14 Jan 2010

Kalimah Allah Atau Hukum Allah Yang Merupakan Soal Akidah?

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar berhenti daripada mempertikai keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

Jais turut menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi (gambar) berkata Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.

“Seharusnya sebagai Ahli Parlimen yang duduk di Shah Alam, beliau sepatutnya berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Selangor beliau perlu hormati dan patuhi titah Sultan.

“Benda ini bukan boleh dipermain-mainkan kerana ia melibatkan soal akidah dan sepatutnya orang Islam hormati keputusan yang sudah dibuat ini,” kata beliau yang menghadiri Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2009 di sini hari ini.

Beliau turut menafikan kenyataan yang mengaitkan Jais dengan Umno.

“Saya tidak faham ada orang tuduh kita (Jais) ini Umno, kita buat kerja berdasarkan undang-undang yang telah dikuatkuasakan di Selangor dan ia bukannya dibuat oleh saya.

“Walaupun ia dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi ia mendapat perkenan daripada Sultan Selangor. Seharusnya beliau atau sesiapa sahaja perlu hormati undang-undang ini.

“Sehubungan itu saya menafikan sekali lagi dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen itu dan kita harap selepas ini tidak ada lagi individu, ahli politik atau sesiapa sahaja di negeri ini yang akan mempertikaikan perkara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khalid yang menyarankan supaya Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Gesaan itu dibuat susulan daripada kegagalan kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Negeri Shah Alam Jumaat lalu.

Mohamed Khusrin berkata, keputusan berkaitan kalimah Allah adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan itu.

Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan mana-mana orang yang bertindak melanggar, mengingkari atau menghina kuasa yang sah atau mempertikaikan arahan atau melanggar keputusan Mais atau mufti adalah satu kesalahan.

“Isu ini adalah soal akidah bukannya soal politik yang didakwa oleh pihak terbabit.

“Ia bukan keputusan politik tetapi keputusan Mais kerana ia melibatkan kepentingan orang Islam di negara ini.

“Keputusan itu juga dibuat berdasarkan kajian serta penyelidikan yang kita buat dan mesyuarat yang kita buat sebelum ini sebulat suara melarang penggunaan kalimah Allah pada majalah tersebut,” katanya.

Ulasan GB

Soal penggunaan kalimah Allah bukan soal aqidah, tetapi menolak hukum Allah itu adalah soal aqidah.

Orang boleh menyeru Allah dengan nama-nama lain selain dari Allah. Tetapi orang tidak boleh menerima pakai hukum-hukum lain selain dari hukum Allah. Nas mengenainya adalah TERANG dan JELAS.

Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaulhusna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu" - (Al-Quran.Surah Al Israa': 110)

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)

Budak Mengaku Serang Gereja Dalam Facebook: Polis Dipermainkan Atau Mempermainkan?

Tindakan polis membebaskan individu yang mengaku dalam Facebooknya bahawa beliau menyerang gereja, tidak masuk akal, dan boleh dipermain-mainkan, demikian menurut Naib Presiden PAS, Datuk Haji Mahfuz Omar dalam suatu kenyataannya di sini, hari ini.

Hal ini kerana, menurutnya, pasukan polis dilihat tidak melakukan penelitian yang rapi terlebih dahulu sedangkan suspek penyerang yang didakwa sudah pun dikenalpasti oleh pihak polis sebelum ini masih bebas dan belum ditangkap.

"Setahu saya, mana ada orang nak mengaku bahawa dia yang bakar? Bawa pertuduhan itu ke mahkamah pun tak ada yang nak mengaku. Tiba-tiba polis boleh tangkap seseorang yang mengaku dalam Facebooknya bahawa dia yang buat (serang gereja).

"Kemudian polis bebaskan apabila budak tersebut menyatakan bahawa dia saja main-main," kata Mahfuz.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, hal ini menunjukkan bahawa polis terlalu lemah dan terlalu percaya apabila individu yang ditahan itu membuat pengakuan bahawa dialah yang telah melakukan serangan ke atas gereja sebelum ini.

