1 Jan 2011

[Bergambar] 2010 Melabuhkan Tirainya

Tirai 2010 dilabuh: Akhirnya ada yang boleh diraikan bersama

Ketika hari-hari terakhir 2010, WikiLeaks, Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) dan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi dilihat seolah- olah sebagai isu penutup 2010 yang hangat diperdebatkan oleh Barisan Nasional (BN) dan PR.

Semenjak Pilihan Raya Umum ke 12, politik negara ini tidak pernah berhenti bergelora dengan serangan demi serangan antara kedua- dua belah pihak samada BN mahupun PR. Keadaan ini berlarutan hinggalah tatkala 2009 melabuhkan tirai dan fajar 2010 menjelang tiba.

Bagaimanapun, dalam kekalutan politik, masih ada yang wajar diraikan bersama oleh kedua-dua pihak bertelagah di penghujungnya apabila wira-wirawati sukan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan negara.

Antaranya Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicole Ann David (squash), pasukan hoki negara dan terkini skuad kebangsaan bola sepak.

Ketika 2010 mula menjengah, isu penghujung 2009 kehilangan dua enjin pesawat pemintas TUDM, F-5E masih lagi panas dan mendapat tempat di media-media utama ketika itu.

Kenaikan harga runcit gula

Disamping itu, kedatangan tahun baru 2010 turut ‘diraikan’ serentak dengan pengumuman kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Isu yang turut mendapat liputan meluas oleh media-media tahun ini ialah isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dan masyarakat Kristian negara ini.

Isu hangat ini menambah buruk keadaan lagi apabila wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab membakar beberapa rumah ibadat di seluruh negara.

Isu lain menyentuh soal agama yang turut berputar ligat sepanjang tahun 2010 ialah antaranya isu peguam syariah di kalangan bukan Muslim, Syiah di Malaysia dan kes mengajar agama tanpa tauliah yang dihadapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu baru-baru ini arahan pejabat perdana menteri supaya membuang elemen keagamaan daripada satu majlis sambutan Krismas yang dihadirinya di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur juga telah menimbulkan bantahan beberapa pihak.

Dalam isu berkaitan keagamaan, ia dihangatkan lagi apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu setelah menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah surau di Kajang.

Sentimen perkauman

Sementara itu dalam isu membabitkan sentimen perkauman, sehingga 3 Februari sekurang-kurangnya 12 laporan polis telah dibuat gara-gara keceluparan pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung ucapan beliau dalam seminar 1Malaysia di Melaka yang berbau perkauman.

Isu pasir di Selangor antara isu yang mendapat perhatian khususnya media arus perdana. Rentetan isu yang semakin panas ini, pada 20 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed telah menahan sekurang-kurangnya 38 orang termasuk 24 kakitangan kerajaan dan dua pembantu politik di seluruh negara.

Perdebatan isu Ketuanan Melayu Umno dan Ketuanan Rakyat PR juga merupakan isu yang terus menjadi ‘buah pukulan’ baik dari pihak BN mahupun PR di sepanjang tahun 2010 ini.

Kes liwat 2 yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mendapat liputan meluas dalam dan luar negara. Kes ini turut telah menarik perhatian ahli parlimen dan anggota senat negara luar.

Royalti minyak Kelantan

Tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan juga mendapat tempat oleh pengamal media sepanjang 2010. Dalam isu tersebut, pemimpin senior Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memilih untuk menyebelahi Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS.

Perjalanan Inkues kematian Teoh Beng Hock yang menambah burukkan lagi wibawa SPRM dan Kerajaan Malaysia juga mendapat menjadi tumpuan masyarakat pada tahun ini.

Turut mencuri perhatian, apabila fenomena lompat parti oleh ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR masih gagal dibendung oleh pemimpin parti itu sekaligus mencemarkan imej parti itu dan secara tidak langsung memberi kredit kepada BN.

Selain Zulkifli Noordin yang dipecat oleh PKR, Ahli Parlimen dan Adun PKR lain ialah Datuk Salehuddin Hashim, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Mohammad Fairus Khairuddin, Tan Tee Beng dan Wee Choo Keong.

