7 Nov 2010

Lagi Kes Kereta Terbakar Dalam Kemalangan, 4 Rentung

Empat Rentung Selepas Kereta Terbakar Bertembung Treler

Gambar: Keadaan kereta Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga terpelosok di bawah lori trailer sebelum terbakar dan menyebabkan kesemuanya rentung di kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.

KUANTAN: Empat rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di Km119 Jalan Kuantan-Segamat malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata dalam kejadian 10.30 malam itu kereta berkenaan terbakar selepas bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Rosli Mat Isa, 28, Md Sharif Nani, 61, Marinah Kambas, 60, dan Patimah Ramli, 46.

"Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang dinaiki itu terbakar selepas bertembung manakala pemandu dan kelindan treler terbabit hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu hujan lebat dengan keadaan jalan yang menurun bukit dan licin.

Johari berkata, ekoran daripada itu kereta yang dinaiki empat penumpang berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Kemudian katanya, sebuah treler yang membawa muatan buah kelapa ke Kelantan untuk bekalan bagi persiapan Hari Raya Aidiladha yang datang dari arah bertentangan telah merempuh kenderaan berkenaan.

"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudiannya turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, semua mangsa yang berasal dari Taman Ayer Keroh, Melaka kemudiannya dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat. - BERNAMA


Bekas Wartawan BH Antara Empat Rentung Dalam Kemalangan

KUANTAN: Bekas wartawan Berita Harian, Patimah Ramli, 46, antara empat yang rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di KM119 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata tiga lagi yang maut dalam kejadian pukul 10.30 malam itu adalah pesara Jabatan Kerja Raya, Md Sharif Nani, 61, isterinya, Marinah Kambas, 60, dan anak saudara mereka yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28.

Patimah adalah adik ipar kepada Md Sharif.Johari berkata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya Rozlan, 18, hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dalam cuaca hujan lebat sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.

"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudiannya turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurut anak bongsu Md Sharif, Zaid, 20, ibu bapanya sedang dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang anak saudara di Marang, Terengganu dengan berkonvoi bersama tiga lagi kenderaan lain.

Katanya pada masa itu kereta yang dinaiki ibu bapanya tertinggal di belakang manakala tiga kereta lain sudah sampai di Segamat, Johor.

"Saya tidak mengikuti rombangan itu kerana berada di Kuala Lumpur dan kejadian itu diberitahu oleh seorang sepupu pada 2 pagi tadi," katanya yang kali terakhir berjumpa kedua-dua ibu bapanya pada 31 Oktober lalu.

Katanya ketika pertemuan itu dia mendapati sikap ayahnya yang agak pendiam dan tidak ceria seperti kebiasaan.

Sementara itu, pemandu treler berkenaan berkata ketika kejadian, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.

Rosli berkata kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah trelernya sebelum disusuli bunyi letupan.

"Kami berdua juga tidak sempat untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana ia sudah terbakar," katanya. - BERNAMA



3 ulasan:

  1. musykil skg byk sgt bila xdent aje terbakar... ada problem kot sampai terbakar....

    BalasPadam
  2. RON95 mengorbankan rakyat tetapi menyelamatkan UMNO dan BN

    BalasPadam
  3. errrmm pelik jugak,..,.tiap kali excident selalu sangat di ikuti kenderaan terbakar,,.,.,mana JKJR???!!,.,.diam je,..,ape punya pak singh le,.,.,

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.