15 Nov 2010

Nikah Stail Baru, Berwalikan Sekeping Lukisan

Kuala Lumpur: Satu lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo digunakan seorang jurunikah haram sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Dikenali sebagai Ustaz Hashim, lelaki warga Indonesia terbabit mendakwa lukisan berkenaan simbolik kehadiran ulama Islam terkenal di Pulau Jawa pada kurun ke-17 itu yang kononnya sentiasa berdampingan dengannya secara ghaib.

Setakat ini, ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan dalam bentuk poster itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, di sini, ketika lelaki itu hendak menikahkan satu pasangan, malam kelmarin.

Ketika serbuan pada kira-kira jam 8 malam, sepasang bakal mempelai yang lengkap berpakaian pengantin dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki dipercayai rakan dan saudara pasangan berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

“Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim itu melarikan diri dengan memanjat siling rumah. Pemeriksaan sekitar kawasan rumah gagal menemui jurunikah itu.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ustaz terbabit menghubungi Jawi,” katanya.

Che Mat berkata, ketika disoal siasat 25 orang di dalam rumah berkenaan termasuk bakal pengantin pada mulanya memberi alasan mengadakan kenduri doa selamat.

Bagaimanapun, pasangan bakal mempelai itu tidak mampu berdalih apabila ditanya mengapa mereka lengkap berpakaian pengantin, lantas mengaku mereka mengadakan majlis pernikahan.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan Ustaz Hashim kepada mereka yang menggunakan khidmatnya adalah antara RM5,000 hingga RM 6,000.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ustaz palsu itu adalah mereka yang ingin berpoligami kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.

“Selain itu, sijil nikah yang diberikan sekadar menggunakan kertas biasa yang ditulis tangan dan ditandatangani lelaki digelar Ustaz Hashim itu,” katanya.

Che Mat berkata, pasangan bakal pengantin itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini manakala 23 yang lain dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. -hm


Pasangan nikah sindiket diserbu

ANTARA tetamu yang ditahan pada majlis pernikahan yang didalangi Pak Hashim di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam kelmarin.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Pantai Dalam di sini malam kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, sindiket berkenaan disyaki sedang berurusan untuk menikahkan secara haram satu pasangan kekasih dengan menggunakan khidmat jurunikah palsu.

Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa Jawi menahan sepasang kekasih yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap berumur lingkungan 30-an yang berhasrat untuk melangsungkan pernikahan secara haram.

Turut ditahan 25 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita dipercayai warga Indonesia yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan.

Pasangan tersebut telah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menikah tanpa kebenaran pendaftar, menikah tanpa jurunikah bertauliah dan gagal memberi penjelasan mengenai lokasi pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang jurunikah yang tidak bertauliah dan lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan gelaran Pak Hashim yang merupakan warga Indonesia.

Bagaimanapun, Pak Hashim berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu menerusi pintu belakang rumah tersebut. -kosmo


2 ulasan:

  1. Ada lagi manusia diperbodohkan oleh ustaz/jurunikah palsu.

    BalasPadam
  2. Mereka bukan diperbodohkan tetapi mereka memang bodoh dan jahil dah tu tak mau belajar, tak mau merujuk kepada Pejabat Agama. Begitulah manusia yang mahu mudah, melarikan diri daripada kenyataan, peraturan, akan mencari alternatif atau nas yang dicipta / alasan untuk membolehkan apa yang tidak boleh.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.