23 Nov 2010

ANAK Cabar BAPAK Buktikan Serius Bantu peneroka Felda

Anak bawa 20 kes 1 Dis, cabar Bapak buktikan serius bantu peneroka Felda

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mencabar Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang dirasmikan kelmarin membuktikan yang ia telus dan serius mahu menyelesaikan masalah-masalah membabitkan peneroka Felda, dan bukannya gimik politik Umno-BN.

Menurut Mazlan, sekiranya Bapak gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan peneroka, pihaknya akan menganggap penubuhan Bapak hanya semata-mata gimik politik.

Beliau berkata pada 1 Disember depan pihaknya akan membawa 20 kes yang membabitkan peneroka untuk diselesaikan Bapak.

“Pada 1 Disember ini wakil Anak dan beberapa wakil peneroka akan menyerahkan 20 kes pertama untuk diselesaikan Bapak.

“Sebelum ini Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kata Bapak boleh menyelesaikan masalah peneroka, kita nak lihat kemampuan Bapak atau ia semata-mata agenda politik sahaja.

“Kalau Bapak gagal menyelesaikan masalah ini kita anggap penubuhan Bapak hanya sebagai gimik politik sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mazlan berkata kemungkinan besar penubuhan Bapak adalah untuk memulihkan sokongan warga peneroka kepada kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya percaya penubuhan Bapak ini lebih bersifat politik kerana kerajaan sudah sedar bahawa mereka tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan warga peneroka.

“Mungkin ia juga ada kaitan dengan pilihan raya yang mana kerajaan mahu memulihkan kembali sokongan warga peneroka. Peneroka adalah talian hayat mereka sekiranya masalah yang dibangkitkan tidak dapat diselesaikan kerajaan akan bimbang jadi terpaksa tubuhkan Bapak.

“Boleh kata semuanya hanya untuk mendapatkan semula kepercayaan warga peneroka,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat itu juga berkata penubuhan Bapak dilihat tidak akan memberikan kesan kepada warga peneroka, malah dianggap sebagai tidak relevan.

“Sebenarnya isu yang membabitkan peneroka sudah lama tapi pelik kenapa selama ini pengurusan Felda ataupun kerajaan tidak menangani perkara ini dengan serius sehingga menyebabkan peneroka tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan masalah mereka.

“Anak memberi tumpuan terhadap masalah yang berlaku di kalangan peneroka, ini yang jadi matlamat kita. Saya rasa penubuhan Bapak ini mungkin disebabkan Anak telah mula memberikan ancaman kepada Felda, jadi mereka terpaksa tubuhkan Bapak untuk bersaing dengan Anak.

“Saya juga tidak nampak relevan Bapak ditubuhkan, kenapa baru sekarang ia hendak ditubuhkan? Kenapa baru sekarang kerajaan memikirkan tentang masalah yang dihadapi rakyat? Sepatutnya sejak dari dulu ia diselesaikan, bukan sekarang,” katanya.

Bagaimanapun Mazlan berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama dengan Bapak dalam usaha membantu menyelesaikan masalah yang membabitkan warga peneroka.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan penubuhan Bapak ini kerana ia boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi peneroka. Anak tidak buat apa-apa, kita tiada kuasa, apatah lagi nak berlawan dengan Bapak.

“Tak ada masalah Anak nak tolong Bapak, tapi kalau Bapak tak boleh harap, biarlah Anak yang buat,” katanya.

Semalam Ahmad berkata penubuhan Bapak yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sangat dialu-alukan kerana ia boleh berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merestui penubuhan Bapak dan berharap ia memberikan faedah kepada semua warga Felda terutamanya menyelesaikan isu berbangkit atau dibangkitkan di kalangan warga Felda,” kata beliau.

Bapak merupakan alternatif baru bagi menyalurkan aduan dan pendapat untuk warga Felda sekiranya terdapat sebarang masalah, perkara dan isu yang membabitkan warga peneroka.

Dipetik Bernama, Ahmad berkata, Bapak dianggotai oleh 317 sukarelawan yang bersedia menerima aduan dan cadangan yang dikemukakan warga Felda tentang sesuatu isu dan berusaha menyelesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu dan dua minggu hari bekerja.

Katanya, Bapak merupakan idea Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail yang turut berbesar hati menaja segala perbelanjaan yang diperlukan oleh biro berkenaan.

Beliau berkata walaupun Felda mempunyai saluran aduannya sendiri, penubuhan Bapak sangat relevan dalam menangani masalah lain yang dihadapi oleh warga peneroka seperti isu kebajikan dan pendidikan.

2 ulasan:

  1. peneroka dijadikan hamba oleh kerajaan BN

    BalasPadam
  2. Ya Pak Maslan bilang bisa diselesaikan dalam masa seminggu, kemudian takut ngak selesai dibilangnya pula antara seminggu ke dua minggu... Ngak apa wak mau lihat !

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.