15 Nov 2010

Pemilihan PKR Terus Pincang Di Pusingan Ketiga

Petaling Jaya: Pusingan ketiga pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berakhir semalam masih tidak menunjukkan kontroversi dalam pemilihan parti itu akan berakhir.

Seperti mana dalam pusingan sebelumnya, pusingan ketiga turut dipenuhi kontoversi.

Sesetengah anggota parti turut menganggap ketika ini masih tiada sebarang tanda positif kontroversi dalam pemilihan akan reda ekoran tiada tindakkan proaktif oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Di Cabang Pendang contohnya, lebih 60 anggota PKR tersebut kempunan untuk mengundi apabila kertas undian yang disediakan tidak mencukupi.

Menurut laporan sebuah akhbar edisi utara kelmarin, hanya 100 keping kertas undi diperuntukan berbanding 535 ahli parti di cabang terbabit.

Seorang anggota PKR cabang tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yunus berkata, pihak pengurusan pemilihan harus bertanggungjawab atas kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.

"Sebagai ahli parti bukankah hak saya dijamin oleh perlembagaan parti? Tetapi apa yang berlaku hak saya untuk memilih pemimpin telah dinafikan disebabkan kecuaian mereka.


"Perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh parti. Kegagalan parti memberi hak yang diperuntukan oleh perlembagaan parti boleh menyebabkan tindakan mahkamah diambil," kata beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau mengakui mengetahui wujudnya gerakan untuk mengumpul bukti dan saksi untuk membawa isu penyelewengan pemilihan.

Tetapi, katanya, mereka tidak bercadang berbuat demikian.

"Sampai sekarang saya belum bercadang untuk bertindak sejauh itu walaupun saya ada terdengar ura-ura ada pihak sedang bercadang membawa isu ini ke mahkamah," kata beliau lagi.

Pada masa yang sama, di pusat mengundi cabang Batu Sapi di Sabah telah mencatatkan kira-kira 600 ahli membuang undi tanpa masalah kekurangan kertas undi.

Keputusan di cabang terbabit menunjukkan penguasaan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yang memungut 509 undian berbanding Badrul Hisham Shaharin yang hanya 8 undian sahaja.

Mungkinkah ada pakatan tentukan jumlah kertas undi untuk cabang?

Ekoran itu, intergriti JPP terus dipandang rendah apabila timbul dakwaan wujudnya tangan ghaib dalam menentukan jumlah kertas pengundian yang diedarkan kepada cabang-cabang.

Persoalan juga timbul kemungkinan pengawas pemilihan telah berbincang dengan pihak calon tertentu untuk menentukan jumlah kertas undi harus diedarkan kepada cabang-cabang berdasarkan kelebihan calon terbabit
.

Sementara itu, calon Pengerusi Tetap AMK, Amizudin Ahmat, melahirkan perasaan kesal terhadap kontroversi yang berlaku sepanjang pemilihan.

"Saya sama juga dengan kebanyakkan calon lain bersedia menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Tetapi apabila kekalahan tersebut disebabkan wujudnya penipuan oleh pihak lawan maka lukanya tentu parah.

"Saya tak benci Sam (Shamsul), Jonah (Khairul Anuar), Azmin, Zaid atau sesiapa dalam PKR ini tetapi yang saya benci adalah penipuan,
" ujar beliau.

Amizuddin merupakan calon pengerusi tetap AMK yang turut mendukung manifesto Anak Muda Penerus Momentum Reformasi pimpinan Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.