19 Nov 2010

Mustaffa Hantar Wakil Serah Kepincangan Kepada JPP

Petaling Jaya, 19 Nov — Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub tidak bertemu dengan Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah tetapi menghantar wakilnya bagi menyerahkan sejumlah kecil keterangan mengenai dakwaan kepincangan pemilihan pagi ini.

Gambar: Dzulkifly Ibrahim (kanan) bersama Yusoff Kamaruddin ketika tiba di pekarangan ibu pejabat PKR sebelum mengadakan pertemuan dengan Dr Cheah.

Perkara itu dinyatakan Mustaffa sendiri, yang sebelum ini dua kali mendesak penangguhan dan pembatalan proses pemilihan pusat yang didakwanya wujud penyelewengan.

“Saya tidak akan hadir ke sana (ibu pejabat PKR) namun wakil saya, Dzulkifly Ibrahim akan bertemu JPP pagi ini dengan beberapa butiran yang ada,” kata Mustaffa ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, banyak aduan yang diterima JPP sebelum ini sepatutnya sudah boleh mendorong jawatankuasa pengendali pemilihan pusat itu menangguhkan proses pemilihan yang ketika ini hanya tinggal dua hari lagi iaitu esok dan lusa.

“Sebenarnya telah banyak (aduan) yang JPP terima, tetapi tiada siasatan dan penyelesaian yang meyakinkan.

“Tidak perlu menunggu (aduan) saya, dia kena siasat kerana banyak (aduan) terbengkalai,” kata beliau sambil menyatakan bahawa inisiatif beliau membuat beberapa desakan sebelum ini demi memulihara nama baik PKR.

Dzulkifly yang juga Ketua Penerangan PKR Perak ketika ditemui kemudian di ibu pejabat PKR memberitahu, aduan-aduan tersebut antaranya berhubung kecacatan proses pemilihan di Perak, Kelantan, Selangor dan Sabah.

Di Perak, Setiausaha PKR Pasir Salak Hishamuddin Ali dan Maknor Yahya selaku anggota di cabang itu pada 5 September lalu membantah proses pencalonan Osman Abdul Abdul Rahman sebagai ketua cabang kerana status kedua-dua wakil calon Osman dianggap bukan anggota ekoran tidak membayar yuran keadlian.

Pemilihan itu dimenangi oleh Osman.

Peranan Fatmawati Salim menjadi ejen pengiraan undi di cabang Gopeng turut diadu kepada JPP kerana beliau adalah calon Majlis Pimpinan Wanita Pusat.

Di Kelantan, Intan Rohani Tan selaku salah seorang wakil calon Mustaffa meminta keputusan pengundian cabang Kota Baru dibatalkan ekoran wujudnya unsur pengundi hantu.

The Malaysian Insider difahamkan, jumlah kehadiran ketika pengundian cuma 204 anggota tetapi kertas undi yang didapati dalam peti undi adalah sebanyak 213.

Di Selangor, Dzulkifly mengadu semula insiden kekecohan pemilihan cabang Kota Raja pada 26 September lalu.

The Malaysian Insider difahamkan, insiden tersebut merujuk pada proses pengiraan undi yang kecoh ekoran tindakan kumpulan tertentu rampas kertas undi dan peti undi.

Sebanyak 18 peti undi tersebut dibawa ke ibu pejabat PKR untuk dikira dengan kawalan polis.

Kekecohan itu melibatkan ketua cabang tersebut Dr A. Xavier Jayakumar, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor dan saingannya S. Kottappan dan M. Telaiamblam.

Pengurus kempen bagi Mustaffa, Yusoff Kamaruddin turut menyertai perundingan tertutup dengan Dr Cheah hari ini. -TMI

3 ulasan:

  1. masaalah rumahtangga selesaikan sendiri jangan bawa masuk media dan UMNO bersama, nanti rosak rumahtangga, nanti bini kena lelong

    BalasPadam
  2. PKR setahun jagung,baru sekali pemilihan, memang ada kelemahan, UMNO dah tua bangka, berpuluh kali pemilihan masih bermasaalah bagaimana pula?

    BalasPadam
  3. nak bergaduh laki bini jangan bawa masuk orang luar, atau siar dalam akhbar atau media UMNO, biar rumah jangan runtuh, dinding jangan pecah, masa depan anak-anak kena jaga

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.