahunan beliau.

"Ini adalah tahun ke-15 saya menghadiri upacara sembahyang di India, saya berdiam diri bukan kerana lemah atau hendak larikan diri," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Penubuhan Makkal Sakhti direstui PM, Datuk Seri Mohd Najib, dengan tujuan untuk menarik semula sokongan rakyat kaum India kepada BN setelah MIC dan PPP ditolak oleh rakyat pada PRU yang lalu.

Kita tak tahu berapa banyak wang yang dibelanjakan Najib bagi penubuhan parti India ketiga ini.

Tetapi hukum universal tidak dapat disangkal, penubuhan dengan tujuan dan cara yang tidak baik akan akhirnya berkecai. Sama seperti kerajaan BN di Perak. Kerajaan yang ditegakkan bukan dengan pilihan rakyat tidak akan berkekalan.


2 ulasan:

  1. Tu dia....!! Baru nak belayar tiba-tiba bahtera yang mahal tu dah bocor! Berentilah kerja sia-sia ni oi!!!

    BalasPadam
  2. Mereka sedang berebut wang yang baru turun dari langit. Mungkin ada wang yang belum turun lagi.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.