"Polis yang saya sebutkan di atas sepatutnya buatlah pertemuan berjumpa dengan budak itu di rumahnya, tanya dahulu baru buat keputusan nak tangkap atau tidak. Ini terus tangkap bawa ke balai polis. Ini yang orang ramai persoalkan kebijaksanaan polis, sekejap kena siasat dan teliti dulu, kejap terus tangkap," tambah beliau lagi.

Mahfuz berkata, kejadian ini menunjukkan dengan jelas bahawa polis boleh dipermainkan dan ditipu oleh sesorang.

"Kalau pelajar kolej swasta pun boleh menipu dan mempermainkan polis, sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan polis untuk kepentingan politik Umno yang tersepit.

"Jangan-jangan, kes serangan gereja akan jadi seperti kes enjin jet hilang. Setahun empat bulan polis ambil masa untuk siasat baru dapat tangkap dan dakwa. Itu pun sarjan dan prebet 'cabuk' sahaja. Pegawai atasan terlepas, pihak yang lagi atas (pegawai tertinggi) hilang terbang bersama enjin jet," kata Mahfuz.

Semalam, akhbar arus perdana melaporkan polis telah menahan seorang pelajar kolej swasta, selepas beliau mengaku melakukan serangan ke atas gereja di dalam Facebooknya. Pelajar itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, kerana pengakuan tersebut sekadar 'gurauan' bersama rakan-rakannya.

Ulasan GB

GB tak nampak polis dipermainkan, yang GB nampak polis mempermainkan rakyat dengan hebahan sedemikian.

SPRM Tak Perlu Berselindung

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan akta bagi menyekat pendedahan laporan siasatan kes rasuah yang dibuat ke atas badan tersebut akan mencalarkan lagi imejnya yang kini semakin diragui rakyat.

"Tindakan ini tidak baik kerana rakyat berhak mengetahui lanjutan daripada siasatan itu. Kenyataan ini memberi ruang kepada umum untuk berfikir bahawa, ada perkara yang cuba dan mahu disembunyikan SPRM," kata Ahli Parlimen (MP) Balik Pulau, Yusmadi Yusof ketika dihubungi Era Pakatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Hanipa Maidin, ketika dihubungi berkata, SPRM tidak perlu melihat isu ini sebagai masalah kerana secara prinsipnya, rakyat berhak mengetahui perjalanan siasatan.

"Media dan SPRM masing-masing mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Peranan media penting. Ini kerana, jika media tidak mendedahkan laporan siasatan, sudah tentu rakyat tidak mengetahui tindakan selanjutnya berhubung kes tersebut," kata Hanifah.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, SPRM tidak boleh menutup kes agar siasatan ke atasnya berjalan lancar, dan dengan itu juga rakyat dapat mengetahui perkembangan selanjutnya.

"Di Perak contohnya, banyak laporan berkaitan rasuah. Namun laporan hanya tinggal laporan sahaja. Banyak kes yang tidak ada keputusan. Tindakan menghalang media ini akan menyebabkan lebih banyak kes yang gagal diselesaikan," kata Ngeh lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa semua pihak termasuk media tidak dibenarkan membuat pendedahan mengenai laporan kes rasuah yang dibuat ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai sekarang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mulai sekarang SPRM akan menguatkuasakan Seksyen 29(4) yang melarang pendedahan maklumat berhubung kes siasatan.

Ulasan GB

Lain yang disuruh lain yang dibuat. Rakyat masih menunggu SPRM mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO BN yang telah dilaporkan kepadanya sekian lama.

Apa yang berlaku SPRM melakukan siasatan kes-kes yang hanya melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Selangor.

Tiada Laporan Kewangan Dalam Laporan Tahunan YBK

Kenyataan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom dalam akhbar tempatan hari ini bukan laporan kewangan tahunan.

Sambil membidas laporan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan untuk tontonan awam itu di dalam webnya hanyalah aktiviti tahunan pertubuhan itu.

Katanya lagi, sejak penubuhannya kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang laporan kewangan tahunan.

“Apa yang saya maksudkan bukan YBK ini tiada program dan projek, tapi yang saya katakan belum ada laporan kewangan perakaunan tahunan untuk YBK, itu yang paling penting.

