23 Dis 2010

Piala AFF Suzuki: Indonesia Ancam Boikot Jika..

Indonesia ancam mahu boikot

DUTA BESAR Republik Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar (kiri) ditemani Nugraha pada sidang akhbar di ibu negara semalam bagi menjelaskan ancaman boikot skuad Indonesia.

“TINDAKAN walk out (keluar padang) bererti pasukan kita (Indonesia) pengecut.

“Jadi Indonesia tidak akan sesekali atau tak boleh walk out. Itu akan menjadi kerugian kepada kita sendiri.”

Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pagi semalam, lapor kosmo.

Ia rentetan laporan pihak media di negara republik itu kelmarin bahawa skuad Indonesia mengancam untuk memboikot aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia.

Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam telah diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.

“Memang perkara ini berlaku ketika Malaysia bertemu Vietnam tempoh hari. Tapi permainan telah dihentikan seketika sehingga individu yang memancarkan sinaran laser itu ditangkap.

“Jadi kami telah bertemu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin) bagi meminta jaminan hal yang sama tidak berulang pada Ahad ini.

“Tapi jika ia berlaku sekali pun, permainan akan dihentikan seketika sehingga individu terbabit ditangkap. Jadi tak wajar untuk kita melakukan tindakan walk out kerana kita sendiri yang rugi,” jelas Nugraha pada sidang akhbar tersebut.

Pihak media di Indonesia mungkin mahu sengaja mensensasikan berita berhubung pemboikotan tersebut apabila mereka memetik komen daripada Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta kelmarin.

Nurdin dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: “Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan.

“Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan.”

Namun, dakwaan Nurdin ini agak keterlaluan sekali gus disensasikan oleh media Indonesia.

Apalah sangat pada sinar laser, dan tidak mungkin ia boleh menjejaskan rentak permainan seseorang pemain itu.

Indonesia seharusnya tidak perlu membuat helah seperti itu, sebaliknya berterima kasih kerana terlalu diberi keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain.

Ancaman untuk memboikot hanya disebabkan sinaran laser, membuktikan betapa pengecutnya mereka untuk beraksi di gelanggang lawan.

Indonesia boleh dianggap bernasib baik melangkah ke final kerana dua perlawanan separuh akhir dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Jakarta ekoran masalah stadium dihadapi lawan mereka, Filipina.

Sepatutnya, aksi kedua separuh akhir antara Indonesia dengan Filipina itu diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur.

Indonesia tidak perlu membuat sebarang helah menjelang perlawanan akhir pertama ini kerana mereka sudah terlalu banyak mendapat keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi mengelak kesesakan penonton, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuka pintu masuk seawal pukul 3 petang untuk aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia disebabkan jangkaan maksimum 88,000 penonton akan hadir menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Indonesia itu, pihaknya mahu aturan masuk penonton ke stadium berjalan lancar.

"Pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka pada pukul 3 petang supaya tidak berlaku kesesakan. Kita telah maklum bahawa di pekarangan stadium turut berlangsung satu konsert pada hari yang sama.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua penyokong kedua-dua pasukan, beli tiket dengan lebih awal dan hadir ke stadium juga dengan lebih awal.

"Kita dapati pada aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam minggu lalu, ramai datang lewat kerana beranggapan bahawa perlawanan bermula pukul 8.45 malam tetapi sebenarnya bermula 8 malam.

"Untuk final ini, sama juga, perlawanan akan bermula pukul 8 malam, bukannya 8.45 malam," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Azzuddin turut memberitahu, dianggarkan 1,300 anggota keselamatan dan juga 250 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bakal ditugaskan bagi memastikan tidak berlaku kekacauan atau pergaduhan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

"Sebagai langkah keselamatan juga, kita mengasingkan pintu masuk untuk para penyokong. Bagi penyokong Indonesia, mereka perlu masuk melalui Pintu Biru dan Pintu Ungu manakala penyokong Malaysia di pintu-pintu yang lain.

Sementara itu, tentang peruntukan tiket bagi penyokong Malaysia untuk final kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Rabu depan, Azzuddin berkata, terdapat peruntukan diberikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

"Kita ada menerima permohonan daripada Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) yang mahu menganjurkan rombongan ke Jakarta. Selain itu, pihak kedutaan kita di Jakarta juga akan menguruskan penjualan tiket untuk pelajar-pelajar di sana.

"Peruntukan diberikan PSSI adalah secara timbal balik. Kita beri mereka 15,500 tiket di sini, mereka juga beri kita 15,500 tiket untuk aksi di sana. Kita akan lihat berapa banyak tiket yang kita perlukan nanti," jelas Azzuddin.

2 ulasan:

  1. 1300 anggota keselamatan dan 250 anggota FRU sahaja! lagi sikit daripada jumlah yg mengawal beberapa ribu rakyat berdemo di KL

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.