11 Nov 2010

Anak Siapakah Ini?

Budak naiki bas sendirian

CHERAS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tiga tahun melalui pengalaman mendebarkan apabila hanya berbekal sebotol susu tanpa ditemani kedua ibu bapanya menaiki bas hingga ke Kota Raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, kanak-kanak terbabit ditemui seorang wanita berusia 40-an kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

“Wanita terbabit menemui kanak-kanak itu berkeliaran di hadapan Rumah Pangsa Sri Sabah lalu menaiki bas sehingga ke Kota Raya. Dalam perjalanan itu, wanita berkenaan memerhatikan kanak-kanak itu tidak ditemani sesiapa.

"Bimbang terjadi apa-apa terhadap kanak-kanak tersebut, wanita terbabit menghubungi polis,” katanya kepada media di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, kanak-kanak itu tidak menangis dan latar belakangnya tidak dapat diketahui kerana masih tidak boleh bercakap.

Menurut beliau, polis tidak mengesyaki kes jenayah dan hanya mengklasifikasikan sebagai budak hilang.

“Kini kanak-kanak terbabit di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur.

“Sehingga jam 5.30 petang tadi (semalam), pasangan suami isteri menghubungi polis dan mendakwa kanak-kanak itu adalah anaknya.

"Bagaimanapun, pengesahan masih belum dapat dilakukan kerana semua bukti belum diterima,” katanya.

Beliau berkata, jika pasangan terbabit gagal memberi bukti yang kukuh, berkemungkinan ujian DNA akan dilakukan untuk pengesahan.

Sementara itu, beliau juga menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri anak, terutamanya yang masih kecil.

Sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Rakan Cop menerusi talian 03-21159999 atau Balai Polis Cheras (03-92825022).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.