12 Nov 2010

Langkah PKR Ingin Ketengahkan Calon Umur 20an & 30an Dipertikai

Anwar: Pembangkang meletakkan calon muka baru dan muda pada PRU-13

SINGAPURA, 11 Nov – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beribu pejabat di Malaysia bercadang meletakkan muka baru dan muda sebagai calonnya pada pilihan raya umum ke-13 negara itu akan datang.

Pemimpin umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini adalah strategi terbaik parti itu yang akan dilakukan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dipercayai diadakan tidak lama lagi.

Pilihan raya umum ke-13 Malaysia mestilah diadakan pada 2013 atau sebelum 2013.

Berucap pada ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Koresponden Asing Singapura (FCA) di sini hari ini, beliau berkata calon PKR mungkin berumur dalam lingkungan 20-an atau 30-an kerana mereka akan menjadi tarikan kepada pengundi.

Anwar berkata ini adalah selaras dengan jolokan parti itu sebagai parti “Reformasi”, dan juga pengalaman sebelum ini menunjukkan calon muka lama PKR berkemungkinan tewas pada pilihan raya.

Semasa sesi soal jawab dengan kira-kira 50 hadirin yang terdiri daripada wartawan asing yang berpangkalan di Singapura, diplomat dan bukan pertubuhan kerajaan (NGO), Anwar berkata PKR akan mula bekerja keras untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan menjelajah ke seluruh negara menemui orang ramai mulai bulan depan.

Sambil menyatakan beliau optimistik dengan pilihan raya umum akan datang, Anwar berkata beliau gembira jika pilihan raya itu diadakan tidak lama lagi, berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah pada 4 Nov lepas.

Beliau yang juga ketua pembangkang berkata campuran pembangkang, terdiri daripada PKR, PAS dan DAP, akan bermesyuarat selepas Hari Raya Haji untuk mengkaji semula keseluruhan program dan strateginya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mengenai dakwaan bekas calon timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim berkaitan penipuan dalam pemilihan parti, Anwar berkata beliau tidak terbabit dengan pemilihan itu dan menggesa Zaid mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan parti.

Anwar juga membidas beberapa media Malaysia seperti TV3 dan Utusan serta pemimpin Umno yang menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu bahawa negara ini akan diperintah oleh bukan Melayu jika pembangkang mengambil alih kerajaan. – Bernama


Ulasan GB

Pertama: Apakah logik hendak memilih pemimpin dari kalangan usia 20an dan 30an hanya menyandarkan kepada matlamat untuk menarik pengundi?

Pemimpin semuda usia berkenaan sekalipun sudah akil baligh, apakah sudah cukup bekalan untuk memikul amanah? Sedang Nabi juga hanya seusia 40 tahu baru menerima wahyunya daripada Jibrail?

Umar Al-Khattab sewaktu dinamakan sebagai Khalifah oleh Saidina Abu Bakar telah menyerahkan kembali jawatan itu kepada Abu Bakar dengan kata-katanya: "Engkau selalu bersama Rasulullah dan engkau lebih tua daripadaku". Menunjukkan faktor umur juga adalah kriteria penting di dalam pemilihan/perlantikan pemimpin. Jika orang muda dipertimbangkan, tentulah Saidina Ali wajar diangkat terlebih dahulu kerana Saidina Ali lebih awal memeluk Islam. Namun Saidina Ali masa itu masih muda belia dan masih banyak yang perlu dipelajari di dalam keidupan.

Usia yang muda belia masih terhambat dengan pelbagai ujian duniawi sedangkan situa juga yang telah bertahun-tahun hidup di atas dunia tunggang terbalik menerima ujian duniawi inikan pula mereka yang berumur 20an dan 30an.

Memerintah negara bukan seperti untuk menjadi Pengawas Sekolah atau AJK Perwakilan Pelajar. Ia merupakan satu bebenan amanah dari Allah s.w.t. Apakah kerana melihat ramainya pemimpin yang telah berumur kemudian tak mendengar katanya lalu hendak digantikan dengan mereka yang berumur 20an & 30an supaya mereka itu patuh dan akur?

Abu Dzar juga menuturkan bahwa dia berkata kepada Rasulullah Saw:
"Wahai Rasulullah, tidakkan engkau mengangkatku menjadi pemimpin? Kemudian Rasulullah saw berkata : "Wahai Abu Dzar, kamu adalah orang yang lemah, dan sesungguhnya jabatan ini adalah amanah, dan pada hari pembalasan akan menjadi kehinaan dan sesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan menunaikan kewajiban dalam kepemimpinannya. [HR. Muslim].