"Untuk pengurusan terbaik mesti ada perakaunan bukan sahaja aktiviti” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri segera membuat kajian menyelesaikan kekusutan ini yang berlarutan sejak sekian lama penubuhannya selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
“Kerajaan negeri tak payah minta. Kami akan buat beberapa kajian dari awal penubuhannya, apa aktiviti yang diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri, dan berapa duit dari kerajaan negeri semua itu akan kita lakukan sebelum akhir bulan ini”, katanya -TVS


Tukar Kerajaan Untuk Pulihkan Ekonomi

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat keyakinan pelabur terhadap pengurusan kewangan negara di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus merosot selagi gabungan itu kekal berkuasa dengan dasar-dasar perkauman dan amalan rasuah serta penyelewengan kuasa terus membelenggui kepimpinannya.

UBS Investment Reseach, sebuah unit di bawah kumpulan perbankan antarabangsa berpusat di Switzerland berkata tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009.

Dalam pada itu pelaburan asing langsung Malaysia terus dilanda kemerosotan bersih sejak 1997.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) berkata keadaan itu berpunca daripada tindakan Umno-BN mempolitikkan seluruh institusi negara seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan badan kehakiman.

"Saya amat sedih melihat keadaan ekonomi Malaysia kini. Negara komunis seperti China pun berjaya membangunkan ekonominya dengan pesat dengan dasar terbuka tetapi malangnya BN telah mempolitikkan keseluruhan ekonomi negara," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu.

Malah Jui Meng menambah keadaan ekonomi negara diburukkan lagi apabila modal domestik juga turut dibawa ke luar negara.

"Kita sebenarnya mengalami "double whammy" (kejatuhan berganda) dan keadaan ini akan terus berlaku selagi BN tidak ditumbangkan dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang telus, terbuka dan bertanggungjawab.

"Hanya dengan cara ini keyakinan pelabur dan rakyat akan kembali pulih," katanya.
Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Ibrahim (gambar) turut menyokong pendapat Jui Meng sambil menambah cara BN menangani isu kalimah Allah sehingga menyebabkan beberapa gereja dibakar dan dirosakkan akan terus menghantui persepsi negatif golongan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

"BN telah memalukan Malaysia. Kerajaan gagal menangani persepsi serta pengaliran maklumat yang betul mengenai sesuatu isu sehingga kini rakyat tidak lagi mempercayai apa yang dikatakan oleh kerajaan," kata bekas presiden Transparency International Malaysia itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat keyakinan pelabur tidak akan pulih di bawah kerajaan BN.

"Laporan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan tidak mahu bersikap telus kepada rakyat berhubung kedudukan sebenar ekonomi negara.

Oleh sebab itu BN membuat pelbagai dasar baru yang membebankan rakyat kerana mereka amat tertekan," kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Antaranya termasuk menaikkan harga gula dan roti putih, mengenakan cukai ke atas kad kredit, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta kemungkinan menaikkan kadar tol dan tarif elektrik.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata laporan UBS itu menguatkan hujah Pakatan Rakyat bahawa satu suruhanjaya perlu diwujudkan untuk menyiasat dakwaan penulis Barry Wain.

Wain dalam bukunya "Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times" mendakwa negara mengalami kerugian atau ketirisan sebanyak RM100 bilion sepanjang pentadbiran mantan perdana menteri itu dan RM270 bilion semasa Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara.

"Apakah wang sebanyak itu diambil daripada rezab negara sehingga ianya hampir kosong?
Tentunya kekhuatiran Pakatan Rakyat mengenai defisit belanjawan yang semakin melebar kini mempunyai asas yang amat kukuh," kata Shamsul Iskandar. -Dzukarnain Taib


RM32 bilion lesap: Buktikan Ku Li tidak benar
Oleh Ahmad Qayyum

TAIPING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa membuktikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM32 bilion dalam urusan matawang asing dalam tempuh enam bulan lepas adalah tidak
benar.

Menurut Ahli Parlimen DAP – Taiping, Nga Kor Ming, (gambar) dalam wawancara bersama akhbar New Straits Times, Singapura, Tengku Razaleigh mendedahkan bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian parah sebanyak RM32 bilion ekoran dari aktiviti spekulasi
matawang asing.