Menteri Besar yang disingkirkan pula, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang mengesahkan penyingkiran beliau mungkin akan mengakibatkan situasi monarki mutlak di Malaysia.

Karier politik Chua

Menambahkan kehangatan tahun 2010, apabila Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilihat telah mencapai penghujung karier politiknya berjaya membuat ‘come back’ dengan bergaya apabila memenangi jawatan presiden MCA.

Chua telah berjaya menewaskan bekas presiden Datuk Seri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA pada 28 Mac lalu.

Umum melihat senario politik 2010 kembali memihak kepada BN apabila pada 25 April, calon Barisan Nasional P Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

BN yang mula tampak selesa setelah memenangi PRK Hulu Selangor, menerima tamparan apabila kerusi Parlimen Sibu berjaya dirampas oleh calon DAP, Wong Ho Leng yang menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan calon bebas Narawi Haron dalam PRK parlimen itu pada 16 Mei lalu.

Bagaimanapun BN menemui semula sentuhan untuk menyekat kemaraan PR apabila memenangi dua kerusi dalam dua PRK yang diadakan serentak 4 Oktober lalu di Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 manakala Datin Linda Tsen bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.

Sepertimana kelaziman dalam pilihan raya yang di adakan dalam negara ini, kontroversi yang melibatkan dakwaan rasuah politik, ketelusan dan undi pos masih bermain-main dalam setiap PRK yang dijalankan ini.

Pemilihan pimpinan PKR

Pemilihan Pimpinan PKR antara isu yang mendapat liputan meluas dari media perdana dan juga alternatif. Pemilihan tersebut pada awalnya menjadi kebanggaan parti itu kerana merupakan satu-satu parti politik yang memberikan hak memilih pemimpin kepada ahli akar umbi.

Bagaimanapun kebanggaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada PKR apabila didakwa banyak penyelewengan telah berlaku bermula daripada proses pencalonan lagi.

Akibat merasa tertipu, calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim telah bertindak keluar parti dan kini menyertai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebelum ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dengan jawatan Presiden parti itu.

Walaupun musim pemilihan PKR telah lama berakhir, namun kemelut berhubung aduan-aduan yang diterima parti sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin PKR.

Turut menerima sasaran kritikan sepanjang 2010 ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan penglibatan aktifnya yang dianggap membazirkan wang negara dan menganggu urusan pentadbiran kerajaan.

‘Sudah jatuh ditimpa tangga’

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pula, antara personaliti yang boleh dianggap sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditahan atas dakwaan rasuah yang melibatkan kediamannya yang bernilai jutaan ringgit.

Pada 16 Disember, empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan gara-gara mengaitkan APCO, 1Israel dan 1Malaysia. Mereka yang dikenakan tindakan penggantungan itu ialah, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR), Karpal Singh (DAP), S.Sivarasa (PKR) dan Azmin Ali (PKR).

Pendedahan WikiLeaks menghangatkan lagi suhu politik hujung tahun dalam negara ini apabila beberapa komunikasi sulit pemimpin dunia terdedah untuk tatapan umum.

Antara isu yang terjebak ialah kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan yang paling mengejutkan ialah dakwaan terhadap seorang menteri yang merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 tetapi tiada tindakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri ‘perogol’

Walaupun sehingga hari ini belum ada mana-mana media menyebut dengan jelas nama menteri terbabit, umum telah mengetahui indentiti menteri berkenaan melalui klu yang banyak di paparkan di media-media alternatif.

Ketika 2010 hampir melabuhkan tirainya, PR telah sempat menembak peluru terakhirnya apabila mengumumkan rancangan 100 hari pemerintahan PR dalam buku jingga yang dilancarkannya.

Sedikit sebanyak tindakkan PR ini dianggap mampu membuatkan pemimpin BN berada di dalam keadaan yang merimaskan dan memeningkan kepala.