Kuat dan lemah yang dimaksud dalam hadits ini adalah kekuatan keperibadian(saksiyyah), yakni pola berfikir (aqliyyah) dan pola jiwanya (nafsiyyah).

Kedua-dua pola tersebut tidak mungkin dapat digarap dan dikesan seandainya seseorang itu masih muda belia.

Malah untuk menjadi seorang imam sekalipun menurut satu hadith faktor "umur" juga terhitung pentingnya, jangankan lagi seorang pemimpin masyarakat.

Dari Ibnu Mas'ud Al Ansari berkata, telah bersabda Nabi Muhammad saw "Jadi Imam akan satu kaum oleh orang yang lebih baik bacaannya dengan kitab Allah, maka jika ada mereka itu persamaan didalam bacaan, maka yang lebih alim dari mereka itu dengan sunnah, jika ada persamaan didalam sunnah, maka yang lebih dahulu hijrah mereka, jika ada persamaan didalam hijrah, maka yang lebih tua dari umur mereka, dan jangan menjadi Imam didalam pemerintahannya [di rumah orang], dan jangan duduk ditempat duduknya didalam rumahnya melainkan dengan izinnya"

Riwayat Tirmizi - Hadis Hassan Sahih.


8 ulasan:

  1. siapa ketua PKR sebenarnya ?
    Apa kerja presiden PKR ?

    BalasPadam
  2. Mungkin ayat tu boleh digantikan dengan "PKR meletakkan calon muka baru dan muda pada PRU-13". Anwar tak berhak buat kenyataan kolektif untuk semua parti dalam Pakatan Rakyat. Untuk PAS, biarlah pimpinan PAS yang tentukan. Begitu juga dengan DAP. Pada pandangan peribadi saya, usia politik berbeza dengan usia kerjaya. Untuk kebanyakan orang, umur 50 tahun adalah penghujung kerjaya. Tapi untuk orang politik, biasanya akhir 40-an dan 50-an adalah permulaan ke puncak.

    BalasPadam
  3. Dah makin mengarut DSAI ni.
    Ini akibat parti yg tak der Majlis Syura. Ikut nafsu sendiri nak pilih siapa jadi calon.

    BalasPadam
  4. presiden kayu! sepatah pun tak respon pada isu isu pkr

    BalasPadam
  5. Adakah impian kita ke Putrajaya dah tinggal impian je sekarang...? Kebelakangan ni, kita asyik bercakaran. Saf kepimpinan yang nampak sangat mantap dan kuat sebelum pilihanraya 2008, kini makin sepi dan sibuk bertelingkah sesama sendiri. Malangnya nasib pendukung PR. If things continue to be this way, reformation is just imaginary.

    BalasPadam
  6. PKR sama jer dgn UMNO. Boleh manipulasi, boleh menipu serba-serbi boleh. Jenis parti sekular mmg sentiasa byk menimbulkan masalah.

    PAS kena kerja keras untuk menang byk dlm PRU akan dtg supaya ambil-alih teraju Pakatan Rakyat. Itu saja jalan penyelesaian.

    Tapi pimpinan PAS jangan tidur ler... dan jgn syok sendiri. Kerja kuat lagi. Jgn ulang kes Galas.

    BalasPadam
  7. Cadangan tersebut adalah merupakan strategi Anwar untuk terus mengukuhkan kuasanya di dalam PKR. Ini dapat dilihat daripada beberapa pemimpin lama dalam PKR telah mula menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Anwar sejak akhir-akhir ini. Kalau betul ikhlas berjuang untuk ‘Reformasi’ mengapa perlu takut? Pemimpin dipilih berdasarkan kredibiliti serta ketokohan untuk memimpin, bukannya yang lebih muda. Barangkali pemimpin muda yang bakal dinaikkan akan menjadi Pak Turut Anwar supaya dapat menutup segala aktiviti rahsia Anwar. Siapa tahu? Tepuk dada tanya selera

    BalasPadam
  8. Koy mengarut dah si anuar ni. Nak letak calon 20 ke 30an, kanyag piang, sapa nak sokong! Walaupun aku ahli PKR tobat aku tak pangkah. Aci tengok PKR akan berkubur.... Selamat Tinggal Puterajaya !

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.