“Seandainya dakwaan tersebut benar, jumlah kerugian adalah lebih kurang sama dengan belanjawan 100 tahun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan impaknya kepada pembangunan ekonomi negara amat besar,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma DAP Perak, di sini pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis berkata, “atas kemungkaran dan kegiatan rasuah yang serius, kini Malaysia terpaksa menanggung ledakan hutang negara mencecah RM363 billion.

“Ini bermakna setiap warganegara terpaksa menanggung hutang sebanyak RM13,446 seorang,” terang beliau.

Menurutnya, sehingga tahun 2009 negara mengalami defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut dan jumlah defisit RM51.1 bilion adalah jumlah paling besar sejak tahun 1984.

Katanya, sekiranya dakwaan Tengku Razaleigh kepada media luar negara tidak dijelaskan, ia akan menjatuhkan imej negara dan menakutkan pelabur-pelabur asing, yang kini jumlahnya semakin merosot.

“Berdasarkan laporan The Financial Times yang bertapak di London dan kajian Bank UBS dari Switzerland menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengalami penarikan pelaburan asing langsung yang paling serius di antara semua negara di benua Asia pada tahun 2009.”

“Dakwaan Tengku Razaleigh adalah satu lagi tamparan hebat kepada pentadbiran kerajaan BN dan merupakan petanda keruntuhan kuasa pemerintahan yang kian lemah,” tegasnya lagi.


Ulasan GB

Tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009 perlu dilihat sebagai satu masalah serius. Pengaliran dana keluar dari Malaysia nampaknya tidak terkawal.

Baru-baru ini Petronas mengumumkan penajaan pasukan Mercedes GP2 dan mengenepikan pasukan Lotus1 kereta Malaysia di atas alasan perniagaan. Mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa ada tanggungjawab sosial dan kenegaraan. Bererti juga pengaliran keluar wang negara secar besar-besaran.

Tidak cukup dengan perembatan royalti minyak Terengganu dan Kelantan untuk pulihkan UMNO yang hampir pupus, Petronas, gergasi minyak negara bakal lingkup.

Lagi Cubaan Lengahkan Kes Qazaf Terhadap Saiful

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan bertindak bersepadu dalam cubaan menghalang Mahkamah Tinggi Syariah daripada mendengar permohonan Anwar Ibrahim bersabit aduan qazaf yang dibuat terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi itu bersidang mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mengarahkan JAWI membawa pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan memastikan tidak ada lagi campurtangan politik daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Namun permohonan itu terpaksa di tunda kepada 17 Febuari selepas peguam-peguam JAWI dan Menteri berkenaan mempersoalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mereka juga menuntut untuk mengetahui sama ada kes itu akan di dengar mengikut Akta Tata Cara Mahkamah Tinggi Syariah 1998.

Turut dipersoalkan ialah status seorang daripada peguam Anwar, Zulkifli Nordin.

Anwar membuat aduan kepada JAWI hampir 18 bulan lalu bahawa Saiful melakukan kesalahan qazaf kerana membuat dakwaan fitnah terhadapnya bersabit pertuduhan liwat.

Namun JAWI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai hal ehwal Islam enggan melayan aduan Anwar itu.

Hakim Mohd Shukor Shabudin memberikan peguam-peguam yang mewakili Pengarah JAWI, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom tempoh untuk menfailkan afidavit berhubung bantahan mereka.

Justeru permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah terbabit akan di dengar semula 17 Februari.

Anwar membuat aduan qazaf terhadap Saiful pada Januari 2009. Mantan Timbalan Perdana Menteri turut mengemukakan laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang mendapati tidak ada bukti klinikal untuk menyokong aduan Saiful bahawa beliau diliwat.

Saiful membuat laporan polis terhadap Anwar beberapa hari selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada Ogos 2008.

Najib dilaporkan pada mulanya menyangkal bertemu dengan Saiful tetapi kemudian mengakui berbuat demikian selepas ia didedahkan di media.