Pertikaian antara kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR dengan kerajaan pusat juga masih tidak berpenghujung apabila kerajaan pusat didakwa tidak menghormati semangat federalisme.

Terbaru, kontroversi perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mendapat bantahan Kerajaan Negeri Selangor mula berlegar-legar di penghujung 2010.

Kos sara hidup meningkat

Isu sepanjang 2010 yang tentunya mendapat perhatian rakyat negara ini ialah siri kenaikan harga barangan keperluan sepanjang 2010 yang semakin meningkatkan kos sara hidup rakyat negara ini dan menyebabkan tekanan hidup yang semakin memuncak.

Akhirnya dalam tekanan keperluan hidup dan pertarungan politik yang tiada kesudahan antara BN dan PR, tiba-tiba anak-anak buah K Rajagopal telah menghadiahkan sesuatu yang wajar diraikan bersama oleh semua rakyat negara ini.

Kelmarin, skuad bola sepak negara membolehkan rakyat negara ini menutup tirai 2010 dengan perasaan bangga dan tersenyum apabila anak-anak muda ini berjaya membawa pulang kejuaraan Piala AFF Suzuki setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Malahan pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyarankan dua pemimpin utama parti bertelagah BN, Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bersatu untuk menyambut kepulangan wira-wira muda negara itu petang semalam.

Menurut pemimpin pertubuhan itu, Badrul Hisham Shaharin, SAMM sendiri akan menggerakkan anggotanya untuk menyertai sambutan kepulangan skuad bola sepak negara itu.

Memetik blog Anwar Ibrahim pula, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad bola sepak negara itu sambil berkata kejayaan tersebut semuga membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011.

Berita gembira ini turut disusuli oleh pengumumkan Najib yang mengisytiharkan hari ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena menyambut kegemilangan sukan bola sepak negara. -FMT

2010 - DUNIA DALAM GAMBAR

Ledakan di lokasi pengeboran lepas pantai meyyebabkan tumpahan minyak sampai ke Teluk Mexiko, dan aliran minyak baru berjaya dihentikan pada September atau lima bulan setelah peristiwa terjadi.

Banjir di Pakistan menyebabkan sekitar 1.600 orang terkorban dan sejumlah desa tenggelam. Lebih dari 20 juta orang terkena kesan banjir dan enam juta orang perlukan bantuan kemanusiaan.

Kekacauan terjadi ketika ribuan orang mengadakan protes di Athena dan kota lainnya di Yunani dalam demonstrasi hari buruh antarabangsa.

Sekitar 90 orang terbunuh dalam 10 hari menyusul kekacauan antara pasukan tentara dengan pemprotes anti pemerintah di Bangkok Thailand.

Nelson Mandela : "Piala Dunia 2010 bukan hanya sekedar pertandingan, tetapi merupakan simbol kekuatan sepakbola untuk membawa jutaan orang didunia tanpa mempedulikan perbedaan bahasa, warna kulit, agama dan politik"

Lebih dari dua bulan 33 orang penambang Chile terjebak di lokasi tambang di San Jose, dan akhrinya berhasil diselamatkan. Usaha penyelamatan menjadi sorotan dunia antarabangsa.

Menteri Pertahanan AS Robert Gates mengatakan akan menarik keluar pasukan AS dari Afghanistan mulai Julai akan datang. Tetapi Komandan pasukan Nato di Afghanistan akan meminta Presiden Obama menundanya.

Dalam suatu perbarisan tentera yang mengundang media antarabangsa, pemimpin Korea Utara Kim Jong-il muncul bersama anaknya Kim Jong-un yang diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan Korea Utara.

Para pemimpin negara di dunia dan pemerhati HAM menyambut pembebasan tokoh pro demokrasi Burma Aung San Suu Kyi dari tahanan rumah di Rangoon yang telah dijalaninya sekitar dua dekad.

Sekitar 350 orang terkorban dan ribuan orang terluka karena bersesakan dalam festival air yang digelar di Phnom Penh di Kamboja.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.