20 Dis 2010

Ada Beruang Di Jeli!

15 minit lawan beruang

TANAH MERAH: Parang tumpul menyelamatkan seorang penoreh getah yang terpaksa bergelut dengan seekor beruang madu selama hampir 15 minit dalam kejadian di Kampung Bukit Jong, Jeli, disini menyebabkan mangsa cedera di kaki akibat digigit haiwan itu.

Dalam kejadian jam 4 petang Selasa lalu, selepas kakinya digigit beruang berkenaan Osman Salleh, 35, nekad mengetuk kepala haiwan itu dengan parang tumpul, sekali gus menyelamatkan dia daripada dicederakan lebih teruk.

Sebelum kejadian, Osman yang baru selesai berkebun dan menoreh getah bersama bapanya, Salleh Mahmud, 72, menunggang motosikal berseorangan pulang ke rumah.

Di pertengahan jalan kira-kira dua kilometer dari rumah, dia terserempak dengan beruang berkenaan yang dianggar setinggi satu meter dalam keadaan bulunya mengembang dan kelihatan marah.

Nasib tidak menyebelahinya apabila enjin motosikalnya tiba-tiba mati menyebabkan Osman tiada pilihan selain mempertahankan diri dengan menggunakan motosikal Honda itu sebagai penghadang.

Bagi mengelak terkaman beruang itu, Osman beberapa kali berlari mengelilingi motosikal dan hampir mengalah selepas motosikalnya jatuh mengakibatkan dia diterkam haiwan liar berkenaan.

“Apabila diterkam beruang itu, saya hampir mengalah kerana kepenatan tetapi terus bergelut dengan beruang itu.

“Nasib baik saya membawa bersama sebilah parang yang dapat digunakan untuk mempertahan diri. Namun, beruang berkenaan sempat mencakar kaki kiri dan mencengkam kaki kanan saya dengan taringnya.

“Saya nekad mengetuk kepala haiwan itu menggunakan parang dan tindakan itu menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa serangan kerana beruang melepaskan gigitan dan beredar,” katanya ditemui di Wad 1, Hospital Tanah Merah, semalam.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik itu, dalam keadaan kesakitan dia menggagahkan diri menunggang motosikal bagi menyeberangi Sungai Pergau dekat Kuala Balah, untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah.

“Saya kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan sehinggalah hari ini,” katanya yang tinggal di Kampung Tengku Abdul Rahman Kuala Balah, Jeli.

Osman berkata, dia tidak menyalahkan haiwan itu kerana mungkin ia dalam keadaan sakit dan tujuannya menyerang mungkin untuk mengelak ancaman manusia.

“Sepanjang berkebun, sudah beberapa kali saya bertembung dengan beruang madu hitam yang mempunyai jalur putih di tengkuk hingga ke hidung, tetapi tidak mengganas,” katanya.

Namun, berdasarkan cerita penduduk setempat, spesies haiwan terbabit sebelum ini pernah menyerang beberapa penoreh getah di Kampung Bukit Jering dan Kampung Tok Ali, di sini. -hm

1 ulasan:

  1. Memamg sah Jeli ada beruang dan berwang sejak Kelantan dapat wang ehsan ni.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.