Laporan polis Saiful terus dijadikan senjata utama oleh Umno dalam usaha menundukkan Anwar pada pilihanraya kecil Permatang Pauh namun Anwar tetap menang dengan majoiriti besar dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Penangguhan kes di Mahkamah Syariah hari ini dilihat sebagai usaha untuk melengahkan sistem keadilan Islam.

Tindakan mempersoalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah oleh peguam JAWI dan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai cubaan memastikan perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar dalam Mahkamah Sivil yang dijadualkan bermula 25 Januari ini tidak terjejas.

Menurut penganalisis politik, amat penting untuk memelihara kredibiliti Saiful dalam mahkamah sivil untuk tujuan mensabitkan Anwar atas tuduhan liwat itu di bawah undang-undang sivil.

Justeru pemerintah dilihat mempunyai keperluan mendesak untuk memastikan tuduhan qazaf terhadap Saiful ditangguhkan atau tidak diteruskan sama sekali. -TVS



Akhbar Jangan Manipulasi Fakta - Johari Abdul

Laporan media perlu telus, berfakta dan menjurus kepada akar umbi permasalahan supaya masyarakat tidak terkeliru atau terpengaruh dengan dakyah jahat.

Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata manipulasi dan penipuan maklumat mengundang lebih banyak permasalahan, bahkan menghakis kewibawaan pemerintah di mata masyarakat.

“Akhbar kena bertanggungjawab tidak kira arus perdana atau pun akhbar kecil sekali pun harus bertanggungjawab sebagai penyampai kepada rakyat perlu melaporkan menda yang betul. Jadi tak payah manipulasi berita. Kerana akhirnya maruah dan imej serta kredibiliti akhbar itu juga akan terjejas,” katanya.

Johari berkata demikian mengulas laporan Berita Harian yang mendakwa warta Katolik, The Herald, bersetuju untuk menarik balik tuntutan kalimah Allah.

Laporan akhbar pro-kerajaan itu bagaimanapun tidak tepat, dan disanggah oleh Reverend Lawrence Andrew sendiri yang terkejut dengan manipulasi sebegitu rupa.

Situasa ini seraya menguja persoalan apakah bentuk manipulasi, hasutan atau penipuan yang telah diwar-warkan media arus perdana sepanjang liputan polemik kalimah Allah.

“Walaupun mereka menjadi media pemerintah tetapi harus melaporkan benda yang benar,

Jadi kalau mereka melaporkan benda yang tidak benar, sudah pasti anggapan rakyat, kalau pun tidak berniat memanipulasikan tetapi yang pasti rakyat akan menganggap bahawa tentunya mereka ingin memanipulasikan isu ini," katanya. - FANSURINA ABDULLAH -TVS



Gurdial Anggap Baling Batu Kerja Budak Nakal

Presiden Kuil Sikh Gurdwara Sentul, Gurdial Singh Thoonda menifatkan tindakan membaling batu ke kuil itu tindakan nakal individu tidak bertanggungjawab.

Beliau juga percaya kejadian itu tidak ada kaitan dengan serangan ke atas beberapa gereja sejak Jumaat lepas berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh Majalah The Herald.

“Kita anggap orang main-main. Tidak, bagi kita ianya isu kecil dan kita tidak mahu mainkan isu ini. Kita harap polis dapat menyelesaikannya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui TVSelangor di kuil berkenaan pagi tadi.

Semalam kaca di sebelah pintu masuk kuil tersebut didapati pecah akibat dilempar dengan batu jam 6.40 petang semalam.

Katanya, insiden hanya disedari beberapa sukarelawan yang sedang membersihkan kuil berkenaan, ternampak batu dilempar ke pintu masuk bilik sembahyang kuil tersebut.

“Mereka dengar bunyi batu dibaling, selepas menyiasat pekara itu, mereka menghubngi polis. Kemudiannya mereka memberitahu saya dan saya datang untuk membuat laporan polis.

