27 Nov 2010

Ibu Rayu Anaknya Pulang

anak dirayu pulang

Graduan ke Kuantan cari kerja 31 Oktober

CHUKAI: Bagi seorang ibu, Mezian Hassan, 53, dari Felda Neram Dua, Bandar Ceneh Baru, di sini, doanya setiap hari hanyalah mengharapkan anak gadisnya, Siti Fatimah Ramli, 20, kembali ke pangkuan keluarga selepas keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada 31 Oktober lalu.

Katanya, sejak anaknya yang juga graduan Diploma Sains Kesetiausahaan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah keluar rumah mencari kerja di Kuantan, Pahang, dengan menaiki sebuah bas pada jam 1.30 tengah hari, mereka hanya sempat berhubung beberapa kali termasuk pada petang hari itu.

Keesokannya Siti Fatimah turut memaklumkan dia sudah mendapat kerja.

“Kali terakhir saya dapat menghubunginya pada 6 November lalu, tetapi ketika itu hanya sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum panggilan diputuskan.

“Sejak itu kami tidak dapat menghubunginya lagi...dan saya tidak tahu di mana dia berada," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mezian berkata, dia turut menghubungi dua lagi anaknya, masing-masing di Kedah dan Sarawak untuk mengetahui sama ada anak gadisnya itu ke sana tetapi menerima jawapan yang menghampakan.

Bimbangkan keselamatan Siti Fatimah, Mezian membuat laporan polis pada 22 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Saya merayu kepada sesiapa yang menemui atau melihat Siti Fatimah supaya dapat menghubungi kami di talian 017-9895876 atau 012-6122253 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -BH

1 ulasan:

  1. Wahai anak-anak ingatlah perbuatan begini adalah menzalimi ibu bapa kita sendiri. Jauhilah daripada membuat dosa kepada ibu bapa.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.