18 Dis 2010

Bas Wanita Elak Gangguan Seksual

Tidak perlu himpit lelaki

KUALA LUMPUR: Kebanyakan penumpang terutamanya wanita mahu perkhidmatan bas khas untuk wanita, Rapid Bas Wanita dilanjutkan selepas tamat tempoh percubaan 31 Disember ini berikutan memberi kemudahan dan keselesaan kepada mereka.

Tinjauan Harian Metro selepas dua minggu perkhidmatan bas khas itu beroperasi mendapati rata-rata penumpang amat berpuas hati dengan inisiatif Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas itu di Lembah Klang, mulai 1 Disember lalu.

Pekerja swasta, Nur Ain Zolkefli, 25 berkata pendekatan RapidKL itu tepat pada masanya bagi menjamin keselamatan wanita dan berharap perkhidmatan itu diperluaskan di lebih banyak lagi laluan. “Ia memberi keselesaan dan boleh mengelak berlaku gangguan seksual terhadap penumpang wanita terutama dalam keadaan sesak pada waktu puncak.

“Bas ini lebih selesa kerana wanita tidak perlu lagi berhimpit dengan lelaki namun diharapkan selepas tempoh percubaan, perkhidmatan ini akan diteruskan,” katanya.

Bagi Norliana Zulkarnain, 24, kemudahan khas itu amat dialu-alukan dan dijangka menghindarkan penumpang wanita daripada menjadi mangsa kejadian tidak diingini seperti ragut dan cabul. Malah, katanya, dengan adanya bas yang khusus untuk kaum wanita, peluang warga emas, wanita mengandung dan yang membawa anak kecil mendapat tempat duduk lebih cerah. “Bas khas untuk penumpang wanita ini adalah langkah yang baik terutama dalam mengurangkan risiko wanita menjadi sasaran gangguan seksual dan kecurian,” katanya.

“Diharap RapidKL dapat menimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan khas ini untuk laluan malam atau laluan terakhir,” katanya.

Bagi seorang penumpang, Mohd Akmal Nordin, 30, bas khas itu langkah tepat bagi mengurangkan risiko wanita menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku. “Ia memberi kelebihan kepada wanita kerana mereka tidak perlu bimbang bersentuhan dengan berlainan jantina. Begitu juga lelaki kerana tak semua antara kami selesa jika terpaksa berhimpit dengan wanita,” katanya. Sementara itu, jurucakap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) berkata, sehingga kini sambutan yang diterima orang ramai berkaitan perkhidmatan bas berkenaan amat menggalakkan selain menerima maklum balas positif terutamanya penumpang wanita.

“Kami akan memantau perkhidmatan bas hingga tempoh percubaan iaitu 31 Disember ini tamat sebelum memutuskan sama ada meneruskan perkhidmatan berkenaan atau tidak,” katanya.

“Selain itu, kami juga akan pertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan di lebih banyak laluan bergantung kepada keperluan orang ramai,” katanya.

Tempoh percubaan Rapid Bas Wanita dilaksanakan sebulan bermula 1 Disember lalu dengan melalui tujuh laluan utama pengguna. Dua bas tambahan disediakan masing-masing bagi perkhidmatan pada pagi bermula jam 6.45 hingga 7.30 pagi serta petang pada jam 6 hingga 6.45 petang setiap hari. Perkhidmatan pada pagi membabitkan laluan U1 iaitu Hab Pinggiran Batu Caves; U8 (Hab Damansara Damai); U22 (Hab Sri Nilam); U40 (Hab Terminal Kajang); U60 (Hab Puchong Utama); U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria). Pada petang, bas akan melalui U1 (Hab Medan Pasar); U8 (Hab Medan Pasar); U22 (Hab Jalan Hang Lekiu); U40 (Hab Pasar Seni); U60 (Hab Pasar Seni); U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

1 ulasan:

  1. Cuba anda renung betul2 sebenarnya lelaki yang lebih banyak terganggu dengan "pendedahan wanita" Oleh kerana itu si lelaki ( balas dendam ) mengganggu balik si wanita. Kak Jat Jawab sikit !

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.