“Tidak berapa teruk, hanya satu cermin pecah tetapi mereka membaling lebih kurang 20 batu,”katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman yang mengesahkan insiden itu berkata pihaknya telah mengambil sampel batu yang dilemparkan dan siasatan dijalankan. -TVS


Kuil Sikh Di Sentul Dilempar Batu

Kaca di sebelah pintu masuk Kuil Sikh Gurdwara di Jalan Haji Salleh, Sentul di sini didapati pecah akibat dilempar dengan batu pada kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

Ketika insiden itu berlaku, beberapa sukarelawan yang sedang membersihkan kuil berkenaan, ternampak batu dilempar ke pintu masuk bilik sembahyang kuil
tersebut.

Dipercayai, 15 biji batu dilemparkan ke kawasan kuil itu. Sukarelawan tersebut kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman yang mengesahkan insiden itu berkata pihaknya telah mengambil sampel batu yang dilemparkan dan siasatan
dijalankan. -Bernama




Memorandum Bantah Kenaikan Harga Gula

Dewan Muslimat PAS Selangor menyerahkan memorandum bantahan kenaikan harga gula kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Memorandum berkenaan mendesak KPDNKK mengkaji semula kenaikkan harga gula sebanyak 20sen yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Memorandum diserahkan ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan kepada setiausaha politik menteri KPDNKK, Azizan Che Omar.

Wan Hasrina berkata desakan itu dibuat kerana kenaikan harga gula memberi tekanan hidup dan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Hasrina berkata, KPDNKK menjelaskan kenaikan harga gula daripada RM1.45 kepada RM1.65 dirasakan masih releven pada masa kini.

“Dimaklumkan kenaikan(kesan) itu tidak lah tinggi sangat iaitu 0.07sen sahaja. Mungkin nmereka tidak nampak kesannya kerana ia dirasai rakyat biasa yang berpendapatan rendah dan kesan kenaikan barang lain,”katanya.

Bagaimanapun Hasrina berkata, rakyat bakal dihimpit bebanan besar apabila kerajaan melaksanakan hasratnya mahu menaikkan harga petrol mulai 1 Mei ini.

“Kami mendesak supaya memorandum ini sampai kepada Menteri dan dibuat kajian semula. Bukannya subsidi gula ini diberi menjelang pilihanraya sahaja. Biasanya digula-gulakan rakyat menjelang tahun pilihanraya kemungkinan 2012 akan datang, mungkin diturunkan sedikit harga barang-barang. Tetapi bilaselesai pilihanraya dan mereka dapat tampok pemerintahan dinaikan semula harga barang,”katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada kerajaan pusat yang mempunyai kuasa mengawal harga barang supaya prihatin dengan masalah rakyat jika mahu memastikan Barisan Nasional mahu kekal bernyawa.

Katanya jika kandungan memorandum berkenaan tidak diendahkan KPDNKK, pihaknya tidak teragak-agak untuk menganjurkan demonstrasi mendesak kenaikan harga gula dikaji. -TVS


Era KPP Sebagai Dewan : PAS Kota Raja Mendahului. Tahniah YB Dr Siti Mariah

Taman Sentosa Jan 6, Lebih 200 orang mendaftar sebagai pengundi baru, program ajuran Kelab Penyokong Pas Kota Raja. Semakan daftar pemilih juga dijalankan kepada pengundi yang telah bertukar alamat dan sebagainya.

Program ini telah berjalan dari pukul 9pg hingga 5 ptg dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya/SPR Negeri Selangor. Pengundi yang terdiiri dari pelbagai kaum telah memberi kerjasama untuk program pendaftaran pengundi baru ini.

Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Binti Mahmud dan Pengerusi KPP Kota Raja, S. Lakshmanan telah menghadiri dan memerhatikan sesi pendaftaran ini. Pengerusi KPP Kota Raja juga memberitahu hasratnya yang sedang berusaha untuk menjalankan Program Pendaftaran Pengundi sedemikian di seluruh Malaysia.

Terdapat 43,800 orang yang sudah mencapai usia 21 tahun keatas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, Pengerusi KPP Kota Raja yang juga merupakan Ahli Majlis Kuala Selango, S. Lakshamanan mengulas perkara tersebut dengan maklumat yang diberikan oleh Timbalan Pengarah SPR, Dato Wan Ahmad Wan Omar. Para belia India mesti mengambil berat untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

Dato Wan AHmad Wan Omar juga memberitahu bahawa di Negeri selangor sahaja terdapat 787, 500 orang yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi. S Lakshamanan juga menguncapkan terima kasih kepada ADUN Sri Andalas, YB Tuan Dr Xavier Jayakumar yang telah menghantar wakilnya untuk mengambil bahagian dalam program ini.

