19 Dis 2010

Imam Hilang Dibaham Buaya

Mangsa sedang tangkap udang ketika disambar reptilia ganas

PENDUDUK kampung membaca surah Yassin di Sungai Samarahan, Kampung Reban, semalam.

SAMARAHAN: Seorang imam sempat menghadiri majlis tahlil jirannya sebelum dibaham buaya besar ketika menangkap udang di Sungai Samarahan berhampiran Kampung Reban, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Sidi Samad, 66, dikatakan sedang menangkap udang di sungai berdekatan rumahnya sebelum buaya dianggar sepanjang hampir enam meter membaham bahagian pinggang mangsa.

Beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian melihat mangsa bergelut sebelum dilambung dan dihempas sebanyak tiga kali oleh reptilia ganas itu yang kemudian menghilangkan diri di tengah sungai.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian jam 11 pagi sebelum operasi mencari dilancarkan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan bomba.

“Mangsa kali terakhir dilihat berdekatan tebing sungai menangkap udang sebelum dilaporkan diserang buaya yang muncul secara tiba-tiba. Air sungai keruh selain arus deras menyukarkan operasi mencari. Saya meminta penduduk tidak bertindak terburu-buru termasuk cuba menembak buaya berkenaan kerana ia boleh membahayakan,” katanya.

Difahamkan, beberapa penduduk kampung dilihat turun ke sungai menaiki bot dan turut membawa senapang patah, manakala ada yang melaungkan azan di tengah sungai sambil menurunkan mata kail besar yang kemudian dihanyutkan. Beberapa ahli keluarga mangsa juga membaca surah Yassin berdekatan lokasi kejadian.

Isteri Sidi, Dayang Sara Awang Sahrol, 64, berkata suaminya tidak sempat bersarapan dan hanya minum kopi sebelum turun ke sungai di hadapan rumah mereka jam 6.45 pagi.

“Selepas berkahwin hampir 45 tahun, malam semalam (kelmarin), dia beria-ia mengajak saya ke surau menghadiri majlis tahlil jiran yang baru meninggal dunia. Suami juga ada menyuarakan hasrat membawa saya menunaikan umrah, April depan dan kami sedang berusaha mengumpul wang,” katanya sedih.

Anak mangsa, Musa, 38, yang melihat ayahnya disambar buaya, berkata kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan penduduk yang berada di tebing tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya melihat kaki ayah dalam mulut buaya sebelum dia dilambung di tengah sungai sebelum berlari ke rumah bagi memaklumkan ibu dan meminta pertolongan,” katanya. -BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.