Terjemahan oleh Pn Veni, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja



Tragedi Gemencheh: Mangsa Seorang Ibu Saudara Perempuan Berpuaka Itu?

Saya telah mengiringi saudara Abdul Qayyum Abdul Rahman, seorang wartawan Suara Keadilan untuk membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 11 berkenaan gangguan dan ugutan yang beliau terima daripada sekumpulan anggota yang disyaki anggota polis semasa membuat liputan lawatan Angkatan Muda Keadilan Malaysia ke rumah keluarga mangsa pembunuhan kejam di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan pada 10 Januari 2010, jam 3.30 petang. Anggota berkenaan telah memadam semua gambar yang diambil dan mengoyakkan nota berita yang dicatat.

Untuk rekod, keluarga mangsa pembunuhan kejam ini mempunyai hubungan yang rapat dengan Rosmah Mansor di mana salah seorang mangsa pembunuhan iaitu Allahyarhamah Sufiah Katas merupakan emak saudara Rosmah sendiri. Sufiah Katas ialah adik beradik kepada Mansor Katas iaitu bapa Rosmah. Apa yang dikesalkan ialah sehingga hari lawatan AMK, Rosmah Mansor langsung tidak menjengukkan muka menziarahi keluarga emak saudaranya sendiri.

Tindakan sebegini merupakan tindakan yang memalukan negara apabila kebebasan akhbar yang sepatutnya dijaga dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan telah dicabul. Saya menyeru kesemua wartawan terutamanya wartawan media alternatif untuk bersama-sama membentuk solidariti bersama Saudara Qayyum dengan menyatakan protes terbuka kepada pihak polis khususnya Ketua Polis Negara.

Tentunya saya yakin dan percaya bahawa terdapat arahan yang jelas untuk menghalang rombongan ziarah AMK di mana kemudiannya pimpinan AMK diketuai oleh Saudara Khairul Anuar a.k.a Jonah dihalang masuk ke kawasan rumah. Mungkin Rosmah Mansor sibuk untuk membebaskan salah seorang pelajar yang ditahan di Mesir sehingga terlupa menziarahi keluarga sendiri !

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Berikut disertakan laporan polis:

Saya Abdul Qayum bin Abdul Rahman (IC: 850504075593) bekerja sebagai wartawan Suara Keadilan membuat laporan ini kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga selepas diugut orang yang disyaki sebagai anggota polis.

Pada 10 Januari jam 3.30 petang, saya tiba di sebuah rumah di Kampung Rokan, Gemenceh, saya disambut mesra tapi apabila diketahui saya adalah wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad dan beberapa yang lain memaksa saya menyerah kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran kereta saya.

Beliau turut merampas nota penulisan saya serta rakaman dihapuskan kerana tidak berpuas hati dengan temu bual yang dijalankan bersama seorang wanita yang dikenali Saharah.

Polis menunggu di luar rumah manakala Muhammad mengambil segala pengenalan diri dan dokumen yang dibawa oleh saya tanpa kebenaran saya sendiri.

Polis dan Muhammad mengugut saya dalam berbentuk ancaman mahu mencari saya dan keluarga dengan cara apapun jika temu bual tersebut disiarkan.

Saya membuat laporan ini bertujuan supaya polis mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian diingini berlaku.



Minggu lalu negara digemparkan dengan berita empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak diberdekatan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Rupa-rupanya salah seorang mangsa pembunuhan kejam tersebut adalah Allahyarhamah Sofiah Katas yang merupakan ibu saudara kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Sofiah Katas, 80 tahun, salah seorang yang dibunuh kejam itu ialah adik kepada Mansor Katas iaitu bapa kandung Rosmah sendiri.

Mangsa lain dalam pembunuhan kejam itu ialah Atan Daud, 90, (suami Sofiah) yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan dan Ismail Awang, 76, serta anaknya Siti Khadijah Ismail, 22
.

Malangnya diberitakan Rosmah langsung tidak menjengukkan muka menziarahi keluarga ibu saudaranya sendiri yang dibunuh kejam itu!

Dan kelmarin, seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan Abdul Qayum Abdul Rahman yang cuba merungkai misteri kematian Sofiah dan mengapa Rosmah tidak menziarahi keluarga si-mati telah mendakwa beliau diugut polis sebaik saja selesai mewawancara seorang wanita bernama Saharah yang merupakan saudara kepada Sofiah dan sepupu kepada Rosmah.

Abdul Qayum mendakwa di dalam Malaysiakini, selepas mengetahui beliau seorang wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya. Beliau turut merampas nota penulisan Qayum dan memadam semua rakamannya dengan Saharah. Muhammad juga turut merampas semua dokumen pengenalan Qayum, tanpa mendapat kebenarannya. Semua insiden tersebut diperhatikan oleh sekumpulan polis yang menunggu dan mengawal di luar rumah Saharah. Pihak polis dan Muhammad kemudiannya mengugut mahu mencari wartawan itu dan keluarganya dengan apa cara sekalipun jika temu bual tersebut disiarkan dalam Suara Keadilan.

Tiada siapa dapat meneka mengapa Rosmah sampai tergamak tidak menziarahi kematian ibu saudaranya sendiri. Juga tidak diketahui mengapa Rosmah begitu takut jika Suara Keadilan mendedahkan mangsa pembunuhan kejam itu ialah ibu saudaranya. Apa yang hendak Rosmah malukan, jika dia sendiri tiada kaitan dengan pembunuhan yang menggemparkan di mana suspek utamanya ialah seorang pemuda yang digambarkan kadang-kadang kurang siuman? Atau mungkin dia malu jika rakyat 1Malaysia tahu Rosmah mempunyai saudara mara yang kurang siuman? Mungkin Rosmah yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya tidak mahu dikaitkan dengan satu lagi pembunuhan yang lebih kejam dari itu yang melibatkan saudara maranya sendiri!

Baru kelmarin akhbar-akhbar kita cuba membina karektor baik untuk Rosmah dengan memuji setinggi langit peranannya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir yang terbabit dalam misi memberi bantuan makanan kepada rakyat Gaza. Tapi manusia berkarektor baik itu tidak sanggup menziarahi ibu saudaranya sendiri yang dibuniuh secara sangat kejam! Dan manusia berkarektor baik itu juga telah mengarahkan polis untuk menghalang sesiapa saja dari mendedahkan dia mempunyai pertalian saudara dengan adik kandung ayahnya sendiri.

Patutlah 2 hari selepas pembunuhan kejam itu, polis membuat kenyataan kes pembunuhan itu telah selesai. Cepatnya!! Rupanya mereka tidak mahu rakyat Malaysia mengingati pembunuhan itu lagi kerana salah seorang mangsanya ialah ibu saudara Rosmah sendiri!

Saya percaya wartawan Suara Keadilan yang baru sebulan menyertai akhbar itu pasti tidak melupakan pengalaman diugut polis di Gemencheh itu seumur hidupnya! -pejuang pro-demokrasi



Polis anggap kes pembunuhan empat beranak selesai

TAMPIN: Polis menganggap kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, semalam selesai berikutan penangkapan suspek di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, petang tadi.

Polis juga mengesahkan kepala seorang mangsa, Ismail Awang, 76, yang dipenggal dalam pembunuhan itu masih belum ditemui.

Mangsa lain dalam pembunuhan kejam itu ialah Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22.--- Bharian

Ulasan GB

Namanya disebut-sebut di dalam kes Altantuya. Namnya juga disebut-sebut semasa terjumpanya "mandarem" di pejabat PM (waktu itu Abddullah Ahmad Badawi), namanya juga disebut-sebut sewaktu video mengenai pendedahan oleh adik-beradiknya dan saudara-maranya tersebar luas di youtube.

Isk. Terkenangkan Puteri Zainah iskandar, wanita pertama Najib yang diceraikan kerana berkahwin dengan perempuan berpuaka ini.